Ngeh Ko Ham: Majlis Makan Malam TIRAM 7 Ogos 2010

Datuk Husam Musa: Majlis Makan Malam TIRAM 7 Ogos 2010

Dr. Syed Husin Ali: Majlis Makan Malam TIRAM 7 Ogos 2010

Ucapan Datuk Mahfuz Omar: Majlis Makan Malam TIRAM 7 Ogos 2010

Perjuang diskaun rumah mewah tetapi lupa subsidi dipotong

Abdul Aziz Mustafa   
KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar membidas pengampu-pengampu pemimpin Umno yang hanya memperjuangkan diskaun untuk pembelian rumah mewah kepada Bumiputera tetapi berdiam diri terhadap pemotongan subsidi.

“Sikap mereka yang membisu seribu bahasa terhadap pemotongan subsidi yang ternyata membebankan rakyat terutama menjelang musim perayaan ini membuktikan sikap mereka yang bukan sahaja tidak prihatin malah tidak peduli sama sekali terhadap penderitaan rakyat terutama yang berpendapatan rendah,” katanya.

Malah, katanya lagi, mereka bersekongkol dengan tindakan kerajaan yang hanya berani merampas subsidi dari rakyat dan mengumumkan kenaikan harga barang sebaik sahaja sesi Parlimen selesai bersidang.

Beliau mendedahkan, tidak ada sebarang pandangan diminta mahupun perbicangan secara khusus dibuat bersama-sama Ahli Parlimen sepanjang Parlimen diadakan.

“Selepas tamat sesi Parlimen, kerajaan terus umum kenaikan harga barang tanpa berunding dengan rakyat. Masa bila kerajaan berunding dengan rakyat?” Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.

Pengampu-pengampu pemimpin Umno yang membuat bising menentang pemotongan diskaun rumah mewah itu juga lansung tidak peduli terhadap nasib hampir 34 peratus daripada kira-kira 1.3 juta pekerja di negara ini yang memperolehi pendapatan bulanan bawah RM700, katanya.

“Bila harga minyak dan harga barang makanan dinaikkan oleh kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) pimpinan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak), bukan harga barangan tersebut sahaja yang naik harganya tetapi, seperti yang berlaku sebelum ini, ia akan mengakibatkan kesan berganda dan barangan lain juga naik harga.

“Kenaikan harga minyak akan mengakibatkan kenaikan kos pengangkutan dan dengan sendirinya harga begitu banyak barangan lain akan naik harga.

“Kenaikan harga gula pula akan mengakibatkan kenaikan harga makanan dan minuman lain. Beberapa hari lagi kita akan menyambut Ramadhan, pergilah ke pasar-pasar Ramadhan dan lihat sendiri adakah pelbagai juadah yang menggunakan gula sebagai bahan akan tetap sama harga?

“Kalau tidak dinaikkan harga pun, biasanya para peniaga terpaksa mengurang kuantiti atau mengecilkan saiz,” kata Mahfuz.

Tetapi, katanya, para pemimpin Umno dan pengampu-pengampu mereka tidak peduli penderitaan rakyat akibat kenaikan harga barang itu.

“Saya yakin, sebahagian besar dari 34 peratus daripada kira-kira 1.3 juta pekerja di negara ini yang memperolehi pendapatan bulanan bawah RM700 itu adalah adalah orang-orang Melayu Islam yang akan menyambut Ramadhan kali ini dengan penderitaan akibat kenaikan harga barang.

“Malang bagi mereka kerana orang-orang Umno hanya sibuk dengan memperjuangkan diskaun untuk pembelian rumah mewah kepada Bumiputera.

“Maklumlah, mereka yang hendak beli rumah-rumah itu kerana pekerja yang berpendapatan bawah RM700 sebulan tentu tidak mampu membeli rumah-rumah mewah itu,” kata Mahfuz.

Tangkapan aktivis Protes untuk takutkan orang ramai

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Belum ada apa-apa aktiviti daripada aktivis Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Barang (Protes), tiga daripada mereka telah ditangkap polis petang ini.Dua pemimpin Angkatan Muda Keadilan dan seorang aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram) ditahan polis sebelum bermulanya edaran risalah Protes di pasar malam Kampung Kerinchi, dekat sini.

Mereka yang ditahan iaitu AMK Wilayah, Rozan Mat Razif dan Fareez Kamal dan aktivis Suaram, Tee Mun Hui ditahan atas alasan tidak memberikan kerjasama kepada pihak polis dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Brickfields.

Penyelaras Protes, Dr Hatta Mohd Ramli menyifatkan penahanan itu sebagai taktik untuk menakut-nakutkan orang ramai.

“Kita tidak tahu apa sebab mereka ditahan. Tapi saya pasti ini antara taktik menakutkan orang ramai,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, walaupun program itu bukan berbentuk demonstrasi tetapi lebih kepada edaran risalah, namun kehadiran polis luar biasa dengan trak pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

“Pada mulanya saya ingat mereka menyokong kita, malangnya tangkapan dibuat. Kita cuma nak sampaikan informasi kepada orang ramai, seharusnya tak dapat tentangan,” ujarnya.

Protes menganjurkan Kempen Bantah Harga Barang Naik: Selamatkan Rakyat di Pasar Malam Flat 17, Kampung Kerinchi, Lembah Pantai bermula jam 6.00 petang tadi.

Kira-kira 20 aktivis Protes membahagikan risalah kepada pengunjung pasar malam itu.

Kampung Kerinchi dipilih tempat pertama kempen Protes  kerana para penghuni di kawasan itu kebanyakannya daripada golongan berpendapatan rendah.

Kempen kesedaran ini dibuat ekoran kenaikan harga barang ‘5 dalam 1’ pertengahan Julai lepas dan Protes mengemukakan lima tuntutan kepada kerajaan.

Ianya termasuk gesaan menghentikan pembaziran dalam pembangungan beberapa projek gajah putih seperti Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), menguatkuasakan dasar gaji minimum, kembalikan harga asas barang asas seperti sebelum kenaikan, menjelaskan bagaimana ‘penjimatan’ RM4.6 bilion daripada penyelarasan subsidi pada 2006 dibelanjakan dan menstruktur semula subsidi supaya rakyat miskin terus mendapat faedah daripadanya.

Noh kena paksa negeri BN hapus pusat hiburan

Dzulfikar Mashoor   
SHAH ALAM, 9 Ogos: “Kalau Noh Omar betul-betul ikhlas, kita nak ingatkan bahawa banyak lagi negeri-negeri di bawah kekuasaan Umno dan Barisan Nasional, kenapa tak paksa dan guna kuasa hapuskan pusat-pusat hiburan di negeri-negeri itu seperti yang kamu faham itu.

“Apa yang kamu nak sibuk dengan negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat, banyak lagi negeri-negeri yang diperintah Umno,” ujarnya Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar).

Beliau juga menggesa Datuk Seri Noh Omar supaya tidak tergopoh-gapah mencabar Pakatan Rakyat khususnya PAS menutup semua pusat hiburan sempena di Selangor bulan Ramadhan tidak lama lagi.

Katanya, Noh selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno dinasihatkan supaya mendidik akar umbi Umno supaya kembali pada ajaran Islam yang sebenar.

“Kalau dia (Noh) tak tahu, kesalahan itu bukan hanya salah ketika bulan Ramadhan, sama ada bulan Ramadhan atau tidak, yang dilarang di sisi Islam tetap salah bagi orang-orang Islam,” ujar beliau petang tadi.

Katanya, kewujudan pusat hiburan di Selangor sekarang merupakan hasil tinggalan Umno yang nyata memerintah kerajaan Selangor sejak 50 tahun lalu.

“Kita mewarisi kerajaan negeri ini (Shah Alam) dengan segala peninggalan mereka,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam.

Demi memulih semula sosial masyarakat akibat pentadbiran Umno itu, baginya, PAS negeri melaksanakan memilih kaedah dakwah serta mendidik masyarakat supaya sedar pripenting menjauhkan diri masing-masing dari tempat kepunahan sosial itu.

“Islam ajar dakwah secara berperingkat, terap kefahaman lebih diutamakan dari melaksanakan hukum, ini yang Islam ajar, bukan cara paksaan dan ugutan seperti yang Umno faham,” ujarnya.

Ujarnya lagi, PAS tidak berminat dengan cara Umno memanipulasi Islam dan slogan ‘amar maaruf nahi mungkar’ dengan memaksa serta mengugut rakyat dan kerajaan negeri sebagaimana belakangan ini.

Sambil menyifatkan Umno cuba merampas kerajaan negeri dari Pakatan Rakyat, baginya, cara Umno itu sekaligus boleh menjauhkan orang-orang Islam serta masyarakat bukan Islam dari melihat erti keindahan dan keadilan yang ada dalam agama Islam.

“Itu yang kamu (Noh) paham, laksana Islam secara paksa dan guna kuasa secara tidak adil, sebab itu sekarang kamu (Umno) kata kita kononnya tunduk pada orang bukan Islam,” ujarnya sambil menyifatkan Umno memahami tidak Islam secara menyeluruh.

Sehubungan itu, beliau menggesa Umno Pusat yang nyata menguasai kerajaan persekutuan supaya terlebih dahulu menghapuskan lesen pusat hiburan, judi dan arak di peringkat nasional dan negeri-negeri yang masih diperintah oleh mereka sebelum mempolitikkan isu pusat hiburan di Selangor.

Ini kerana, beliau berkata, Umno sendiri mendakwa bahawa cabaran-cabaran yang dilaungkan di Selangor itu adalah atas dasar ikhlas pada Islam, bukannya politik kepentingan.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut mempersoal keikhlasan Senator Ezam Mohd Nor (Umno) mempopularkan slogan ‘Gelombang Selamatkan Selangor’.

Baginya, slogan yang dipopularkan oleh Ezam, bekas Ketua AMK Nasional tersebut adalah ciplak pada slogan ‘Selamatkan Malaysia’ yang pernah mencuit kepemimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada era Reformasi’ 1998 dahulu.

“Dia tak ada idea yang asli, semuanya ulang ciplak,” ujarnya.

“Ini bukanlah idea yang asli, ini bukan datang dari kumpulan yang sebenar, ini ciplak idea-idea zaman reformasi.”

Kerajaan wajar benarkan mahasiswa berpolitik

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Sudah tiba masanya kerajaan membenarkan mahasiswa berpolitik sebagai proses mematangkan demokrasi di Malaysia dan menjamin hak-hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Mohd Fadzil Jamal (gambar) berkata, kerajaan harus terbuka dan ikhlas memberikan ruang kepada mahasiswa menjana kepimpinan diri di alam kampus sekiranya mahu melihat barisan pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang berkualiti dan berketrampilan tinggi.

Sehubungan itu, MPMN katanya mendesak kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak membuat kenyataan terbuka kepada umum sekiranya isu membenarkan mahasiswa berpolitik diterima sebulat suara ahli kabinet kerajaan Malaysia.

“Kami, pimpinan mahasiswa MPMN akan terus komited dan konsisten dalam memperjuangkan suara mahasiswa. Kami akan terus membawa suara mahasiswa sampai kepada para pemimpin kerajaan,” ujarnya pada sidang media di Balai Ilmu Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, tengah hari tadi . 

Sesungguhnya, kata beliau proses demokrasi di Malaysia harus segera diberikan nafas baru demi melahirkan generasi kepimpinan negara yang berkualiti, berilmu dan berketrampilan untuk menerajui negara pada masa akan datang.

Beliau berkata, MPMN berpandangan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) pindaan 2009 memperlihatkan ruang lingkup partisipasi mahasiswa dengan politik masih terbatas.

Ini, katanya kerana mahasiswa masih lagi dihadkan memberikan idea dan pandangan tentang isu-isu politik negara serta terlibat secara sah dengan parti politik semasa di kampus.

Baru-baru ini, timbul isu yang hangat dibincangkan di media-media dan di kalangan masyarakat adalah membenarkan mahasiswa menjadi ahli parti politik.

Justeru, segelintir pemimpin kerajaan tampil memberikan pelbagai respon terhadap isu itu. Ada di kalangan mereka yang melontarkan respons yang positif dan ada juga yang memberikan pandang sisi negatif.

“Oleh itu, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) tampil untuk memberikan pendirian terhadap isu ini yang secara jelas perlu diberikan perhatian yang serius oleh kerajaan,” ujarnya.

Agenda perpaduan: Umno kini rasa terancam

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Umno akan sentiasa bertindak untuk mengekalkan kedudukannya sebagai teras politik negara ini terutama sekali jika merasa kedudukannya terancam, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.Beliau mengulas cadangan dan usaha yang dibuat Umno terutama melalui medianya Utusan Malaysia sejak akhir-akhir ini yang cuba memancing PAS agar berpadu dengannya atas nama kepentingan Melayu dan Islam.

“Sejak dari awal perkembangan politik negara, iaitu sejak dari merdeka lagi sampai kini, Umno dan BN (dahulunya Perikatan) memang sentiasa menjadi teras politik negara. Dan Umno sememang akan berusaha untuk mempastikan dia kekal menjadi teras politik negara sepanjang masa. Tetapi dalam tempoh tertentu Umno terasa kedudukan ini terancam. Ketika itu, Umno akan ada agenda tersendiri untuk mempertahankan kedudukannya itu,” kata Mustafa.

Mustafa dipercayai mengulas usaha Umno untuk memancing PAS agar bersatu dengannya kerana merasakan kedudukannya terancam selepas pilihan raya umum ke 12 lalu.

Mustafa berkata demikian dalam wawancara khasnya dengan akhbar politik Siasah pagi tadi. Wawancara penuh bakal diterbitkan hujung minggu ini (Jumaat). Dalam keluaran terbarunya, Siasah menyiarkan wawancaranya dengan Tun Dr Mahathir.

Antara lain, Dr Mahathir mendakwa PAS menjaga kepentingannya sendiri semasa dalam BN menyebabkan PAS ditendang dari BN. Mahathir juga mendakwa, Melayu kini minoriti selepas berpecah kepada tiga iaitu Malyu Umno, PAS dan PKR.

Menurut Mustafa dalam wawancara itu, selepas peristiwa 13 Mei, Umno buat pertama kali terasa kedudukannya terancam apabila PAS menang di banyak kerusi dan Gerakan juga menang besar dalam pilihan raya itu.

“Ekoran peristiwa 13 Mei dan melalui Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak berbincang dengan Yang Dipertua Agung PAS, Datuk Asri Muda. Umno juga berbincang dengan Gerakan. Saya yakin kedua-duanya (Tun Razak dan Asri) ikhlas untuk menjaga kepentingan Melayu Islam dan negara ketika itu. Apabila PAS berada dalam BN, dalam kerajaan, fenomena baru berlaku. Kalau selama ini banyak sektor masyarakat yang takut bersama PAS kerana PAS adalah parti pembangkang, ia telah berubah,” kata Mustafa.

Selepas itu, katanya, PAS ditendang keluar dari BN.

Mustafa juga menolak, orang Melayu kini berpecah tiga dan menjadi minoriti dalam negara ini sebagaimana didakwa bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir apabila mendakwa Melayu kini berpecah tiga iaitu dalam Umno, PAS dan PKR.

“Apakah ia bererti Melayu berpecah? Bagi saya tidak asalkan masing-masing tahu matlamat dan dasar yang murni perlu diperjuangkan bersama.  Sepanjang masa, kita sentiasa berkata, PAS akan menyokong Umno dalam melaksanakan Islam dan untuk kepentingan orang Melayu di negara ini. Sejarah membuktikan PAS tidak pernah menghalang usaha sebegini. Yang sentiasa menghalang adalah Umno sendiri,” kata Mustafa.

Baca wawancara penuh dengan Datuk Mustafa dalam Siasah Jumaat ini.

Ramadhan bulan tarbiah, jihad

Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Ramadhan adalah bulan tarbiah dan jihad bagi pejuang-pejuang Islam, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).

Justeru, katanya kedatangan Ramadhan adalah proses untuk menundukkan hawa nafsu yang sentiasa bergelodak dalam jiwa untuk mengabadikan jihad dan perjuangan.

“Andainya hawa nafsu boleh ditundukkan dengan jalan lain (bukan berpuasa) nescaya Allah akan mewajibkannya.

“Namun bilamana Allah mewajibkan puasa kepada umat dahulu dan sekarang, bermakna hawa nafsu hanya dapat dikawal melalui ibadat puasa,” ujarnya dalam perutusan sempena Ramadhan 1431H.

Katanya, sejarah jatuh bangun umat dahulu memperlihatkan betapa banyaknya tekanan musuh dan serangan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan kerana musuh menganggap umat Islam akan lemah kerana berpuasa.

“Lihatlah di zaman kita serangan ke atas Iraq, Afghanistan, Bosnia dan lainnya banyak dimulakan dalam bulan Ramadhan.

“Bahkan kalau kita buka lipatan sejarah lampau, sejak zaman Rasulullah hingga zaman tabieen, serangan musuh banyak tertumpu dalam bulan Ramadhan,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Kerana itu, katanya Ramadhan janganlah dijadikan alasan untuk mengabaikan jihad; kerana tarbiah Ramdhan adalah tarbiyah langsung dari Allah, sehingga Allah menyatakan dalam hadis Qudsi yang bermaksud: Puasa kamu untuk Ku, maka Akulah yang akan memberi balasannya.

“Alhamdulillah, Ramadhan datang lagi dengan penuh rahmat dan keberkatan. Marilah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dipanjangkan umur sehingga kita bertemu semula Ramadhan,” ujarnya.

Katanya, Rasulullah s.a.w. sering kali berdoa yang bermaksudnya: Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Syaaban, dan (panjangkan umur kami) sehingga bertemu dengan Ramadhan.

“Betapa besarnya rahmat Ilahi bilamana kita dipanjangkan umur sehingga bertemu dengan Ramadhan kerana sabda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Antara Ramadhan ke Ramadhan adalah pengampunan Allah.

Maksudnya, jelasnya sesiapa yang dipanjangkan umur sehingga dapat bertemu dengan Ramadhan, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yakni dosa kecil.

“Panjang umur bukan kerja kita, ia benar-benar hak mutlak Allah; lantaran itu marilah kita mensyukurinya.

“Saya mengambil kesempatan menyeru kepada semua pendokong parti agar menjadikan Ramadhan ini sebagai bulan menambahkan amalan seharian, hidupkan tadarus al-Quran di kalangan ahli usrah,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyeru supaya dihidupkan majlis berbuka, tarawih dan tazkirah di mana-mana ruang yang ada dan ambillah kesempatan menderma terutamanya memberi makan kepada orang yang berpuasa.

Ini, katanya kerana Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa iaitu menyediakan makanan berbuka puasa, maka dia memperolehi pahala sebagaimana orang yang berpuasa, dan tidak kurang sedikitpun pahala puasanya.

Namun, beliau mengingatkan orang yang berpuasa supaya hendaklah memendekkan  masa di bazar-bazar Ramadhan, dan jangan membeli juadah untuk berbuka dari tangan-tangan yang fasiq, tangan yang tidak mengerjakan sembahyang, dan tangan yang tidak takutkan Allah.

“Peliharalah setiap suap makanan kerana ia menjadi darah daging, dan darinya menjadi air mani yang melahirkan zuriat kamu.

Kutiplah mutiara keberkatan Ramadhan pada siangnya dan hidupkanlah ibadahmu pada malamnya, kerana persoalan utama bukan Ramadhan yang penuh keberkatan dan rahmat, tetapi apakah kita memperolehi keberkatan dan rahmat itu,” katanya.

%d bloggers like this: