Harga minyak RM2, rakyat bayar cukai 38 sen seliter

Wan Nordin Wan Yaacob

Thu | Nov 20, 08 | 4:28:30 pm MYT

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Hrkh) – Kerajaan disifatkan seperti ‘Along’ yang memungut hutang apabila hanya menurunkan harga minyak pada kadar RM2 walaupun harga pasaran di pam ialah RM1.62 sen.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar kerajaan berbuat demikian hanya untuk mengutip kembali rebat tunai minyak yang pernah diberikan ketika harga minyak melambung beberapa bulan lalu.

“Kini kerajaan umpama Along, turunkan harga minyak jadi RM2, sedangkan Menteri KPDNHEP, Dato’ Shahrir Samad mengakui harga sepatutnya di pam ialah RM1.62 sen tanpa subsidi kerajaan,” kata Mahfuz ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut Mahfuz, dengan harga minyak RM2 juga, rakyat terpaksa membayar cukai kepada kerajaan sejumlah 38 sen seliter, dan inilah cara kerajaan mengutip kembali rebet yang pernah diberikan.

Tidak dinafikan kerajaan masih terus memberikan rebet tersebut hari ini apabila rakyat memperbaharui cukai jalan, namun sedikit demi sedikit kerajaan mengutipnya dengan cara cukai 38 sen seliter, dakwa Mahfuz.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkifly Ahmad bersetuju dengan fakta bahawa rakyat membayar harga minyak pada kadar RM2 seliter ini dengan turut membayar cukai kepada kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika mencelah dalam penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2009 bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di Parlimen padi tadi.

Mengulas lanjut perkara yang ditimbulkan di Dewan Rakyat itu, Dr Dzulkifly menyatakan, penyelididkan yang dibuat PAS mendapati rakyat sebenarnya tidak lagi perlu dibayar oleh kerajaan untuk menanggung harga minyak.

“Satu tong minyak mentah yang ada 159 liter tergantung kepada convertion ratio nya menunjukkan samada kita guna minyak mentah pada harga USD 60 atau USD 70 satu tong,

“Kedua-dua nya menunjukan harga pada pam (stesen minyak), kalau diambil kira USD 60 setong harga di pam ialah RM1.32 sen seliter, kalau harga ambil USD 70 setong maknanya RM1.64 sen seliter,” katanya.

Kini harga minyak berada pada sekitar USD 60 hingga USD 70 setong, justeru kata Dr Dzulkifly menyatakan kerajaan tidak lagi beri subsidi kepada rakyat.

Sebaliknya pada harga minyak di pam seliter RM2.00 yang diumumkan kerajaan hari ini makanya rakyat lah yang membayar cukai kepada kerajaan, katanya.

Dalam jawapannya, Menteri KPDNHEP, Dato’ Shahrir Samad mengakui hakikat yang dinyatakan Dr Dzulkifly bahawa harga minyak pada harga pam hari ini menyebabkan rakyat membayar cukai.

Ujar Shahrir, apapun yang dilakukan dalam perkiraana ia harus dimasukkan margin, seperti mana sebenarnya pada 17 November bila kita buat perkiraan harga purata mengikut USD 63.1 dan harga tanpa subsidi dalam RM1.62,

“Saya dah maklumkan, dan sebenarnya juga pada Oktober dua minggu pertama harga pada peringkat USD85.48 dan dua minggu akhir Oktober ialah pada 76.45 USD.

“Kalau kita lihat Oktober sahaja harga tanpa subsidi RM2.26 sen, ini bermakna harga komersil,. dan ketika itu dalam Oktober kita turunkan pada RM 2.15 sen,” jelas Shahrir.

Menurut Shahrir pada September harga tanpa subdsidi ialah pada RM2.77 sen tetapi harga di pam 2.45 sen sementara pada Ogos RM 2.85 sen namun kerajaan turunkan kepada RM2.55 sen.

Ujar Shahrir lagi, bagi bulan Ogos, September dan Oktober harga yang di pam ialah lebih rendah daripada harga komersil.

Dalam keadaan itu kerajaan memberikan subsidi yang dijanjikan di bawah skim penstrukturan semula subsidi, katanya.

Tetapi pada bulan Oktober harga minyak turun dengan cepat, subsidi yang ditawar kerajaan untuk petrol sahaja telah kurang daripada RM344 juta Spetember kepada RM15 juta.

Dalam kes penurunan pada bulan November hari ini harga pada RM2 bukanlah subsidi yang dibayar rakyat kepada kerajaan sebaliknya ialah cukai. _

Pemuda PAS lancar Kelab Penyokong Muda PAS

Anis Nazri | Foto Wan Zahari Wan Salleh

kelab-penyokong-muda-pas1KUALA LUMPUR, 16 Nov (Hrkh) – Pemuda PAS melangkah setapak lagi dalam arena politik semasa apabila melancarkan Kelab Penyokong Muda PAS, di pejabat parti itu, semalam.

Kelab tersebut ditubuhkan sebagai penghubung di antara PAS dengan masyarakat bukan Islam khususnya serta menambahkan kesedaran dan pemahaman terhadap peranan Pakatan Rakyat.

Kelab yang ditubuhkan melalui Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda PAS Pusat ini meletakkan syarat hanya mereka yang berumur 40 tahun ke bawah layak menyertai kelab ini.

Pengerusi Kelab Penaja Kelab Penyokong Muda PAS, Vincent Lee berkata, kelab ini ditubuhkan memandangkan PAS menerima permintaan daripada golongan muda, khususnya mereka yang bukan Islam.

“Melalui kelab ini, kita akan mengadakan ‘roadshow’ di setiap negeri bagi kempen mengumpulkan ahli menjelang 27 Nov ini, di mana kita mensasarkan sebanyak 100,000 ahli akan menyertai kelab ini,” kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, kelab ini bersifat lebih muda, berbanding Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan pada 2004 lebih menekankan aspek politik.

Katanya, melalui kelab ini, pelbagai program akan diadakan bagi mendapatkan lebih ramai ahli muda, selain meningkatkan tahap pemahaman golongan itu terhadap PAS.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, yang merasmikan kelab itu pula menyatakan bahawa kelab ini bakal memberi sumbangan besar kepada PAS sebagai pemangkin masa depan PAS.

“PAS serius dengan golongan bukan Islam, di mana PAS akan terus berhadapan dan menyelesaikan permasalahan orang bukan Islam memandangkan Islam memberi hak kepada semua, tanpa mengira kaum,” tegas beliau.

Tambah beliau, penubuhan Kelab Penyokong Muda ini akan diberikan peranan sewajarnya di bawah Lajnah Perpaduan, selain PAS akan sentiasa bersama mereka di saat susah dan senang.

Sementara itu, pada majlis pelancaran yang disempurnakan Salahuddin, para tetamu yang menghadiri majlis itu disajikan dengan tarian singa dan paluan Urumi Melam, satu muzik tradisional klasik kaum India.

Suasana meriah pada pelancaran itu menggamit minat dan menjadi tumpuan ramai pengguna jalan raya yang melalui Jalan Raja Laut untuk berhenti merakamkan gambar serta menerima informasi mengenai kelab berkenaan.

Turut hadir dalam majlis pelancaran kelab itu ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS, Nasaruddin Hassan; Naib Ketua Pemuda, Azman Shapawi; Setiausaha, Sabky Yusof dan anggota exco Pemuda PAS Pusat dan ahli Kelab Penyokong PAS. – mns_

%d bloggers like this: