Rakyat mahu kerajaan baru, bukan Model Ekonomi Baru

Posted by RAKYAT MARHAEN

Pada 30 Mac yang lalu Najib Tun Razak mengumumkankan kepada rakyat kononnya satu reformasi ekonomi Malaysia melalui pengenalan bahagian pertama Model Ekonomi Baru ( MEB). Bahagian kedua MEB akan diumumkan pada bulan Jun nanti.

MEB mengandungi 8 inisiatif perubahan yang dicadangkan oleh Kerajaan BN.Di dalam laporan yang disediakan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Kebangsaan ( MPEK ) didedahkan satu penilaian yang agak terbuka tentang apa yang tidak kena dengan ekonomi Malaysia sebelum ini . MPEK juga mendedahkan halangan-halangan yang mengakibatkan pencapaian ekonomi negara yang tidak memberangsangkan.

Kadar pertumbuhan tersebut mula menurun dalam beberapa tahun kebelakangan ini kepada purata 4.5 hingga 5 peratus sahaja.

MEB sepertimana slogan 1 Malaysia adalah slogan-slogan baru yang dicanangkan kepada rakyat negara ini. Menjadi satu trend dalam negara ini setiap kali berlaku pertukaran Perdana Menteri maka bertukar juga slogan-slogan manis yang dicanangkan kepada rakyat. Satu Malaysia ganti Islam Hadhari. MEB ganti DEB.

Bagaimanapun satu perkara yang tidak bertukar adalah sama ada konsep Islam hadhari atau 1 Malaysia atau DEB atau MEB idea-idea ini masih datang dari partai politik yang sama yang menerajui negara ini selama ini- UMNO atau Barisan Nasional ( BN ). Sejarah membuktikan idea-idea seperti DEB meskipun manis dari segi konsep dan niatnya namun bercelaru apabila tiba waktu pelaksanaannya.

DEB yang bertunjangkan idea yang baik iaitu untuk menyusun semula masyarakat dan menbanteras kemiskinan diakui oleh Najib sendiri dalam ucapannya dengan kata-kata berikut “ untuk sekian lama, perlaksanaan dasar affirmative ( DEB ) tidak sampai kepada pihak-pihak yang perlu kepada dasar tersebut”. Secara mudahnya DEB gagal.

Para penganalisa ekonomi meskipun mengambil sikap terbuka menerima konsep MEB ini namun masih ragu-ragu sama ada perlaksanaannya akan benar-benar dapat dilakukan dengan jayanya. Melihat kepada beberapa tulisan di dalam “the edge” seperti tulisan oleh Azam Aris ( “the missing political will” ) dan Anna Taing ( “So much to do and so little time to do it “) adalah jelas mereka percaya dasar ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan jayanya selagi mana budaya “rent seeking and patronage” masih terus berleluasa.

Azam menulis “ budaya rent seeking dan sistem patronage adalah faktor besar yang menyumbang kepada ketirisan dan kebocoran dalam ekonomi- sebahagian menyatakan beratus-beratus billion ringgit- yang membawa kepada persekitaran ekonomi yang tidak cekap dan berdaya saing. Budaya ini berkait rapat dengan amalan rasuah”

Secara mudahnya budaya “rent seeking “ berlaku apabila mana-mana individu atau syarikat atau organisasi menggunakan segala sumber yang mereka ada untuk mendapat faedah-faedah ekonomi daripada Kerajaan tanpa mengembalikan semula faedah-faedah yang mereka terima itu kepada masyarakat. Contoh rent seeking adalah apabila syarikat melobi pihak Kerajaan bagi mendapatkan pinjaman, geran atau perlindungan tariff di mana aktiviti-aktiviti ini tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada rakyat bawahan kerana ianya hanya adalah satu pengagihan semula sumber –sumber dari pembayar cukai kepada golongan-golongan yang mempunyai kepentingan tertentu.

Apa yang didedahkan oleh Azam bukan satu omongan kosong. Sejarah Umno mengurus ekonomi negara membuktikan apa yang dikatakan oleh Azam adalah satu realiti. Sebagai satu contoh kita lihat pendedahan yang dilakukan oleh Barry Wain tentang budaya rent seeking dan patronage” di dalam bukunya “Malaysia Maverick Mahathir Mohamed in turbulent times” . Di m/s 186 buku tersebut Barry Wain menulis bagaimana Mantan Presiden Umno itu menberikan kontrak projek empangan Bakun di Sarawak bernilai RM 15 bilion tersebut kepada Ting Pek Khiing yang mempunyai hubungan rapat dengan mantan presiden Umno itu.

Barry Wain menulis “Dr Mahathir memberi keizinan kepada Ekran Bhd ( syarikat milik Ting Pek Khiing ) pada awal tahun 1994 selepas Ting dan Ketua Menteri Sarawak yang amat berpengaruh iaitu Abdul Taib Mahmud secara bersendirian membincangkan projek tersebut hanya dalam beberapa minggu sahaja. Tiada persaingan /tender yang terbuka dibuat , Ekran yang tidak mempunyai apa-apa kepakaran atau pengalaman dalam projek pembinaan empangan tidak mengemukakan apa-apa cadangan kepada Kerajaan Negeri sebelum mendapatkan kontrak tersebut. Ting hanya mengemukakan kajian kesan kepada alam sekitar ( environmental impact study ) hanya setelah 6 bulan beliau mendapatkan kontrak tersebut.”

Barry Wain juga menulis rakan kongsi kepada Ekran iaitu “Swiss Swedish engineering powerhouse Asea Brown Boveri Ltd. iaitu syarikat yang dipilih oleh Kerajaan Malaysia bagi mengetuai Konsortium pembinaan empangan bakun itu telah bertelingkah dengan Ekran apabila Asea Brown Boveri Ltd. membantah pemberian kontrak berjumlah RM 9 bilion kepada empat syarikat yang Ekran mempunyai kepentingan tanpa tender terbuka. Bantahan itu mengakibatkan syarikat asing itu dikeluarkan sebagai rakan kongsi Ekran.

Pendedahan Bary Wain itu satu contoh daripada beberapa contoh yang menunjukkan budaya rent seeking dan patronage boleh merosakkan sebarang dasar atau teori ekonomi meskipun dihiasi dengan kata-kata yang indah. Apa jaminan selagi Umno memerintah budaya tidak sihat sepertimana dalam kes Bakun itu tidak akan berlaku dan merosakkan kata-kata indah yang mendasari MEB yang dicanangkan oleh Najib.

Sepertimana yang dikatakan meskipun MEB adalah idea baru namun ianya datang dari pemimpin Umno- parti yang sama memperkenalkan DEB dan dalam masa yang sama menggagalkan DEB kerana perlaksanaannya yang penuh dengan ketirisan, kronisme , nepotisme dan juga rasuah di mana-mana.

Apa yang lebih malang di zaman Umno memerintah krisis keyakinan melanda institusi –institusi penting negara ini . Keyakinan para pelabur terhadap integriti institusi kehakiman sebagai contoh sehingga kini masih belum pulih sekaligus ia merencat iklim pelaburan. Bukan menjadi rahsia lagi para pelabur asing lebih rela dan yakin kes –kes mereka dibicarakan oleh timbangtara yang dikendalikan di luar negara daripada dibicarakan oleh Mahkamah di negara ini. Atas dasar itu semasa menandatangani mana-mana kontrak di negara ini para pelabur ini akan mengarahkan para peguam mereka meletakkan klausa di dalam perjanjian bahawa sebarang pertikaian yang berlaku hendaklah diputuskan oleh timbangtara dan bukannya oleh Mahkamah di Malaysia. Lihatlah betapa hinanya institusi kehakiman setelah dirosakkan oleh Umno.

Atas dasar itu rakyat mempunyai alasan yang kukuh untuk meragui konsep MEB meskipun dasar itu dihiasai dengan pelbagai kata-kata yang enak dan manis didengar. Najib mengatakan bahawa MEB masih mengekalkan dasar affirmative tetapi ianya kini berdasarkan empat prinsip – prinsip mesra pasaran ( market friendly ), prinsip berdasarkan merit ( merit based ), prinsip berdasarkan keperluan ( need based ) dan prinsip ketelusan ( transperancy ). Ya memang sedap didengar tetapi dengan trek rekod yang buruk BN mengurus ekonomi negara ini adakah kata-kata yang indah itu yang diperlukan oleh rakyat pada ketika ini ?


Mohamed Hanipa Maidin’
AJK PAS Pusat.
 

PRK HULU SELANGOR : Buktikan SPR, PDRM dan SPRM bukan sayap BN

Posted by RAKYAT MARHAEN

Baru-baru ini Muhyiddin Yassin turun ke Hulu Selangor dalam rangka kerja yang kononnya atas platform beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran. Media tidak langsung menyebut kehadiran beliau sebagai Timbalan Presiden Umno atau Timbalan Pengerusi Barisan Nasional walaupun hakikatnya kehadiran beliau itu atas tujuan rasmi parti yang dinaunginya.

Selepas itu pula, Najib Razak pula menjejakkan kakinya ke kawasan pilihanraya yang sama juga atas urusan partinya. Najib menghabiskan sehari suntuk bersama-sama peneroka-peneroka Felda, masyarakat orang asli, masyarakat cina dan india yang bermastautin dan menjadi pengundi di situ. Sudah tentulah lawatan kerjanya itu juga dikatakan sebagai lawatan kerja rasmi seorang Perdana Menteri Malaysia walaupun kehadirannya di situ sah-sah sebagai seorang Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional.

Apa tujuan sebenar kedua-dua pemimpin Umno turun ke kawasan Hulu Selangor dalam tempoh dua hari berturut-turut itu? Jawapannya sudah tentu untuk berkempen bagi memenangkan calon BN yang belum diputuskan lagi akibat percakaran parti-parti komponen BN yang makin parah dari hari ke hari.

Kebiasaannya, Pengerusi SPR akan berpesan semasa sidang media selepas membincangkan tarikh sesuatu pilihanraya samada kecil atau umum iaitu parti-parti atau calon-calon yang bertanding hanya dibenarkan berkempen selepas proses penamaan calon selesai, itu pun tertakluk kepada peraturan-peraturan pilihanraya yang telah ditetapkan oleh SPR dan pihak keselamatan iaitu Polis DiRaja Malaysia.

Beberapa hari lalu, Polis juga telah membuat kenyataan tidak akan mengeluarkan sebarang permit berkempen selagi proses penamaan calon PRK Hulu Selangor tidak selesai. Tidak dapat dipastikan permit macam manakah yang dimaksudkan oleh pihak keselamatan itu. Biasanya permit polis perlu dipohon sekiranya berhasrat untuk menganjurkan sesuatu program yang melibatkan perhimpunan orang ramai untuk tujuan ceramah atau tujuan-tujuan lain tanpa mengira waktu samada siang atau malam hari.

Dalam hal yang melibatkan Najib dan Muhyiddin tadi, secara terang-terangan kedua-dua pemimpin BN itu telah memukul gendang memulakan kempen mereka di Hulu Selangor walaupun proses penamaan calon PRK Hulu Selangor belum lagi berlangsung.

Berdasarkan kenyataan amaran kedua-dua pihak pengendali pilihanraya tadi, Najib dan Muhyiddin tidak seharusnya dibenarkan berkempen di situ walaupun kehadiran mereka atas platform PM atau TPM. Kehadiran mereka walaupun di siang hari memang sah-sah untuk berkempen dan inti pati ucapan mereka tersiar di media-media cetak dan elektronik seluruh negara.

Malangnya SPR dan Polis tidak pula nampak pelanggaran undang-undang yang berlaku selama dua hari berturut-turut itu. Atau, apakah siri-siri kempen BN di Hulu Selangor itu memperolehi kelulusan dan permit dari pihak keselamatan?

Kedua-dua pengendali pilihanraya, SPR dan Polis perlu bersikap adil dalam hal ini. Peraturan dan undang-undang yang ada bukan hanya untuk sebelah pihak sahaja. SPR dan Polis perlu menyiasat salah laku kedua-dua pemimpin tertinggi BN itu seperti siasatan yang sering dilakukan ke atas pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

SPRM juga perlu memantau kempen kedua-dua pemimpin tertinggi BN yang sering dikaitkan dengan rasuah pilihanraya. Media tanpa segan silu mendedahkan kedua-dua mereka memberikan rasuah pilihanraya ketika berkempen di Hulu Selangor di kedua-dua hari tersebut.

Muhyiddin dalam kempennya cuba merasuah pengundi di Kampung Sentosa dengan projek mengatasi masaah banjir yang sering melanda penduduk di situ. Manakala Najib pula dikesan cuba merasuah peneroka-peneroka Felda, masyarakat orang asli, masyarakat cina dan india dengan projek-projek segera yang menjadi amalan mereka sejak dulu, kini dan selamanya.

Perlu diingatkan bahawa SPR, PDRM dan SPRM adalah agensi-agensi kerajaan yang menerima gaji dari rakyat Malaysia. Oleh itu ketiga-tiganya diharapkan dapat bersifat sebagai sebuah jabatan kerajaan dan bukannya bersifat sebagai sayap-sayap BN. Janganlah ketegasan mereka hanya terhadap lawan BN sahaja.

Mohd Firdaus Jaafar,
Ahli Parlimen Jerai.
 

PRK Hulu Selangor : SPR tak lagi iktiraf Mafrel, gugur pantau di Hulu Selangor…ha..ha..ha.. SPR akur dengan kehendak UMNO@APCO

Posted by RAKYAT MARHAEN

Oleh G. Manimaran
KUALA LUMPUR, 7 April — Selepas bertindak sebagai badan pemantau bebas dalam sembilan pilihan raya kecil sejak 2008, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk tidak lagi mengiktiraf Badan Pemantau Pilihan Raya Bebas Malaysia (Mafrel) bagi memantau pilihan raya kecil Hulu Selangor.
SPR memutuskan untuk tidak lagi melantik Mafrel atas alasan ia telah melanggar syarat pelantikan — gagal mengemukakan laporan kerja pemantauan yang dilakukan semasa kesemua sembilan pilihan raya kecil sejak Ogos 2008.
Mafrel merupakan satu-satunya badan pemantau tempatan yang telah diiktiraf SPR untuk memantau perjalanan pilihan raya khususnya sejak enam tahun lalu.
“Kami tidak lagi melantik Mafrel sebagai badan pemantau bebas bagi SPR ketika pilihan raya kecil di Hulu Selangor,” kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Difahamkan Mafrel kemungkinan hilang pengiktirafan SPR selepas ini, tetapi boleh terus bertindak sebagai antara salah satu badan bukan kerajaan pilihan raya.
Penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor diadakan 17 April ini manakala hari pengundian pula dijadual 25 April.
Lazimnya pelantikan SPR membolehkan Mafrel diberi ‘lesen’ untuk memantau perjalanan pilihan raya bermula dari hari penamaan calon sehingga hari pengundian.
Sehubungan jelas Wan Ahmad, apa sahaja kenyataan yang dikeluarkan Mafrel adalah atas kapasitinya sebagai pertubuhan bukan kerajaan dan tiada kaitan dengan SPR.
“Itu kenyataan-kenyataan Mafrel (mengecam pengumuman kerajaan BN di Hulu Selangor), itu tiada kaitan dengan SPR,” katanya.
Menurut Wan Ahmad, keputusan untuk tidak melantik lagi Mafrel tiada kaitan dengan kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar kelmarin, yang mendakwa Mafrel tidak layak memantau pilihan raya kecil Hulu Selangor.
Noh mendakwa Mafrel bukan satu badan berwibawa kerana mengeluarkan kenyataan sebelah pihak semata-mata.
“Ini kerana kami telah membuat keputusan itu lebih awal lagi,” katanya.
Wan Ahmad berkata, SPR telah berulang kali meminta Mafrel supaya mengemukakan laporan kepada SPR selepas berakhirnya setiap pilihan raya kecil tetapi tidak diambil berat.
“Kita telah memberi peringatan demi peringatan kepada Mafrel supaya menghantar laporan tetapi sejak sembilan pilihan raya kecil, bermula dari Permatang Pauh tiada laporan yang diterima SPR,” katanya.
“Itu syarat pelantikan Mafrel oleh SPR, menghantar laporan pemantauan… sejak pilihan raya kecil Permatang Pauh (pada Ogos 2008) sehingga pilihan raya kecil Bagan Pinang tahun lalu, Mafrel tidak menghantar laporan walaupun diminta berbuat demikian,” tambah Wan Ahmad dengan menyifatkan Mafrel telah “mereka melanggar syarat pelantikan.”


Terdahulu dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider, Pengerusi Mafrel Syed Ibrahim Syed Noh menegaskan tiada mana-mana pihak sama ada SPR ataupun ahli politilk termasuk Noh berhak untuk menghalang daripada membuat pemantauan perjalanan pilihan raya.
Bagaimanapun Syed Ibrahim berkeyakinan kerjasama baik sedia terjalin antara pihaknya dengan SPR akan berterusan untuk melihat perjalanan pilihan raya bebas dan adil bagi semua.
“Apa yang dikatakan oleh Datuk Noh adalah hak beliau dan kami pun ada hak untuk memberikan pandangan,” kata beliau.
Semalam Noh menggesa SPR supaya mengkaji semula peranan Mafrel sebagai pemantau bebas pilihan raya atas alasan ia menjadi alat kepada parti pembangkang kerana didakwa tidak bersikap bebas dalam menyatakan pandangannya dan tidak layak dilihat sebagai sebuah badan yang benar-benar menyalankan peranannya.
Noh berkata Mafrel sepatutnya menegur kedua-dua sekali, bukan hanya BN kerana Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dari Pakatan Rakyat juga mengagihkan geran tanah kepada penduduk tetapi tidak ditegur.
Beliau mempertikaikan kredibiliti Mafrel yang menyelar tindakan kerajaan pusat meluluskan projek perumahan dan sekolah kepada penduduk di Hulu Selangor yang didakwanya menyalahi peraturan pilihan raya.
Jelas Syed Ibrahim, Mafrel telah menjalankan peranannya sejak 2001 termasuk pilihan raya negeri Sarawak pada 2006 dan siri pilihan raya kecil.
“Kami memantau dari luar dan dari dalam lingkungan hari pilihan raya. SPR mengiktiraf kami dan meminta kami memantau pada hari pengundian.
“Jadi kami membuat kerja sepanjang masa dan dari dalam ketika hari pengundian. Apa yang tidak betul kami tegur dan laporkan dan apa yang baik kami kata baik,” katanya.
Oleh itu tegas beliau, Mafrel tidak terikat dengan mana-mana pihak. 

Perisik Israel dalam PDRM calar maruah Raja-Raja Melayu

Posted by RAKYAT MARHAEN

KUALA LUMPUR, 7 April: Zionisasi dalam jentera kerajaan termasuk kewujudan perisik Israel dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencabar dan mencalar maruah Raja-Raja Melayu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).
“Pasukan polis dikurniakan gelaran diraja sejak tahun 1958 lagi, oleh sebab itu tindakan membawa perisik Israel ke dalam pasukan tersebut dengan sendirinya mencabar dan mencalar maruah Raja-Raja Melayu.
“Ancaman tersebut semakin menakutkan apabila perisik-perisik Israel berkenaan terlibat dalam sistem komunikasi polis,” kata beliau.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu memohon agar diadakan segera Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu bagi membincangkan ancaman keselamatan ke atas negara ini.
“Kita memohon jasa baik Raja-Raja Melayu untuk bertindak segera kerana tidak mungkin Perdana Menteri akan mengambil inisiatif membincangkan ancaman keselamatan tersebut kerana perisik-perisik Israel tersebut dibawa masuk oleh pihak yang dilantik oleh kerajaannya sendiri untuk menaiktaraf sistem komunikasi analog PDRM kepada sistem digital,” katanya.
Mahfuz melihat apa yang berlaku itu sebagai ancaman kepada negara ini kerana institusi keselamatan negara seperti polis telah ditentukan hala tuju mereka dan ia terdedah kepada penguasaan Israel yang disifatkannya sebagai entiti haram pengganas.
“Ini sangat merbahaya kepada masa depan negara. Sepatutnya kerajaan perlu menjelaskan hal tersebut bukannya mengambil tindakan mengheret (Datuk Seri) Anwar yang mendedahkan perkara itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bila beliau mendedahkan penglibatan tersebut, mengheret Anwar bukannya satu penjelasan.
“Pendedahan yang dibuat oleh Anwar itu merentasi persoalan 1Malaysia ataupun One Israel tapi ini soal maruah dan kedaulatan negara yang dipelihara bukannya dijual kepada pihak luar, lebih-lebih lagi pihak zionis.
“Perdana Menteri perlu berani memberi penjelasan bukannya menjadi seorang yang penakut berhadapan kenyataan sebenar kerana perlantikan itu atas keputusannya sendiri,” katanya lagi.
Beliau juga menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai semakin rancaknya proses zionisasi ke atas negara ini melalui proses ‘mengIsraelkan’ jentera-jentera kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sudah pun bermula dalam bidang komunikasi melalui pengambilan Apco Worldwide dan juga di dalam pasukan polis.
Beliau juga meminta rakyat membuat penilaian  sama ada ahli-ahli Umno akan memilih kesetiaan dan patriotisme kepada negara tercinta ini atau kepada pemimpin mereka ‘mengIsraelkan’ jentera-jentera kerajaan.
Anwar semalam mendedahkan di Dewan Rakyat tentang kewujudan perisik Israel dalam PDRM.
Katanya, perkara berkenaan sebelum ini telah disahkan sendiri oleh cawangan khas Bukit Aman.
Bercakap ketika membahaskan bajet tambahan Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat semalam, Anwar turut mengemukakan beberapa dokumen bagi menyokong dakwaannya itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menamakan syarikat terbabit, Asiasoft Global PLC yang berpangkalan di Israel.
Katanya lagi, ini membuktikan maklumat negara telahpun dijual kepada ejen asing.
Beliau menyifatkan apa yang berlaku itu menunjukkan sikap kerajaan yang bermuka-muka.
“Tak iktiraf Israel tapi bersekongkol dengan rejim zionis yang kejam,” katanya. 

Anwar ‘berhijrah’ ke Sarawak? Ha..ha…ha…sampai kesitu idea mereka ah,,,,!!! banyak punya nalla..hu..hu….???

Posted by RAKYAT MARHAEN
Oleh HERMAN HAMID
pengarang@utusan.com.my
 

KUALA LUMPUR 6 April – Datuk S. Nallakarupan mendedahkan bekas rakan karibnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan besar merancang menuntut kemerdekaan Sarawak jika Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan cita-cita Anwar menjadi Perdana Menteri tercapai di samping isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan bergelar wanita pertama setelah lama mereka mengidamkan kedudukan tersebut.
Justeru beliau difahamkan yang usaha pertama Anwar jika rancangan itu berjaya adalah untuk memansuhkan undang-undang tertentu kerana Penasihat PKR itu diketahui sangat gusar dengan situasi politik semasa.
”Saya difahamkan Putar Alam Malaysia (Anwar) dikatakan sedang membuat persiapan untuk ‘berhijrah’ ke Sarawak menjelang Pilihan Raya DUN Sarawak,” katanya di sini hari ini.
Nallakarupan yang pernah bersahabat dengan Anwar selama 30 tahun berkata, selain kedudukan sebagai Perdana Menteri, Anwar juga pasti melantik anak emasnya, Azmin Ali yang juga Naib Presiden PKR sebagai Timbalan Perdana Menteri jika rancangan berkenaan berjaya.
”Saya percaya ia akan dibuat beliau dan seterusnya membuktikan PKR ini parti 3A, Anwar, Azizah dan Azmin,” jelasnya.
Kata Nallakarupan, Anwar tidak mampu untuk mengatasi kewibawaan Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun cuba melemparkan fitnah terhadap Perdana Menteri seperti yang didedahkan rakan-rakan beliau di Dewan Rakyat baru-baru ini.
”Saya juga tidak hairan jika Anwar cabut lari pada satu hari nanti. Semakin hari semakin ramai yang tahu pekungnya,” tambahnya. 

Siapa Ilani Isahak yang dilantik pengerusi Jawatankuasa Antara Agama

Posted by RAKYAT MARHAEN

Aku tak berapa kenal sapa Ilani Isahak ni. Setakat yang aku ingat, dia ni pernah menang parlimen Parlimen Kota Baharu PRU 1990 atas tiket parti Semangat46 yang masa tu bergabung dengan Pas dalam Angkatan Perpaduan Ummah. Setakat tu ja, la pun.

Tapi nya bila dia dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Antara Agama, aku sikit mushkil. Sapa dia ni yang melayakkan dia dilantik ke jawatan tu. Atas kreteria apa dia dilantik.

Mesti dia ni ada pengetahuan luas dalam berbagai agama kat Malaysia ni. Mesti dia ni tau banyak pasai agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois selain Islam. Paling kurang pun aku rasa dia ni tentu mahir dalam bab² perbandingan agama. Mungkin dia ada Master Degree dalam bidang tu kut.

Ataupun mungkinkah dia ni cuma ada pengalaman bergaul dengan orang dari pelbagai latar belakang agama, macam ramai warganegara Malaysia, sebuah negara majmuk dengan berbagai pegangan agama.

Angah Google bagitau yang dia ni adalah Ahli Majlis Tertinggi Dewan Perniagaan Islam Malaysia. Selain tu dia jugak adalah pengerusi Pusat Sumber Pembangunan Keluarga Islam Kelantan

Angah Google jugak bagitau yang dia ni seorang peguam dalam Adam & Co. Selain tu, masa PRU1999 dia jadi calon Umno tapi kalah kepada calon Keadilan

Angah Wikipedia pulak bagitau, dia pernah bertanding dalam pemilihan AJK Wanita Umno tahun 2004 tapi  cuma dapat tempat ke 20 dan gagal mempertahankan jawatan.

Bernama melaporkan:

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) — Kabinet memutuskan melantik bekas anggota Parlimen Kota Bharu Datuk Ilani Isahak sebagai pengerusi Jawatankuasa Antara Agama untuk mempromosikan persefahaman bersama dan harmoni di kalangan pelbagai agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata jawatankuasa itu yang ditubuhkan di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi sebagai sekretariat, perlu melaporkan kepadanya, menteri yang bertanggungjawab dalam perkara ini sebelum beliau mengemukakan kepada kabinet.

Beliau berkata jawatankuasa itu yang ditubuhkan Februari lepas membabitkan wakil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam (IKIM) dan Majlis Perundingan mengenai agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois Malaysia (MCCBCHST).

Tidak ada anggota politik dilantik dalam jawatankuasa ini, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini Selasa.

“Mereka akan bertukar-tukar pandangan dan membincangkan isu serta mengelakkan sebarang salah faham dan salah tafsiran. Ini bukan satu struktur undang-undang, bukan struktur yang kaku…ini rangka kerja untuk menyediakan interaksi bagi pertukaran idea,” tambahnya.

“Kita (kerajaan) tidak mahu menamakannya panel antara kepercayaan, tetapi sebuah jawatankuasa khas untuk mempromosikan persefahaman dan harmoni di kalangan penganut yang berlainan agama,” katanya.

Koh berkata isu yang akan ditumpukan perhatian oleh jawatankuasa itu ialah perkara berkaitan perkahwinan campuran, pertukaran agama dan penjagaan anak.

“Isu ini akan dikaji oleh pelbagai jabatan yang berkaitan melalui undang-undang dan peraturan sedia ada,” tambah beliau. – Bernama

Nota kaki makan cekam:  Boleh ka jawatankuasa ni mempromosi persefahaman dan harmoni? Aku rasa lebih kepada boleh ujudkan lebih kontroversi. 😀
Cenangau.
  

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: