Tambang baru pengangkutan awam

KUALA LUMPUR: Tambang untuk pengangkutan awam bagi bas ekspres, bas berhenti-henti, bas sekolah, teksi dan kereta sewa di seluruh negara dinaikkan berkuatkuasa 1 Ogos.

Kenaikan tambang bagi semua jenis bas dan teksi ialah antara dua sen dan RM10.

Bagi bas sekolah pula, kadarnya naik antara dua sen dan maksimum RM31.70.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mengumumkan perkara itu di sini hari ini berkata Kabinet telah bersetuju dengan kenaikan kadar tambang baru itu dalam mesyuaratnya pada 17 Jun lalu.Menurutnya tambang bas ekspres naik dua sen setiap km kepada 8.5 sen daripada 6.5 sen setiap km sebelum ini.Sebagai tambahan, tambang bas ekspres bagi kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 12 tahun dinaikkan daripada 50 peratus kepada 75 peratus berbanding kadar tambang yang ditetapkan.

Bagaimanapun, potongan harga sebanyak 25 peratus diberikan kepada orang kurang upaya (OKU) dan warga tua yang berumur 60 tahun ke atas yang menggunakan perkhidmatan itu.

Bas berhenti-henti untuk Kuala Lumpur Zon 1 naik 25 sen kepada antara RM1 dan RM1.10, 40 hingga 45 sen kepada antara RM1.70 dan RM1.90 bagi Zon 2, 50 hingga 60 sen kepada antara RM2.20 dan RM2.50 bagi ZOn 3. Bagi Zon 4, kadarnya naik antara 60 dan 70 sen kepada RM2.70 hingga RM3.10.

Bagi kawasan di luar Kuala Lumpur, kenaikannya ialah 14 sen kepada 62 sen bagi dua km pertama bagi bas tanpa hawa dingin dan 22 sen kepada 94 sen bagi dua km pertama untuk bas berhawa dingin. Kadar kenaikan bagi setiap km berikutnya bagi kedua-dua kategori ialah 2.2 sen.

Sebagai tambahan, OKU dan warga tua yang berumur 60 tahun ke atas yang menggunakan perkhidmatan bas berhenti-henti itu diberi potongan harga sebanyak 50 peratus.

Bagi bas mini pula, kenaikan ialah 20 sen, menjadikannya 90 sen satu arah perjalanan bagi bas tanpa hawa dingin dan RM1 satu arah perjalanan bagi bas

berhawa dingin, sementara kadar tambang bas pengantara akan dinaikkan 10 sen menjadikannya 60 sen bagi setiap pusingan perjalanan.

Tambang bagi teksi bagi kawasan Lembah Klang, Johor Bahru, Kuala Terengganu dan Melaka akan naik RM1 kepada RM3 untuk satu km pertama. Caj bagi 115 meter berikutnya ialah 10 sen.

Tambang teksi yang beroperasi di Pulau Pinang juga naik RM1 kepada RM4 mulai 1 Ogos dan setiap 115m berikutnya akan dicaj 10 sen.

Caj bagi lebih daripada dua orang penumpang dan caj meletak barangan di dalam but juga dimansuhkan berkuatkuasa 1 Ogos.

Caj bagi teksi ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kos Rendah (LCCT) akan dinaikkan sebanyak RM3.20 manakala caj ke lapangan terbang lain dinaikkan antara RM1.50 dan RM2.80.

Kadar tambang baru bagi kereta sewa ialah 10.1sen menjadikannya 21.6 sen setiap km (tidak berhawa dingin) dan kenaikan 11.7 sen kepada 25 sen bagi setiap km (berhawa dingin).

Perkhidmatan bas sekolah di bandar juga akan menyaksikan kenaikan bulanan

RM6.33 menjadikannya RM27.43 bagi km pertama dan RM2.02 setiap km berikutnya.

Kadar hariannya pula ialah 62 sen untuk satu km pertama dan 5 sen bagi setiap km berikutnya.

Bagi kadar bas sekolah di luar bandar, ia naik RM4.76 kepada RM20.61 untuk satu km pertama dan RM2.02 untuk setiap km berikutnya bagi kadar bulanan, manakala kadar harian baru ialah 47 sen bagi satu km pertama dan 5 sen bagi setiap km berikutnya.

Di Sarawak, kadar bas ekspres naik dua sen kepada 13 sen setiap km, manakala bagi bas berhenti-henti, kadar barunya ialah masing-masing 85 sen (tanpa hawa dingin) dan RM1.04 (berhawa dingin) bagi tiga km pertama dan 16.2 sen dan 18 sen untuk km berikutnya bagi kedua-dua kategori.

Tambang bas sekolah di negeri ini (Sarawak) akan dinaikkan dua sen, menjadikannya 11 sen setiap km bagi yang tidak berhawa dingin dan 12 sen setiap km bagi yang berhawa dingin.

Sementara bagi kereta sewa, kadarnya naik kepada 34.2 sen (tanpa hawa dingin) dan 40 sen (berhawa dingin) untuk km pertama dan masing-masing 17.1 sen dan 19.4 sen bagi km berikutnya.

Tambang bagi teksi di Sarawak juga telah dikemaskini, iaitu dengan kadar baru pada RM3 untuk satu km pertama, dan 12 sen untuk setiap 100m berikutnya, manakala kenaikan perkhidmatan teksi ke lapangan terbang dengan menggunakan kupon ialah sebanyak RM2.

Bagi Sabah, kenaikan untuk bas ekspres naik tiga sen kepada 13 sen untuk setiap km. Kadar baru bagi bas berhenti-henti tanpa hawa dingin ialah 65 sen untuk dua km pertama dan 9.4 sen bagi setiap km berikutnya, manakala bagi kategori berhawa dingin, ia naik 18 sen kepada 78 sen untuk dua km pertama dan setiap km berikutnya akan dicaj 10.4 sen.

Perkhidmatan bas mini di negeri itu juga menyaksikan kenaikan masing-masing dua dan tiga sen menjadikannya 18 sen setiap km untuk bas tanpa hawa dingin dan 20 sen setiap km untuk bas berhawa dingin.

Bas pengantara juga akan dicaj sebanyak RM1.

Sementara itu, tambang bagi bas sekolah di negeri itu yang menawarkan perkhidmatan kurang dari lima km akan dinaikkan sebanyak RM7.90 menjadikannya RM34.30 dan bagi jarak yang melebihi 60km, kadar kenaikannya ialah sebanyak RM31.70 kepada RM137.30 daripada RM105.60 sebelum ini.

Kadar teksi juga akan dinaikkan kepada RM10 untuk tiga km pertama dan 12 sen untuk setiap 100m berikutnya.

Teksi yang menawarkan perkhidmatan ke lapangan terbang (menggunakan kupon) juga naik RM10 kepada RM35, sementara bagi kereta sewa, kadarnya naik 2.5 sen kepada 20.5 sen untuk setiap km bagi kereta tanpa hawa dingin dan 2.8 sen kepada 22.8 sen setiap km bagi kereta yang berhawa dingin. – Bernama

Pendang : Ibu tunggal kecewa JKM tarik bantuan

 oleh Sinar Harian

KAMPUNG BALOH – Seorang ibu tunggal meluahkan rasa kecewa terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana menarik balik bantuan wang bulanan sebanyak RM80 sebulan yang diterimanya sebelum ini.

Embun Aidan, 62, merupakan ibu tunggal yang lumpuh bahagian kanan pinggang hingga kaki tidak dapat melakukan sebarang pekerjaan bagi menanggung keluarganya.

Menurutnya, dia mempunyai lapan anak dan salah seorang daripadanya yang menanggung segala perbelanjaan keluarga memandangkan anak-anak yang lain tidak bekerja.

“Saya kecewa apabila dimaklumkan saya tidak layak lagi mendapat bantuan wang bulanan daripada JKM atas alasan saya mempunyai anak ramai.

“Walaupun anak ramai tetapi hanya seorang sahaja bekerja dan yang lain masih dalam tanggungan saya serta kadang-kadang anak saya mengambil upah menoreh,” katanya kepada Sinar Harian.

Embun berkata, dia dan anak-anak kini menetap di sebuah rumah yang begitu daif di tanah rizab yang memberi kebenaran kepadanya untuk menetap.

“Dalam keadaan saya lumpuh hampir dua tahun pihak JKM tidak seharusnya menarik balik bantuan itu kerana keluarga saya kurang berkemampuan.

“Saya tidak dapat melakukan sebarang pekerjaan bagi menanggung beban anak saya menanggung keluarga,” katanya.

Dia berkata, dia tidak mempunyai sebarang harta dan kehidupannya hanya bergantung kepada seorang anak dan simpati saudara-mara serta jiran-jiran terdekat.

“Saya memohon kepada JKM agar meneliti semula bantuan yang diperolehnya kerana saya amat memerlukan bantuan itu sebagai meringankan beban anak saya menanggung keluarga.

“Saya ingin menjalani kehidupan keluarga dengan tenang seperti keluarga yang lain tanpa bebanan keluarga,” katanya.

 

:: Balik Semula ::

ADMIN – KedahLaNie TIME

Taliban ancam bunuh askar AS


GAMBAR menunjukkan seorang budak melihat askar Amerika Syarikat di Kampung Hajian, Afghanistan pada Rabu lalu.


 

KABUL – Komander-komander tempatan Taliban semalam mengancam untuk membunuh seorang askar Amerika Syarikat (AS) melainkan tentera AS menghentikan operasi di dua buah daerah di tenggara Afganistan.

Pada minggu lalu, Taliban mendakwa menahan seorang askar AS.

Jurucakap Taliban, Abdullah Jalali memberitahu agensi berita The Associated Press menerusi telefon bahawa askar tersebut berada dalam keadaan sihat.

Menurutnya, askar itu akan dibunuh melainkan tentera AS menghentikan serangan udara di wilayah Ghazni di daerah Giro dan di wilayah Paktika.

Jurucakap itu tidak menjelaskan kenapa Taliban memilih kawasan itu sebagai tukaran dengan nyawa askar AS.

Menurutnya, keputusan akhir berhubung nasib askar AS itu akan dibuat oleh pemimpin Taliban, Mullah Omar.

Tentera AS menyatakan askar itu didapati hilang ketika satu pemeriksaan harian dilakukan pada 30 Jun lalu. – AP

Dihukum kerana wajah seperti syaitan

PASLOW menjalani pembedahan di dahi dan lidah supaya wajahnya kelihatan seperti syaitan.


 

MAIDSTONE – Seorang penduduk di Kampung Seasalter, Kent, Britain iaitu Gavin Paslow dilarang keluar rumah pada waktu malam oleh pihak berkuasa, lapor sebuah akhbar semalam.

Kesalahan yang dilakukannya ialah dia menjalani pembedahan bagi membolehkan wajahnya kelihatan seperti syaitan dengan menggunakan wang bantuan sara hidup dan perumahan berjumlah £3,552 (RM20,861).

Paslow yang berumur 39 tahun dikenakan perintah berkurung dari pukul 5 petang hingga 5 pagi di rumahnya dan dia perlu memakai teg elektrik supaya pihak berkuasa boleh mengesan pergerakannya.

Dia menjalani pembedahan supaya dua tanduk terdapat di dahinya manakala lidahnya kelihatan seperti bercabang dua.

Paslow mengaku di sebuah mahkamah majistret melakukan tujuh kesalahan penipuan sara hidup bagi membiayai pembedahan itu.

“Ia merupakan kesilapan bodoh. Saya meminta maaf. Saya berasa amat kesal,” katanya yang merupakan duda dua anak. – Agensi

Pakai seluar dalam lamar kekasih


SALAH satu aksi Simson dalam filem terbitannya.
KIRI: Simson menyanyi dengan memakai seluar dalam.
KANAN: Simson dan
Hannah.


 

BRISTOL – Seorang lelaki, Pete Simson menyewa sebuah pawagam di Bristol, Britain supaya filem mengenai dirinya yang menunjukkan dia menyanyi sebuah lagu dengan memakai seluar dalam ditayangkan di depan kekasihnya, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia sanggup berbuat demikian sebagai salah satu cara untuk melamar kekasihnya.

Simson yang berumur 26 menyanyikan lagu If You’re Not the One nyanyian penyanyi popular, Daniel Bedingfield dengan melakukan pelbagai aksi dengan memakai seluar dalam.

Kekasihnya, Hannah McDonagh yang merupakan seorang peguam menangis apabila Simson kemudian melutut untuk melamarnya selepas filem selama lima minit itu berakhir.

Ketika itu, terdapat sejumlah penonton yang berada di pawagam menyebabkan kekasihnya tidak mengesyaki Simson akan membuat kejutan tersebut.

Mereka merancang untuk berkahwin pada bulan depan. – Agensi

Budak hanyut 12km selamat


JONES duduk dalam kereta mainannya yang hanyut bersamanya di Sungai Peace, British Columbia, Kanada pada Ahad lalu.


 

CALGARY – Seorang budak lelaki berumur tiga tahun iaitu Demetrius Jones terselamat selepas dia mengayuh kereta mainannya ke dalam sebatang sungai dan terapung mengikut arus sejauh 12.87 kilometer (km) di British Columbia, Kanada, lapor sebuah akhbar semalam.

Budak tersebut bermain dengan kereta mainan itu ketika keluarganya sedang tidur.

Ketika kejadian, dia dan keluarganya sedang bercuti di kawasan dekat Sungai Peace.

Polis Diraja Kanada menyertai misi mencari budak lelaki itu setelah keluarganya gagal mencarinya.

Namun, lima lelaki yang menaiki sebuah bot berjaya menemui budak lelaki itu iaitu tiga jam selepas kehilangannya.

Seorang penduduk iaitu Don Loewen yang merupakan antara lima lelaki yang menaiki bot itu dan menemui Jones berkata: “Kami menemui sesuatu seperti batu atau helang. Batu itu sebenarnya ialah tayar hitam kereta mainannya yang terbalik.”

Budak itu didapati duduk di atas kereta mainannya yang terbalik pada pukul 9 pagi waktu tempatan pada Ahad lalu.

Jones dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan kerana suhu badannya yang rendah dan dia sudah dibenarkan kembali bersama keluarganya. – Agensi

Gambar kaki Jacko disuntik ubat disiar


GAMBAR yang dirakamkan pada 2002 menunjukkan kedua-dua kaki Jacko mempunyai kecederaan yang dipercayai akibat suntikan jarum.


 

LOS ANGELES – Beberapa gambar yang mengejutkan disiarkan oleh rangkaian televisyen ABC di Amerika Syarikat (AS) semalam yang menunjukkan kedua-dua kaki Michael Jackson mempunyai luka seperti kena suntik dengan ubat.

Gambar-gambar itu menunjukkan terdapat luka, kesan kena suntikan dan kecederaan yang tidak pernah disiarkan sebelum ini.

Gambar-gambar itu disiarkan selepas polis di sini tidak menolak kemungkinan kematian Michael yang mesra dengan panggilan Jacko ketika dia masih hidup sebagai satu pembunuhan.

Pada mulanya gambar-gambar itu disiarkan bagi menunjukkan bahawa penyanyi yang meninggal dunia pada 25 Jun lalu itu mempunyai panau yang kerap diakui oleh Jacko.

Namun, gambar-gambar itu mencetuskan pelbagai persoalan berhubung jenis ubat yang digunakan oleh penyanyi tersebut.

Seorang jurucakap Akademi Dermatologi Amerika, Dr. Debra Jaliman memberitahu stesen televisyen ABC: “Ia kelihatan seperti terdapat kesan benda tajam ke dalam saluran darah.”

Dr. Debra berkata, menyuntik ubat di kaki jarang dilakukan.

Namun, ia boleh dilakukan jika tidak terdapat saluran darah di tubuh lain yang mampu menerima kemasukan ubat.

Jacko mengambil sejumlah ubat penahan sakit sebelum dia meninggal dunia dan dia selalu menggunakan pelbagai jenis ubat sejak rambutnya terbakar ketika dia menjalani penggambaran iklan Pepsi pada 1984.

Majalah Weekly di AS mendakwa mendapat imej rakaman video yang menunjukkan rambut Jacko terbakar. – Agensi

‘Siti dan isu tudung’

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my

 


SITI mengakui sudah lali dengan persoalan tentang imej dirinya yang bertudung.


 

IMEJ tudung penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin tidak pernah habis dijadikan isu. Sejak penghijrahan mengenakan tudung ala selendang selepas menunaikan Haji pada awal tahun 2008, kritikan demi kritikan mula diterimanya.

Agak lama juga isu itu mahu reda, namun ia dibangkitkan semula selepas berlangsung Konsert Satu Eksklusif Siti Nurhaliza baru-baru ini.

Gara-gara Siti mengenakan selendang hitam yang dililit seperti sanggul semasa konsert serta pada sidang akhbar selepas konsert, isu tudung Siti mula dibangkitkan semula.

Bagi sesiapa yang hadir pada waktu tersebut, tiada yang mempersoalkannya kerana selendang itu masih ada di kepala penyanyi jelita itu.

Namun, bagi yang melihat penampilan itu menerusi foto-foto yang dikeluarkan di media cetak, Siti dilihat seolah-olah langsung tidak memakai selendang.

Sehingga pada satu tahap, ada yang mencemuh Siti dengan mengatakan lebih elok jika penyanyi kelahiran Pahang itu tidak perlu lagi mengenakan tudung!

Bertanyakan kepada Siti sendiri, adakah dia akan membuka tudungnya dan kembali kepada imej lamanya, isteri kepada Datuk Khalid Mohammad Jiwa ini dengan penuh berhemah menjawab persoalan tersebut.

Namun dalam tenang nada jawapannya tetap terasa ketegasannya, Siti bagaimanapun enggan mengulasnya dengan panjang lebar.

Bimbang terlanjur kata menjadi janji dan akan ditagih di kemudian hari. Apalagi sepatah bicara Siti, dia yang menanggung semua hal yang akan berbalik kepada dirinya kelak.

BERSAMA dua teman baik, penyanyi terkenal Indonesia, Rossa (kiri) dan Kris Dayanti.


 

“Kadang-kala, nak puaskan hati semua orang memang susah. Sejak bergelar artis, Siti buat apa yang termampu untuk memuaskan hati semua pihak.

“Bila dengar komen-komen orang, tak adalah Siti geram dan nak buka balik tudung. Cuma Siti tak mahu komen lebih-lebih.

“Sebab setiap komen yang Siti beri, orang akan ingat dan kalau Siti tak buat seperti yang dikatakan, orang akan mempersoalkan pula. Apa pun, Siti akan buat perkara ini secara semula jadi.

“Siti faham, orang akan memandang lalu menyelidik tentang kita, tapi Siti tak marah. Isu tudung ini sering orang perkatakan dan Siti pun dah lali. Kalau boleh, tak nak panjangkan cerita lagi.

“Biar orang melihat sendiri perubahan Siti. Janji Siti tahu apa yang Siti buat dan Tuhan tahu niat Siti,” ucapnya.

Menurut Siti lagi, keadaan tersebut berlaku kerana terlalu banyak harapan yang dinantikan oleh masyarakat daripadanya.

Justeru, apabila apa yang dilakukan Siti tidak seperti yang diharapkan, kata-kata nista pula yang datang menyerang.

Mahu ikutkan hati, selepas menunaikan Haji, menjadi suri rumah sudah cukup membahagiakan diri Siti.

“Sebenarnya, sebelum menunaikan Haji dulu, wartawan sendiri yang tanya sama ada Siti akan pakai tudung selepas itu atau tidak.

“Tapi Siti cakap, insya-Allah, kalau niat hati terbuka baru Siti akan pakai. Tiba-tiba perkara ini dah jadi macam satu harapan pula, semua mahu lihat Siti selepas pulang dari Haji waktu itu.

“Tapi selepas perubahan penampilan Siti, ada yang suka dan ada yang tidak. Dalam hal ini, ada yang sudah bersedia (bertudung) dan ada yang belum. Macam Siti, lebih elok Siti berubah perlahan-lahan dan harap Tuhan memberikan masa.

“Tapi kalau nak ikutkan hati, Siti nak jadi orang biasa balik dan duduk saja di rumah,” selorohnya yang akan berangkat ke Jakarta hari ini sempena majlis Anugerah Planet Muzik 2009 (APM ’09).

Sedia terima respons masyarakat Indonesia

Sibuk dengan jadual yang begitu ketat, Siti hanya berkesempatan membuat persiapan persembahan pada APM ’09 sehari sebelum acara itu diadakan sahaja.


SITI berangkat ke Jakarta hari ini untuk menyertai APM 2009.


 

Mengalunkan lagu medley, Cindai serta Di Taman Teman pada malam itu, Siti turut dicalonkan bagi kategori Artis Malaysia Paling Popular Anugerah Kosmo!; Artis Serantau Paling Popular dan Artis Wanita Terbaik.

“Tahun ini, pemilihan Siti berdasarkan album Lentera Timur, sekurang-kurangnya ia menunjukkan sesuatu yang positif kerana Siti satu-satunya artis yang tercalon daripada genre album berkonsep tradisional.

“Kalah atau menang Siti menerima dengan lapang dada kerana saban tahun APM menonjolkan ramai artis berbakat,” katanya.

Sementara itu, ketika ditebak berkenaan dengan masalah politik antara Malaysia dan Indonesia yang timbul sejak akhir-akhir ini, terutama mengenai isu penderaan pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Malaysia serta kontroversi model terkenal Indonesia, Manohara Odelia Pinot bersama suaminya, iaitu Tengku Temenggung Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry, Siti menganggap muzik dan politik tidak harus dicampur-adukkan.

Apalagi dengan kehadiran delegasi Malaysia bagi acara APM ’09 yang mungkin mengundang kekecohan daripada masyarakat seberang, Siti sedia arif.

“Siti sudah pun bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku kerana Siti pun faham, isu-isu seperti ini memang agak sensitif bagi mereka.

“Tapi perlu diingat ia tidak ada kena mengena dengan muzik. Jangan campur-adukkan muzik dengan politik,” tegasnya.

Siti juga sempat membicarakan tentang perselisihan yang timbul mengenai isu kuota penyiaran lagu-lagu Indonesia di media Malaysia.

“Nak kata pihak kita memulaukan muzik Indonesia tidak juga, kerana penggiat-penggiat seni dari sana kerap datang ke Malaysia dengan pelbagai acara seperti yang terbaru ini, Malam Pesta Indonesia serta beberapa pelancaran majlis yang lain.

“Apa-apa pun, dari segi respons orang ramai kepada Siti dan juga artis-artis Malaysia lain, Siti sudah pun bersedia,” bicaranya yang bakal merakamkan album berkonsep kerohanian pada hujung bulan ini.

Rajagobal banyak pilihan

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my

 


PEMAIN negara giat menjalani latihan sebagai persiapan menentang Manchester United di Stadium Nasional petang esok.



 

ANDAI sesi latihan terakhir skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam dijadikan penilaian, jurulatih K. Rajagobal pasti mempunyai banyak pili- han untuk mempertaruh barisan terbaik ketika berdepan dengan Manchester United petang esok.

Kecuali tiga pemain iaitu V. Thirumurugan, Ahmad Shakir Md. Ali dan Kamarul Afiq Kamaruddin, baki 25 pemain yang lain giat menjalani latihan bagi memikat jurulatih kebangsaan itu.

Posisi penjaga gol hampir pasti digalas penjaga gol Perlis, Farizal Marlias sambil Syed Adney Syed Hussein dan Sharbinee Allawee Ramli bakal memanaskan bangku simpanan.

Posisi bek tengah jelas milik ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah dan Aidil Zafuan Radzak tetapi posisi bek kanan dan bek kiri masih menjadi rebutan.

Ketiadaan Thirumurugan yang mengalami kecederaan buku lali bakal membuka ruang buat Mazlizam Mohamad atau Mat Sabree Abu menggalas tugas bek kanan, manakala bek kiri menjadi rebutan Asraruddin Putra Omar dan Azmi Muslim.

Posisi tengah berkemungkinan besar bakal dikepalai Safiq Rahim dan Amar Rohidan sambil Bunyamin Umar dan K. Gurusamy mungkin masuk sebagai watak pengganti.

Sayap kanan menjadi persaingan antara S. Kunalan, Khyril Muhymeen Zambri dan Amirulhadi Zainal, sementara sayap kiri menjadi tugas Indra Putra Mahayuddin atau Bad- drol Bakhtiar.

Kapten Selangor, Amri Yahyah hampir pasti bertindak sebagai pembantu penyerang manakala tugasan penggempur utama bakal diletakkan sama ada di bahu Zaquan Adha Radzak atau Nor- shahrul Idlan Talaha.

“Tidak semestinya kesebelasan yang diturunkan dalam dua aksi bertemu Zimbabwe akan saya gunakan.

“Saya akan lihat siapa yang sesuai untuk diturunkan Sabtu ini (esok). Saya nak beri kejutan kepada penonton.

“Tetapi siapa yang diturunkan nanti adalah mereka yang selesa dan bebas sepenuhnya daripada kecederaan.

“Kita tetap realistik lawan adalah United tetapi kita kena fikir positif,” kata Rajagobal ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan semalam.

Berbanding Malaysia yang mempunyai banyak masa menjalani latihan, United yang akan tiba di KLIA, Sepang pukul 11.30 pagi ini hanya mempunyai tempoh sejam untuk berlatih di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada petang ini.

United hanya membawa 22 pemain iaitu Edwin van der Sar, Ben Foster, Tomasz Kuszczak , Gary Neville, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Wes Brown, Mi- chael Owen, Anderson, Dimitar Berba- tov, Wayne Rooney, Ryan Giggs, Zoran Tolic, Michael Carrick, Nani, Paul Scholes, Fabio, John O’Shea, Jonny Evans, Darren Fletcher, Darron Gibson dan Federico Macheda .

Tiada dalam senarai tersebut ialah dua pemain baru United, Antonio Valen- cia dan Gabriel Obertan serta tiga pemain lama, Owen Hargreaves, Park Ji- sung dan Nemanja Vidic.

Setiausaha Politik Exco Selangor ditemui mati

Oleh HAIRULAZIM MAHMUD, MEGAT RAMLI MEGAT RAOF dan NORLIDA AKMAR IDROS
berita@kosmo.com.my

 


Keadaan mayat Beng Hock yang terbaring di atas koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam semalam. Gambar kecil, Beng Hock.


 

SHAH ALAM – Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di atas koridor di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Seksyen 9 di sini petang semalam.

Mayat Teoh Beng Hock, 30, yang ditemui di lokasi kejadian pada pukul 1.30 petang dipercayai terjatuh dari tingkat 14 yang turut menempatkan Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Sebelum kejadian, Beng Hock disenaraikan sebagai salah seorang saksi dalam siasatan SPRM berkaitan kes penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri baru-baru ini. Beliau pergi ke pejabat SPRM itu kelmarin bagi membantu siasatan.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull berkata, mangsa sampai ke pejabat SPRM di sini pada pukul 5 petang kelmarin untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut dan keterangannya selesai diambil pada pukul 3.45 pagi semalam.

Selepas selesai memberi keterangan, menurut beliau, Beng Hock dibenarkan pulang tetapi dia berjanji akan datang semula ke pejabat SPRM semalam bersama beberapa dokumen penting berhubung kes itu.

%d bloggers like this: