‘Ngap Sayot’ kian dilupa

 

wb_01_1

IMBAS… Awang Mahyan Awang Mohamed (berbaju putih) bersama skuad pasukan bola sepak Sarawak pada tahun 1986.



 

Kuching 12 Feb. – Sudah dua dekad berlalu, mungkin masih ada yang ingat kegemilangan bola sepak Sarawak pada era tersebut, namun ia kian dilupakan kerana faktor masa.

Ngap Sayot, jolokan kepada pasukan Sarawak ketika itu yang dikemudikan oleh bekas jurulatih, Awang Mahyan Awang Mohamed pada tahun 1988 hingga 1990 mempunyai tradisi keunggulan bola sepak yang dimiliki pasukan itu.

Ngap Sayot yang menggambarkan daya juang dan persembahan bola sepak yang cantik dengan kesetiaan peminat pasukan itu sedikit pun tidak goyah malah mendapat kepuasan penyokong terutama ketika zaman kemuncaknya pada dekad 80-an dan awal 90-an.

Pasukan yang penuh dengan sensasi dan tidak kurang kontroversinya ini, Ngap Sayot yang suatu ketika pernah dilabel sebagai pasukan gergasi dalam Liga Malaysia, bagaimanapun semakin merudum sejak dua dekad lalu.

Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) setakat ini belum mampu membawa kebangkitan dengan rekod kalah lebih banyak mewarnai pasukan yang turut digelar skuad Bujang Senang ini.

Penyertaan dalam Liga Super dan kini Liga Perdana serba tidak menjadi dengan yang terbaru kecundang 1-2 kepada pasukan kelab, Felda United di laman sendiri.

Utusan Malaysia yang berpeluang berbual dengan bekas jurulatih Ngap Sayot, Awang Mahyan, 58, menyingkap kembali sejarah kegemilangan bola sepak di negeri ini ketika era para penyokong menggegarkan Stadium Negeri, Petra Jaya dengan laungan serta nyanyian Ngap Sayot! Ngap Sayot! Ngap Sayot!

Kenapa Ngap Sayot?

Awang Mahyan memberitahu, idea Ngap Sayot itu muncul ketika beliau bersama pemain Sarawak iaitu Affendi Jol, Ali Sapiee, Khairul Jamil dan Roslan Mustafa bermain snuker.

Menurutnya, beliau bukan seorang yang handal bermain snuker dan disebabkan itu mereka yang lain menjadikan dirinya sebagai ‘Ngap Sayot’ yang mempunyai maksud ‘senang dimakan’ (mudah untuk dikalahkan).

”Apabila melatih para pemain di stadium, maka saya terfikir untuk menjadikan Ngap Sayot sebagai slogan pasukan Sarawak, yang membawa makna pasukan lain senang dimakan seperti empat orang tadi (Affendi, Ali, Khairul dan Roslan) menggambarkan saya dalam permainan snuker.

”Boleh dikatakan slogan tersebut berjaya menaikkan semangat para pemain malah semangat itu boleh diterjemahkan dalam konteks pasukan Sarawak tidak gentar dengan mana-mana pasukan sekalipun berdepan pasukan Brazil,” katanya.

Menggambarkan pasukan bola sepak era Ngap Sayot iaitu pada tahun 1988, Awang Mahyan memberitahu, pasukan itu dipenuhi dengan semangat berpasukan yang tinggi, permainan agresif, lincah, lasak, permainan cantik, strategi efektif, jati diri Sarawak dan penuh kontroversi.

Pasukan Ngap Sayot ini, katanya, masih diingati oleh para pemain dan penyokong ketika itu malah menggambarkan zaman tersebut sebagai sejarah bola sepak Sarawak yang paling gemilang.

”Pasukan Ngap Sayot ketika itu diwakili oleh anak jati Sarawak kecuali seorang sahaja dari Semenanjung dan tiada pemain import dalam pasukan ini.

”Meskipun menjadi pasukan belasahan oleh pasukan elit dalam kejohanan liga, namun Ngap Sayot boleh berbangga kerana begitu kebal di stadium sendiri iaitu Stadium Negeri,” ujarnya.

Apa yang menambahkan lagi semangat pasukan ini, Awang Mahyan berkata, setiap kali perlawanan di Stadium Negeri ia akan dipenuhi oleh para penyokong dari serata pelosok negeri.

Malah para penyokong ketika itu, jelasnya, semua bersatu hati memakai baju merah, berikat kepala dan berselendangkan ‘Ngap Sayot’ memenuhi segenap ruang stadium dengan membingitkan suasana dengan sorakan.

Suasana seumpama itu, katanya, menyebabkan keadaan stadium seolah-olah bergegar hingga pasukan lawan menjadi gentar kepada pasukan Ngap Sayot itu.

”Sehingga hari ini belum ada suasana malah semangat juang yang tinggi oleh para pemain sekarang yang dapat mengulangi keunggulan serta kemuncak bola sepak Sarawak pada zaman berkenaan,” jelasnya.

Dalam kegemilangan era Ngap Sayot, terdapat juga kejadian aneh dan insiden pelik berlaku di Stadium Negeri sebelum perlawanan hingga ada yang menggambarkan pasukan tersebut menggunakan ilmu hitam serta bomoh.

Ini kerana, kata Awang Mahyan, pernah berlaku beberapa kali kucing berwarna hitam muncul di stadium setiap kali perlawanan yang didakwa membawa kemenangan kepada pasukan itu.

Ada segelintir penyokong veteran ketika itu mempercayainya bagaimanapun bagi Awang Mahyan sendiri, perkara itu adalah kebetulan dan Ngap Sayot tidak pernah berkaitan dengan kejadian bomoh atau ilmu hitam itu.

”Bagi saya perkara itu mungkin dilakukan oleh para penyokong yang nakal dan sengaja melepaskan kucing ke padang sebelum perlawanan yang kemudian dianggap sebagai ilmu yang tidak betul ini.

”Pada masa yang sama, kebetulan Ngap Sayot memperoleh kemenangan dan terus disangka bahawa ia ada kaitan dengan kucing hitam manakala pasukan lawan pun turut terjebak oleh kejadian itu yang saya anggap tidak lebih daripada permainan psikologi,” katanya.

Bukan setakat itu sahaja, Awang Mahyan memberitahu, beliau yang ditemuramah oleh sebuah stesen radio di Kedah sewaktu Sarawak menentang negeri jelapang padi itu dikatakan layak sebagai bomoh dan bukan jurulatih.

Bagaimanapun, Awang Mahyan tidak pernah mengambil peduli perkara itu yang dianggapnya sebagai perang psikologi antara dua pasukan bersaing.

Malah pernah satu ketika, laporan sebuah akhbar mengatakan Awang Mahyan menggunakan ilmu hitam menyebabkan beliau sengaja menggunakan keadaan itu dengan membakar sesuatu sewaktu berada di padang yang kemudian disangka kemenyan lalu menimbulkan rasa gerun para pemain lawan.

Bagaimanapun, perkara yang paling menonjol dan popular malah menjadi ingatan sehingga hari ini adalah kejadian Awang Mahyan terjun ke Sungai Sarawak dari Jambatan Gantung Satok bersama pemain dan para penyokong.

Awang Mahyan mengepalai beberapa pemain dan penyokong yang terjun ke sungai ketika itu yang disaksikan kira-kira 4,000 penyokong dan mendapat liputan meluas oleh akhbar dari seluruh negara.

Terjun ke Sungai Sarawak oleh Awang Mahyan pada pukul 11 pagi itu adalah sebagai meraikan kejayaan Ngap Sayot melangkah ke suku akhir Piala Malaysia.

”Pada mulanya saya cabar pemain, kalau menang saya akan terjun ke Sungai Sarawak dari Jambatan Gantung Satok dan mereka pula harus berlari balik ke hotel di pusat bandar dari Stadium Negeri.

”Sebaik sahaja menang, para pemain yang tidak mengira penat lelah lalu berlari balik ke penginapan hotel di pusat bandar, jadi keesokannya saya pula terjun dari Jambatan Gantung Satok,” katanya.

Ibarat cuaca yang disangka panas hingga ke petang, tetapi ia tidak berlaku kepada pasukan Ngap Sayot kerana telah berlaku krisis besar dalam bola sepak Sarawak di Stadium Merdeka ketika menentang pasukan Kuala Lumpur dalam Piala Malaysia pada tahun 1989.

Awang Mahyan memberitahu, keadaan menjadi tegang apabila pengadil perlawanan ketika itu, Steven Ovinis melayangkan kad merah kepada pemain Sarawak yang dikatakan membuang masa sedangkan pemain tersebut perlu mendapatkan rawatan.

Para pemain, katanya, tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil telah menyerbu ke arah Ovinis membantah keputusan tersebut namun gagal lalu memboikot perlawanan sehingga berlaku pergelutan dan pengadil mendakwa telah ditolak jatuh oleh pemain.

”Keadaan yang semakin tegang menyebabkan FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) menyerbu ke arah pemain Sarawak dan mengkasari mereka menyebabkan saya berasa tidak puas hati ketika itu.

”Pemain Sarawak bukan ‘samseng’ yang harus dikasari tetapi mereka adalah pemain bola sepak dan kenapa FRU berbuat demikian,” katanya mengimbau semula kejadian di Padang Merdeka itu.

Dalam kejohanan liga, Awang Mahyan memberitahu, pasukan Sarawak boleh dikatakan pasukan musuh tradisi kepada Selangor selain beberapa pasukan lain seperti Brunei, Perak, Perlis dan Kedah.

Antara pemain legenda Ngap Sayot adalah Affendi Jol, Ali Sapiee, Pengiran Bala, Herman Bulang, Abu Bakar Amran, Daud Hamid, Jalil Ramli, Johny Peter, Khairul Jamil, Aedi Julaihi, Franky Steven, Abdullah Salim, Roslan Ismail, Azmi Arif, Roslan Mustafa, Keria Meria, Sulaiman Mustanir, Borhaniza Abu Bakar, Razak Ismail dan Busman Ismail.

About these ads

2 Responses

  1. sy sayang n rindu sarawak dulu2..

  2. send byk gambar lg kat lmn web ni..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: