Manek Urai: Antara Penjual Ikan dan Pengurus KESEDAR…

Hari ini menyaksikan permulaan bagi pertarungan yang sengit antara dua jenama siasah iaitu Barisan Nasional dan PAS bagi merebut kerusi di DUN Manek Urai apabila calon PAS iaitu Haji Mohd Fauzi AbduLLAH dan calon BN iaitu Tuan Aziz Tuan Mat turun ke gelanggang demokrasi semasa di sesi penamaan calon yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra pagi tadi.

Sekitar penamaan calon pagi tadi, Mohd Fauzi ataupun nama mesra beliau Abe Uji diiringi oleh 10 ribu orang penyokong. Apa yang menjadikan suasana lebih hangat dan lebih mendatangkan semangat lagi ialah apabila pimpinan PAS seperti Tuan Guru Mursyidul ‘Am Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Presiden Haji Abdul Hadi Awang, Dato’ Mahfuz Omar, YB Salahuddin Ayub, Dato’ Mustafa Ali serta pimpinan Pakatan Rakyat yang lain turut turun padang.

‘Belang’ daripada pihak BN juga tidak kurang hebatnya apabila Tuan Aziz turut diiringi oleh sekitar 2 ribu orang penyokong UMNO-BN serta turut ‘diserikan’ lagi dengan kehadiran pimpinan tertinggi UMNO iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tengku Adnan Mansor, Dato’ Seri Shafie Apdal, Dato’ Mustafa Mohamad dan Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Apa yang pasti, sesi pembuangan undi yang bakal berlangsung pada 14 Julai itu bakal menyaksikan perlawanan yang menarik antara BN yang mahu merampas Manek Urai yang merupakan kubu kuat PAS dengan yang sememangnya mendapat sokongan dan kepercayaan yang ramai.

Diharapkan suasana sepanjang siri kempen yang diadakan serta di hari pembuangan undi nanti menyaksikan pertarungan yang adil, tanpa sebarang sandiwara permainan lama buah mainan SPR dan BN serta dihadapi dalam keadaan yang gentlemen.

Mari kita berkenalan sejenak bersama dengan kedua-dua calon yang bakal bertanding di Manek Urai.

“Abe Uji oghe kito”

-dipetik dari Harakahdaily.net

Calon PAS di Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah sudah tidak asing lagi di kalangan penduduk yang tinggal Kuala Krai. Peranannya tidak kecil dalam usaha membangunkan bandar Kuala Krai.

Sebelum ini beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Lalulintas Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) dan sekarang dilantik pula pengerusi bahagian perlesenan yang bertanggungjawab kepada peniaga.

Malah pada penggal lalu beliau dilantik kerajaan negeri sebagai Penyelia Dun Guchil.

Mohd Fauzi atau yang lebih dikenali sebagai Abe Uji berkata, MDKK menyedari laluan Kuala Krai ke Gua Musang sering berlaku kesesakan pada musim perayaan memandangkan ramai anak perantau pulang ke kampung.

Katanya laluan tersebut sering berlaku kemalangan jalanraya disebabkan pemandu memandu laju dan memotong kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya.

Beliau berkata, kawasan yang sering berlakunya kemalangan iaitu di kawasan Hentian Rehat Damai ke Padang Sembilan, kawasan Sekolah Menengah Pahi, sekitar Sekolah Kebangsaan Peria, cabang tiga Sungai Sok, kawasan pemeriksaan JPJ di Laloh dan simpang di Lela Jasa.

“Oleh itu saya berharap di musim pilihan raya kecil di Dun Manek Urai sekarang pengguna jalan raya hendaklah sentiasa berhati-hati dengan mengurangkan kelajuan memandangkan banyak kegiatan diadakan sempena pilihan raya sekarang,” katanya selepas merasmikan program konvoi bermotor Belia Manek Urai di perkarangan masjid Kampung Peria, hari ini.

Beliau juga berharap golongan belia usah terlalu ghairah semasa berada di jalan raya sempena kempen pilihan raya sekarang bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

“Saya berharap belia dan remaja di Dun Manek Urai ini mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak menjadikan jalan raya sebagai gelanggang untuk berlumba.

“Kalau boleh belia hendaklah menjadikan masjid sebagai tempat berkumpul di samping menimba ilmu agama melalui kuliah-kuliah agama yang diadakan.

“Dengan menjadikan masjid sebagai tempat berkumpul, belia dapat menghindarkan masalah sosial dan seterusnya mendisiplinkan diri melawan segala ancaman yang membolehkan membinasakan diri sendiri,” ujarnya.

“Calon BN di Manek Urai bukan penjual ikan”-Muhyiddin Yassin

-dipetik dari Mstar online.

Pengurus Bahagian Pemantauan Projek Kesedar Tuan Aziz Tuan Mat dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, 14 Julai ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil Manek Urai Datuk Mustapa Mohamed, Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Puteri Datuk Rosnah Rashid Shirlin, pimpinan Umno dan parti komponen tempatan.

Muhyiddin berkata seluruh pimpinan parti yakin Tuan Aziz dan jentera pilihan raya yang diketuai Mustapa, dapat menebus kekalahan BN di kerusi itu pada pilihan raya Umum 8 Mac tahun lalu.

Calon kita nak bela umat Islam dan bawa obor perpaduan. Beliau seorang yang berpengalaman, ada rekod kerja yang baik di sini, bukan seorang penjual ikan, dan berkelulusan tinggi.

“Penting untuk pilih calon yang berilmu kerana dialah yang nak bimbing masyarakat di sini, tak ada ilmu bahaya kerana mungkin dia terseleweng,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata mungkin ramai yang memandang sinis jika BN menang di Manek Urai kerana wakil rakyat BN hanyalah pembangkang dalam DUN Kelantan malahan ia langsung tidak akan menjejaskan struktur kerajaan negeri yang dipimpin PAS.

Namun, tegas beliau, wakil rakyat BN di Kelantan disokong oleh kerajaan Pusat.”Dia calon BN. Saya sendiri akan bantu jadikan Manek Urai simbol kebangkitan semula Umno dan BN. Dalam masa yang sama, kita akan lihat bagaimana kawasan ini boleh dimajukan,” katanya.

Katanya sejak dari awal penubuhannya, BN yang ditunjangi Umno terbukti mampu membela nasib rakyat seluruh negara dan tradisi itu akan tetap diteruskan.

“Kita akan teruskan perjuangan pemimpin terdahulu, untuk bangunkan negara dengan dasar yang jelas, iaitu setiap lapisan masyarakat mendapat pembelaan adil dan saksama.

“Niat kita jelas, pembelaan rakyat diteruskan di bawah payung Umno dan BN. Jadi kita mahu Manek Urai dikuasi sekali lagi oleh Umno dan BN,” katanya.

PAS mengumumkan calonnya, Mohd Fauzi Abdullah, 50, seorang pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai yang juga Bendahari PAS Bahagian Kuala Krai pada malam Jumaat lepas.

Pilihan raya kecil DUN Manek Urai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lepas akibat serangan jantung. Hari penamaan calon pilihan raya kecil itu diadakan pada 6 Julai dan jika ada pertandingan hari pengundian ditetapkan pada 14 Julai.

Ulasan Pemuda Sarawak:

Mengulas serba sedikit mengenai Manek Urai, saya teringat satu hadith Nabi SAW yang bermaksud:

Dengar dan taatlah walaupun yang memimpin kamu itu adalah seorang hamba keturunan Habsyi yang kepalanya seperti buah kismis” – (Hadith riwayat Bukhari dan Ahmad).

Mungkin Muhyiddin terlupa akan hadith ini, sehingga beliau mengeluarkan kenyataan sinis calon PAS ialah penjual ikan. Mungkin beliau juga terlupa bahawa Nabi Muhammad SAW serta Nabi-nabi yang lain menjadikan perniagaan sebagai mata pencarian. Nabi Muhammad seorang saudagar tetapi boleh sahaja menjadi ketua negara.

Beliau kata pemimpin mestilah dari kalangan yang berilmu. Sedarlah bahawa orang tinggi ilmu tidak semestinya perlu jadi Pengurus Kesedar. Dan tidak semestinya berjawatan tinggi itu sudah terlalu baik untuk menjadi pemimpin. Beliau patut lihat sendiri hal keadaannya pemimpin UMNO-BN yang sekian ramai berilmu, belajar tinggi jauh-jauh tetapi menyesatkan orang juga – (sesat di sini bukanlah bermaksud menyesatkan orang jadi kafir. Ajar orang benda yang tak betul pun menyesatkan juga!)
Dan hadith ini juga patut menjadi pedoman bagi UMNO-BN serta mana-mana pihak yang bermati-matian mahu memperjuangkan dasar kebangsaan, di mana RasuluLLAH SAW bersabda yang bermaksud:

Bukan daripada golongan kami mereka yang menyeru kepada asobiyyah (fanatik kaum, bangsa atau kumpulan). Bukan daripada kami mereka yang berperang atas dasar asobiyyah. Dan bukan daripada kami mereka yang mati atas landasan asobiyyah” (Hadith Riwayat Abu Daud).

Di dalam kitabnya “Muqaddimah ‘Aqidah Muslimin”, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menerangkan salah satu daripada faktor yang menyebabkan batalnya Syahadah seseorang itu, iaitu apabila beramal kerana yang lain daripada ALLAH SWT.

Merujuk kepada Hadith yang sama, Ustaz Abdul Hadi Awang menyebut di dalam kitabnya itu,:

Bahawasanya yang dikatakan ibadat itu tidaklah khusus kepada solat, puasa, zakat dan haji sahaja bahkan semua amal soleh yang diqasadkan kerana ALLAH SWT adalah juga dikira ibadat dan amal-amal yang seperti itu kalau diqasadkan kerana yang lain tanpa izinNya maka dianggap syirik. Sesungguhnya amal yang telah menjadikan seseorang itu syirik adalah terlalu banyak, di antaranya ialah beramal di atas dasar kebangsaan (nasionalisme) atau perkauman.

Di dalam hadith yang sama, dengan tambahan riwayat daripada Imam Muslim, Abu Daud dan An-Nasa’ie:

Para sahabat bertanya kepada RasuluLLAH SAW, “Apakah dia asobiyyah itu wahai RasuluLLAH SAW?”

Baginda menjawab: “Asobiyyah itu ialah kamu menolong kaummu di atas dasar kezaliman”.

Maka sebelum mengundi, fikir-fikirkanlah bahawa dengan tangan kurniaan ALLAH SWT ini yang mana satu kita nak pangkah!

%d bloggers like this: