Tidak tahu Prioriti. Jawapan 2 MP PAS Dikesalkan

Ekoran kegagalan hadir sewaktu undian menolak bajet sulung Datuk Seri Najib pada lewat malam Isnin lalu, dua dari lima Ahli Parlimen PAS yang dihubungi hari ini memberi penjelasan, demikian lapor Dzulfikar Mashoor untuk Harakahdaily.

Mereka masing-masing Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Hulu Langat Dr. Che Rosli Che Mat.

Mahfuz ketika dihubungi memaklumkan beliau berada di Jakarta pada tarikh tersebut atas urusan peribadi dan telahpun memaklumkan lebih awal kepada Presiden Parti, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selain itu beliau juga memberitahu tidak mendapat maklumat berhubung hasrat pakatan mahu menolak bajet 2010 yang dibentang Najib sebelum ini.

“Saya sebenarnya sudah maklumkan kepada Presiden (PAS) seminggu yang lalu… saya mahu ke Jakarta Jumaat lalu atas urusan peribadi.

“Sehingga hari saya ke Jakarta (Jumaat), saya tidak tahu tentang hasrat Pakatan nak tolak Bajet 2010 (pada) 11 malam Isnin lalu,” jelas Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS.

Seorang lagi ahli parlimen, Dr. Che Rosli Che Mat pula menjelaskan beliau terpaksa meghadiri satu program anjuran Pakatan Rakyat di Sungai Besi bagi mewakili PAS menggantikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang tidak dapat hadir ke program tersebut.

“Saya terima sms (sistem pesanan ringkas) lewat petang, ketika itu saya di Sungai Besi dalam perjalanan ke Hulu Langat.

“(Sebagai) tuan rumah, saya terpaksa hadir suatu majlis Pakatan (demi) menggantikan Nizar (Ahli Parlimen Bukit Gantang) yang tidak hadir,”

Beliau juga menolak dakwaan sesetengah pihak yang menuduh beliau cuba lari dari tanggungjawab ekoran kejadian itu.

“Saya bukannya lari tugas,” katanya lagi.

Kedua-dua mereka juga bercadang menghantar surat penjelasan kepada presiden parti dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Isnin lalu bajet 2010, yang dibentangkan oleh Najib sebelum ini hanya diluluskan dengan majoriti tiga undi sahaja iaitu 66 menyokong dan 63 menentang dalam pengundian lewat malam tersebut.

15 ahli parlimen Pakatan Rakyat masing masing lima dari PAS dan bakinya dari PKR dan DAP gagal hadir pada sesi pengundian tersebut.

Manakala 70 Ahli Parlimen dari BN juga gagal hadir pada pengundian tersebut.

Selain Mahfuz dan Dr. Che Rosli, tiga lagi wakil rakyat PAS adalah Ahli Parlimen Kuala Krai Dr. Mohd Hatta Ramli, Ahli Parlimen Baling Taib Azamuddin dan Ahli Parlimen Parit Buntar Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Harakahdaily bagaimanapun sedang berusaha meminta penjelasan dari ketiga-tiga wakil rakyat PAS yang belum dapat dihubungi hari ini.

Kegagalan kesemua ahli parlimen pakatan rakyat hadir pada proses pengundian tersebut dikritik hebat oleh media khususnya blog yang mendakwa mereka penyebab Pakatan gagal menolak bajet Najib.

SILAP LETAK PRIORITY

Keputusan Bajet 2010 diluluskan melalui majoriti tiga ( 3 ) undi sahaja tidak sepatutnya menjadi Isu besar. Saya bersetuju dengan Tan Sri Speaker yang Ahli ParlimenPakatanRakyat seharusnya bersikap Gentleman dimana kehadiran wakil kita juga kurang. Lirik lagu ” Kita Serupa” nyanyian Zainal Abidin terpakai disini. Saya tertarik dengan komen Datuk Sri Nazri Aziz (dalam Berita TV) dimana YB-YB dari Pakatan Rakyat pun ramai yang ponteng iaitu kehadiran mereka disekitar 60 orang sahaja. Wakil-Wakil dari Pakatan tidak sepatutnya terikut-ikut dengan cara mereka dalam BN. Sebagai sebuah Gagasan yang dikatakan cukup bersedia mengambilalih Pemerintahan Negara perkara sebegini sama sekali tidak patut berlaku. Peluang keemasan supaya kita dilihat lebih bersedia dan komited telah terbuang begitu saja.

Di luar sana ahli-ahli politik PR menghurai kepada khalayak umum betapa Borosnya Kerajaan kita membuat Cadangan Perbelanjaan Tahunan melalui Bajet yang dibentang. Tetapi apabila bantahan itu mahu dikira kehadiran pula tidak solid menentangnya. Peluang untuk meningkatkan moral Pakatan Rakyat telah dipersia-siakan. Tidak secara langsung kita telah meremehkan hasrat pengundi-pengundi kita.

Semua ini terjadi kerana tersilap memberi Keutamaan ( Priority). Alasan seperti terpaksa hadir di majlis-majlis kenduri demi menjaga hati penyokong tidak boleh diterima sama sekali. Di setiap kawasan pihak Ahli Parlimen boleh melantik Pegawai-Pegawai Khas membantu mereka menyelesaikan masaalah rakyat tetapi TIDAK di Persidangan Parlimen. Pelajaran yang macam mana lagi diperlukan supaya bijak meletakkan sesuatu Priority? Tentu ada yang mencemuh saya kerana terlalu pandai menegur dan mengemukakan soalan. Saya tak kisah apa orang nak kata. Yang pastinya saya bukan seorang Wakil Rakyat. –ahmadzawawi

Ulasan GB

Jawapan Mahfuz Omar menyatakan bahawa beliau berada di Jakarta atas urusan peribadi dan telahpun memaklumkan lebih awal kepada Presiden Parti menjelaskan bahawa Mahfuz tidak memperdulikan sidang parlimen yang sedang berjalan sebaliknya mendahului (mengutamakan) urusan peribadinya sekalipun telah mendapat izin dari Presiden parti.

Persoalannya: dimana prioriti? Anda diberi mandat oleh rakyat dan dibayar gaji dan elaun untuk urusan kepentingan peribadi andakah di luar negara sedangkan di waktu itu anda sepatutnya berada di Dewan Rakyat? Anda tahu bahawa tarikh persidangan Dewan Rakyat, tetapi memilih tarikh yang sama untuk melakukan urusan yang tidak ada kena mengena dengan rakyat yang memilih anda!

Apa urusan peribadi yang hebat sangat sampai terpaksa diutamakan dari kepentingan parti dan negara? Apa sebab yang mendesak sangat sehingga terpaksa melakukannya di masa Dewan rakyat bersidang? Berkahwin? Berubat? Berbomoh? Malah jika bertemu dengan Presiden Susilo pun tidak dikira prioriti.

Soal tidak tahu berhubung hasrat pakatan mahu menolak bajet 2010 yang dibentang Najib sebelum ini pun hujjah yang lemah kerana di dalam apa juga situasi, ahli PR perlu “alert”. Di medan perang, musuh boleh menyerang tiba-tiba, dan anda tidak ada! Tidakkah anda merasa berdosa?

Jawapan Dr. Che Rosli Che Mat pula menjelaskan beliau terpaksa meghadiri satu program anjuran Pakatan Rakyat di Sungai Besi untuk mengganti Datuk Seri Nizar Jamaluddin juga tidak boleh di terima. Memalukan. Anda sudah terima SMS tetapi mengabaikannya. Malahan jika anda bagitahu pengerusi majlis anda dan sidang hadirin yang ada pun bahawa anda perlu ke Parlimen kerana urusan penting, penganjur dan para hadirin boleh menerimanya kerana tanggungjawab di Palimen itu lebih utama untuk anda tunaikan. Anehnya Datuk Seri Nizar boleh berada di Dewan rakyat.

Blog anda pun dah berbulan tak dikemaskinikan.

Inikah sikap Ahli Parlimen PAS yang konon ingin menjadikan PAS sebuah “kerajaan yang dinanti”? Tak tahu meletakkan keutamaan?

Rakyat menasihatkan anda: Kedua-dua tarik diri dari bertanding di PRU akan datang.

OK Next.

Artikel Penuh 

2 comments: 

View Comments/Post a Comment 

Ringkasan… 

Kerugian RM 8 Bilion MAS Harus Disiasat

Pakatan Rakyat menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara menyiasat dokumen yang mendakwa Sistem Penerbangan Malaysia menanggung kerugian RM 8 bilion.

Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub berkata Parlimen perlu memberi perhatian kepada salinan surat dari bekas Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Komersil kepada Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mengesyaki ada unsur-unsur jenayah disebalik kerugian ini.

“Apa yang membangkitkan kemusykilan dan keresahan saya ialah, kemungkinan MAS telah ditipu atau diperdayakan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM 8 bilion daripada tahun 1994 sehingga tahun 2001. Dokumen yang dikatakan sebagai surat daripada Pengarah Bahagian Siasatan Komersial PDRM kepada PM itu mencadangkan supaya tindakan undang-undang diambil kepada beberapa orang individu warganegara Malaysia dan juga warganegara asing”, ujar Salahuddin Ayub.

Surat bertarikh 21 Julai ini mendakwa adanya unsur penipuan dan sabotaj sehingga menyebabkan syarikat penerbangan nasional ini menanggung kerugian sejak 1994 sehingga tahun 2001.

Soal beliau sekiranya perkara tersebut benar-benar berlaku, mengapa tiada sebarang tindakan diambil sedangkan cadangan untuk menyiasat perkara ini telah diserahkan kepada Tun Abdullah pada tahun 2007 lagi.

“Kesahihan adakah dokumen itu benar merupakan surat daripada Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah PDRM kepada Perdana Menteri, harus disiasat dan adakah kandungan dokumen itu benar atau tidak juga harus disiasat kerana ia benar melibatkan kerugian rakyat sebanyak RM 8 bilion dalam MAS”.

Hampir 1 juta 1 Hari Untuk Senggara Kapalselam – Maklumat GB Sebelum Ini Benar

Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi memberitahu kerajaan membelanjakan RM290 juta setahun untuk kos pengoperasian dan senggaraan dua kapal selam yang pembeliannya menimbulkan kontroversi.

Beliau berkata nilai kontrak perolehan kapal selam berkenaan ialah Euro1.084 bilion (RM5.382 bilion) meliputi harga pembelian dua kapal selam baru, latihan untuk warga kapal selam, pakej bantuan lojistik bersepadu dan alat ganti serta penyediaan kemudahan pelatih kapal selam dan tim projek.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) yang ingin tahu mengenai ancaman yang dihadapi oleh Malaysia yang memerlukan penggunaan kapal selam dan apakah tugas dan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman, selain kos penyelenggaraannya setiap tahun.

Dr Ahmad Zahid berkata penggunaan kapal selam bukanlah disebabkan ancaman yang dihadapi oleh negara tetapi lebih kepada keupayaan memberi cegah rintang kepada bakal musuh.

“Pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersandarkan kepada ‘capability-based’ yang harus dimiliki untuk melaksanakan misi dalam pelbagai dimensi pada masa hadapan,” katanya.

Menurut beliau, keupayaan negara menyediakan satu angkatan perang yang moden dan berwibawa untuk memusnahkan angkatan musuh akan menggerunkan musuh malah mereka akan lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang perkiraan yang kurang rasional untuk mengancam dan menyerang negara ini.

Beliau berkata kehadiran kapal selam yang canggih dalam inventori negara akan memberi impak yang besar terhadap pertahanan negara kerana keupayaan kapal selam yang boleh beroperasi di mana sahaja di bawah permukaan dengan senyap akan menyukarkan pihak musuh untuk mengesan kedudukan kapal selam tersebut.

“Kehadiran kapal selam juga dapat meningkatkan keupayaan peperangan bawah air TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) dan menjadikan ia sebuah angkatan yang lebih seimbang, kredibel dan berwibawa,” katanya.

Memetik laporan Bernama, berhubung dengan petunjuk prestasi utama (KPI) TLDM, Dr Ahmad Zahid berkata untuk menentukan keselamatan dan perairan negara sentiasa terpelihara, kapal selam akan dioptimumkan untuk menyokong KPI tersebut.

Urusan pembelian kapal selam ini dibuat secara runding terus dan bukannya menerusi tender terbuka yang menyebabkan harganya melambung berkali ganda, termasuk komisyen lebih RM500 juta yang diperolehi oleh Abdul Razak Baginda, rakan karib Perdana Menteri Najib Razak.

Juga jika pembelian dua kapal selam itu dibuat menerusi tender terbuka, kos pengoperasian kedua-dua kapal itu hanya 10% atau kira-kira RM30 juta setahun berbanding RM290juta yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Ulasan GB

Di dalam tulisan sebelum ini GB sudahpun mengeluarkan anggaran perbelanjaan senggaraan kapalselam Scorpene di SINI

GB ulangi:

Dari maklumat yang diperolehi, belanja penyenggaraan sebuah Scorpene termasuk membersihkan kapalselam tersebut dari lumut dan sebagainya mencecah RM1 juta untuk satu hari.
Kirakan sahaja penyenggaraan tahunan untuk 2 buah Scorpene. (1 lagi kapalselam diberitakan akan tiba ke negara initidak berapa lama lagi).

 

Petronas Ditimpa Bala Lagi – Kebakaran Di Pam Minyak

 

Mangsa melecur kereta terbakar di stesen minyak

KUANTAN: Seorang wanita yang hamil empat bulan melecur selepas kereta dipandunya disambar api ketika berhenti untuk mengisi minyak di sebuah stesen di Jalan Sultan Abdullah, Bandar Indera Mahkota di sini, semalam.

Noraini A Malik, 26, yang mengandung anak sulung, dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini akibat melecur di muka, tangan kiri dan kaki selain rambutnya turut terbakar.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, mangsa berada dalam kereta bersama kakaknya, Norzaitul Akmal, 32, manakala suaminya, Faizal

Hassan Louis keluar untuk mengisi petrol di stesen berkenaan.

“Tiba-tiba saya ternampak api marak keluar daripada bawah kereta dan menyambar keseluruhan kereta menyebabkan saya menjerit sekuat hati menyuruh isteri dan kakak ipar keluar,” kata Faizal ketika ditemui di HTAA.

KEADAAN rambut Noraini yang terbakar, semalam.

Beliau berkata, dalam keadaan cemas itu, kakak iparnya sempat keluar menyelamatkan diri namun isterinya yang berada di tempat duduk pemandu mengalami kesukaran untuk keluar daripada keretanya yang marak disambar api.

“Mungkin keadaannya yang mengandung menyebabkan beliau lambat bergerak namun saya sedaya upaya membawanya keluar. Tetapi disebabkan api terlalu pantas merebak menyebabkan isteri saya melecur,” katanya.

Faizal berkata, sebelum kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Bandar Indera Mahkota, di sini, selepas membawa isteri membuat pemeriksaan di sebuah klinik berhampiran.

“Saya sendiri pelik dari mana datangnya api berkenaan kerana ketika mengisi minyak enjin kereta Perodu Myvi saya sudah dimatikan. Seingat saya, ketika mengisi minyak ada sebuah lagi kenderaan bersebelahan,” katanya.

Faizal berkata, dia turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira jam 12.33 tengah hari semalam berhubung kejadian itu.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Indera Mahkota, Iskandar Jamaluddin, berkata kejadian itu berlaku kira-kira lima minit dan tindakan pantas pekerja di stesen minyak terbabit berjaya mengawal keadaan daripada menjadi lebih serius.

Sementara itu, Petronas Dagangan Berhad (PDB) menyuarakan rasa kesal terhadap kebakaran yang berlaku di Stesen Petronas Bandar Indera Mahkota, semalam.

PDB, dalam satu kenyataan berkata stesen itu sudah ditutup dan kakitangannya berada di tempat kejadian bagi menyelaras langkah pencegahan serta melakukan siasatan lanjut mengenai punca kebakaran.

PDB menasihatkan semua pelanggan mematuhi syarat keselamatan di semua Stesen Servis Petronas dan Stesen NGV yang melarang sama sekali penggunaan telefon bimbit, merokok dan mengisi minyak tanpa mematikan enjin kenderaan. -BH

Ulasan GB

GB dah pun menulis mengenainya di SINI

GB ulangi:

Petunjuk sudah ada. Sebelum ini, Petronas Dagangan telah mencatatkan penyusutan keuntuntungan kepada RM823.188 juta berbanding RM849.700 juta dalam tempoh suku kedua berakhir 30 September tahun ini berbanding keuntungan sebelum cukai tahun lalu.

GB dapat merasakan bahawa berita “buruk” untuk Petronas akan terus terhidang di dada media selagi Petronas gagal menunaikan kewajipannya membayar royalti kepada pihak yang sepatutnya menerimanya.

1Petronas juga bakal terbalik dan pecah perut?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: