Presiden PAS diarak lima ribu penyokong, Umno Marang kucar-kacir

ImageMARANG, 24 Feb (Hrkh) – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ditentang oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Dato’ Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi kerusi Parlimen Marang.

Di kerusi Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, beliau ditentang oleh Ketua Pemuda Umno Bahagian Marang, Razali Idris.

Pengumuman dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya di Pejabat Daerah Marang sebentar tadi.

Bagi kerusi Dun Alur Limbat, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Mustafa Ali, yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu, ditentang Alias Abdullah.

Di Bukit Payung, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah ditentang calon BN oleh Zaidi Muda.

ImageManakala AJK PAS Kawasan Marang, Mohd Draman menjadi calon PAS di Dun Pengkalan Berangan ditentang oleh Yahya Khatib Mohamad.

Pengundian akan diadakan 8 Mac depan.

Sebelum itu, rombongan calon PAS diarak kira-kira 5 ribu penyokong yang berhimpun sejak 7.30 pagi di Markas Besar MTD Rhu Rendang di Kampung Kijing dekat sini.

Calon-calon BN diiringi sekitar 500 orang penyokong sahaja.

Parlimen Marang mempunyai 74,813 pengundi.

Pada PRU ke-11 tahun 2004, Ustaz Hadi yang menjadi Ahli Parlimen Marang Imagesejak tahun 1990, tewas kepada Dato’ Abdul Rahman Bakar dengan hanya 163 undi sahaja.

Kali ini, Rahman yang juga Ketua Umno Bahagian Marang diketepikan oleh Pengerusi Perhubungan Umno negeri Dato’ Seri Idris Jusoh.

Turut diketepikan dari senarai calon BN adalah Ketua Umno Bahagian Kuala Terenganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang (Hulu Terengganu) dan Dato’ Rosli Mat Hassan (Dungun).

Umno Marang kucar-kacir

Rahman ketika ditemui wartawan di pusat penamaan calon mengakui bahawa ImageUmno bahagian itu berada dalam kucar-kacir kerana beliau diketepikan sebagai calon BN.

Bagaimanapun beliau menafikan berlakunya perpecahan dalam bahagian.

Rahman mengakui sehingga kini ramai ahli dan penyokong Umno memprotes tindakan Idris mengetepikan beliau.

Menurutnya bantahan berlaku bukan sahaja di Marang tetapi di seluruh negeri.

Katanya, beliau akan cuba memujuk para penyokongnya untuk menghentikan Imagebantahan kerana bimbang ianya menjejaskan peluang calon BN di Marang.

Apa yang dibimbangkan katanya, ahli-ahli dan penyokong Umno seluruh negeri membuat ’silent protes’ terhadap calon-calon BN.

Beliau bagaimanapun berkata, walaupun proses memujuk ahli untuk tidak menentang keputusan menggugurkannya amat perlahan, namun yakin ianya akan dapat di atasi.

Sehingga kini difahamkan penyokong-penyokong melemparkan pelbagai kecaman terhadap Idris yang didakwa membohongi Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sehingga mengetepikan Rahman. – mks.

Negara Berkebajikan: Lemahnya Pimpinan BN Berfikir

Oleh Prof Lembah Kelang

Pelancaran secara rasmi manifesto PAS bertajuk Negara Berkebajikan pada hari Khamis 21 Februari adalah merupakan acara yang sangat penting dalam kalendar PAS. Isu yang dibentang juga adalah sangat menarik untuk dibincang dan dianalisa terutamanya oleh para pengkaji ekonomi konvensional.

Tentunya pandangan-pandangan yang diberikan oleh ‘pakar-pakar’ dan ahli politik BN sebelum daripada pelancaran rasmi manifesto pula adalah bersifat spekulatif dan serkap jarang yang rambang dan tidak berpaksikan kepada kenyataan sebenar. Akibatnya, hal ini menyerlahkan kebobrokan dan kepincangan pemikiran pimpinan tertinggi BN dan seterusnya dikongsi secara pukal oleh mereka yang bergelar pakar-pakar ekonomi yang akan saya nyatakan petikannya.

Supaya kita dapat memahami isu sebenar, maka reaksi yang diberikan oleh beberapa individu di dalam media massa seperti akhbar arus perdana dapatlah diringkaskan seperti berikut :

  • Penasihat Jawatankuasa Bertindak Pelaksanaan Negara (NITF), Datuk Zainal Aznam Yusoff berkata, tindakan mewujudkan ‘negara kebajikan’ akan menjadikan rakyat semakin malas dan tidak berani menghadapi risiko. Beliau seterusnya mempersoalkan : “Adakah ini bermaksud PAS akan membiayai perbelanjaan rakyat seumur hidup sehingga mereka tidak perlu mengeluarkan wang satu sen pun? ”

 

  • Pakar ekonomi dan perbankan Islam, Datuk Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani pula berkata, hasrat Pas menubuhkan ‘negara kebajikan’ dikhuatiri melumpuhkan daya saing negara. Beliau berpendapat, rakyat akan disogok dengan pelbagai bentuk elaun dan subsidi sehingga menyebabkan mereka hilang motivasi diri serta semangat keusahawanan. Menurutnya, Nabi Muhammad s.a.w sendiri seorang tokoh perniagaan yang giat mengembangkan ekonomi umat Islam, bukan bersandarkan kepada kebajikan semata-mata. Soal beliau : “Jangan sampai dikongkong oleh pemerintah sehingga daya saing kita semakin lumpuh’’

Manakala antara komen yang diberikan oleh pimpinan BN pula adalah :

  • Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran bahawa Malaysia boleh bankrap jika konsep ‘negara kebajikan’ yang ditawarkan PAS diterima dan dipraktikkan di negara ini. Seterunya beliau berhujah bahawa konsep negara berkebajikan PAS adalah : “seseorang yang tidak bekerja juga akan mendapat bayaran bulanan daripada kerajaan”.

 

  • Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, manifesto seperti itu datangnya daripada pihak yang tidak memahami mengenai pentadbiran dan kerajaan. Seterusnya beliau menyebut : “Sekiranya PAS sanggup mewujudkan sebuah negara kebajikan dengan menanggung 100 peratus kebajikan rakyat di negara ini, saya yakin (jika PAS menang) sepenggal sahaja mereka menjadi kerajaan, nauzubillah negara ini akan menjadi bankrap”.

Bukan tujuan saya menulis artikel ringkas ini untuk mematahkan empat pandangan dungu di atas satu persatu kerana penjelasan semasa pelancaran manifesto pada 21hb Februari lalu adalah begitu jelas. Bak kata pepatah “ sudah terang lagi bersuluh” dan hanya orang yang gelap pemikirannya sahaja yang gagal memahaminya. Sementelah pula sudah ramai penulis yang menghujahkan intipati Negara Berkebajikan.

Saya akan hanya mengkhususkan dalam membicarakan keadaan minda (state of mind) para pimpinan BN dan para ahli cerdik pandai yang berlegar di kaki para pimpinan BN. Perkara pertama yang terlintas difikiran saya ialah, betapa hujah haru-biru sedemikian tidak sepatutnya keluar dari mulut orang yang diberi tugas untuk memacu negara ke persada ‘glokal’ setelah Malaysia mencapai kemerdekaan 50 tahun yang lalu !.

Kalau orang yang mempunyai nama besar seperti Dato Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berfikiran cetek sedemikian, mana mungkin para kerabat pimpinan BN yang lain mempunyai pandangan yang lebih baik ? Sekiranya kita berlegar pada premis ini, maka saranan Dato Husam Musa supaya diadakan debat terbuka yang disiarkan secara langsung di dalam TV nampaknya akan berat sebelah kerana pimpinan BN nampaknya tidak akan mampu menongkah soalan-soalan yang bakal dikemukakan.

Teringat pula pengalaman saya belajar di Amerika dan United Kingdom (ya, dengan biasiswa kerajaan, tapi duitnya dari cukai rakyat juga !) saya dapat melihat dan mendengar perbincangan yang serius, perdebatan, soal jawab – semuanya di antara pimpinan tertinggi parti dengan pelbagai pihak seperti rakyat awam dan wartawan. Para pimpinan yang ingin bertanding akan memastikan mereka faham isu yang dipersoalkan, dan dari situlah akan melahirkan pimpinan yang lebih serius dan tidak hanya melelapkan mata dan memekakkan telinga apabila sesuatu isu itu dibincangkan.

Hujah keramat pimpinan BN ialah – bahawa rakyat belum bersedia untuk mendengar perbahasan seperti itu. Sekali lagi pimpinan BN memperbudakkan rakyat jelata. Saya rasa pimpinan BN akan lebih dihormati sekiranya mereka berterus terang bahawa mereka tidak bersedia berhujah secara terbuka untuk disaksikan oleh rakyat kerana sememangnya tidak mampu dan tohor daya berfikir.

Saya dapat membayangkan para pimpinan BN akan terkedu bisu dan seterusnya akan menuturkan frasa keramat mereka bahawa – “rakyat belum bersedia”, “BN jaga ketenteraman rakyat umum”, “pembangkang bankrap idea” dan sebagainya. Betullah pandangan orang bijak orang bahawa seorang yang lemah akalnya akan terserlahlah kelemahannya apabila ia mula bercakap. Oleh itu, jalan terbaik bagi pimpinan BN ialah berdiam diri, macam yang selalu ditunjukkan oleh Pak Lah !.

Pada saya, kecelaruan cara berfikir kaum bangsawan BN ini tidak ada kena mengena dengan kurikulum pengajian mereka di peringkat universiti, atau samada pengajian mereka mendapat akreditasi atau tidak, atau di universiti manakah mereka berada sebelum ini samada dalam negara atau luar negara. Ianya juga tidak ada kena mengena dengan ranking berapakah universiti mereka semasa belajar dahulu.

Saya berpendapat, keserabutan cara berfikir cerdik pandai BN ini adalah bermula dari kemurungan jiwa akibat tiadanya pengisian rohani yang kukuh, ditambah lagi oleh tamak halobanya mereka kepada kuasa dan wang berjuta menyebabkan kebenaran dilihat sebagai satu hakikat yang amat perit. Hasilnya, maka lahirlah pandangan karut-marut bahawa hanya BN sahaja yang boleh dan tahu memerintah !.

Banyak ketikanya pandangan yang celaru dari pimpinan BN ini jauh lemah intipatinya dari pandangan seorang rakyat jelata yang tidak bersekolah tinggi tetapi mempunyai jiwa yang celik dan mampu berfikir secara kritis. Akhirnya pimpinan BN ini menyebarkan dongengan kepada rakyat jelata bahawa hanya BN yang boleh memerintah negara, hinggakan Biro Tata Negara pun menjadikan dongengan ini sebagai modul ceramah serta perbincangan dalam kursus Biro Tatanegara.

Sebagai contohnya, cuba kita ambil satu sahaja dari beratus dongengan ‘kepandaian menguruskan wang negara’. Apabila dilihat dalam Laporan Ketua Audit Negara – Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Terengganu 2006 – Jadual 5 yang memperincikan bahawa Terimaan dari Dana Khas untuk tahun 2005 ialah RM 1.015 billion dan 2006 berjumlah RM 1.334 billion. Laporan Audit Negara menyebut bahawa terimaan dalam tahun 2006 adalah merangkumi 85.3% dari hasil keseluruhan kerajaan negeri Terengganu. Kemana perginya 85.3 % hasil kerajaan negeri ini ?.

Seterusnya laporan itu memperincikan bahawa dana berkenaan adalah untuk Akaun Amanah Dana Khas, Akaun Progam Penganjuran Monsoon Cup, Akaun Projek Pembangunan Pulau Duyung dan Akaun Projek Pembangunan Pulau Wan Man. Bayangkan, kerajaan yang ‘pandai menguruskan wang negeri ini’ membelanjakan 85.3 % sumber kewangan negeri untuk projek kosmetik, yang satu pun tidak ada hasil kepada rakyat jelata tetapi menjadi lombong emas kepada taukeh besar dari Kuala Lumpur.

Hasilnya, rakyat tempatan hanya menjadi pelayan (waiter) dan pekerja am rendah untuk Malam Gala Monsoon Cup, melayan pembesar dan taukeh dari Kuala Lumpur. Akhirnya, rakyat tempatan hanya melukut di tepi gantang, sedangkan gantang dipunyai oleh orang lain. Itulah ‘kepandaian’ kerajaan BN !.

Negara Berkebajikan: Tawaran PAS buat rakyat Malaysia


Oleh Ustaz Abdul Hadi Awang

Setiap kerajaan mempunyai falsafah pentadbiran dan pemerintahannya masing-masing. Ia menjadi asas kepada semua keputusan dan tindakan yang diambil. Kerajaan Malayia sekarang ini menggunakan falsafah Negara Pembangunan (Development State) yang meletakkan pembangunan untuk kecemerlangan fizikal sebagai keutamaan.

PAS menawarkan sebuah pemerintahan menggunakan falsafah Negara Berkebajikan yang mengutamakan pembangunan untuk kebajikan rakyat awam. Bagi Pilihanraya Umum ke 12, PAS memperteguhkan tawarannya kepada rakyat untuk bersama-sama bersatu dan berjuang menegakkan sebuah Negara Berkebajikan.

Konsep dan definisi

Negara Berkebajikan didefinisikan sebagai:

“Sebuah Negara yang mengutamakan kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai agenda utama pembangunan negara”. Negara Berkebajikan mementingkan pembangunan, tetapi matlamat nya ialah kesejahteraan rakyat kebanyakan.

Ciri-ciri Negara Berkebajikan

Negara Berkebajikan:

1) Tujuan utama pembangunan adalah bagi manfaat dan kebajikan rakyat awam

2) Kerajaan adalah “guardian” atau Penjaga (ibu-bapa) kepada rakyat

3) Penekanan kepada kecemerlangan moral dan nilai keinsanan (Ethic and human centric)

4) Kebendaan adalah modal, pembangunan insan adalah matlamat

5) Kesaksamaan asas di kalangan semua rakyat dipastikan, kecemerlangan individu di galakkan

6) Kebajikan rakyat adalah tanggungjawab negara

7) Rakyat sejahtera, negara makmur

Negara Berkebajikan PAS selaku “ibu-bapa” kepada rakyat tidak akan menganggap program kebajikan dan subisidi rakyat, yang tidak mempunyai pulangan keuntungan (dalam bentuk wang ringgit) sebagai satu bebanan atau kerugian, bahkan ia merupakan satu tanggungajawab. Kerajaan Umno-BN pula menganggap program kebajikan dan subsidi sebagai satu bebanan yang seboleh mungkin mahu dipertangungkan ke atas bahu rakyat.

Sejarah

Dari segi sejarah, model Negara Berkebajikan sebenar yang menjadi rujukan dan panduan PAS telah dilaksanakan di sepanjang peradaban manusia. Ia termasuklah pemerintahan Mesir dari seerah Nabi Yusuf a.s, kerajaan Nabi Sulaiman a.s, dan pemerintahan Rasulullah saw, sehingga pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz. Kesemua ini menjadi asas kepada Negara Berkebajikan yang diperjuangkan PAS.

Walaupun negara-negara Eropah seperti Jerman, Belanda, Perancis, Sweden, dan United Kingdom mengenengahkan Konsep “Welfare State” selepas Perang Dunia Ke-2, namun ianya hanya bersesuaian dengan sebahagian daripada konsep Negara Berkebajikan PAS.

Konsep Negara Pembangunan yang dibawa oleh UMNO/BN terlalu mengutamakan pembangunan dan kemasyhuran fizikal. Ini dapat disaksikan dengan projek-projek mega seperti Monsoon Cup, Masjid Kristal (bukan tempat ibadah tetapi untuk tarikan pelancong semata-mata), Pertandingan Formula 1, Pesta Philharmonic Malaysia, 4 jet peribadi pemimpin tertinggi, dan Kompleks Bunga Raya di KLIA. Ini adalah antara banyak projek mega kerajaan Umno-BN yang jelas tidak memberi manfaat secara langsung kepada rakyat kebanyakan.

Bagi Negara Berkebajikan PAS, bukannya imej negara tidak penting, tetapi kebajikan semua rakyat lebih diutamakan.

Tawaran PAS menjadikan Malaysia sebuah Negara Berkebajikan

Sebagai memenuhi agenda pemerintahan PAS untuk Malaysia Negara Berkebajikan , PAS menawarkan kepada semua lapisan rakyat Malaysia pelbagai program berkebajikan berkonsepkan perkongsian sumber dengan kaedah perkhidmatan rakyat.

Antaranya ialah:

1. Pendidikan percuma dari peringkat asas sehingga pengajian tinggi (penghapusan semua yuran pengajian)

2. Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional bagi setiap rakyat yang tidak mempunya perlindungan kesihatan majikan

3. Mengembalikan semula pemberian biasiswa seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan

4. Menurunkan harga petrol dan gas.

5. Merapatkan jurang agihan kekayaan antara golongan kaya-miskin

6. Melaksanakan akta gaji minima

7. Memperkenalkan cuti bersalin 90 hari dan cuti kebapaan 7 hari

Penegasan dan Gesaan

Berdasarkan fakta-fakta di atas, PAS dengan ini membuat gesaan dan rayuan kepada rakyat Malaysia agar memulakan perubahan daripada pemerintahan Umno yang mengutamakan pembangunan untuk kemegahan imej negara, kepada Pemerintahan PAS yang bercirikan Negara Berkebajikan yang mengutamakan pembangunan bagi kebajikan rakyat Malaysia keseluruhannya.

——-

DATO’ SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG ialah Presiden, Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Kerajaan sementara: Lim Kit Siang saman SPR

KUALA LUMPUR 4 Feb. – Penasihat DAP, Lim Kit Siang memfailkan saman pemula terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Malaysia bagi menuntut perisytiharan agar kerajaan sementara (caretaker government) mengambilalih kerajaan dalam tempoh antara tarikh pembubaran Parlimen sehingga penubuhan Kabinet baru selepas pilihan raya.

Kit Siang turut menuntut perisytiharan bahawa dalam tempoh tersebut, kerajaan sementara itu hanya melaksanakan pentadbiran harian kerajaan tanpa apa-apa kuasa berhubung dasar kebangsaan, peruntukan kewangan awam atau penggunaan kemudahan-kemudahan awam semasa kempen pilihan raya umum yang akan datang.

Saman pemula tersebut difailkan oleh Ketua Pembangkang itu melalui firma guaman, Tetuan Karpal Singh & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Beliau selaku plaintif menamakan SPR defendan pertama dan kerajaan Malaysia defendan kedua.

Menurut peguam Karpal Singh, beliau juga memfailkan surat perakuan segera agar kes itu dapat didengar oleh Mahkamah Tinggi di sini secepat mungkin.

Kit Siang turut hadir bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mengikut afidavit yang difailkan bagi menyokong saman pemula itu, Kit Siang menyatakan, surat balasan Setiausaha SPR kepadanya pada 17 Januari lalu menyatakan bahawa kerangka undang-undang pilihan raya termasuk Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan penubuhan kerajaan sementara ini.

Berikutan itu, menurut setiausaha SPR apabila pembubaran Parlimen berlaku, maka kerajaan yang memerintah sebelum pembubaran itu akan terus menerajui sehingga sebuah kerajaan baru ditubuhkan.

Kit Siang sebaliknya menyatakan bahawa selepas Parlimen dibubarkan, mengikut skim dan semangat Artikel-Artikel 40(1), 43(3) dan 55(3) Perlembagaan Persekutuan memerlukan satu kerajaan sementara mengambilalih kerajaan dalam tempoh pembubaran tersebut.

Katanya, kerajaan sementara yang hanya berfungsi dalam skop pentadbiran harian bertujuan memastikan tiada apa-apa penyalahgunaan kuasa atau wang dan kemudahan-kemudahan oleh Kabinet bagi kepentingan Barisan Nasional semasa kempen menjelang pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Kit Siang menggesa supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak bertindak membubarkan Parlimen dan sekali gus mengumumkan kempen pilihan raya ke-12 pada musim perayaan Tahun Baru Cina.

Kit Siang dalam kenyataan akhbar yang diedarkan kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, mengharapkan agar Perdana Menteri menghormati sambutan perayaan itu yang bermula pada Khamis ini.

”Ini kerana pelbagai tarikh telah disebarkan mengenai pembubaran Parlimen iaitu dari hari ketujuh sambutan Tahun Baru Cina hinggalah kepada hari Chap Goh Mei,” katanya.

PAS tanding 60 kerusi parlimen

Oleh Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Hrkh) – Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan PAS akan bertanding 60 kerusi parlimen pada pilihan raya umum akan datang dan menjelaskan rundingan pembahagian kerusi di antara parti KeADILan di seluruh negara juga sudah selesai.

Beliau menjelaskan jumlah kerusi yang dipertandingkan itu mestilah sesuatu yang praktikal dan paling penting ialah objektif keadilan kepada semua lapisan masyarakat tercapai.

“Alhamdulillah pembahagian kerusi semua selesai termasuk di Kelantan dan seluruh negara,” katanya pada sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS sebentar tadi.

Turut hadir sama di sidang media itu Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar.

Sidang media itu diadakan sejurus selepas satu pertemuan tertutup yang diadakan di antara Ustaz Hadi dan Anwar selama hampir dua jam bagi membincangkan hal ehwal pilihan raya dan manifesto bersama.

“Macam biasa, berunding berkaitan pilihan raya dan manifesto. Alhamdulillah, persediaan lebih 99 peratus untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” kata Ustaz Hadi menjelaskan tentang pertemuan itu.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Setiausaha Agung PAS, Dato’ Kamarudin Jaffar; Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ustaz Ahmad Awang; Bendahari Agung PAS, Dr Hatta Ramli; Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub; Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Nawawi dan Dato’ Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman.

Mengiringi Anwar dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Naib Presiden KeADILan, Mustafa Kamil Ayub.

Sementara itu Anwar turut menjelaskan bahawa KeADIlan secara asas telah sepakat dengan PAS berhubung dengan manisfesto yang bakal ditawarkan kepada rakyat.

“KeADILan dan PAS sepakat dengan manifesto bersama dan akan mengumumkan tawaran bersama kepada rakyat dalam tempoh terdekat ini,” katanya. – mks.

%d bloggers like this: