Perutusan Ulangtahun Kemerdekaan ke-51

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Sat | Aug 30, 08 | 7:53:59 am MYT

Alhamdulillah negara kita Malaysia akan merayakan ulangtahun kemerdekaannya yang ke-51 pada 31 Ogos 2008 ini.

Penambahan usia negara kita ini seharusnya tidak melupakan kita kepada jasa dan pengorbanan mereka yang terdahulu yang telah bertungkus-lumus berkorban dan berjuang bagi memerdekakan tanah air yang tercinta ini dari belenggu penjajah.

Menurut lipatan sejarah PAS sendiri telah terlibat dalam menyumbang terhadap kemerdekaan negara kita sejak dari tarikh keramat penubuhannya pada tahun 1951, iaitu warisan dari perjuangan Hizbul Muslimin yang diharamkan British pada tahun 1948.

Malah tujuan penubuhan PAS itu sendiri adalah bagi memenuhi tuntutan melepaskan negara ini dari sebarang rupa dan bentuk penjajahan oleh kuasa bukan Islam sama ada dalam bentuk politik, ekonomi, sosial atau kebudayaan.

Kerana itu PAS telah terlibat secara aktif bersama parti-parti lain ketika itu bagi menuntut penjajah British untuk mengadakan pilihan raya umum sehingga terzahirnya pilihan raya umum persekutuan pada tahun 1955 dimana PAS telah mengambil bahagian dan memenangi satu kerusi.

Di ambang kemerdekaan ketika itu PAS juga turut mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Reid bagi menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

Kerana itu PAS turut berbangga merayakan ulangtahun kemerdekaan ini sehinggakan perlembagaan PAS fasal 5(2) menyebut bahawa tujuan perjuangan PAS termasuklah mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Sepanjang 51 tahun usia kemerdekaan negara ini PAS telah terus gigih berjuang jatuh dan bangun mengisi kemerdekaan ini dengan Islam yang merupakan prinsip dan dasar perjuangannya.

PAS telah menyumbang dalam pembangunan negara melalui wakil-wakil rakyatnya serta kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpinnya disamping yang ia turut serta terlibat di dalamnya.

Saya yakin dan percaya berteraskan dasar perjuangannya itu PAS akan terus berperanan di dalam negara Malaysia yang Merdeka dan berbilang kaum ini sehingga lahir di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang adil dan saksama yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dengan peraturan dan hukum yang diredhai Allah SWT.

Politik Islam yang luhur yang dibawa oleh PAS akan terus relevan kerana ianya keperluan manusia secara fitrah dan menepati obejektif peranan manusia yang dijadikan oleh Tuhan pencipta alam ini. Allah swt telah menetapkan beberapa prinsip yang menjadi landasan yang wajib ditaati oleh hamba ciptaanNya secara menyeluruh. Prinsip ini terkandung dalam surah an Nisa ayat ke 58-59:

“Sesungguhnya Allah memerintah supaya kamu menunaikan amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum di kalangan manusia hendaklah melaksanakan hukum itu dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat . Wahai orang-orang yamng beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan ulil amri (orang-orang yang mengendalikan urusan yang terdiri daripada pemimpin dan ulamak). maka jika sekiranya kamu bertelingkah dalam apa-apa perkara, hendaklah kamu kembalikan penyelesaiannya kepada Allah (al Quran) dan Rasul (as Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Itulah sebaik-baik dan lebih elok penyelesaiannya.”

Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-51, “Perpaduan teras kejayaan” dengan izin Allah SWT.

Presiden PAS_

Advertisements

Jangan jadikan Kelab Penyokong PAS sebagai ‘rumah kosong’

Anis Nazri
Sat | Aug 16, 08 | 12:32:07 pm MYT

IPOH, 16 Ogos (Hrkh) – Dalam memastikan PAS terus menjadi model Islam terbaik dalam pentadbiran, PAS Pusat perlu melihat kembali peranan Kelab Penyokong PAS.

Perwakilan Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad, berkata sokongan bukan Islam pada pilihan raya umum lalu amat dihargai dan wajib bagi PAS menyantuni mereka.

Justeru, beliau menimbulkan persoalan mengenai status kelab tersebut bagi memastikan gerak kerja kelab itu berterusan dalam menarik sokongan bukan Islam.

“Adakah kelab ini sudah diorganisasikan agar gerak kerjanya akan lebih tersusun dalam memastikan sokongan bukan Islam pada kita? Kelab ini dilihat seperti rumah kosong tanpa bilik, bilik air, hanya terkepung di dalamnya,” kata beliau ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, pagi ini.

Tambah beliau, adakah cukup dengan hanya sehelai t-shirt dan sekeping borang untuk memastikan mereka berterusan memberi kepercayaan kepada PAS.

Dalam pada itu, Ustaz Musoddak, turut menyentuh soal peranan PAS, di negeri-negeri Pakatan Rakyat, yang disifatkan seolah-olah dipinggirkan khususnya di Selangor dan Pulau Pinang.

“PAS Kedah mengucapkan terima kasih kepada KeADILan dan DAP kerana tidak meminta apa yang sepatutnya, tetapi jangan pula tidak beri apa yang sewajarnya,” kata beliau.

Justeru, beliau mengalu-alukan penubuhan satu struktur Pakatan Rakyat yang terkandung dalam ucapan dasar tersebut dan perlu dikendalikan PAS.- (tmj)_

PAS perlu perkasa hubungan dengan KeADILan – Perwakilan

Harakahdaily
Sat | Aug 16, 08 | 10:02:39 am MYT

IPOH, 16 Ogos (Hrkh) – PAS perlu perkasakan lagi Pakatan Rakyat sebagai usaha untuk memantapkan lagi hubungan yang sudah terjalin erat sekarang.

Perwakilan PAS Pahang, Dr Hamzah Jaafar berkata, PAS perlu menggunakan pendekatan dakwah dalam hubungan dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan bukan mudah cepat menghukum.

“Ini kerana pendekatan dakwah lebih lembut berbanding pendekatan hukum dan politik. Menggunakan pendekatan dakwah lebih dekat dengan kaedah psikologi.

“Ini kerana pendekatan hukum orang akan takut dan tidak mahu mendekati PAS. Kita jangan mudah bercakap itu tak boleh, ini tak boleh,” katanya ketika membahas ucapan dasar presiden pada muktamar ke-54 yang masuk hari kedua hari ini.

Muktamar hari ini bermula jam 8.40 pagi tadi yang dikendalikan Timbalan Pengerusi Tetap, Hussin Ismail.

Hamzah berkata, beliau lebih yakin menggunakan pendekatan dakwah kerana ia lebih bersifat harmonis.

Kata beliau hubungan dengan KeADILan dalam Pakatan Rakyat seumpama masalah rumah tangga suami isteri yang memerlukan semangat kasih sayang di antara satu sama lain.

“Si suami hendaklah selalu bercakap kepada isteri I love you. Perwakilan sebagai suami apabila balik hendaklah beritahu I love you kepada isterinya.

“Ini tentunya menyebabkan orang perempuan cukup suka. Begitu jugalah dengan hubungan dengan KeADILan dalam Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, sebelum ini kelihatan suasana sedikit kelam kabut kerana pemimpin lambat membuat keputusan dengan membiarkan isu yang berlaku itu berterusan.

Menurutnya juga dalam hubungan dengan KeADILan perlu ada siapa sebenarnya yang menjadi ketua seperti mana yang ditetapkan agama Islam.

Beliau juga berharap pemimpin tidak perlu bercakap isu tertentu hanya sebagai pandangan peribadi semata-mata kerana boleh menggelirukan ahli di peringkat bawahan.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan berkata, asas politik perpaduan perlu bagi membentuk perpaduan dengan semua pihak.

“Ini boleh dilakukan dengan gerak kerja kemasyarakatan. Kita perlu mencari kawan dalam musuh dan perlu kepada muqabalah dengan semua pihak dan bukan kumpulan tertentu sahaja,” katanya. – mj_

Ucaptema Ketua Pemuda PAS Pusat


Ucaptema Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, YB Sallahuddin Ayub, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan sempena dengan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat Kali Ke-49 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak. Yang bertemakan Memperteguh Kemenangan

PERTEGUH KEMENANGAN

UCAPAN TEMA
MUKTAMAR TAHUNAN DEWAN PEMUDA PAS PUSAT KE-49
YB SALAHUDDIN HAJI AYUB
(KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT)

Yang Mulia Tuan Pengerusi Tetap,
YB Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS,
Yang Berbahagian Wakil-wakil Jawatankuasa Kerja PAS Pusat,
Yang Dikasihi Saudara Timbalan dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat,
Yang Dikasihi Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat,
Yang Dikasihi Ketua-ketua Dewan Pemuda PAS Negeri,
Yang Diraikan Pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat,
Yang Diraikan Para Tetamu Kehormat dan Diplomat Asing,
Yang Diraikan Wakil-wakil Gerakan Islam Luar Negeri,
Yang Diraikan Pimpinan Mahasiswa,
Yang dihormati Para Perwakilan dari seuruh negara, dan
Para Pemerhati serta semua hadirin yang dihormati sekalian;

Assalamualaikum waramatullahrt wabarakatuhbt

Allah SWT telah berfirman,

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi, nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan dan mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

Alhamdulillah, kita memanjatkan rasa syukur yang setinggi-tingginya kerana pada hari ini kita dapat berkumpul semula dalam sidang Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat kali yang ke-49 di Stadium Indera Mulia, Ipoh ini. Kita tidak pernah menyangka bahawa stadium yang begini besar akan menjadi gelanggang untuk kita bermuhasabah pada tahun ini. Salam dan selawat juga kita kirimkan buat Nabi Besar Muhammad SAW di atas jasa dan usahanya, nikmat iman dan Islam dapat kita hirup pada hari ini. Dan beradanya kita di sini pada hari ini semata-mata kerana kesanggupan kita menjadi mata rantai yang meneruskan gagasan yang dibawa oleh Baginda semenjak 15 abad yang lalu.

Adalah amat bertuah sekiranya perhimpunan tahunan kita yang diadakan di stadium yang besar, di kota negeri yang diperintah oleh pakatan kita ini, dapat dimanfaatkan untuk kita bermuhasabah, bertukar fikiran, memberikan kritikan yang membina, melontarkan cadangan yang konkrit, membangunkan idea-idea berwawasan dan juga membuat teguran-teguran di atas ketelanjuran dalam kita menjana perjuangan. Dengan anugerah kekuasaan politik bersama Pakatan Rakyat (PR) di lima buah negeri, ia sekali gus mencabar minda kita supaya beranjak daripada berfikiran sebagai pembangkang kepada fikiran negarawan yang melaksanakan amanah yang dibebankan oleh Allah SWT. Ini bermakna, muktamar pada tahun ini memerlukan kematangan dalam kita memperkatakan apa sahaja kerana kita bukan sekadar menjadi fokus media, tetapi rakyat di luar sana sedang memerhatikan potensi kita untuk menjadi galang ganti kepada kereputan Umno/BN.

Saya mengajak seluruh pimpinan supaya berlapang dada dengan teguran-teguran dan kritikan yang akan bergema sepanjang muktamar ini, kerana saya penuh percaya tidak ada perwakilan yang menegur kerana cemburu atau dengki, melainkan kerana keikhlasan mereka ingin melihat gerakan Islam PAS ini bangun dan berdiri untuk memenuhi aspirasi mengejar keredhaan Allah SWT. Ahli-ahli juga, dalam membuat teguran dan kritikan, gunakanlah cara yang paling berhikmah dan supaya pandangan saudara semua diterima tanpa ada yang terluka. Saya memperakui bahawa muktamar ini adalah medan terbaik untuk kita bermuhasabah dan menjadikan ia satu forum tarbiyah operasional dan pemikiran. Marilah sama-sama kita manfaatkan muktamar ini untuk membolehkan Dewan Pemuda PAS terus melangkah gagah ke arena jihad.

55 TAHUN DEWAN PEMUDA PAS

Para Muktamirin sekalian,

Allah SWT berfirman:

”Wahai orang-orang yang beriman!, Mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkanmu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama dengan hartabenda dan diri kamu; yang demikian. itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunikan dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; serta ditempatkan kamu di tempat- tempat tinggal yang baik dalam yurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar. kan itu
(Surah As-Saffhof: Ayat 10-13)

Kita tidak pernah merancang supaya muktamar kita pada tahun ini dikembalikan ke negeri di mana Dewan Pemuda PAS dilahirkan. Tetapi Allah SWT mentakdirkan bahawa kita akan menyambut ulang tahun ke-55 di negeri Perak Darul Ridzuan. Pada 25 Ogos 1953, di Madrasah al-Ulum as-Syar’iyyah, Batu 20, Bagan Datoh, satu Kongres Pemuda Islam telah dianjurkan oleh PAS yang dihadiri oleh pemuda-pemuda Islam dari seluruh pelusuk negara, dan kongres ini berjaya menubuhkan Dewan Pemuda PAS. Hari ini, kurang 12 hari daripada ulang tahun kita ke-55, kita kembali semula ke bumi bertuah ini untuk memperbaharui tekad dan meneruskan idealisme perjuangan kita dalam menegakkan Islam di negara ini.

Sepanjang tempoh 55 tahun ini kita telah melalui pelbagai ranjau dan cabaran dalam perjuangan. Kita pernah bangun, bangkit dan berada di puncak kejayaan, kita juga pernah rebah, jatuh dan tersungkur dalam meneroka perjuangan. Tetapi tersungkur kita makan pasir, terlentang kita minum embun, patah sayap kita bertongkatkan paruh, namun mengalah sama sekali tidak. Kita mewarisi jiwa dan perjuangan kepemudaan yang dirintis oleh tokoh-tokoh yang dahulunya mereka bangkit menyatakan kebenaran dan menolak kezaliman. Allah SWT telah merakamkan bagaimana pemuda Ashabul Kahfi yang mempertahankan iman dan kebenaran, sanggup menyatakan keyakinannya di hadapan pemerintah yang menjuarai kezaliman. Firman Allah SWT,

situ idengan hidayah t(dengan kesabaran dan keberanian) semasa bangun (menegaskan tauhid yang menciptakan akan menyembah yang lain daripadanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna
(Surah Al-Kahfi: Ayat 13-14)

Kita juga mengetahui bagaimana pemuda Ashabul Ukhdud sanggup menggadaikan kepentingan dunia, bahkan nyawanya semata-mata kerana mahu orang lain mengimani ketuhanan Allah SWT. Dan akhirnya orang-orang yang dibakar dalam parit api ini diisytiharkan oleh Allah SWT sebagai,

”Itulah kemenangan yang besar”.
(Surah Al-Buruj: Ayat 11)

Allah SWT telah menggariskan satu panduan yang amat bermakna kepada kita pemuda-pemuda yang beriman bahawa orang yang berusaha untuk memastikan hanya Allah SWT sahaja yang berhak disembah, kemudian mereka berusaha melaksanakan syariat Allah SWT serta membina sistem sosial dan kemasyarakatan berasaskan akhlak Islam, jika mereka gagal memperolehi sebarang habuan dunia, tetapi mereka mendapat kemenangan terbesar di sisi Allah SWT. Kita hanya ada dua pilihan dalam perjuangan, sama ada menang atau syahid! Tetapi apalah ertinya kita memperoleh kemenangan di dunia tetapi gagal memastikan kita mendapat keredhaan Allah SWT. Kejayaan kita memenangi kerusi yang banyak atau memperoleh majoriti yang tinggi dalam pilihan raya, tidak mempunyai nilai di sisi Allah SWT jika kita gagal mempertahankan dasar aqidah kita, sekali gus kita mengabaikan tujuan sebenar kita untuk menegakkan di dalam negara ini ”sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah” .

Kita tentu berasa hairan yang amat sangat apabila Allah SWT memproklamasikan bahawa orang-orang yang mati dibakar dalam tragedi ’parit api’ itu sebagai mencapai kemenangan yang besar, kerana kita sering berfikir bahawa kemenangan yang besar itu ialah kita mendapat habuan kekuasaan dan kekayaan di dunia. Sebenarnya, mereka dianggap ’menang besar’ oleh Allah SWT kerana mereka yang berjaya mempertahankan iman daripada godaan kuasa dan harta dunia. Marilah kita renungkan pesanan Allah SWT kepada kita,

”Wahai orang-orang beriman!, Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), siapa yang berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi”.
(Surah al-Munafiqun: Ayat 9)

Marilah kita memperkukuhkan semula tekad perjuangan kita ketika sedang berada di puncak kejayaan ini. Dan sempena ulang tahun ke-55 perjuangan kita, marilah kita membuat koreksi diri demi memastikan perjuangan kita sentiasa berada pada landasan yang betul, dan ayuh kita perteguhkan perjuangan ini menuju matlamat mardhatillah. Saya mengajak para muktamirin sekalian supaya tidak leka dengan limpahan nikmat Allah SWT, kerana saya bimbang jika kita alpa, nikmat ini akan bertukar menjadi bala.

PERTEGUH KEMENANGAN RAKYAT

Para Muktamirin yang mulia,

Kita bermuktamar pada malam ini ketika politik negara sedang bergolak. Selepas pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini, terdedahlah pekung BN bahawa mereka sedang berada dalam situasi serba tak kena. Umno sebagai tunjang BN sedang menghadapi kereputan yang parah. Keruntuhan akhlak pemimpin mereka merebak ke mana-mana termasuk budaya rasuah dan politik wangnya. Kini mereka sedang berhadapan pula dengan krisis ketidakpercayaan kepada presiden dan kepemimpinan mereka sendiri. Kemahuan ahli-ahli Umno untuk keluar daripada kepompong feudal dan demokrasi terpimpin telah dilahirkan melalui pencalonan beberapa tokoh lain untuk menggantikan presiden sedia ada. Kini, political struggle dalam Umno sudah hampir ke puncak dan sebagai langkah berjaga-jaga beberapa peraturan tidak demokratik diwujudkan termasuk menghalang dua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan.

Dua lagi komponen utama BN – MCA dan MIC – juga mengalami komplikasi yang serupa. Ketika dalaman MCA sedang mencari-cari siapakah presiden baru yang akan dibebankan untuk memulihkan semula maruah parti itu, ahli-ahli MIC berterusan mendesak supaya presidennya digantikan dengan tokoh yang baru. Pemecatan Ketua Pemuda MIC memperlihatkan adanya gerakan untuk mempertahankan status quo secara tidak demokratik, sedangkan kebimbangan ahli-ahli MCA terhadap peranan gangstar untuk menentukan pucuk pimpinan parti itu terus wujud. Parti Gerakan pula semakin hilang relevannya, sedangkan SAPP secara terang-terangan memberikan undi tidak percaya kepada kepemimpinan Pengerusi BN. Pemimpin BN sendiri sedar bahawa tahap kepercayaan parti komponen mereka dari Sabah dan Sarawak amat longgar, bahkan di kalangan pimpinan kanan MCA, MIC dan Gerakan sudah mula meninggalkan pakatan BN. Sudah tergambar di kepala rakyat bahawa BN akan menjadi ’dinasor politik’ dalam masa terdekat.

Kita bersyukur kepada Allah di atas perkembangan ini. Tetapi perkembangan yang sedang berlaku dalam BN inilah yang mengakibatkan permainan politik licik dan kotor mereka. PAS dijadikan mangsa dalam isu muzakarah dan muqabalah dengan tujuan supaya PAS tersingkir daripada arus perdana politik negara. Harapan mereka supaya keyakinan rakyat terhadap PAS luntur dan kepercayaan rakan-rakan Pakatan Rakyat (PR) juga mengendur. Pimpinan PAS harus bijak menangani pergolakan ini supaya PAS terus relevan di hati rakyat. Dewan Pemuda PAS mengalu-alukan apa sahaja bentuk akomodasi dengan mana-mana pihak untuk kebaikan agama, bangsa dan negara, tetapi kita sekali-kali tidak akan bertolak ansur sekiranya politik akomodatif ini bertujuan untuk mewujudkan kerjasama politik atau perkongsian kuasa antara PAS dengan Umno/BN. Kita mahu PR diperkukuhkan supaya aspirasi rakyat untuk memiliki sebuah negara yang adil, telus dan berkebajikan dapat kita jelmakan. Janganlah yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran!

Saya mengajak seluruh ahli dan kepemimpinan PAS supaya mempelajari pengalaman Jaafar bin Abi Talib di Habsyah dan Rubaie bin Amir di Parsi ketika membawa isi politik dan dakwah. Sebagai diplomat yang pintar, mereka bukan sahaja tidak menggadai dasar perjuangan dalam mengembangkan misi Islam, tetapi langsung tidak tergoda oleh tawaran-tawaran keduniaan yang disogokkan. Inilah contoh terbaik yang harus kita jadikan panduan dalam kita mewakili kepentingan Islam ketika berdialog dengan mana-mana pihak supaya kepentingan kita terjamin dan jerat musuh tidak mengena. Sesiapa yang bertindak bagi pihak PAS dalam misi dakwah dan politik seperi ini hendaklah mestilah mengutamakan kepentingan Islam, bukannya kepentingan peribadi. Tetapi saya percaya bahawa pimpinan PAS telah melakukan yang terbaik untuk kepentingan jamaah, dan kerana itu saya menyeru ahli-ahli PAS supaya terus memberikan wala’ dan thiqah mereka tanpa berbelah-bahagi. Yakinlah, hanya dengan kepercayaan yang penuh daripada ahli-ahli dan kejujuran pimpinan akan dapat memperteguh kemenangan ini.

Usaha-usaha memperteguhkan kemenangan ini harus diperluaskan dengan kerjasama lebih erat di kalangan lima buah negeri yang kita kuasai, khususnya dalam soal pentadbiran dan ekonomi. Saya mencadangkan supaya negeri-negeri ini mewujudkan koridor kuasa PR bagi memperteguh urus tadbir kerajaan dan pengurusan ekonomi. Antara kekuatan yang dijamin oleh Perlembagaan untuk negeri ialah soal tanah dan agama yang mesti digemblengkan secara maksimum. Hasil bumi yang kaya ini mesti dimanfaatkan secara terancang untuk kebaikan besama. Jaringan kerjasama ekonomi dan persefahaman politik mesti dibuat dengan segera. Saya menggesa supaya sebuah Jawatankuasa Pemandu PR di peringkat pusat diwujudkan supaya dasar-dasar kerajaan PR dapat diselaraskan, agihan sumber dan rancangan pembangunan bersama juga dapat diaturkan sehingga kita dapat menangani sekatan politik dan ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan Pusat ke atas lima buah negeri ini. Jawatankuasa Pemandu ini perlu berperanan agar lima buah negeri PR ini menjadi satu ’Persekutuan’ yang saling bahu-membahu dalam mengekalkan keyakinan dan kepuasan rakyat.

Sebagai parti pemerintah di beberapa buah negeri, PAS yang berpengalaman memerintah semenjak 1990 bersedia berkongsi pengalaman ini dengan rakan-rakan PR. Selepas mencapai kemenangan ini, hubungan rakan-rakan PR mesti diperkukuhkan. Kita mesti menghormati dasar dan tujuan perjuangan rakan-rakan kita, tetapi dalam masa yang sama mereka juga harus menghormati kita. Jika kita saling mempersoalkan dasar orang lain, maka selagi itu pakatan ini tidak akan kukuh. Islam yang didukung leh PAS tidak pernah menzalimi atau menganiayai sesiapa, termasuk bukan Islam. Bahkan, Islamlah satu-satu sistem pemerintahan yang telah terbukti memberikan keadilan kepada semua manusia seperti yang terakam dalam sejarah Khulafah ur-Rasyidin, Khalifah Omar Abdul Aziz, Kesultanan Cardova dan lain-lain.

Islam, socialistic inclination dan keadilan untuk semua

Kepemimpinan Pemuda PR perlu memainkan peranan penting ke arah menganjak paradigma pemikiran rakyat untuk memahami dasar perjuangan masing-masing dan mencipta satu era baru yang lebih kondusif untuk kita bekalkan kepada generasi akan datang. PAS berdiri tegak dan teguh sehingga hari ini kerana perjuangan Islam yang dilihat dan diyakini konsisten, DAP terus relevan di persada politik kerana nilai dan prinsip socialistic inclination yang dipertahankan manakala PKR terus mara dengan slogan keadilan untuk semua. Saya mengajak pimpinan Pemuda PR melangkah ke hadapan dengan nilai sejahat perjuangan ini serta membuktikan kepada Malaysia dan dunia bahawa kita mampu merealisasikan citi-cita perjuangan kita dengan penuh tanggungjawab.

Saya tidak rela untuk terus terperangkap dan terjerumus dalam jebak dan konflik permusuhan yang tak kunjung sudah yang mengheret kita Pemuda PR untuk terus bersangka buruk dan membiarkan minda rakyat terus dibelenggu oleh momokan dan persepsi PAS dengan Islam yang ganas serta DAP dengan sikap chauvanisnya atau parti perkauman Cinanya. Telah sampai masanya kita Pemuda PR memulakan era baru dengan menamatkan konflik ini secepat mungkin. Segala konflik di antara kita tidak akan dapat diselesaikan dengan hanya mengambil perhitungan politik puak dan perkauman, sentiman untung rugi pilihan raya semata-mata tetapi cara yang lebih bijak dan bertanggungjawab perlu diterokai. Gelanggang ilmu, persada pengetahuan dan pentas diskusi intelektual mesti disuburkan untuk kita mencambahkan politik berasaskan ilmu (k-politic) bagi kita mewajahkan semula perjuangan PR yang lebih menyakinkan. Politicians think for the next election, statesman thinks for the next generation.

Dunia barat yang selama ini begitu memusuhi Islam dan penganutnya telah mula membuka jendela perbincangan melalui dialog peradaban, dialog Islam – Kristian yang diterokai oleh para sarjana dan cendikiawan kedua belah pihak. Tokoh-tokoh seperti Ahmad Dedat, Sheikh Yusuf Qardhawi, Tariq Ramadhan, Syed Mohamad Khatami, John Esposito, John Voll dan lain-lain telah memainkan peranan mereka dalam konteks ini. Saya sangat berminat di atas usaha-usaha seperti ini disuburkan dan dibudayakan dalam pemikiran generasi muda negara kita. Dewan Pemuda PAS akan menginstituisikan Siri Syarahan Perdana Fadzil Nor (Fadzil Noor’s Lecture Series) sebagai syarahan tahunan Dewan Pemuda PAS bagi mempelopori pemikiran intelektual dalam membantu mewujudkan persefahaman budaya, menyelesaikan konflik dan menyuburkan ruang engagement di kalangan masyarakat majmuk dan persoalan global dewasa ini.

Saya yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia abad ke-21 ini tidaklah begitu jahil untuk menerima dasar perjuangan parti-parti dalam PR. Yang penting adalah iltizam dan keazaman kita Pemuda PR untuk memacu dan memperteguh peranan PR khususnya di negeri-negeri yang rakyat telah memberikan mandat kekuasaan kepada kita. Sekali lagi saya mewakili Dewan Pemuda PAS mengajak rakan-rakan sejawat saya dalam Pemuda PR untuk bersama-sama bahu-membahu bagi kita menganjak paradigma ini yang Insya Allah usaha yang murni ini akan menjadi legasi yang mampu kita tinggalkan pada generasi akan datang.

PILIHAN RAYA 2008: UJIAN KEMENANGAN

Para hadirin dan hadirat yang mulia,

Kita sudah biasa menjadi pembangkang, kalah dan kalah dalam pilihan raya. Kita juga sudah sinonim dengan kesulitan, kesukaran, kepayahan dan apa jua bentuk cabaran. Tetapi kita belum biasa dengan kemenangan, kehormatan dan kekuasaan. Kita juga belum betah dengan kesenangan, kemewahan dan kekayaan. Tetapi Allah SWT telah mengizinkan kita mengecapi kemenangan yang kecil dalam pilihan raya 2008. Kita bersyukur apabila Allah SWT menganugerahkan kita bersama rakan-rakan dalam PR untuk memerintah negeri Kelantan, Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang. Tetapi kita jangan terlalu bergembira kerana kemenangan ini adalah satu ujian daripada Allah SWT.

Saya bukanlah seorang yang terlalu pesimis, yang terlalu takut dengan cabaran dan cubaan. Tetapi saya amat bimbang jika pimpinan dan ahli-ahli PAS terjerumus dalam jebak Hunain dan akhirnya kita bukan sahaja gagal mengisi kemenangan, bahkan tidak lagi dapat mempertahankan kemenangan ini pada masa hadapan. Ingatlah, bersama-sama kemenangan ini ialah segugus harapan daripada rakyat untuk melihat bagaimana parti yang berasaskan Islam menterjemahkan makna ‘Khair ummah’ ini untuk membebaskan mereka daripada segala belenggu kezaliman, kerakusan dan penindasan regim BN. Rakyat pelbagai bangsa dan agama mahu menyaksikan bagaimana PAS menjadikan Islam sebagai satu agama yang merahmati sekalian alam. Dan inilah peluang terbaik kita untuk menolak segala momokan, fitnah dan tuduhan yang sering kali dilabelkan kepada Islam sebagai agama yang fanatik, ekstrem, ganas dan taksub, lalu menggantikan ia dengan slogan baru “Islam for All” dan “Islam for Peace”!

PAS jangan lupa Allah

Para perwakilan dan pemerhati yang dikasihi,

Firman Allah SWT:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka kamu akan dibiarkan hanya berkata: “Kami beriman”’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)!”.
(Surah Al-Ankabut: Ayat 2)

Seperti yang telah saya tegaskan, kemenangan adalah satu ujian untuk mengukur sejauh mana sebenarnya keikhlasan kita dalam memperjuangkan agama Allah SWT. Mungkin kekalahan juga satu ujian untuk mengukur kesungguhan kita, tetapi kemenangan boleh menjadi pengukur yang lebih berkesan apakah selama ini kita berjuang kerana Allah SWT atau kerana kita ’gilakan’ kuasa untuk memerintah. Sudah banyak fitnah yang kita dengar bahawa ’PAS sama macam Umno’ atau ’PAS hanya gilakan kuasa’. Kemenangan ini boleh membuktikan apakah tuduhan itu benar atau tidak. Jika kita hanya mahukan kemenangan dan kuasa pemerintahan – nah! Kita telah memperolehinya. Tetapi jika kita bercita-cita untuk melaksanakan perintah Allah, nah! Ini peluangnya.

Kekuasaan adalah sesuatu yang membuatkan kita lalai daripada landasan. Apabila kita sudah berkuasa, saya mengajak untuk kita terus hidup sederhana. Makan dengan makanan rakyat, pakai dengan pakaian rakyat, tinggal di rumah rakyat. Kita memutuskan apa sahaja kebijakan pemerintahan, mestilah untuk kepentingan rakyat. PAS tidak boleh membiarkan mana-mana pimpinannya atau wakil rakyatnya mula ’besar kepala’ atau tidak lagi menghormati syura dan membelakangkan jamaah. Keputusan-keputusan parti hendaklah dihormati mengatasi segala kepentingan peribadi. Jika kita mengekalkan amalan syura dan mengutamakan jamaah dalam pentadbiran, nescaya kita tidak akan tergelincir daripada matlamat kita, ”Allahu ghayatuna”. Ingatlah daripada Allah kita datang, kepada Allah juga kita akan dipaksa kembali. Ingatlah, Nabi Ibrahim as. Pernah berdoa kepada Allah SWT,

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku!, Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman dan hari akhirat di antara mereka.”
(Surah Al-Baqarah: Ayat 126)

Dalam doa ini terakam satu pemikiran politik Islam yang mencerakinkan tanggungjawab pemerintah untuk memastikan kestabilan politik dan kekukuhan pertumbuhan ekonomi negara. Tetapi tidak boleh sekali-kali kerajaan membiarkan pemimpin dan rakyatnya terungkai daripada ikatan iman kepada Allah SWT dan meyakini implikasi perbuatannya di Akhirat. Menjadi kewajipan bagi pemerintah untuk memastikan pemimpin dan rakyatnya sentiasa membina hubungan yang kukuh dengan Allah SWT serta menjalin hubungan mesra sesama mereka, lantas dapatlah mereka menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Tarbiyah yang tidak boleh dipinggirkan

Untuk memastikan PAS terus berada pada landasan yang betul, dan ahli-ahli PAS terus komited dengan matlamat asal kita, PAS tidak boleh meminggirkan program tarbiyah haraki. Kita tidak mahu kemenangan ini mewujudkan minda yang cenderung kepada kepemimpinan yang tidak berakhlak. Program-program tarbiyah mesti dipertingkatkan selaras dengan cabaran sosio-politik dan juga politico-dakwah semasa. Keruntuhan akhlak dalam masyarakat mesti ditangani dengan cekap oleh gerakan tarbiyah kita supaya budaya buruk ini tidak menular ke dalam parti. Saya menyeru Lajnah Tarbiyah dan Kepemimpinan supaya memastikan agenda usrah, tamrin, mukhayyam, liqa’ al-fikri, nadwah dan segala bentuk aktiviti tarbawi disusun dan digemblengkan. Kita melihat kelonggaran terhadap kegiatan tarbiyah haraki telah wujud kebelakangan ini sehingga membibitkan unsur-unsur negatif dalam harakah kita.

Agenda tarbiyah ini menjadi kewajipan nombor wahid dalam PAS sebagai gerakan Islam. PAS mesti digerakkan dengan amal Islami yang berteraskan 10 prinsip bai’ah yang telah digariskan oleh as-Syahid Hassan al-Banna. Kesedaran ahli-ahli terhadap makna perjuangan Islam juga dilakukan pemugaran semula supaya ahli tidak melihat kuasa atau sebarang bentuk habuan dunia sebagai matlamat gerak kerja Islam. Gejala fikrah maddiyah mesti dihapuskan, sebaliknya ahli-ahli PAS perlu sedar bahawa matlamat kita adalah mardhatillah. Melalui tarbiyah ini kita mengharapkan kesatuan fikrah dan amal dapat diwujudkan, sekali gus menangani anasir-anasir luar yang boleh memecah dan melemahkan PAS. Lajnah Tarbiyah juga hendaklah memastikan keseluruhan gerak kerja PAS berjalan di atas landasan amal jamaie dan berpegang dengan prinsip syura yang dipandu oleh sumber wahyu.

Apabila kita memperoleh kejayaan dalam pilihan raya, sebahagian besar tenaga dan jentera kita telah bertukar menjadi jentera kerajaan. Kita akui bahawa ahli-ahli PAS dengan sendirinya menjadi mata, telinga, mulut dan tangan kerajaan. Kita sedar bahawa mesej dan dasar kerajaan tidak akan dapat disampaikan kepada rakyat tanpa bantuan kita semua. Tetapi, janganlah hendaknya kita mengabaikan gerak kerja parti semata-mata kerana memberi tumpuan kepada pentadbiran kerajaan. Peningkatan tugas ini terpaksa kita hadapi kerana kita adalah parti pemerintah. Tetapi antara urusan kerajaan dan urusan parti mestilah bergerak serentak supaya kekuatan kedua-duanya dapat kita bina. Tidak ada makna kita memiliki jentera kerajaan yang kuat, tetapi jentera parti yang lemah. Parti bertanggungjawab membina ahli-ahli dari sudut tarbiyah dan kepemimpinan kerana mereka yang akan mendukung aspirasi parti dalam kerajaan. Parti sendiri mestilah memiliki organisasi yang kukuh kerana mereka adalah penggerak jentera kerajaan dan menjadi nadi dalam menghadapi musuh semasa pilihan raya.

Saya ingin mempertegaskan bahawa walaupun kita sudah mempunyai jentera kerajaan di semua peringkat di negeri yang kita memerintah, tetapi tidak bermakna kita boleh mengabaikan gerak kerja parti. Mesyuarat-mesyuarat parti di semua peringkat mestilah diteruskan, bahkan lebih kerap daripada biasa untuk memantau sistem penyampaian (delivery system) kerajaan. Dalam masa yang sama kita mesti pastikan organisasi parti terus bergerak dengan cekap dan berkesan. Cawangan-cawangan baru mesti diperbanyak dan cawangan lama perlu diperkasa. Jentera Unit Kerja Jamaah (UKJ) harus diperkemaskan di peringkat akar umbi supaya setiap hari kita dapat membangunkan individu-individu pemuda yang berpotensi untuk digilap sebagai tenaga baru perjuangan kita. Oganisasi pilihan raya juga mesti berada dalam tahap yang sama seperti sebelum pilihan raya yang lepas. Proses pendaftaran pengundi baru, semakan pengundi, culaan pengundi dan mengenal pasti pengundi hantu mesti dibuat serentak dengan usaha membangunkan kemahiran jentera pilihan raya. Kita mesti belajar daripada kecuaian kita di Terengganu selepas 1999 yang akibatnya sehingga hari ini masih terkesan.

Mengurus kemenangan

Para muktamirin yang mulia,

Dalam aspek yang lain, kemenangan kita dalam pilihan raya sebenarnya mendesak kita untuk lebih matang dalam menguruskan kemenangan ini supaya ia tidak menjadi liabiliti kepada kita kelak. Kematangan ini bukan hanya tentang kebolehan kita untuk melayani setiap kehendak rakyat atau memenuhi desakan rakan-rakan PR demi mengukuhkan kerjasama, tetapi juga kebolehan kita menterjemahkan pentadbiran baik mengikut prinsip Islam. Kita harus lebih terbuka dalam memahami maqasid syariah supaya objektif Islam itu dapat diterjemahkan dengan lebih berkesan dan membentuk kefahaman yang lebih luas di kalangan rakyat. Pendekatan siyasah syar’iyah yang diambil juga mestilah memperlihatkan keupayaan Islam merahmati alam. Para ulamak kita perlu berfikiran terbuka untuk memberikan tafsiran-tafsiran hukum berasaskan Manhaj Malizi (pendekatan Malaysia) yang kontemporari, tetapi tidak lari dari orbit al-Quran dan Sunnah sebagai piawai standardnya. Dewan Pemuda PAS akan mengadakan satu Seminar Pendekatan Siyasah Syar’iyah selepas muktamar ini untuk mewujudkan panduan urus tadbir di negeri-negeri yang dikuasai PR ke arah ’baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur’.

Kita menyeru supaya pimpinan di negeri-negeri PR memperjuangkan hak-hak, nilai-nilai dan prinsip Islam yang termaktub dalam undang-undang tubuh negeri-negeri. Dewan Pemuda PAS berjanji pada hari ini bahawa kita akan bersikap tegas sekiranya mana-mana kerajaan PR mengambil enteng tentang peranan Islam dalam pentadbirannya. Kita akan menjalankan tugas-tugas kepemudaan untuk melakukan check and balance terhadap kerajaan ke arah urus tadbir baik (good governence). Kita bersedia untuk menegur secara diplomatik dan kita juga sanggup untuk mengambil pendekatan konfran jika teguran-teguran kita tidak dilayan. Saya mengucapkan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Selangor kerana berani menegur beberapa kepincangan kerajaan negeri baik soal hukum agama mahupun soal ketelusan pentadbiran. Dewan Pemuda PAS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memperalatkan istilah-istilah seperti siyasah syar’iyah, maqasid syariah, al-awlawiyyat, at-taghyir, al-faragh dan sebagainya untuk mencapai maksud politik yang tidak diredhai Allah SWT. Kita menolak pendekatan Machiavelism yang berasaskan doktrin matlamat menghalalkan cara dalam pentadbiran kita.

Kita juga mengesyorkan kepada pimpinan tertinggi supaya meningkatkan sistem kawalan pusat-pinggir (central-periphery) ke atas Badan Perhubungan PAS negeri-negeri yang kita memerintah supaya kita dapat mewujudkan kerajaan dalam parti yang berkesan. Kita tidak mahu pimpnan negeri diberikan kebebasan penuh atau autonomi dalam menentukan dasar-dasar pentadbiran, sehingga pimpinan Pusat tidak dihormati keputusan mereka. Jika keadaan ini berlaku, ia bukan hanya memberi kesan buruk dalam penyelarasan keputusan, tetapi mungkin boleh menjejas keberkesanan jentera PAS keseluruhannya.

MEMBINA KEPEMIMPINAN KOMPETEN

Muktamirin sekalian,

Serentak dengan anjakan minda kita dalam mengenegahkan keanjalan (murunah) Islam, kita juga memerlukan para pemimpin yang bersedia menganjak paradigmanya. Telah saya perkatakan tadi bahawa kita mesti beralih kepada pemikiran negarawan daripada pemikiran bangkangan. Kita tidak boleh berfikir seputar tentang kalangan kita sahaja atau untuk kepentingan kelompok kita sahaja, sebaliknya kita mesti mula belajar berfikir tentang rakyat seluruhnya, berfikir tentang kebajikan bangsa bukan Melayu, memberati kepentingan orang bukan Islam, menjuarai isu-isu bukan agama, prihatin terhadap orang bukan PAS, bahkan mengambil berat persoalan-persoalan antarabangsa juga. Kita mesti meninjau sama persoalan-persoalan yang lebih besar seperti pentadbiran negara, pengurusan ekonomi awam, perancangan dasar-dasar awam dan sebagainya, yang sedang mendesak kita untuk memiliki kemahiran-kemahiran tambahan. Ahli-ahli Pemuda mesti sentiasa memperdalami ilmu dalam pelbagai bidang, tidak terhenti dengan kemahiran agama yang menjadi fadhu ain sahaja, sebaliknya kemahiran keduniaan yang menjadi fardhu kifayah juga dipertingkatkan.

Anjakan ini saya serukan kepada saudara semua sebagai persediaan untuk melahirkan pimpinan yang kompeten dari sudut kebolehan pengurusan dan pentadbiran, selain memiliki syahsiyah yang cemerlang. Pada hari ini, ahli-ahli PAS diperakui kerana kecemerlangan akhlak dan kebolehan agamanya, tetapi kita tidak diyakini dalam aspek keupayaan menguruskan negara. Perkara ini mesti kita bina segera kerana ia sudah menjadi suatu yang mendesak kepada PAS terutama menjelang runtuhnya hegemoni Umno/BN. Kita menyeru Institut Latihan Kepemimpinan dan Perkaderan Dakwah (ILHAM) supaya merancang program pembangunan ahli-ahli dengan lebih tersusun, terutama dalam melahirkan tenaga-tenaga ulamak yang kompeten dalam pentadiran. Dewan Pemuda PAS sendiri sudah menubuhkan Pusat Latihan Akademik Kepemimpinan Pemuda (AKP) di Kelantan bagi maksud ini. Mulai bulan hadapan, latihan-latihan intensif akan kita laksanakan kepada pimpinan Pemuda peringkat Negeri dan Kawasan, dan kita berharap setiap ahli Pemuda mewajibkan diri masing-masing untuk mengikuti latihan ini. Tetapi ini tidak bermakna ahli-ahli Pemuda memadai mengikuti kursus jangka pendek yang kita sediakan, sebaliknya mereka mesti menambahkan usaha untuk terus belajar di mana sahaja untuk kita menguasai ilmu-ilmu baru yang boleh meningkatkan pembinaan kapasiti diri masing-masing.

Program pembangunan keupayaan kepemimpinan ini adalah amat mustahak bagi PAS kerana generasi pelapis mestilah memiliki kebolehan yang lebih tinggi daripada pemimpin yang ada hari ini. Ia bukan sekadar persiapan untuk kita mengambil alih pemerintahan negara, tetapi juga untuk memenuhi keperluan kepemimpinan pada masa depan yang lebih mencabar. Kita mesti belajar untuk bergerak dalam satu pasukan kepemimpinan yang berkesan, bukannya lagi secara individu. Kita sudah berupaya melahirkan murabitun di semua peringkat, tetapi malangnya kebolehan para murabitun untuk menjadi pemikir masih di tahap yang rendah. Kita tertunggu-tunggu pimpinan baru yang berupaya mencetuskan wawasan besar, berfikiran matang dan menjangkau jauh kehadapan. Kegagalan kita melahirkan pemimpin-pemikir (qiyadah-mufakkir) telah mengakibatkan kelesuan perjuangan kita. Saya mencadangkan supaya pemimpin-pemimpin Pemuda yang ada supaya memulakan budaya penyelidikan melalui institusi-institusi persendirian. Lebih penting jika boleh mewujudkan pasukan pemikir dan institusi pemikir persendirian yang boleh membantu meningkatkan keupayaan kognitif kita dalam perjuangan. Kita melihat pemimpin-pemimpin besar dunia memiliki beberapa pusat kajian untuk membantu mereka menjadi pemimpin yang baik, dan tiada sebab untuk kita tidak memulakan langkah yang sama demi kecemerlangan gerakan kita.

Kepemimpinan ulamak: Penilaian semula

Semasa PAS menghadapai kemelut dalam krisis kepemimpinan pada 1982, Dewan Pemuda PAS telah membawa satu gagasan baru dalam PAS iaitu Kepemimpinan Ulamak bagi meletakkan semula PAS pada landasan yang betul dan kukuh dalam pergerakan Islam di negara ini. Hasilnya PAS telah dapat berdiri sendiri semula dan berterusan melaksanakan gerak kerja parti dengan lebih teratur serta mampu mampu menangani politik semasa dengan hemat dan cermat. Pemimpin PAS pergi dan datang tetapi prinsip perjuangan PAS dan pendirian parti tidak berubah meskipun usia PAS dimamah usia.

Kini gagasan Kepimpinan Ulamak yang diperkenalkan di dalam PAS sudah mencapai zaman jubli peraknya. Sepanjang 25 tahun ia dipegang kukuh oleh ahli-ahli PAS, PAS terus mencipta sejarah dengan kemenangan semula pemerintahan di Kelantan dari tahun 1990 hinggalah ke hari ini. PAS juga dapat menangani pelbagai masalah besar dalam parti dan dalam negara apabila institusi Majlis Syura Ulamak menjadi tempat rujukan parti.

Kini perubahan zaman menuntut ulamak supaya maju beberapa langkah lagi untuk memastikan peranan mereka lebih berkesan dan lebih relevan dalam dunia kontemporari. Ulamak juga perlu lebih proaktif dalam meneliti fenomena masa kini, menangani kerencaman isu dan masalah moden, serta memimpin perubahan dalam masyarakat masa kini. Dewan Pemuda PAS tidak mahu melihat ulamak berada adalam zon selesa dalam gagasan Kepimpinan Ulamak yang mana sebahagian ulamak mengambil sikap reaktif kepada isu atau fenomena yang berlaku dan tidak membuat persediaan lebih rapi untuk menangani perkara mendatang. Justeru, Dewan Pemuda PAS Pusat akan menganjurkan satu Seminar Kepemimpinan Ulamak: Satu Peniliaian Semula. Antara lain tujuan seminar ini ialah untuk melihat semula dari pelbagai aspek dalam meneliti keberkesanan gagasan Kepimpinan Ulamak dalam PAS sepanjang 25 Tahun ini.

Peningkatan fungsi di Parlimen

Para hadirin sekalian,

PAS pada hari ini mempunyai 22 orang ahli Dewan Rakyat dan tiga orang ahli Dewan Negara. Di kalangan pemimpin Dewan Pemuda PAS sendiri, beberapa orang sudah bergelar yang berhormat (YB). Ini bermakna kita mempunyai satu lagi peranan iaitu sebagai pembangkang yang berkesan di negara ini. Berkesan bukan bermaksud membangkang segalanya atau sentiasa ’membuat bising’ untuk menggugat kerajaan yang ada. Tetapi pembangkang yang berkesan ialah apabila kita boleh menjadi pembangkang berwibawa (credible opposition) dan pembangkang taat (loyal opposition), yang bersedia duduk semeja dengan kerajaan untuk kepentingan rakyat dan kita sanggup memberikan konsensus untuk kepentingan negara.

Walaupun kita masih bergelar pembangkang di Parlimen, kita mesti meningkatkan peranan kita supaya rakyat melihat tawaran-tawaran kita untuk mengganti BN sebagai munasabah. Isu-isu yang kita ketengahkan dalam manifesto, walaupun tidak dapat dilaksanakan, tetapi ia mesti dibawa ke Parlimen supaya kesengsaraan rakyat dapat kita suarakan sesuai dengan kehadiran kita kerana makkal sakti (people’s power). Sebagai pembangkang yang berkesan kita mestilah mampu mengemukakan alternatif berwibawa kepada kuasa majoriti (kerajaan), tidak sekadar mengkritik kerajaan, tetapi juga bekerja ke arah ketelusan, integriti dan kecekapan dalam mengendalikan hal ehwal rakyat, menangani penyalahgunaan kuasa dan memastikan kepentingan rakyat dipertahan, selain terlibat dalam mempromosikan hak asasi manusia, kebebasan asasi dan membantu menyempurnakan fungsi-fungsi demokrasi. PAS boleh menjadi penghubung yang berkesan antara rakyat dan kerajaan BN, memainkan peranan untuk memastikan kerajaan BN bertindak mengikut kehendak rakyat, membongkarkan penyelewengan kerajaan BN serta menawarkan program alternatif yang lebih baik.

Kita harus sedar bahawa PAS bersama PR pada masa ini adalah kerajaan alternatif kepada BN, bukannya pembangkang pinggiran, dengan maksud kita harus memperlihatkan kepada rakyat kewibawaan, ketelusan dan kebertanggungjawaban kita sebagai kerajaan menunggu. Ahli-ahli Parlimen PAS tidak boleh memencilkan diri kerana mereka adalah pembuat undang-undang (legislature) yang sah, maka peranan yang lebih besar perlu dimainkan untuk memastikan setiap undang-undang memberikan kesan positif kepada rakyat. Selain di Parlimen, wakil rakyat kita juga mesti aktif dalam masyarakat sivil terutama dalam membina hubungan dengan pertubuhan bukan kerajaan, media massa dan juga pentadbir awam, kerana mereka adalah penghubung antara PAS dengan rakyat. Saya mengenegahkan persoalan ini adalah kerana kita tidak mahu lagi dianggap sebagai ’partisan politics’ yang membawa implikasi negatif terhadap potensi kita, sebaliknya kita mahu diiktiraf oleh kerajaan sebagai ’His Majesty’s Opposition’, dan diperakui oleh rakyat sebagai alternatif yang berwibawa.

Pemerkasaan rakyat

Para muktamirin sekalian,

Semenjak kekalahan mengejut BN dalam pilihan raya yang lepas, pelbagai isu yang menyentuh kepentingan rakyat telah berlaku. Peningkatan kadar inflasi mendadak terutama melibatkan keperluan asas seperti makanan dan pengangkutan telah gagal ditangani secara berkesan oleh kerajaan BN. Jika sebelum ini rakyat berhadapan dengan kenaikan harga dan kekurangan bekalan makanan seperti gula, gandum, minyak masak dan beras, pada hari ini, kerajaan BN menjadikan kenaikan harga minyak dunia sebagai alasan untuk membebankan rakyat dengan kenaikan harga petrol dan diesel mencecah 41 peratus. Kita tidak nampak apakah keuntungan yang dinikmati oleh rakyat hasil pengurangan subsidi pada kali ini, lebih-lebih lagi pengurangan pada 2006 sebanyak RM4 bilion juga gagal mendatangkan manfaat kepada rakyat. Kita hairan bagaimana keuntungan besar Petronas tidak dapat membantu rakyat untuk hidup lebih selesa, sedangkan jutaan hasil Petronas dibazirkan untuk projek-projek mega dan megah. Dewan Pemuda PAS berasa hairan mengapa kerajaan harus menunggu sehingga September untuk menurunkan harga minyak, sedangkan negara pengimport seperti Singapura sudah beberapa kali menurunkannya semenjak kejatuhan semula harga minyak dunia. Kita mendesak supaya kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Krisis Tenaga Negara untuk mengkaji dan merancang satu pelan induk bagi menangani krisis tenaga. Dewan Pemuda PAS bersedia menawarkan kepakaran untuk membantu kerajaan dalam soal ini.

Saya mengucapkan syabas kepada kerajaan-kerajaan PR yang begitu prihatin terhadap kepentingan rakyat, khususnya dalam mengurangkan beban hidup mereka ketika inflasi sedang mendesak ini. Saya telah menerima maklum balas positif daripada rakyat tentang kejayaan Kelantan memperkenalkan Skim Takaful Armalah dan Takaful Kifalah, begitu juga projek jihad ternak yang diusahakan. Di Selangor, keupayaan kerajaan mengotakan janji untuk memberikan air percuma membuktikan PR adalah kerajaan yang benar-benar pro rakyat. Begitu juga ketegasan kerajaan Kedah mempertahankan sawah padi rakyat daripada ditelan oleh projek ZIPY dan kesungguhan kerajaan Perak …. Saya juga mengalu-alukan keterbukaan Ketua Menteri Pulau Pinang yang mengemukakan dasar-dasar yang merentasi persoalan kaum, agama dan fahaman politik dalam membangunkan negeri itu. Inilah perbezaan pentadbiran yang dijanjikan oleh PR yang sentiasa mendahulukan rakyat daripada pemimpin, berbanding dasar-dasar korup BN yang sentiasa menindas rakyat untuk membuncitkan perut pemimpin.

Sikap biadap BN ini bukan hanya ditujukan kepada rakyat secara langsung, tetapi juga kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Kita sudah biasa mendengar bagaimana Umno/BN mewujudkan struktur kerajaan haram di Kelantan. Kita juga sudah mendengar bagaimana sekatan ekonomi dilakukan dengan melambatkan bayaran geran wajib, begitu juga rompakan royalti minyak yang berlaku di Terengganu. Hari ini, mereka melebarkan lagi tekanan dengan mencerobohi konsep federalisme termasuk membatalkan MOU pelancongan, menubuhkan JKKK di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan mempengaruhi penghulu supaya tidak memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri. Ini adalah contoh pendekatan pentadbiran terdesak BN yang sanggup melakukan apa sahaja untuk survival politik sempit mereka. Kita tidak berasa pelik dengan tekanan seperti ini tergamak dilakukan, kerana Umno/BN pernah berpengalaman melakukan yang lebih dahsyat daripada itu – menabalkan ’Sultan haram’ di Kelantan.

Yang menjadi persoalan kepada rakyat ialah ketika bebanan inflasi ini gagal diuruskan dengan berkesan oleh kerajaan BN, isu-isu penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa terus diperkatakan. Saya tidak mahu menyentuh tentang isu yang sedang disiasat membabitkan Ketua Polis Negara dan Peguam Negara berkaitan konspirasi 1998 dan juga isu liwat yang terbaru ini, juga isu dakwaan pembabitan Timbalan Perdana Menteri dengan isu Altantuya yang sedang dibicarakan di mahkamah. Tetapi kita mendesak siasatan dibuat ke atas dakwaan Menteri Besar Terengganu tentang rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku dalam beberapa projek di Terengganu pada zaman Dato’ Seri Idris Jusoh. Kita ingin tahu siapakah sebenarnya di sebalik penyelewengan lebih RM7 bilion royalti minyak yang disalurkan atas nama wang ehsan. Mengapa isu pembelian kereta Mercedes dibesarkan dan isu penyelewengan ini disembunyikan. Inikah maksud integriti yang dilaungkan oleh pendukung Islam Hadhari? Kita bergembira apabila kerajaan BN memperakui kesilapan mereka dalam kes fiasco Tun Salleh Abbas pada 1988 yang menyebabkan runtuhnya institusi kehakiman di negara ini. Tetapi kito mempersoalkan tentang ex-gratia yang diberikan, bukan jumlahnya, tetapi mengapa ex-gratia? Ia bukan saguhati kepada hakim-hakim teraniaya, tetapi ia sepatutnya merupakan pampasan dan bekas-bekas hakim kanan ini patut dibayar pampasan dan pencen mereka sebagai tanda kesal di atas kebobrokan mereka dahulu.

Sudah banyak isu-isu besar yang berlaku semenjak 2003 dan perubahan sikap komponen BN di Sabah membuktikan bahawa rakyat sudah hilang percaya kepaa kepemimpinan BN hari ini. Tetapi rakyat belum berupaya menjatuhkan kerajaan kerana kelemahan masyarakat sivil kita. Tahap kesedaran politik dan kesediaan untuk melakukan perubahan politik masih rendah. Saya menyeru kepada seluruh rakyat supaya melakukan pengemblengan dan mobilisasi tenaga rakyat melalui institusi-insititusi masyarakat. Pemerkasaan ini akan menjadi batu penghalang kepada sikap biadap kerajaan BN dalam mencerobohi atau menindas hak rakyat. Pada hari ini rakyat hanya mampu menggelengkan kepala sahaja apabila harga minyak dinaikkan atau beras keputusan bekalan. Rakyat tidak berupaya untuk berkata TIDAK atau memaksa kerajaan bertindak bagi pihak rakyat apabila tercetus sesuatu isu melibatkan kepentingan mereka. Saya berharap para Pemuda PAS di semua peringkat, khususnya akar umbi supaya menjadi nadi dalam memperkasakan rakyat menerusi insitusi-institusi masyarakat sivil di peringkat terkecil.

PERLUASAN MEDAN DAKWAH

Para hadirin sekalian,

Pilihanraya Umum ke 12 telah menyaksikan peristiwa unggul dalam sejarah politik tanah air. Dewan Pemuda PAS begitu terharu dan kagum dengan keberanian pengundi bukan Melayu dan bukan Islam yang bersedia memberikan sokongan mereka kepada PAS dan parti-parti komponen PR. Kalau sebelum ini rakyat dimomokkan dengan pelbagai ketakutan kononnya negara akan menjadi huru hara dengan perubahan pimpinan kerajaan dari BN kepada parti pembangkang selepas pilihan raya, tetapi pilihan raya ke-12 mengesahkan tidak ada pertumpahan darah walaupun setitik apabila PR berjaya menguasai 4 lagi negeri dari BN. Lanskap politik Malaysia diwarnai dengan kemenangan PR yang telah ditentukan oleh kuasa rakyat atau people’s power. Rakyat Malaysia kini tidak takut untuk berubah sikap serta undi mereka dan sanggup berkorban untuk mengambil risiko dengan merubah kerajaan yang ada. Inilah suatu lipatan sejarah yang amat luar biasa dalam negara ini. Dewan Pemuda PAS mengambil kesempatan dalam Muktamar tahun ini untuk merakamkan tahniah kepada rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama yang berani membuat perubahan dan ucapan jutaan terima kasih kepada mereka di atas sokongan dan kepercayaan mereka kepada PR. Semoga sokongan mereka kepada PR akan berterusan pada hari-hari seterusnya.

Semenjak 1982, Dewan Pemuda PAS berusaha memecahkan benteng perkauman bagi membolehkan gerakan kita diperluaskan. PAS telah meneroka langkah proaktif melalui penubuhan Majlis Perunding Cina (CCC) pada 1986, kemudian melalui GERAK kita mula duduk semeja dengan orang bukan Melayu atas nama keadilan. Kita melihat peningkatan sokongan orang bukan Melayu yang mendadak kepada PAS sehingga ada cadangan membuka keahlian kepada orang bukan Islam. Pada hari ini langkah kita mulai pantas ekoran kejayaan menubuhkan Kelab Penyokong PAS yang telah tumbuh dengan banyak di seluruh negara. Saya mengesyorkan kepada PAS Pusat agar mencari mekanisme terbaik untuk mempertingkatkan peranan kelab-kelab ini. Sebetulnya medan dakwah kita telah bercambah. Kelab-kelab ini tidak boleh terhenti sekadar satu kelab politik sahaja, tetapi ia mesti disertakan dengan agenda dakwah supaya orang-orang bukan Islam memahami dasar perjuangan PAS.

Ini adalah kesempatan terbaik untuk mengorak langkah ke hadapan bagi menjelaskan apakah sebenarnya Islam yang menjadi dasar dan matlamat perjuangan PAS. Selama ini orang bukan Islam telah dikelirukan oleh agenda jahat media yang melabelkan Islam dengan keganasan, fanatik, ekstrem dan sebagainya. Yang digemburkan ialah hukum Islam sebagai hukum yang kejam dan menindas orang bukan Islam. Kini Allah SWT telah membuka jalan kepada kita untuk memperjelaskan kepada orang bukan Islam tentang makna Islam, agenda keadilan, persamaan dan universalisme Islam. Saya amat percaya bahawa rakan-rakan di kalangan kaum Tionghua dan India, mereka menolak PAS bukan kerana bencikan PAS, tetapi dikelirukan tentang Islam. Kerana itu, saya sangat optimis jika Islam dapat diperjelaskan kepada mereka secara syumul, mereka tidak lagi ragu-ragu untuk terus menyokong PAS. Dalam pendekatan ini suka saya mencadangkan supaya Kelab Penyokong Muda PAS juga diwujudkan untuk memboleh Dewan Pemuda PAS berinteraksi secara langsung dengan mereka.

Di kalangan orang-orang Islam sendiri, gerakan dakwah juga mesti dilipatgandakan. Kini di negeri-negeri yang diperintah oleh PR, kita tidak lagi bermasalah untuk mengadakan program-program agama kepada masyarakat. Saya berharap beberapa lajnah yang berkaitan menyusun gerak kerja yang lebih efektif supaya PAS boleh berada dalam urat nadi masyarakat. Tumpuan untuk golongan remaja mestilah diberikan perhatian yang khusus kerana gejala sosial semakin menggila pada hari ini. Saya berterima kasih kepada Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang saban tahun mengadakan ekspedisi dakwah pada malam-malam sambutan tahun baru atau sambutan kemerdekaan dengan tujuan menyedarkan para remaja tentang ketelanjuran aktiviti mereka. Selain Lajnah Pembangunan Remaja, Jabatan Pembangunan Mahasiswa juga mestilah prihatin terhadap masalah ini. Peningkatan masalah sosial di kalangan pelajar bukanlah suatu perkembangan yang boleh dipandang sebelah mata. Program pembangunan mahasiswa mesti disediakan dalam satu rangka khusus ke arah melahirkan generasi pelapis yang berwibawa. Pindaan AUKU yang akan memberikan ruang kepada pemimpin politik untuk terlibat sama dalam pembangunan mahasiswa mesti dimanfaatkan sepenuhnya. PAS bersedia untuk menyertai mana-mana sesi intelektual anjuran IPT dalam apa-apa topik demi membina kematangan generasi baru.
CABARAN PERJUANGAN DEKAD BARU

Para hadirin dan hadirat sekalian,

Kita sudah berada di hujung dekad pertama alaf ini. Mendepani dekad baru ini menjadi cabaran yang amat besar kepada gerakan Islam kerana kita telah melihat bagaimana satu demi satu kesucian Islam dicabar. Isu-isu murtad yang begitu lama terbiar kini telah bertukar menjadi krisis. Kita sudah melihat bagaimana seorang yang asalnya Islam secara terbuka memohon untuk keluar daripada Islam dan sudah terjadi golongan mualaf berjaya dalam permohonannya untuk kembali ke agama asal. Dalam aspek yang lain, saudara-saudara baru kita masih tidak mendapat pembelaan apabila memeluk agama Islam. Anasir ini boleh membentuk krisis perkauman dan sentimen agama yang amat berbahaya kepada sebuah masyarakat majmuk jika tidak diuruskan secara berhikmah. Bagi orang Islam sendiri, perkembangan ini sebenarnya adalah satu ujian aqidah bagaimana mengukur tahap sensitiviti aqidah kita apabila Islam dicabar.

Pergolakan ini mempunyai kaitan yang amat rapat dengan agenda Islam liberal yang ditaja oleh musuh-musuh Islam untuk menghidupkan faham neo-Muktazilah. Pendukung pluralisme agama sengaja menjadikan masyarakat majmuk sebagai alasan untuk membentuk jalan singkat kepada kemurtadan. Kita tidak berasa pelik apabila sembilan menteri bukan Islam menghantar memorandum kepada Perdana Menteri dalam isu moral policing, tetapi kita terkejut bila ada menteri yang beragama Islam turut mengambil sikap yang sama. Kita tidak tersentak jika orang bukan Islam menolak poligami, tetapi kita sangsi apabila keluarga terdekat Perdana Menteri sendiri mengetuai gerakan anti poligami ini. Mereka memperalatkan istilah hak asasi manusia, kebebasan dan hak individu untuk menafikan ajaran-ajaran agama dan tanggungjawab terhadap masyarakat. Inilah manifestasi daripada agenda Islam Hadhari yang membawa kepada kekeliruan agama. Keruntuhan moral dan gejala sosial tidak lagi dilihat dari sudut pandangan agama, tetapi hanya dalam kerangka sains sosial semata-mata.

Tekanan ke atas umat Islam global

Para hadirian sekalian,

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-60 penjajahan Zionis Yahudi ke atas Palestin untuk menubuhkan negara haram Israel. PAS semenjak hari penubuhannya lagi telah memperkatakan isu ini dan PAS istiqomah dengan sikapnya yang mahu bumi Palestin dibebaskan sepenuhnya daripada penjajahan ini. Sejarah tentu masih mengingati bagaimana Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy dua kali dipenjara oleh British kerana memperjuangkan isu ini, dan pada 2000, saya bersama tiga pemimpin PAS dihumban dalam penjara kerana membantah pengiktirafan Malaysia terhadap negara haram tersebut. Hari ini saya mengulangi penegasan ini bahawa umat Islam tidak akan berdiam diri dengan kegelojohan Zionis membentuk negara haram dengan sokongan Amerika Syarikat dan British. Dewan Pemuda PAS amat kesal di atas kegagalan Malaysia memimpin OIC dalam memperjuangkan isu Palestin, sedangkan kerana Palestinlah, OIC ditubuhkan dahulu.

Di selatan negara kita, kewujudan Singapura tidak ubah seperti wujudnya Israel di bumi Arab. Singapura dahulunya adalah sebahagian daripada kerajaan Melayu Johor-Riau, tetapi kerana politik licik penjajah, ia jatuh ke tangan bangsa asing. Kita menerima hakikat bahawa Singapura telah menjadi negara berdaulat pada hari ini. Tetapi kita tidak dapat menerima sikap biadap pulau itu terhadap jiran-jirannya. Kelemahan Kerajaan BN telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Singapura untuk membatalkan projek Jambatan Bengkok, menguasai Iskandar Malaysia, mengambil alih kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, dan kini mereka sedang berusaha unuk mendapatkan hak zon ekonomi eksklusif (ZEE) di perairan pulau itu. 50 tahun dahulu pimpinan PAS telah memperingatkan bahawa Singapura akan menjadi Israel di rantau ini jika Malaysia bersikap acuh tak acuh, kini ingatan PAS sudah menjadi realiti. Kita sangat kesal kerana kerajaan BN tidak mahu belajar dari sejarah sehingga kesilapan demi kesilapan berulang. Jika dahulu Abdullah Munsyi melakukan kesilapan kerana merundingkan pengambilalihan Singapura oleh Stamford Raffles pada 1819, hari ini Abdullah Badawi pula mengulangi kesilapan serupa dengan membiarkan Singapura terus melakukan neo-colonialism di Iskandar Malaysia melalui projek sulit ’Singapura Raya’ (Greater Singapore).

Sebagai sebuah gerakan Islam, Dewan Pemuda PAS tidak melupakan nasib saudara-saudara kita yang ditindas di seluruh dunia. Dari Mindanao hingga Afrika umat Islam dianiaya, di Eropah dan Amerika mereka dilayan sebagai warga kelas dua. Kita sedar semua hakikat ini, kerana itu kita berusaha supaya jaringan gerakan Islam di seluruh dunia dipertingkatkan semula. Kita mahu organisasi Islam global seperti WAMY dan Rabitah Alami diperkasakan. Telah lama jaringan ini menjadi kendur, tetapi belum ada usaha yang giat digerakkan bagi memanfatkan kecanggihan teknologi untuk merangsang semula kebangkitan. Kita belum memiliki sebuah oganisasi kemanusiaan bertaraf antarabangsa seperti Palang Merah untuk membantu umat Islam dilanda bencana, dan kita juga belum memiliki stesen tv satelit atau webtv yang setanding al-Jazeera untuk memberikan maklumat alternatif. Kita juga belum mempunyai kerjasama ekonomi yang kukuh bagi mewujudkan komuniti perniagaan Islam global dan penyediaan produk halal. Saya menyeru kepada pimpinan PAS supaya mengerakkan jaringan gerakan Islam antarabangsa supaya ia lebih proaktif terhadap isu-isu umat Islam global, bukan sekadar terhenti di perbatasan geografi dan politik masing-masing. Saya juga berharap agar kita dapat menggerakkan semula AMSEC dan AFMY sebagai pertubuhan belia Islam peringkat serantau. Kita percaya banyak ruang yang boleh kita bangunkan untuk kepentingan ummah jika umat Islam kembali bergerak ke arah ’ummatan wahidah’.

PEMUDA PAS PASCA MUKTAMAR

Para pemuda harapan umat sekalian,

Kita bersidang dalam muktamar di Ipoh ini dengan satu tujuan murni untuk mendaulatkan Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna. Perjuangan kita selama 55 tahun belum lagi mengenal penat dan lelah. Dan hari ini kita menyambung perjuangan yang diwariskan oleh generasi terdahulu. Mereka telah melaksanakan tanggungjawab dengan jayanya dan menyerahkan baton perjuangan kepada kita untuk terus menggerakkan PAS menuju ke matlamatnya. Dewan Pemuda PAS sejak dahulu menjadi institusi untuk melahirkan pimpinan PAS, dan kita berhasrat supaya peranan ini terus dimainkan terutama untuk melahirkan generasi kepemimpinan baru yang lebih berilmu, matang dan berkeupayaan menangani keperluan semasa dalam gerakan politik dan dakwah PAS pada masa hadapan. Dewan Pemuda PAS juga bertekad untuk terus mempertahan dan membangunkan kepemimpinan ulamak yang telah mencecah usia jubli perak pada tahun ini. Institusi Majlis Syura Ulamak yang dibentuk 25 tahun dahulu perlu dimantapkan lagi supaya ia terus dihormati sebagai pengawal dasar PAS yang autoritatif.

Bagi menggerakkan beberapa tekad ini, Dewan Pemuda PAS telah berusaha memperkasakan organisasi menerusi Unit Kerja Jamaah (UKJ). Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepda seluruh kepemimpinan Dewan Pemuda PAS, terutama di peringkat kawasan yang telah memberikan komitmen dan kerjasama yang begitu memberangsangkan. Saya amat yakin bahawa jika perkembangan positif ini berterusan selepas muktamar ini, kita sebenarnya sedang bersedia untuk mengambil alih peranan Umno untuk memajukan umat di negara ini. Dengan perkembangan ini juga, Dewan Pemuda PAS sudah bersedia untuk mengangkat perwakilan kawasan ke muktamar tahunan. Saya berharap mekanisme organisasi, kepemimpinan dan komunikasi yang kita gerakkan di bawah UKJ akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam maksud menggerakkan setiap usrah sebagai unit yang bekerja dalam jamaah.

Bagi meningkatkan lagi kecergasan organisasi Dewan Pemuda PAS, mulai tahun hadapan, kita akan mewujudkan jentera Pemuda MTD di semua DUN seluruh negara sebagai sebahagian daripada rangkaian organisasi kita. Dalam masa yang terdekat selepas Ramadhan ini, satu taklimat tentang organisasi Pemuda MTD akan dibuat untuk menjelaskan struktur organisasi dan gerak kerja mereka dalam mengukuhkan jentera PAS keseluruhannya. Jentera Pemuda MTD ini akan memainkan peranan penting sebagai jentera pilihan raya pemuda, pengurus program mendekati pengundi muda, pemantau usrah dan penyelaras UKJ di peringkat DUN. Kita berkeyakinan dengan kewujudan jentera Pemuda MTD ini akan mempercepatkan proses pengemasan organisasi, sekali gus mengakarkan lagi jentera Pemuda PAS peringkat akar umbi.

Dewan Pemuda PAS juga akan mewujudkan kerjasama pintar dengan Dewan Ulamak PAS, khususnya Jawatakuasa Urusan Ulamak PAS Kawasan bagi melahirkan generasi ulamak muda yang mampu mewarisi kepemimpnan ulamak yang ada. Dewan Pemuda PAS menginsafi suasana yang ada hari ini amat mendesak kepada perancangan yang tersusun ke arah membentuk para ulamak muda untuk mempertingkatkan keupayaan ilmu, kemahiran organisasi, kecekapan pengurusan dan kapasiti kepemimpinan ke arah mengekakan ulamak sebagai kepemimpinan al-amin. Kita akan memanfaatkan Jabatan Pembangunan Mahasiswa dan AKP untuk tujuan ini. Saya bersyukur di bawah kepemimpina ulamak selama 25 tahun, gerakan PAS telah terarah dengan baik di bawah naungan al-Quran dan Sunnah, dan ia bukan sahaja mesti dipertahankan, tetapi satu lonjakan baru perlu dilakukan agar kepemimpinan model Rasulullah ini tidak terkubur oleh keghairahan kita dalam mengejar matlamat jangka pendek.

Selepas Muktamar ini, perhatian seluruh rakyat akan tertumpu ke Permatang Pauh kerana Ketua Umum PKR akan bertanding dalam pilihan raya kecil di sana. Pilihan raya amat penting bagi kita setelah minda rakyat terperangkap dalam permainan kotor BN dalam isu muzakarah baru-baru ini. Setelah PAS membuat keputusan tegas untuk menolak sebarang bentuk kerjasama politik dengan BN, inilah peluang terbaik untuk PAS membuktikan bahawa kita masih setia dengan PR. Saya dengan ini mengarahkan seluruh jentera Pemuda PAS di semua peringkat supaya turun menggempur Permatang Pauh bagi melenyapkan keangkuhan BN. Dewan Pemuda PAS akan membuka Markaz Besar untuk jentera pilihan raya kita dan Pemuda PAS hendaklah bekerja sepenuh hati untuk mempastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya ini, sekaligus merapatkan semula jentera PR dalam menghadapi BN.

Saya mengambil kesempatan daripada muktamar ini untuk memtik pepatah Melayu Mengkasar yang memperkatakan soal perjuangan pemuda. Prof Hamka yang memetik pepatah ini menyebutkan,

”Anak laki-laki tidak boleh dihirau panjang, hidunya ialah buat berjuang, kalau perahunya telah dikayuhnya ke tengah, dia tak boleh surut palang, meski bagaiman besar gelombang. Biar kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebih mulia daripada berbalik haluan pulang” .

PENUTUP BICARA

Para muktamirin yang dikasihi,

Kita bermuktamar pada tahun ini selang dua minggu sebelum ketibaan Ramadhan, bulan al-Quran. Saya menyeru saudara semua supaya mngambil kesempatan daripada madrasah Ramadhan ini untuk kita kukuhkan kekuatan kita untuk perteguhkan kemenngan ini. Ramadhan adalah bulan dakwah, bulan maghfirah, bulan yang barkah dan juga bulan perjuangan. Janalah kekuatan individu setiap pemuda kita dan gerakkanlah kekuatan amal jamaie daripada roh Ramadhan kelak supaya Islam dapat bangkit semula sebagai ad-deen wa ad-daulah. Ramadhan ini sememangnya mampu untukmencetuskan semula revoution from within dalam gerakan kita,

”Wahai orang-orang yang beriman, sahutlah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepada kami”.

(Surah al-Anfal, ayat 24)

Sebagai akhirnya, marilah kita menjadikan muktamar kita ini sebagai medan muhasabah yang benar-benar bermanfaatkan untuk pembangunan Islam. Marilah kita bersama-sama memasang tekad dan azam untuk perjuangan PAS yang berdasarkan Islam terus relevan di pentas politik Malaysia. Saya merakamkan ribuan terima kasih kepada seluruh jentera kerja Dewan Pemuda PAS di semua peringkat di atas sokongan kepada kepemimpinan saya dalam merakyat perjuangan sepanjang setahun yang lepas. Kepada Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Nasharudin Mat Isa yang saban tahun bersama Dewan Pemuda PAS, para pimpinan Pemuda PR dan NGO yang bersama-sama dalam perjuangan mendaulatkan kuasa rakyat ini, para perwakilan yang membawa gagasan idea untuk memacu perjuangan, para panitia muktamar yang bertungkus lumus menjayakan muktamar ini, para dermawan dan para pemerhati yang mengikuti muktamar ini di seluruh dunia, sekali lagi saya merakamkan jutaan terima kasih daun keladi.

Semoga Allah merestui perjuangan kita dan membawa kita kepada kemenangan di medan jihad ini. Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat Kali Ke-49
Stadium Indra Mulia, Ipoh, Perak
Sya’ban 1429 / 13 dan 14 Ogos 2008

%d bloggers like this: