isu hangat ppsmi respon dari pro?

Perjuangan Mesti Dikembalikan Ke Paksi Ummah

 

BULETIN الحضارة~*BIL:52/ Rejab1430

AL–HADHARAH

Aku sanggup menjadi saksi bahawa tiada Tuhan yang berhak untuk disembah melainkan Allah dan aku sanggup pula menjadi saksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah Pesuruh Allah. Segala kebesaran dan kemuliaan hanyalah milik Mu ya Allah yang telah memperjalankan NabiMu dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa seterusnya ke Sidratul Muntaha dalam satu malam sahaja kembali semula. Selawat dan salam penuh kesyukuran ummat ke atas Rasul Mu, Muhammad saw, kaum keluarga serta para sahabat semuanya.

Sidang pembaca yang budiman sekelian, terlebih dahulu saya ingin memohon kemaafan di atas kesalahan, kelemahan dan ketelanjuran saya jika ada yang telah berlaku dalam siri-siri buletin yang lalu. Saya mengakui akan kelemahan saya sebagai seorang manusia yang tidak sunyi dari melakukan kesilapan-kesilapan `manusiawi`. Sejak akhir-akhir ini saya banyak mendapat reaksi yang `kurang enak` walaupun ada juga yang memberi semangat dan galakan. Jadi perlulah saya menegaskan sekali lagi kepada semua khalayak pembaca sekelian bahawa matlamat kami dalam menerbitkan buletin ini antaranya ialah ingin mengembalikan semula kesegaran, kejernihan dan insyaAllah ketelusan dalam perjuangan Islam dan perjuangan ummah khususnya di Malaysia ini.Saya akui tidak semua yang ditulis itu 100% betul belaka, begitu juga sebaliknya tidak pula semua tak bernilai. Tetapi kami berhasrat benar supaya ummah tidak diperbodoh, disekat, dicucuk hidung dan dinafikan haknya untuk melihat, mengenal, menilai serta memilih kebenaran yang ummah sendiri yakin betul… `Fastabiqul khairat` sebagai ummat Islam kita sewajarnya berlumba-lumba mengerjakan kebaikan untuk kemaslahatan ummat (bukan untuk diri atau kelompok sendiri).

Berbalik kepada perjuangan Islam mestilah dikembalikan kepada paksi ummah, saya suka mengajak semua ummat Islam, gerakan-gerakan ummat Islam PAS, ABIM, JIM, bekas pengikut al-Arqam (Rufaqa` dan Ikhwan), Jemaah Tabligh atau pertubuhan-pertubuhan NGO Muslim serta persatuan-persatuan pelajar Islam semuanya supaya kembali meletakkan perjuangan kita ke landasan yang sebenar iaitu landasan UMMAH. Apa ertinya perjuangan itu sendiri bagi diri dan kelompok jika kita tidak mampu meletakkan kepentingan ummah mengatasi segala kepentingan diri dan kelompok. “Janganlah kamu jadikan (nama) Allah dalam sumpahmu sebagai penghalang untuk berbuat kebajikan, bertakwa dan mengadakan islah di antara manusia . Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” al-baqarah 224.

Kita sering mendakwa kita memperjuangkan Islam, namun ummah bawahan seringkali tertipu dan terpedaya dengan perjuangan mengangkat `martabat` keegoan kelompok atau wadah sendiri. Ayyuhal ummah ! Wahai saudara ummah, perjuangan Islam tanpa perjuangan ummah adalah seperti roh tanpa jasad. Kerana al-Islam tidak dapat dipisahkan dengan individu-individu ummat. Al-Islam seperti juga roh tidak dapat dilihat melainkan berada atau mengambil tempat dalam jasad-jasad ummah, barulah Islam atau roh itu dibuktikan wujud. Begitu juga ummah atau jasad akan mati tidak bernyawa, bermakna dan bernilai jika tidak mempunyai roh (Islam). Allah swt menurunkan Islam ialah untuk menghidupkan manusia sebagai ummah yang satu iaitu mentauhidkan Allah swt.

Kita jangan mudah tersirna pandangan dengan aliran menghimpunkan `rakyat` pelbagai anutan agama untuk membangunkan negara tauhid.(Islam). Mana mungkin pelbagai semangat (roh) boleh menegakkan Negara Islam, dan jika ditakdirkan `tegak` pun dengan cara yang PAS usahakan itu, saya percaya ianya tidak dapat menghidupkan Negara Islam seperti yang dikehendaki oleh Allah swt kerana Negara Islam yang hidup mesti ditegakkan dengan roh Islam yang mentauhidkan Allah swt sahaja. Saya tidak pula mengatakan bahawa rakyat (Negara Islam sebenar) tidak boleh wujud di dalamnya pelbagai agama yakni majmuk. Itu persoalan menganut agama, yang Islam tidak boleh memaksa seseorang individu terbabit menganut akan agama Islam. Lain halnya mendiri dan menghidupkan Negara Islam adalah persoalan tanggungjawab setiap ummat Islam yang dah yakin dengan Agama Islam sama seperti ibadah yang akan diusahakan oleh orang-orang mukmin walaupun terpaksa dibelinya dengan sebuah `kematian`. Bolehkah Negara Islam nak disandarkan kepada roh penganut Hindu, penganut Budha, penganut Animisme atau penganut Kristian? Negara Islam Hadhari boleh la… sebab memang dah boleh pun … macam yang dok ada laa.! Tak kan tak nampak kut ? Jangan lah kita ulang kesilapan-kesilapan yang serupa berkali-kali… Bukan sifat orang mukmin apabila dipatuk atau disengat dari satu lubang sebanyak 2 kali.

Perjuangan PAS atau perjuangan semua gerakan ummat Islam yang ada perlu dikembalikan supaya memperjuangkan kepentingan ummah. Jika ummah sudah tidak menjadi agenda penting bagi kita, tak perlu lah lagi kita menyembunyi dan berselindung akan kepalsuan perjuangan masing-masing. Tak perlu kita mendabik dada kami orang PAS, kami orang ABIM, kami ahli JIM, kami pengikut Rufaqa atau Ikhwan dan kami pula Jemaah Tabligh. Jika kita semua mengucap 2 kalimah syahadah, kita semua orang Islam. Kita sepatutnya berbangga sebagai orang Islam, salah satu anggota dari jasad yang besar iaitu UMMAH.

Sebagai seorang ahli PAS, saya pernah berbangga dengan kepimpinan Almarhum Ustaz Fadhil Noor ketika menerajui wadah PAS. Sebagai seorang Islam saya sepatutnya lebih berbangga lagi dan cukup bersyukur kepada Allah swt kerana dapat merasai dan melihat kepimpinan ummah yang belum pernah saya nikmati sebelum ini. Betul kata-kata Saudara Subky Latif; “Fadhil Noor, dia guru.…dia kawan” Dan bagi saya sendiri, dia tauladan… dia contoh kepimpinan ummah.

Sebagai seorang yang masih ahli PAS, sekarang saya benar-benar dukacita dengan kepimpinan PAS sekarang yang telah hilang panduan dan arah tuju perjuangan ummahnya tetapi masih mengaburi ahlinya dengan perjuangan `Islam` (PAS sekarang). Sebagai seorang yang tetap menganut Islam, saya insyaAllah tidak terkesan dengan apa yang berlaku dan akan berlaku kepada PAS. Kerana saya berbangga dengan Islam dan tidak akan berbangga dan bergantung dengan wadah. Wadah cuma alat sementara untuk sampai ke satu tahap atau peringkat tertentu, bila dah ternyata rosak atau `expired` kita perlu menerokai dan menggantikan yang baru ataupun lebih praktikalnya mengemudi alaf baru.

Kepada khalayak ummah semua, secara sedar atau tidak, samada kita suka ataupun tidak, apa yang telah berlalu dan berlaku (termasuk yang akan berlaku) adalah takdir dan ketentuan Allah swt belaka. Sebab itu saya sekali lagi mengajak kita semua khalayak ummah untuk melihat dan menerima situasi yang terbentang di depan mata ummah sekarang dengan hati nurani ummah yang beriman kepada Allah swt, ialah era atau alaf baru perjuangan UMMAH yang sebenar. Perjuangan ummah yang diwarisi dari generasi alim-ulama` menentang penjajahan dahulu, perjuangan ummah yang tidak pernah ditinggalkan oleh para pemimpin PAS zaman dulu-dulu dan perjuangan ummah yang telah pernah dicapai bersama Almarhum Ustaz Fadhil suatu ketika yang baru sahaja… ianya berlalu…

Ummah seharusnya dalam keadaan sedar dan yakin pada diri ummah sendiri bagi menyambung serta melangsungkan keupayaan tertinggi yang pernah dicapai tersebut. Kita sepatutnya maju setapak lagi ke hadapan jangan mundur ke belakang walaupun banyak godaan dan nostalgia yang melekat dan sangat payah untuk ditanggalkan.., oleh kelemahan kita sendiri. Berusahalah mengubah nasib kita sendiri, insyaAllah Allah swt akan bersama-sama kita sebagai ummat Muhammad saw yang berusaha membebaskan ummah dari segala perbudakan serta penyelewengan.Yakin akan firman Allah swt; “Kuntum khaira ummatin ukhrijat linnas….” al-ayah, yang bermaksud Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. al-Imran 110. Tepuk dadamu, tanyalah iman. Dari Ibnu Ramadhan. “qulil haq walau kana murron“

-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

 

:: Balik Semula ::

ADMIN – KedahLaNie TIME – 11:50 PM 0 Komen Anda
Labels:

Malaysia Sudah Hebat Dari MU..huah huah huah…

 

Pemimpin Umno dibimbangi dakwa Malaysia lebih baik dari MU
Abdul Aziz Mustafa
Sun | Jul 19, 09 | 11:41:27 am MYT

 KUALA LUMPUR, 19 Julai (Hrkh) – Naib Presiden PAS, Haji Mahfuz Omar berharap para pemimpin Umno tidak mendakwa bahawa kekalahan tipis pasukan bola Malaysia kepada Manchester United (MU) membuktikan mutu bola sepak kelab itu sudah merosot.

“Saya juga berharap (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) tidak menyatakan mutu bola sepak di negara ini sudah dipulihkan dan meningkat.

“Maklumlah, bila Barisan Nasional (BN) kalah tipis di Manek Urai baru-baru ini, Najib mendakwa kekalahan tipis itu membuktikan keyakinan rakyat kepada BN sudah dapat dipulihkan,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Oleh kerana pasukan Malaysia memakai jersey biru ketika bertemu MU semalam, Mahfuz berharap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mendakwa bahawa sudah terdapat petanda kebangkitan semula “gelombang biru” melanda sukan bola seluruh dunia ketika ini.

“Jangan pula kekalahan tipis itu menyebabkan para pemimpin Umno mendakwa bahawa pasukan bola Malaysia sudah memasuki era baru sehingga menyatakan pengurus dan pemain MU tidak lagi relevan serta tidak lagi sesuai dengan kemajuan serta perubahan semasa permainan bola sepak pada masa ini,” katanya lagi.

Mahfuz juga berharap tidak ada professor kangkung yang mendakwa bahawa Alex Ferguson bukan lagi faktor penentu kemenangan MU.

“Maklumlah, dalam apa yang dia sangka sebagai sebagai analisis politik, ada yang mendakwa bahawa Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan lagi faktor penentu kemenangan,” katanya.

Mahfuz seterusnya berharap tidak ada pemimpin Umno yang menawarkan jurulatih dari negara ini untuk menjadi pengurus MU mengantikan Ferguson.

Bagaimanapun, Mahfuz mengucapkan syabas kepada apara pemain Malaysia yang mempamerkan mempamer keazaman dan semangat juang yang tinggi ketika bertemu MU semalam.

 



:: Balik Semula ::

ADMIN – KedahLaNie TIME – 9:00 PM 0 Komen Anda
Labels: ,

Apa yang Disembangkan antara MB Kedah dengan YB UMNO

ADMIN – KedahLaNie TIME – 1:25 PM 2 Komen Anda
Labels: , ,

UNGKU AZIZ – PPSMI satu kesilapan

 

PPSMI satu kesilapan

Bagi saya yang perlu ditekankan adalah pengajaran bahasa dan bukan mengajar bahasa dalam matapelajaran seperti Matematik dan Sains – Ungku Aziz



Setelah enam tahun menjalani “tempoh percubaan” akhirnya dasar Pengajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan baru-baru ini. Selepas Kementerian Pelajaran mengambil tindakan berani itu, masih ada lagi pihak yang mahu mengembalikan PPSMI dalam sistem pendidikan di negara ini.
Selepas kajian secara ilmiah telah dilakukan oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (pembina) menunjukkan lebih banyak kesan buruk daripada baiknya PPSMI, kerajaan diminta supaya jangan berpatah balik sekalipun ada desakan daripada pihak tertentu.

Tokoh akademik, Profesor Diraja Ungku Aziz berkata, keputusan memansuhkan PPSMI adalah suatu yang sangat tepat dan memuaskan hati semua pihak. Malah langkah ini juga ke arah mewujudkan perpaduan menerusi penggunaan satu bahasa iaitu bahasa Melayu sebagai hubungan antara kaum.

“PPSMI sebenarnya adalah satu kesilapan kerana kita mampu mengajar matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Universiti Malaya telah melahirkan banyak pensyarah dalam pelbagai bidang dengan menggunakan bahasa Melayu,” tegas Ungku Aziz ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL ABDUL HAMID di kediamannya di Petaling Jaya Jumaat lalu.

Bekas Naib Canselor Universiti Malaya ini juga membayangkan sekiranya PPSMI diteruskan pelajar-pelajar Melayu di desa akan terpinggir dan berhenti sekolah.

“Kalau PPSMI tidak dimansuhkan, pelajar-pelajar Melayu terutama di desa akhirnya menjadi pekerja kelas bawahan, itu pun mungkin susah,” kata Ungku Aziz lagi.

MINGGUAN: Apa pandangan Pak Ungku mengenai keputusan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan kembali menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar?

UNGKU AZIZ: Bagi saya ini adalah satu keputusan yang amat tepat dan mampu memuaskan hati semua pihak di negara ini. Sepatutnya tidak ada lagi mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa yang telah kerajaan lakukan kerana ia mengambil kira kepentingan negara dan kemahuan majoriti rakyat. Sebelum ini saya telah memberikan beberapa ceramah tentang perkara ini dan paling terbaru di Bankers Club. Apa kesan dan implikasinya terhadap sosial politik negara ini. Pada pandangan saya bagi mengukuhkan perpaduan kita perlu kembali pada satu bahasa yang boleh digunakan semua warganegara.

Selepas ceramah saya di Bankers Club di Bukit Bintang, saya keluar dari bangunan itu kita boleh dengar pelbagai bahasa yang diucapkan termasuklah bahasa Hokkien, Mandarin dan sebagainya termasuklah bahasa Melayu. Tapi kalau kita perhatikan di kawasan Bukit Bintang, mereka yang bercakap dalam bahasa Melayu ini tidak ramai, belum lagi di Jalan Petaling.

Mereka ini menggunakan bahasa Mandarin tetapi dalam banyak dialek dan kalau cakap Melayu pun dalam bentuk rojak dan bercampur-campur. Jadi bagi saya perkara utama yang saya ingin tekankan ialah perpaduan negara ini masih belum wujud dengan memuaskan. Maka definisi perpaduan negara ini cukup susah. Saya sendiri rasa kurang jelas. Apa yang dimaksudkan dengan perpaduan negara?

Kalau semua orang boleh bercakap bahasa Melayu, itu akan membantu usaha mewujudkan perpaduan negara. Tapi setakat ini ia belum menuju ke arah itu. Secara asasnya perpaduan negara ini hanya sekitar kita, misalnya tidak melihat pergaduhan antara kaum dan hidup dalam aman damai. Setakat ini toleransi yang ditunjukkan oleh orang Melayu tinggi berbanding kaum-kaum lain. Namun sama ada ia baik untuk orang Melayu menunjukkan toleransi sebegini ia masih menjadi persoalan. Jika tahap toleransi itu naik terlalu tinggi ia akan meletup. Kita kena ingat perkara ini sebagai orang Melayu dan ini yang berlaku ketika peristiwa 13 Mei.

Namun Alhamdulillah, toleransi orang Melayu sangat tinggi jika tidak ada banyak masalah. Kalau ada masalah terutama membabitkan politik orang akan menuding kepada pihak tertentu seperti MCA dan PKR. Orang kata kita tidak boleh cakap tentang kaum-kaum tetapi jika kita lihat senario sebenar kita akan nampak. Saya berpandangan Malaysia merupakan satu contoh baik negara yang wujud toleransi tetapi toleransi ini perlu wujud dalam bentuk yang kuat dan tidak hanya membabitkan satu kaum sahaja.

Kita ambil contoh di sekolah-sekolah matapelajaran diajar dalam bahasa Mandarin seperti yang diterima oleh Menteri Pelajaran. Namun mereka juga perlu bertutur dan bertukar-tukar fikiran dalam bahasa Melayu tanpa ada pilihan lain untuk asas perpaduan. Namun untuk memperoleh pengetahuan dan ilmu banyak yang kita boleh pelajari dengan menggunakan bahasa Melayu.

Universiti Malaya pernah melakukannya pada tahun 1974-1975 para pelajar boleh belajar dalam bahasa Melayu termasuklah pelajar jurusan kejuruteraan dan kedoktoran. Semua ini dilakukan dalam bahasa Melayu dan contoh lain kita boleh ambil Pusat Asasi Sains dan ia terbukti berjaya. Namun datang pula kelompok lain 10 tahun kemudian menukar sistem pembelajaran kepada bahasa Inggeris.

Setelah kita memberi masa enam tahun PPSMI berjalan, kepada Pak Ungku apa kelemahan ketara dasar ini?

UNGKU AZIZ: Sebenarnya semua ini bermula apabila arahan dikeluarkan supaya matapelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris oleh kepimpinan sebelum ini. Bagi saya ini seolah-olah ada satu magic untuk membolehkan pelajar-pelajar berbahasa Inggeris dengan lebih lancar dan mudah. Ketika itu semua orang akur dengan arahan dan tidak ada sesiapapun yang berani menolaknya termasuklah para menteri. Ramai yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan ini tetapi tidak ada yang berani melawan.

Saya telah diberikan satu kajian yang dijalankan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) mengenai PPSMI. Tujuh universiti terlibat dalam kajian ini dan kajian ini telah diberikan kepada Menteri Pelajaran sendiri. Segala butiran yang dikeluarkan adalah berdasarkan fakta. Kajian ini mendedahkan semua kelemahan yang berlaku akibat dari pelaksanaan PPSMI selama enam tahun termasuklah kekurangan guru, serta kelemahan pelajar di desa.

Kita ambil contoh matapelajaran Matematik, ia merupakan satu bahasa simbolik. Ia hanya membabitkan simbol sahaja dan tidak banyak menggunakan perkataan. Kita tidak gunakan perkataan tambah tapi simbol seperti juga simbol bahagi, Algebra dan sebagainya. Orang boleh membuat penilaian hanya berdasarkan simbol namun bagi mereka yang tidak tahu tentang simbol ini mereka tidak boleh membuat perkiraan Matematik. Oleh itu pelajar kena belajar tentang simbol dan bukan belajar bahasa dalam matapelajaran Matematik.

Bagaimana pelajar yang menggunakan bahasa simbol dalam Matematik boleh pandai bahasa Inggeris? Kita lihat orang Cina mahir dalam Matematik, ini kerana dalam penggunaan bahasa dan tulisan mereka banyak simbol daripada huruf. Maka jika para pelajar Melayu dipaksa belajar dalam bahasa Inggeris mereka ini akan lebih terbeban. Mereka perlu belajar Matematik misalnya tetapi pada masa yang sama mereka perlu belajar bahasa Inggeris.

Semasa saya menjadi Naib Canselor Universiti Malaya dahulu saya pilih budak kampung untuk ambil kursus Asasi Sains kerana tidak ramai yang hendak mengambil kursus ini. Mereka diajar selama dua tahun dalam bahasa Melayu dan selepas itu masuk ke fakulti. Dan terbukti mereka ini boleh belajar kursus seperti kejuruteraan dan sebagainya. Tidak ada masalah malah ramai kalangan mereka kini menjadi profesor dan mengajar anak-anak Melayu kita.

UTUSAN : Apa pula masalah yang perlu ditangani segera selepas pengajaran dua mata pelajaran itu dalam bahasa Melayu?

UNGKU AZIZ: Dari segi kelengkapan tidak banyak masalah. Ini kerana banyak buku telah diterbit dan diterjemah ke bahasa Melayu. Ini termasuklah kamus-kamus seperti kamus biologi, kejuruteraan dan sebagainya. Bagi saya yang perlu ditekankan adalah pengajaran bahasa dan bukan mengajar bahasa dalam matapelajaran seperti Matematik dan Sains.

Kita ambil contoh kanak-kanak yang memasuki sekolah rendah, penguasaan kosa kata mereka tidak banyak. Tetapi mereka akan belajar lebih banyak dan mampu menulis ayat setelah bersekolah untuk beberapa tahun. Selepas itu mereka ini sudah berkeupayaan untuk bercakap dan selepas masuk sekolah menengah mereka sudah boleh bercakap tentang perkara- perkara yang abstrak. Ini kerana mereka telah belajar perkara-perkara ini secara beransur-ansur dan keupayaan mereka semakin berkembang setelah belajar. Pelajar ini perlu didedahkan dari awal penggunaan bahasa Melayu tidak kira mereka ini orang Cina, Melayu atau kaum lain.

Kita perlu faham bahawa bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah dua bahasa yang sangat berlainan. Tatabahasa Inggeris banyak diceduk dari bahasa Perancis, Jerman dan bahasa Scandinavia. Dan kemudiannya ia banyak diperbetulkan oleh pujangga agung mereka William Shakespeare kemudiannya barulah ada bahasa Inggeris yang sebenar. Shakespeare merupakan bapa kepada bahasa Inggeris moden dan ia berlaku sekitar kurun ke-17. Tetapi bahasa Melayu sudah ada pada masa itu. Bahasa Melayu sudah digunakan oleh orang Melayu di rantau ini serta di Fiji dan Madagascar. Saya sudah melawat tempat-tempat ini serta melihat buku mengenai nahu mereka dan banyak perkataan Melayu digunakan. Mengikut kajian saya bahasa Melayu sudah wujud lebih dari 1,000 tahun.

Jika kita lihat Angkor Wat di Kemboja, penduduk mereka telah menggunakan bahasa Melayu yang kebanyakannya diambil dari bahasa Sanskrit. Jadi, saya tidak nampak kenapa dengan menggunakan bahasa Melayu kita tidak boleh maju. Saya hairan kenapa kita perlu menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium utama pendidikan.

UTUSAN : Apa akan jadi jika PPSMI ini diteruskan? Adakah sekadar pelajar kita bijak berbahasa Inggeris dan bahasa Melayu mereka teruk atau pelajar Melayu sendiri yang akan hancur?

UNGKU AZIZ: Jika diteruskan orang Melayu akan hancur. Dalam kajian yang dilakukan oleh Pembina, kumpulan anak Melayu di kawasan desa (luar bandar) akan terus terpinggir dan ramai mereka akan berhenti sekolah dan mungkin berakhir hanya sebagai pemandu dan pekerja kelas bawahan. Itu pun mungkin susah. Ini kerana mereka tidak mampu untuk mengikut rentak perubahan yang ingin dilakukan melalui PPSMI. Mereka ini tidak berupaya untuk belajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dengan cepat seperti pelajar di kota apatah lagi dengan masalah-masalah lain seperti kekurangan guru dan peralatan. Maka bagi saya keputusan yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu keputusan yang berani dan tepat. Para pelajar akan tetap menggunakan kedua-dua bahasa cumanya ia akan diperbaharui.

Keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kajian yang mendalam tapi ini tidak bermakna kita berundur ke belakang. Keputusan itu menunjukkan ada keseimbangan iaitu memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pada masa yang sama kita memperkukuhkan bahasa Inggeris. Bagi saya PPSMI banyak merugikan anak-anak Melayu terutama yang tinggal di desa.

 

UTUSAN : Kalau begitu, benarlah PPSMI adalah satu kesilapan besar yang pernah kita lakukan?

UNGKU AZIZ: PPSMI adalah satu kesilapan. Kita sebenarnya mampu dan boleh mengajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Universiti Malaya telah melahirkan banyak pensyarah dalam pelbagai bidang yang kemudiannya mengajar di universiti lain dalam bahasa Melayu. Tidak ada masalah pun. Pengajaran PPSMI sebelum ini dilakukan dalam pelbagai masalah seperti kurang guru, peralatan dan sebagainya. Masalah juga berlaku akibat dari penambahan pelajar yang ketara berbanding guru yang berkemampuan mengajar dalam bahasa Inggeris. Maka dengan itu kualiti pelajaran dan pengajaran pastinya menurun.

Pelaksanaan bahasa Melayu ini tidak menyeluruh kerana di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina, pengajaran Sains dan Matematik digunakan dalam bahasa ibunda. Apa pandangan Pak Ungku?

UNGKU AZIZ: Kita kena faham tentang dialek dari orang Cina dan India tentang perkara ini. Pelajar Cina yang belajar di sekolah rendah mengikut sistem yang sedia ada sekarang belajar mengikut bahasa ibunda. Tapi saya ingin bertanya apakah yang dimaksudkan dengan “bahasa ibunda”? Bagi orang Cina bahasa mereka ialah Mandarin. Apakah bahasa Mandarin itu bahasa Cina? Sebenarnya tidak. Ia (istilah ‘Mandarin’) berasal dari bahasa Melayu.

Saya telah membuat kajian tentang perkara ini. Asalnya bila orang Portugis mahu ke China mereka mahu berjumpa dengan pegawai tinggi dan bertanya apakah status mereka. Jadi orang Portugis di Melaka menyatakan “menteri”. Tapi orang Portugis ketika itu tidak boleh bercakap bahasa Melayu dengan baik.

Jadi perkataan menteri itu disebut kepada “menterin” dan apabila mereka pergi ke negeri China untuk berjumpa dengan pegawai tinggi akhirnya perkataan “menterin” tadi bertukar kepada “Mandarin”. Saya telah menulis tentang perkara ini di dalam majalah Economist di London jadi tidak ada sebarang masalah tentang perkara ini.

Tetapi carilah dalam kamus Cina atau kamus apa sekalipun tentang maksud perkataan Mandarin. Maksud yang tertulis adalah limau mandarin, tidak ada makna lain. Oleh itu tidak ada bahasa Mandarin yang ada hanya bahasa Cina. Para pelajar Cina ini hanya belajar bahasa Mandarin di sekolah tetapi apabila balik ke rumah mereka akan bercakap dalam dialek lain dengan keluarga mereka seperti dialek Kantonis, Hokkien, Teochew.

Cuba kita tanya orang Cina apa bahasa ibunda mereka? Mungkin ada yang kata Kantonis dan sebagainya. Sekarang ini tidak ramai orang muda Cina yang boleh berbahasa Cina dialek Beijing. Begitu juga orang India ada pelbagai dialek seperti Tamil, Urdu, Punjab dan sebagainya. Jadi di mana bahasa ibundanya?

Yang bercakap bahasa ibunda yang betul ialah orang Melayu kerana mereka bercakap Melayu. Ini kerana ibu bapa, nenek dan ahli keluarga mereka semua bercakap bahasa Melayu.

Kalau begitu apa perlunya sekolah jenis kebangsaan kalau mereka juga bukan diajar dalam bahasa ibunda?

UNGKU AZIZ: Jawapannya mudah, ini kerana politik. Tetapi bagi saya untuk mengukuhkan perpaduan, yang perlu ada ialah satu bahasa. Ini kerana hanya dengan cara inilah akan menggalakkan lagi persefahaman dan memudahkan pergaulan antara semua kaum. Kerana itu untuk mengajar dan mencampuri bahasa kebangsaan dengan bahasa Inggeris bagi saya ia sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Bagaimana pula sikap sesetengah pihak yang terus mendesak supaya PPSMI dikembalikan? Adakah kemungkinan PPSMI dikembalikan?

UNGKU AZIZ: Saya sangat berharap tidak akan berlaku dolak dalih bagi memungkinkan pelaksanaan PPSMI dikembalikan. Maksudnya setelah keputusan ini diambil kerajaan tidak akan berundur ke belakang. Saya faham kerajaan mungkin menerima banyak tekanan dari pelbagai pihak supaya PPSMI ini dilaksanakan semula termasuklah dari orang Melayu sendiri. Saya tidak kata kita menolak penggunaan bahasa Inggeris sebab bahasa itu perlu untuk menjadikan negara ini maju. Tetapi saya mahu bahasa Melayu terus unggul di negara sendiri. Kita tidak perlu pinggirkan bahasa Melayu sebaliknya kedua-dua bahasa ini sama-sama naik.

Namun cabaran ini pastinya sangat hebat kerana ada di kalangan kaum lain dan juga sesetengah orang Melayu sendiri yang hanya mahukan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama. Kalau kita lihat contoh seperti mereka di Jamaica dan negara-negara di kepulauan Caribbean, mereka tidak ada bahasa kebangsaan. Adakah kita mahu jadi seperti itu? Orang Melayu mesti menghidupkan bahasa Melayu dan berbangga bertutur dalam bahasa Melayu. Namun pada masa yang sama demi kemajuan negara kita mesti mampu berbahasa Inggeris.

 



:: Balik Semula ::

ADMIN – KedahLaNie TIME – 12:31 PM 0 Komen Anda

UMNO Kedah hanya JUARA sekadar ISU BABI..!!!

Malam yang penuh GERAM! Macam-macam hal terjadi sepanjang hari…hadapilah dengan tenang.. beremosilah bila ketenangan dirampas!

oleh Muhamad Sanusi Md Nor

Banyak hal berlaku sehari dua ini di seluruh negara. Kematian, bantahan, tunjuk perasaan, rungutan, tuduh menuduh, umpan 11 +1, bomoh, menang dan kalah pilihanraya.

Pihak yang kalah pula bertabiat seperti telah menang, dengan ulasan pimpinan berjela-jela setiap hari. Tak malu ka? Tapi yang menang diam pula (menjaga hati yang kalah kah?!)

Paling tragis ialah ‘kematian mengejut’ Sdr Teoh, Setiausaha Politik YB Seri Kembangan. Jatuh bangunan Pejabat SPRM Selangor! Awas kakitangan SPRM Selangor! Pejabat anda tidak selamat untuk didiami, anda mungkin terjatuh dan mati!!!.

Takziah untuk seluruh keluarga, sahabat dan rakan seperjuangan Sdr Teoh..anda akan dikenang selamanya, terpahat dalam sejarah hitam negara..
 
 
Banyak pertanyaan yang tiada jawapan sahih dan yakin, semakin lama tidak dijawab, semakin banyak pula persoalannya. Jawapan yang seluruh rakyat mahukan ialah JAWAPAN YANG BENAR dengan keterangan yang munasabah.
Jawapan-jawapan ’spot’ yang biasa diberi oleh pihak berkuasa, sudahpun dikeluarkan di banyak media, kebanyakannya untuk cover-up kepentingan penguasa dan yang berkuasa. Jawablah SPRM dan Polis Selangor! Rakyat tunggu dengan sabar dan rasional. Emosi akan meruap-ruap jika jawapan tuan terus bersembunyi.
 
UMNO Hanya Berpantang dengan HARAM BABI, yang lain tidak???
 
 
 
 
Bantahan dan demo tentang babi semarak semula, kali ini oleh JKKKP (Ketua Cawangan UMNO) di tempat yang dicadangkan oleh Jab. Verterinar, Sg Tok Pawang. Saya mendapat satu SMS dari seorang kawan beberapa jam sebelum demo itu dibuat. Mesejnya begini..
“Salam…suka saya maklumkan bahawa penduduk di persekitaran Kg Sg Toh Pawang akan berdemontrasi pada hari ini, Jumaat 17/07/09 jam 3.00 petang bagi membantah penempatan sembelihan babi…saya harap agar mereka akan mendapat kejayaan…Terima Kasih. Mohd Suhaimi Abdullah, Ketua Umno Bahagian Jerai. 012-2828228.”
 
 
 
 
Mereka ini memang suka benar berputar atas isu yang sensitif ini. Berapa lama mereka biarkan tempat sembelihan di Kg Berjaya beroperasi tanpa lesen dalam serba kedaifan sistemnya? 30 tahun! Mengapa? Mereka hendak menjaga hati MCA dan Gerakan dan menawan undi kaum cina, pemakan babi.
Bila undang-undang dikuatkuasakan, mereka juga berdemo membantah pusat itu dipindahkan.. mereka biarkan saja MCA dan Gerakan memberontak kepada undang-undang. Bila ada cadangan di Kg Cina, Pendang, UMNO jugalah yang mengepalai demontrasi. Tak apa jika tidak suka, tapi kena tengok juga hak kaum pemakan babi. Babi hanya haram bagi orang Islam memakannya, najis mukhallazah kalau terkena, kena samak dengan air tanah. Bagi bukan Islam, makanlah berapa ekor pun sehari…
Memakan babi tidak kena hukum hudud, tapi zina kena hudud, bunuh orang kena hudud, minum arak kena hudud, mencuri kena hudud, murtad kena hudud..tapi UMNO tak pulun pun banteras mungkar ini macam depa pulun isu babi! Padahal bukannya mereka dipaksa makan babi!
Sama-sama haram ialah rasuah..Rasulullah berpesan “Rasuah..penerima dan pemberi sama-sama dalam neraka”. Berbomoh dan berdukun di luar kaedah Islam juga haram, malah Syirik, dosa yang tidak diampun Allah. Berbohong juga haram, salah satu sifat munafik…dalam neraka paling bawah. Tapi benda-benda ni semua berlegar putar dalam UMNO setiap hari. Tiap-tiap kali pemilihan UMNO, ada rasuah politik (politik wang).
Isteri pemimpin UMNO berbomoh dan berdukun, dituduh puaka oleh adiknya sendiri. Dibuat video yang tak pernah dinafikan. Cakap bohong pun berlaku setiap hari.. Apa dia yang dibohongi? Mereka kata mereka pejuang melayu, tetapi sejak merdeka hingga sekarang, orang melayu dalam semua aspek sangat kronik dan semakin kritikal. Tun Mahadhir sewaktu bersara mengaku bahawa beliau gagal mengubah kaum Melayu. Mereka kata pembenteras rasuah, tetapi mereka sendiri merasuah untuk menang dalam pemilihan. Bohong ke tidak?
Ada Ketua Bahagian UMNO kutip anak-anak melayu di rumah-rumah KEDA masuk kolej jururawat swasta, janji semuanya percuma, atau paling kurang pun dapat pinjaman. Lepas tahun pertama, budak-budak tu balik seorang demi seorang kerana tak dapat bayar yuran, pinjaman tak dapat, bantuan UMNO pun tak dapat! Kolej nasihat mereka balik cari duit dulu! Mereka dobohongi pemimpin UMNO, walau nampak macam baik, bohong juga tu.. Mereka kini mengadu ke hulu ke hilir tentang pembohongan ‘mamak’ itu! Sayang sungguh nasib melayu, percaya sangat dengan janji bohong UMNO seorang itu!
Tapi depa tak pulun tolak dengan berdemo dan berbantah-bantah habis habisan dalam bab ini, berbanding babi, kenapa? Padahal babi tidak haram kepada bukan Islam, mereka suka pula memakannya. itu makanan depa. Menjadi tanggungjawan pemerintah berikan hak yang menjadi hak kepada rakyat…termasuk hak bukan Islam.
Di satu sudut mereka berpeluk, di satu sudut mereka bertikam! Pakatan jenis apa ini?
Kenapa dan ada apa di Sg Toh Pawang???
 
 
 
Sg Toh Pawang berada dalam kawasan Parlimen Jerai, tidak jauh dari Bedong dan Gurun. Disana ada banyak ladang kelapa sawit swasta. Salah satu ladang sawit itu diusahakan juga dengan ternakan babi, tetapi jauh ke dalam ladang, jauh dari pandangan dan pengetahuan orang ramai. Ada ratusan ekor babi di situ. Sejak bila diternak? Puluhan tahun juga. Ada lesen? Tak ada.
Kementerian Pertanian Malaysia (MOA) dalam bab babi telah membuat zon penternakan babi seluruh Semenanjung Malaysia. Kedah, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Pahang ialah zon bebas dari ternakan babi. Negeri2 ini tidak boleh menternak, tapi boleh mengguna. Sejak bila? Lama tapi tidak dikatahui.
Pada tahun 2007, BN di Kedah meluluskan satu tapak penternakan babi sistem moden di Bukit Selambau. Bila dibangkitkan dalam Sidang DUN, projek itu dibatalkan oleh kerajaan baru! Siapa yang batalkan? Kerajaan PR. Kenapa? Tiada keperluan! Siapa yang lulus? BN! Siapa yang bangkitkan? BN! Siapa yang bantah? BN! Siapa yang berbelit-belit? BN!
Apakah cara terbaik mendapatkan lokasi yang diluluskan membantai (sembelih) babi? Dapatkan nasihat dan pandangan jabatan teknikal seperti Jab. Alam Sekitar, Jab Pertanian, Jab Verterinar, selain pihak berkuasa tempatan, pejabat tanah, pejabat daerah dll. Siapa yang cadangkan tapak di Sg Toh Pawang? Jab Verterinar dan JAS! Apa syarat-syaratnya? Sangat ketat, antaranya zero discharge..tiada aliran keluar sama sekali. Di rawat dan guna semula.
Kenapa perlu ada rumah sembelih di Kedah? Kerana ada hampir 0.5 juta penduduknya boleh dan memang memakan haiwan itu. Kenapa Sg Toh Pawang? Kerana sesuai dari segi teknikalnya, seperti jauh dari orang ramai, tiada aliran air, dan sudah ada aktiviti ternak ratusan ekor babi yang tidak pun dibantah, di larang oleh JKKKP dan tidak diketahui orang!

Ternak babi dengan sembelih babi, aktiviti mana lebih meloyakan baunya atau melimpahkan lebih banyak najis?? Yang diternak – setiap hari hinggalah disembelih, yang disembelih – sekali itu saja, Kan??! MCA dan Gerakan, Marahlah pada UMNO!

 

:: Balik Semula ::

ADMIN – KedahLaNie TIME – 11:40 AM 2 Komen Anda

Malaysia 2 – 3 Manchester United

 

Tewas tapi membanggakan

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR


ZAQUAN diasak keras oleh pemain United pada aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.


PERSEMBAHAN bertenaga yang dipamerkan pemain negara semalam mendapat pujian Alex Ferguson.

 


 

Malaysia tidak perlu kecewa walaupun tewas 2-3 kepada Manchester United pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Kesebelasan utama negara perlu bangga kerana mereka berjaya menampilkan rentak yang bertenaga.

Memang kekalahan itu sudah dijangka jika mengambil kira reputasi kedua-dua pasukan.

Sebelum perlawanan bermula pun skuad kendalian K. Raja- gobal itu sudah hilang semangat tetapi ia tidak menjejaskan rentak permainan mereka.

Sebaik melangkah ke gelanggang perlawanan, wira bola sepak negara seolah-olah beraksi di tempat lawan.

Seluruh stadium dipenuhi warna merah dan hanya segelintir yang datang memakai warna jersi skuad negara.

Jika beginilah trend peminat tempatan, bola sepak negara tidak akan ke mana kerana sebahagian besar terlalu meng- agungkan pasukan luar daripada pasukan sendiri.

Walaupun menyedari keadaan tersebut anak didik Raja- gobal itu tetap berjuang dan berjaya menampilkan rentak yang menghiburkan.

Apa yang dibuktikan oleh barisan muda negara pada aksi menentang United itu seharusnya membuka mata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa skuad negara perlu didedahkan dengan pasukan-pasukan yang hebat.

Pada aksi semalam, United memperoleh gol kemenangan menerusi Michael Owen, pemain baru yang dilamar oleh Alex Ferguson baru-baru ini.

Ia merupakan gol pertama dan juga penampilan pertama Owen bersama United.

Begitupun, penyerang kebangsaan, Mohd. Amri Yahyah lebih mencuri tumpuan apabila berjaya menggegarkan gawang United sebanyak dua kali.

Aksi kedua-dua pasukan pada babak pertama agak menarik.

United lebih bersahaja tetapi gerakan lebih terancang, sementara skuad negara pula berhati-hati dengan gaya permainan pantas.

Begitpun, United terlebih dahulu melakukan percubaan menerusi Dimitar Berbatov pada minit kedua tetapi berjaya ditepis keluar penjaga gol Malay- sia, Farizal Marlias.

Malaysia pula melakukan percubaan tepat pertama mereka pada minit keenam menerusi Amri Yahyah, namun percubaannya terus ke dakapan penjaga gol United, Edwin van der Sar.

Gawang Malaysia hanya bertahan sehingga minit kelapan apabila Wayne Rooney berjaya menjaringkan gol pertama selepas menyambar bola muntah daripada Farizal ketika mahu menyelamatkan percubaan Berbatov.

Seminit kemudian, Rooney hampir menambah gol kedua peribadinya tetapi Farizal tangkas mengawal keadaan.

Pada minit ke-14, Amri sekali lagi melakukan percubaan tetapi van der Sar sekali lagi menjadi penghalang.

Pada minit ke-27, United memperoleh gol kedua dan kali ini menerusi jaringan Nani yang menyudahkan gerakan satu-dua dengan Rooney.

Walaupun ketinggalan dua gol, ia tidak melemahkan sema- ngat pemian negara.

Mereka terus memberi tentangan bagi memecah kebuntuan dan dua percubaan dari- pada Amri hampir menepati sasaran jika tidak diselamatkan oleh Jonny Evans.

Pada masa kecederaan babak pertama, Amri mengubah keadaan selepas menewaskan van der Sar menerusi percubaannya dari luar kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Biarpun mendahului 2-1, United memulakan babak kedua dengan memasukkan penjaga gol gantian, Ben Foster bagi menggantikan van der Sar.

Bagaimanapun, Foster pula melakukan kesilapan pada minit ke-52 apabila dia gagal menahan dengan kemas bola hantaran ke belakang oleh Darron Gibson dan ia disambar oleh Amri untuk gol kedua Malaysia untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Tersentak dengan dua gol Amri itu, Alex Ferguson melakukan empat pertukaran serentak pada minit ke-60 dan ia membuahkan hasil apabila Michael Owen menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-84 menerusi gerakan dengan Federico Macheda.

Walaupun tewas, tetapi skuad negara puas kerana tampil bergaya.

 



:: Balik Semula ::

ADMIN – KedahLaNie TIME – 11:09 AM 4 Komen Anda
Labels:

Cuba Teka Cuba Teki Teka-Teki Ini…Bila Mau Siap Daa..??

 

Cuba teka teki !

Ulasan dari insiden penemuan mayat Mendiang Teoh.

Ada yang kata, tunggulah polis buat siasatan. Siasatan ke atas kes pembunuhan A Kugan lagu mana? Mungkin ada yang akan kata, kes Kugan baru lagi. Bagaimana dengan siasatan kes pembunuhan Asy-Syahid Othman Talib?

Saya tidak akan lupa pembunuhan Othman di Felda Lubok Merbau dalam pilihan raya kecil Padang Terap pada tahun 1985. Saya terlibat sebagai petugas pilihan raya PAS ketika itu. Sebagai Ketua Pemuda Umno pada masa itu yang berucap kepada pengikutnya, Datuk Seri Najib Tun Razak pula dituduh sebagai dalang yang berucap mengapi-apikan kegilaan sehingga berlakunya pembunuhan di Lubok Merbau itu.

Dah 24 tahun dah, bagaimana sebenarnya siasatan polis terhadap pembunuhan Othman? Siapa bertanggungjawab dan siapa mengapi-apikan?

Itu ana pungut dari blog sahabat ana yang tarik beca tu.

Ada juga sahabat tambah lagi, Altantunya tu siapa dia, bila dia mati, kenapa penarik beca bawa kes kamus yang tulis perkataan tu?

Siapa punya zaman da dan kenapa banyak sangat perkara yang penuh teki teki berlaku ?
Kes kehilangan penuh mistri SI Subra, kes pohon biasiswa dirumah TPM dan berbagai lagi depa soal ana, manalah ana tau , ana bukan jaga depa. Tunggulah pihak berwajib siasat.

Ana jawab, wallahu aklam.

Nukilan – YB M.Dr Hayati (MP Pendang)

 

:: Balik Semula ::

ADMIN – KedahLaNie TIME

Leave a Reply