Guna anak untuk hidup mewah?

Oleh NUR AISHAH MOHD AMIN
nuraishah.amin@kosmo.com.my

 

Apakah muslihat Daisy Fajarina di sebalik kemelut rumah tangga anaknya, Manohara Odelia Pinot dengan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry?


 

MUNGKIN kisah rumah tangga Manohara Odelia Pinot dan Tengku Muhammad Fakhry telah reda di Malaysia. Namun, sebaliknya berlaku di negara seberang, Indonesia. Kemelut rumah tangga keluarga diraja Kelantan itu masih hangat diperkatakan oleh media cetak dan media elektronik di sana.

Malah banyak pendedahan terbaru dan ulasan mengenai kisah itu turut dimuatkan dalam Internet. Antara blog yang turut membuat pendedahan itu beralamat di http://toughlane.blogspot.com. Blog itu mendedahkan bahawa, Manohara didakwa telah dipergunakan oleh ibunya sendiri untuk mendapatkan duit bagi kepentingan peribadi.

Laporan terbaru blog itu juga menyebut bahawa ibu Manohara, Daisy Fajarina (Daisy) terdesak melakukan apa sahaja untuk melepaskan dirinya daripada bebanan hutang dek kerana ingin terus hidup mewah.

Malah, hasrat si ibu yang ingin terus hidup mewah itu terbukti apabila dia menyuruh Manohara terlibat dalam penerbitan sinetron yang diberi judul Manohara yang mengisahkan tentang kehidupan anak gadisnya itu.

Bayaran yang diterima daripada penerbitan sinetron yang akan ditayangkan di salah sebuah stesen televisyen di Indonesia itu dilaporkan lumayan.


DAISY FAJARINA didakwa sanggup menfitnah menantu sendiri untuk kepentingan dirinya.


 

Blog itu turut mendakwa bahawa kisah yang dipaparkan di dalam sinetron itu adalah rekaan semata-mata. Ia dibuat bagi meraih simpati orang ramai kerana Daisy dikatakan mahu membalas dendam terhadap menantunya. Daisy dilaporkan marah kerana Tengku Muhammad Fakhry tidak memenuhi permintaannya yang menuntut sejumlah wang bagi kegunaan peribadi.

Pada awal cerita sensasi Manohara disiarkan kepada umum, Daisy menuduh Tengku Muhammad Fakhry melakukan penderaan terhadap anaknya. Tindakan Daisy hampir berjaya apabila masyarakat umum di Indonesia mempercayainya.

Tetapi setelah penafian dibuat dan disertakan bersama-sama bukti bahawa Manohara tidak diseksa, isu itu reda dengan sendirinya. Malah seorang peguam, Ratna Sarumpaet yang menawarkan diri untuk membantu Manohara turut menarik diri. Begitu juga seorang peguam lain, OC Kaligis yang turut menawarkan khidmat yang sama turut menarik diri. Ratna mendakwa Manohara dan ibunya tidak serius untuk membawa kes itu ke mahkamah manakala OC Kaligis menarik diri kerana sukar mengumpul bukti bahawa Manohara pernah didera oleh suaminya. Kes itu kini dikendalikan oleh seorang peguam lain, Hotman Paris Hutapea.

Sekiranya benar Manohara diseksa, nyatakan tarikh-tarikh dia diseksa. Dia juga perlu tampil dengan semua bukti dan nyatakan pada dunia supaya tiada siapa yang tertekan dalam isu ini.

Hakikatnya, terlalu banyak persoalan bermain sehingga mereka yang bijak boleh menilai sendiri apakah tujuan dan niat sebenar lakonan tiga beranak tersebut iaitu Daisy, Manohara dan adik tirinya, Dewi Sri Asih.


SATU laman web yang menceritakan perkembangan terkini Manohara.


 

Laman blog itu turut mendedahkan bahawa sehari sebelum Manohara pulang ke Jakarta, dia sempat berbelanja besar bersama suaminya. Apakah tujuan Manohara yang ketika itu sudah bercadang mahu melarikan diri dari suaminya keluar membeli-belah dan berbelanja besar.

Berbelanja besar sebelum melarikan diri itu sudah membuktikan sejauh mana kejujuran Manohara dan Daisy dalam kemelut ini.


SAAT-SAAT bahagia Manohara bersama Tengku Muhammad Fakhry sebelum melarikan diri ke Jakarta, Indonesia.


 


 

Blog itu juga mendakwa, tindakan Daisy yang membuat kecoh bahawa anaknya didera oleh Tengku Muhammad Fakhry adalah kerana mahu menutup kesalahan besar yang menghantui dirinya sendiri.

Antara kesalahan itu adalah Daisy merupakan individu yang dikehendaki oleh polis Interpol di Perancis bagi disoal siasat. Ia melibatkan satu kes pada tahun 2007. Jika sabit kesalahan, Daisy boleh dikenakan hukuman penjara 18 bulan. Apakah kes jenayah yang dilakukan oleh Daisy itu tidak pula dijelaskan oleh laman blog ini. Namun ada pihak mendakwa kes itu melibatkan tindakan Daisy membawa lari Manohara ketika anaknya berusia dua tahun.

Ini kerana Manohara bukanlah anak kepada suami Daisy sekarang, Reiner Pinot. Manohara sebenarnya lahir daripada perkahwinan Daisy dengan seorang lelaki warga Amerika Syarikat yang kini menetap di Kanada, George Man.

Daisy berkahwin dengan Reiner Pinot selepas bercerai dengan George.

George hanya mengenali anak kandungnya itu melalui liputan media yang heboh menceritakan kisah rumah tangga Manohara sejak beberapa bulan lalu.

Selepas mengetahui keadaan sebenar, George dilaporkan sedang berusaha untuk mendapatkan semula Manohara dan menuduh Daisy telah memberi pengaruh yang tidak baik kepada Manohara.


PEGUAM kepada Tengku Muhammad Fakhry, Mohd. Haaziq Pillay (kanan) bercakap sesuatu dengan Mohd. Soberi Shafii.


 

Laman blog itu turut menyebut bahawa George yang kini merupakan seorang ahli perniagaan pernah memberi kemewahan kepada Daisy.

Dalam pada itu, sahabat baik kepada Tengku Muhammad Fakhry, Mohd. Soberi Shafii ketika dihubungi Kosmo! berkata: “Rumah tangga Manohara dan Tengku Temenggong atau lebih mesra disapa sebagai TT tidak ada sebarang masalah.

“Sebaliknya, Daisy yang menimbulkan kekecohan dan mempengaruhi Manohara demi kepentingan dirinya sendiri.”


SEBAHAGIAN rakyat Indonesia mengadakan tunjuk perasaan di depan Kedutaan Malaysia di Indonesia.


 

Katanya, TT telah menjalankan tanggungjawab sebagai suami yang baik sama ada dalam aspek zahir mahupun batin.

Lebih dikesalkan, setelah pelbagai kemahuan dan kemewahan diberi kepada Manohara, dia mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak pernah mendapat harta TT.

“Disebabkan itu, TT kini mengumpul semua resit bagi membuktikan apa yang telah diberi kepada Manohara, termasuk pembelian sebuah kereta Alphard yang diberi pada awal perkahwinan mereka dahulu,” ujarnya.


WAJAH-WAJAH jelita Manohara. Apakah yang terselindung di sebalik kecantikan wajahnya?

Nasib isteri didera

Tahap pendidikan dan status dalam kalangan masyarakat elit India memberikan isteri sedikit perlindungan, berbanding dengan suami.


WANITA miskin di India paling menderita kerana mereka tidak mampu meninggalkan suami.


 

DENGAN cermin mata hitam penuh bergaya di atas kepala, kuku yang dicat warna terang dan memakai pakaian berjenama terkenal berwarna hitam, wanita yang duduk di sebuah kafe terkemuka di New Delhi, India itu tidak kelihatan seperti seorang isteri yang menjadi mangsa dera.

Ironinya, wanita berusia 37 tahun yang meminta namanya tidak disiarkan demi melindungi identiti diri dan anak-anaknya sebenarnya telah didera selama bertahun-tahun oleh suaminya, seorang peguam yang kaya.

“Dia mencekik, menampar dan meludah saya,” kata ibu kepada dua orang anak yang tinggal di sebuah kawasan mewah.

Dia merupakan salah seorang daripada jutaan wanita India dari semua kasta kehidupan yang didera oleh suami masing-masing. Kaji selidik kerajaan terkini menunjukkan seorang daripada tiga wanita India menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Tahap pendidikan dan status dalam kalangan masyarakat elit India memberikannya hanya sedikit perlindungan, berbanding dengan suaminya yang mempunyai rangkaian hubungan dengan orang berpengaruh.

Selepas bertahun-tahun didera, dia menyeret suaminya ke mahkamah di bawah Akta Keganasan Domestik yang bertanggungjawab melindungi mangsa dera dan menjatuhkan hukuman berat kepada pendera. Malangnya, sehingga kini, akta itu tidak banyak membantunya.

“Undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 2006 itu tidak diambil serius. Banyak kes yang sama ditangguhkan, termasuklah kes ini,” kata peguam wanita malang itu, K.K. Manan.

Pada tahun 2007, sebanyak 185,312 kes jenayah ke atas wanita telah dilaporkan, berbanding dengan 164,765 kes pada tahun sebelumnya. Kumpulan hak asasi menyatakan lebih banyak kes tidak dilaporkan.

Keganasan rumah tangga sudah lama menjadi tatapan masyarakat. Malah pihak media sering memaparkan kes-kes isteri dipukul kerana masalah mas kahwin, selain didera dan dibunuh, terutamanya di kawasan-kawasan penduduk miskin.

Kepesatan ekonomi India telah meningkatkan jumlah wanita yang berjaya dan berpengaruh. Mereka biasanya mempunyai kerjaya dan menikmati lebih banyak kebebasan berbanding dengan generasi ibu bapa. Golongan ini juga memakai pakaian barat, selain makan di restoran dan berhibur di bar serta kelab-kelab malam.

Perubahan ini kadangkala bertentangan dengan elemen-elemen kekangan yang kekal diamalkan secara meluas dalam masyarakat konservatif di India. Malah, dalam kalangan golongan atasan, kebebasan wanita boleh menjadi sangat terhad.

Akta keganasan rumah tangga digubal buat pertama kalinya untuk memberi perlindungan dan pampasan terhadap semua jenis penderaan di rumah, termasuk berbentuk fizikal, seksual, kata-kata, emosi atau ekonomi.

Misalnya, sebelum ini, suami tidak boleh didakwa atas tuduhan merogol isteri, melainkan isteri mereka berusia bawah 15 tahun. Undang-undang baru itu bermatlamat menjatuhkan hukuman dalam tempoh 60 hari selepas perbicaraan pertama.

Tetapi, selepas setahun kemudian, kes wanita teraniaya ini masih tertangguh. Awal Mac lalu, dia terpaksa tampil sekali di mahkamah khas wanita di New Delhi.

WANITA ini meminta namanya tidak disiarkan demi melindungi identiti diri dan anak-anaknya.


 

Dari bilik peguamnya yang sempit, dia berjalan melepasi barisan pekerja yang masih menggunakan mesin taip untuk menyiapkan kerja, sebelum memanjat anak-anak tangga yang kotor untuk masuk ke bilik mahkamah bagi membolehkan kesnya didengar.

“Wanita tidak dilindungi oleh akta ini. Semua wanita mangsa keganasan rumah tangga terpaksa melalui proses mahkamah yang panjang, selain yuran guaman yang sangat mahal. Di negara ini, semuanya mengenai wang dan kuasa. Anda boleh membeli sesiapa sahaja,” ujarnya.

Sekali lagi, suami dan penasihat undang-undangnya tidak hadir di mahkamah. Namun, hakim tetap mendengar kes itu tanpa kehadiran mereka.

Pada bulan ini, dia masih menunggu kes untuk didengar sekali lagi. Biasanya, kes akan ditangguhkan sekiranya tertuduh tidak hadir di mahkamah.

Salah seorang daripada pasukan peguamnya memberitahu, tidak banyak hukuman dijatuhkan ke atas suami yang mendera. Kebanyakannya kerana penangguhan seperti ini.

Sikap acuh tidak acuh terhadap jenayah keganasan domestik di India tidak banyak berubah. Justeru, keadilannya masih samar-samar dan sukar dilaksanakan.

Kaji selidik terbaru yang dijalankan oleh kerajaan mendapati 54 peratus wanita, berbanding 51 peratus lelaki menyatakan memukul isteri dibolehkan dalam beberapa keadaan.

“Malah, masih wujud pegangan dalam masyarakat India bahawa wanita membuat laporan salah tentang masalah penderaan,” jelas Manan.

“Stigma tetap timbul dalam kalangan janda dan wanita yang membuat laporan menentang keluarganya,” kata Naib Pengerusi Pusat Pengajian Wanita, Kumud Sharma.

“Pandangan mengenai maruah, tidak boleh menentang keluarga atau ahli keluarga menghalang ramai wanita membuat laporan,” tambahnya.

Salah seorang rakannya cuba untuk bercerai dengan suami yang suka mendera. Suaminya yang merupakan seorang pemaju hartanah kaya dikahwininya menerusi perkahwinan yang dirancang keluarga ketika dia berusia 19 tahun.

Apabila dia ingin meninggalkan suaminya selepas 11 tahun berdepan dengan penderaan fizikal dan tahu suami mempunyai hubungan sulit, keluarganya mengheretnya kembali ke pangkuan lelaki tersebut.

“Saya dipaksa masuk ke dalam kereta. Mereka mengunci saya di dalam bilik apabila sampai di rumahnya,” katanya.

Wanita itu yang turut meminta namanya tidak didedahkan demi melindungi identiti diri dan anak perempuannya, akhirnya berjaya meninggalkan suaminya. Kesnya begitu lambat untuk diselesaikan kerana sistem itu disifatkannya sebagai ‘perlahan seperti siput’.

Isteri-isteri mangsa penderaan itu memberitahu suami mereka yang kaya menggunakan wang dan pengaruh untuk melambat-lambatkan prosiding kes di mahkamah. Selain itu, rasuah menjadi satu helah yang paling biasa digunakan.

Wanita miskin paling menderita kerana mereka tidak mampu meninggalkan suami. Namun begitu, para aktivis menegaskan keganasan rumah tangga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada kaya atau miskin. – Reuters

Rumah berbau kapur barus

Oleh DEWI ABDUL RAHMAN

 

Tiba-tiba terbau kapur barus menjadi ‘alamat’ kepada Abdullah Abdul Jalil, 25, tentang ada lubang kubur yang perlu digalinya.


 


 

BEKERJA sebagai penggali kubur secara sepenuh masa bukan sahaja tidak glamor malah sering dikaitkan dengan unsur mistik dan alam ghaib. Tetapi bagaimana jika anda bertemu dengan seorang pemuda kota yang menjadikannya sebagai kerjaya sejak berumur 20 tahun?

Abdullah Abdul Jalil, 25, tidak malu untuk mengaku dia ialah penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

“Ramai orang kata muda-muda lagi dah jadi penggali kubur. Sebenarnya kedua-dua ibu bapa saya bertugas di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan terlibat dalam pengurusan jenazah.

“Kadangkala apabila kekurangan kakitangan, mereka akan membawa saya bersama untuk membantu,” cerita Abdullah tentang bagaimana dia boleh terlibat dalam bidang ini.

Sebelum ini, seperti remaja kota yang lain, melepak di pusat beli-belah menjadi rutin Abdullah.

“Boleh dikatakan saya seorang kutu rayau dan gemar bersosial. Biasalah bila ada motosikal, semua kompleks beli-belah dan taman bunga di Kuala Lumpur jadi tempat saya dan kawan-kawan melepak. Pantang tengok perempuan, cepat saja saya mengusik,” kenangnya.

Berbaring di liang lahad

Tawaran bekerja sebagai penggali kubur datang kepadanya setelah bertunang dengan kekasih hati, Farah Jaafar. Memikirkan tanggjungjawab yang bakal dipikul, Abdullah menerima tawaran itu. Mereka akhirnya berkahwin pada usia 17 tahun.

“Yelah siapa sanggup terlibat dengan kerja macam tu? Namun setelah berfikir panjang, hati saya terbuka untuk melakukannya,” katanya yang kini memiliki empat cahaya mata.

Masa bekerja sebagai penggali kubur tidak menentu. Kata Abdullah, dia perlu sentiasa bersedia, tidak kira siang atau malam.

“Pernah saya terpaksa menggali kubur pada pagi Hari Raya kerana berlaku kematian pada hari itu,” akuinya.

Berjemur di bawah panas matahari dan lencun dek hujan lebat juga perkara biasa baginya. Kadangkala dia perlu memasang khemah bertemankan lampu pada waktu malam.

Bukan Abdullah tidak pernah bekerja sebelum ini. Bekerja di hotel dan pasar raya juga sudah dicuba. Begitupun, menggali kubur adalah pekerjaannya yang paling lama setakat ini.

“Sudah lima tahun saya melakukan kerja ini. Saya bangga dapat melakukannya. Bagi saya, inilah jalan hidup saya. Saya bertuah kerana terpilih.

“Kerja ini merupakan fardu kifayah. Saya mewakili kelompok masyarakat yang saya diami. Ia juga satu kesempatan untuk saya memberi penghormatan terakhir kepada jenazah,” katanya.

Bagi Abdullah, biarpun roh sudah terpisah, jasad itu masih dapat merasai segala urusan ke atas dirinya. Jadi jenazah itu perlu diuruskan secara terhormat termasuk ketika hendak memasukkannya ke dalam liang lahad.

Kerana ingin merasai detik-detik dikebumikan, Abdullah pernah berbaring di dalam liang lahad yang telah siap digali.

“Saya tutup diri saya dengan papan lahad untuk mengalami sendiri keadaan di dalam kubur,” cerita lelaki ini.

Menurut Abdullah, ukuran semua kubur adalah sama iaitu dalam dan panjangnya 2 meter manakala lebarnya 0.6 meter.

“Tak pernah lagi kubur yang saya gali itu tidak menepati saiz jenazah,” ujar Abdullah yang selalunya akan dibantu oleh seorang lagi penggali kubur di situ.

Dengan dua kudrat tersebut dan sekadar berbekalkan cangkul serta penyodok, sebuah kubur boleh siap digali dalam masa dua jam.

Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara dikhususkan untuk masyarakat Islam yang tinggal di Bangsar dan Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

“Banyak lubang kubur yang telah saya gali termasuk untuk bekas menteri, Allahyarham Tan Sri Megat Junid.”

Tinggal di kawasan kubur


BAGI merasai pengalaman dikuburkan, Abdullah memberanikan diri berbaring di dalam lubang kubur yang digalinya sendiri.


 

Menariknya, Abdullah sekeluarga juga tinggal di dalam kawasan perkuburan.

Ditanya sama ada dia pernah mengalami kejadian pelik, Abdullah menjawab tidak pernah. Namun, dia menyambung: “Tetapi isteri saya pernah menceritakan yang dia nampak saya berbaring di ruang tamu sedangkan ketika itu saya sedang menguruskan satu jenazah di kubur.”

Tidak lama dahulu, salah seorang anak Abdullah selalu diserang demam panas jika meninggalkan rumah lebih daripada sehari, namun akan baik semula bila pulang ke rumah.

“Selepas merujuk kepada pengamal perubatan Islam, mereka kata ada ‘benda’ yang sukakan anak saya dan tidak mahu dia meninggalkan pekarangan rumah,” ceritanya yang bersyukur kerana persekitaran tempat tinggalnya mengingatkan dia sekeluarga kepada kebesaran-Nya.

Satu lagi keistimewaan Abdullah ialah dia seperti mendapat ‘tanda’ ada jenazah yang perlu diuruskannya.

“Saya hanya menyedari tanda-tanda ini setelah setahun menjadi penggali kubur iaitu jika saya mengalami sakit-sakit badan dan terhidu bau kapur barus di dalam rumah, pasti ada jenazah yang bakal saya uruskan pada esoknya,” jelas Abdullah.

Seks pelik punca mati pucuk

90 peratus lelaki akil baligh di negara ini pernah melakukan onani, dan trend itu, menurut Bonda, bakal menyebabkan lelaki Malaysia ‘pupus’.


 


 

AMIR (bukan nama sebenar) kini berumur 21 tahun. Dia yang berasal dari Kuala Lumpur datang daripada keluarga berada. Namun dia mempunyai kisah hitam tersendiri.

Sejak akil baligh pada usia lapan tahun, dia gemar melakukan hubungan seks luar tabii. Malah apabila umur Amir berganjak 16 tahun, dia obses melayari laman web lucah.

Lebih mengejutkan, dia turut mendapatkan pam vakum erotik untuk memuaskan nafsu. Tetapi tindakan itu ternyata memudaratkan dirinya sendiri.

Pam vakum ereksi senang diperoleh melalui Internet. Ia merupakan alat yang dipercayai dapat memanjangkan serta membesarkan zakar.

Bukan Amir sahaja yang menggunakan alat tersebut bahkan abang serta rakannya.

Malangnya, alat itu menyebabkan kerosakan alat kelamin hingga air mani kerap meleleh selain merosakkan saraf zakar.

Amit ternyata kesal, tetapi mujurlah pakar perubatan tradisional, Ummul Hanna, 60, atau lebih dikenali sebagai Bonda berjaya memulihkannya.

Berdasarkan pengalaman Bonda selama lebih 30 tahun merawat ribuan zakar di negara ini, lelaki Malaysia sememangnya obses dengan seks.

Namun, ia perlu dilakukan mengikut saluran yang betul dan jangan melakukan onani.

“Sebahagian besar kes zakar bermasalah yang saya terima disebabkan onani. Malah saya yakin 90 peratus lelaki baligh di negara ini melakukan onani tidak kira remaja atau orang tua.


BONDA mengingatkan kaum lelaki supaya melampiaskan keinginan syahwat dengan cara yang betul.


 

“Hakikatnya tindakan itu berbahaya kerana boleh merosakkan zakar. Ini termasuk kerandut zakar menjadi keras dan berkeping sekali gus menjejaskan fungsi aliran air kencing,” katanya.

Bonda juga menolak mitos amalan onani bagi membuang sperma yang tidak berkualiti selain ‘mencuci’ bahagian kemaluan itu.


PENJUALAN ubat dan produk seksual secara terbuka mungkin membuktikan lelaki Malaysia obses seks.


 

“Tiada bukti sahih baik tradisional mahupun saintifik yang mengesahkan perkara tersebut. Malah ia hanya pembohongan semata-mata selain dilarang dari sudut agama.

“Golongan lelaki perlu melampias seks dengan cara yang baik dan kaedah yang betul. Jangan malu bertanya kepada mereka yang pakar tentang masalah seks kerana jika tersilap langkah ia boleh memudaratkan diri,” ujar Bonda lagi.

Rentung selepas limousin meletup


ANGGOTA polis dan bomba memeriksa limousin yang meletup dan mengorbankan seorang lelaki dipercayai pemandunya di pangsapuri Skyvilla, Serdang Jaya semalam.


 

SERDANG – Seorang pengawal keselamatan terkejut menyaksikan sebuah limousin tiba-tiba mengeluarkan asap sebelum meletup menerusi skrin kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di tempat letak kereta Apartmen Skyvilla di sini awal pagi semalam.

Kejadian pada pukul 7 pagi itu turut menyebabkan beberapa buah kenderaan lain berdekatan hangus dan rosak.

Pengawal keselamatan itu bertindak menghubungi polis dan bomba yang tiba setengah jam kemudian dan menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan rentung di tempat duduk pemandu.

350 agensi amah tanggung rugi RM13j

Oleh SYED AHMAD ZULKARNAIN
SYED ALI

 

KUALA LUMPUR – Sebahagian besar 350 agensi pembantu rumah asing bakal mengalami kerugian kira-kira RM13 juta dan bersedia untuk gulung tikar jika pemerintah Indonesia meneruskan polisi menghentikan penghantaran pekerja sektor itu ke Malaysia.

Naib Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA), Jeffrey Foo berkata, kerugian itu adalah dalam bentuk deposit yang sudah dibayar kepada ejen-ejen pembantu rumah di republik berkenaan.

“Setiap agensi pembantu rumah di Malaysia mesti membayar deposit RM2,500 untuk mendapatkan seorang amah dari ejen di Indonesia.

“Secara purata kami membawa masuk kira-kira 5,000 amah setiap bulan dan jika didarab dengan deposit jumlah kerugian itu jumlahnya ialah RM13 juta,” katanya pada satu sidang akhbar di sini semalam.

35 lagi mangsa baru selesema babi


 

KUALA LUMPUR – Sebanyak 35 lagi kes baru selesema babi atau influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga semalam dengan 24 kes import manakala 11 lagi kes jangkitan tempatan.

Jumlah itu menjadikan mangsa wabak selesema babi di negara ini meningkat kepada 326 kes.

Daripada 326 pesakit, sebanyak 239 atau 73 peratus telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital sementara 87 orang masih dirawat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican dalam kenyataannya semalam menjelaskan, kes baru semalam membabitkan 28 warga tempatan dan tujuh rakyat asing.

3.7 juta layak mengundi tapi tidak mendaftar

KOTA BHARU – Seramai 3.7 juta daripada 27 juta rakyat di negara ini yang layak mendaftar sebagai pemilih didapati tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ngah Senik.

Katanya, situasi itu membimbangkan kerana masih ramai golongan muda berusia 21 hingga 39 tahun belum sedar hak mereka sebagai pemilih untuk menentukan masa depan dan kelangsungan proses demokrasi negara.

“Berdasarkan jumlah pemilih yang dikemas kini SPR sehingga 31 Mac tahun ini, hanya 11 juta rakyat yang didapati mendaftarkan diri sebagai pemilih apabila mencapai umur 21 tahun.

“Seramai 3.7 lagi tidak mendaftar. Ini jumlah yang besar dan boleh memberi kesan kepada kelancaran perjalanan proses demokrasi negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat kepada media mengenai Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai di sini semalam.

5,000 pelabur kempunan – Bos syarikat pengurusan data lesap bersama pelaburan lebih RM10 juta

Oleh MOHD. TURMADZI
MADUN

 


 

KUALA LUMPUR – Alasan yang diberi kononnya menghadiri majlis pengebumian pada 31 Jun lalu tetapi rupa-rupanya beberapa orang pegawai sebuah syarikat pengurusan data terus ‘lesap’ bersama wang pelaburan orang ramai yang dipercayai berjumlah lebih RM10 juta.

Beberapa mangsa membuat dakwaan itu selepas yakin mereka adalah sebahagian daripada 5,000 pelabur yang ditipu oleh sebuah syarikat perkhidmatan penyumberan luar perniagaan (BPO) yang beroperasi di sebuah pejabat di Jalan Tun Razak di sini.

Setiap mangsa telah membayar RM1,040 untuk satu akaun dan diberi kata laluan bagi mengakses laman web syarikat berkenaan.

Mangsa kemudian menggunakan akaun itu untuk memasukkan data jualan Internet bagi rangkaian pasar raya terkemuka Walmart di Amerika Syarikat dengan janji pulangan RM600 sebulan untuk setiap akaun.

Janji manis itu nyata mengaburi mata sesetengah pelabur sehingga ada yang sanggup berhenti kerja dan meminjam daripada ah long untuk membuka sehingga 30 akaun.

Ubat bius ditemui di rumah Jacko


DUA buah kenderaan media diletakkan di luar Forest Lawn, Los Angeles kelmarin iaitu kawasan perkuburan yang dilaporkan akan menjadi tempat pengebumian jenazah Jacko.


 


 

UBAT bius yang selalu digunakan dalam bilik pembedahan di hospital dengan tujuan untuk menjadikan pesakit tidak sedarkan diri telah ditemui dalam rumah penyanyi Michael Jackson di Los Angeles.

Pendedahan itu dibuat oleh seorang pegawai penguat kuasa yang disiarkan oleh media kelmarin ketika pihak bandar raya Los Angeles melakukan persiapan bagi mengendalikan majlis penghormatan terakhir penyanyi tersebut.

Ubat yang ditemui itu ialah Diprivan yang turut dikenali dengan nama Propofol tetapi amat jarang disimpan di sesebuah rumah.

Bagaimanapun, seorang jurucakap polis Los Angeles, Leftenan John Romero enggan memberikan maklumat dengan lebih lanjut.

“Siasatan masih dilakukan,” katanya.

Punca kematian Michael yang dikenali dengan panggilan mesra Jacko masih belum diketahui walaupun majlis pengebumiannya akan diadakan pada Selasa ini.

Sementara itu, seorang lagi pegawai polis, Earl Paysinger berkata, antara 250,000 hingga 700,000 orang dijangka berada di Pusat Staples di sini bagi menyaksikan majlis penghormatan terakhir Jacko.

Seorang anggota majlis bandar raya itu, Jan Perry meminta orang ramai supaya tidak keluar rumah dan menyaksikan majlis pengebumian itu menerusi televisyen. – AP

%d bloggers like this: