Berita dari harakah di sibu sarawak

Pengenalan : Nasib Daerah Melayu Sarawak

 

“Daerah Kabong di Tindas”

Di zaman kesultanan Brunei dan Keluarga Brooke memerintah Sarawak dahulu, bahagian Saribas merupakan penempatan komuniti penduduk melayu paling ramai di Sarawak. Yang ke-2 komuniti penduduk melayu paling ramai adalah bahagian Kuching. Kini setelah Sarawak merdeka dan menyertai Malaysia, Bahagian Saribas telah dipecah belahkan oleh pemimpin-pemimpin yang takutkan kekuatan orang-orang melayu. Dengan pembahagian kawasan kini, kita lihat dari sudut  geografi politik. Kerusi DUN dan PARLIMEN Kelihatan Bahagian Kuching mempunyai kerusi  melayu terbanyak.

Cuba kita teliti secara mendalam bahawa kampung melayu terbesar  di Sarawak adalah Daerah Kabong. Yang ke-2 terbesar adalah daerah Pusa, manakala daerah Beladin adalah perkampungan melayu ke-3  terbesar di Sarawak. Ketiga-tiga daerah ini sebenarnya berdekatan dan bersebelahan dengan Saribas (Gelaran dahulu).

Setelah merdeka, daerah Kabong inilah yang cuba dikeluarkan dari bahagian Saribas serta daerah Kabong yang menempatkan bilangan melayu terbesar di Sarawak ini telah dibelasah teruk. 2 kampung melayu iaitu Kampung  Gerigat dan Kampung Nyabor milik daerah Kabong di ambil dan diletakkan di dalam daerah Roban yang majoritinya kaum Iban. Kini daerah Kabong  digelar daerah kecil yang  dimasukkan dalam parlimen Saratok, yang juga kuasa kaum Iban. Ini  sekaligus membawa maksud kaum melayu Kabong sudah tidak ada suara lagi.

Kita tidaklah kisah kaum manapun nak memimpin kita. Tetapi,Yang sedihnya, yang menjadi persoalannya ialah mengapa daerah Kabong  telah di di pinggir dan dianak tirikan dari kawasan Saratok. Projek-projek pembangunan infrastruktur dan sosial banyak di utamakan  hanya di daerah Roban dan Saratok. Di sini sentimen  perkauman dilihat begitu jelas sekali. Dari tahun 1960-an dahulu hinggalah sekarang ahli-ahli Parlimen Saratok jelas bersikap Rasilis dan Parokial termasuklah ADUN Kalaka dari Saratok dari kaum melayu sendiri. Sama sahaja bersikap nepotisme dan parokial.   

Pelbagai contoh lain dapat kita jelaskan. Daerah Roban yang penduduk nya cuma 7 ribu lebih, tetapi Pekan Roban banyak pembangunan. Pembinaan bangunan, pasar konkrit, projek Salcra dan sawit jelas  diutamakan di daerah Roban. Malah jalanraya sudah diturap sejak tahun 1980-an lagi, sekolah-sekolah rendah dan menengah konkrik sudahpun dibina pada ketika itu. Ditambah lagi dengan dewan dan balairaya  dibina yang menunjukkan projek-projek kerajaan banyak di daerah Roban.

Daerah Saratok yang menempatkan Bandar Saratok usah diperkatakan lagi. SMK Agama, Giat MARA, jalan raya dan pelbagai projek kerajaan pusat dibolot habis oleh daerah Saratok. Hingga kita dapat melihat sekarang Bandar Saratok mempunyai 2 balai bomba. Kenapa tidak dibina Balai Bomba di Kabong ? Daerah Kabong pula, sekolah SMK nya baru dibina 1993 dahulu. Jalanraya nya baru siap dibina pada tahun 2007 manakala klinik baru dibina pada tahun 2005. Kesimpulannya pekan Kabong hingga sekarang masih tidak berubah-rubah. Masih pasar kayu, sedangkan daerah Kabong mempunyai seramai 13 ribu orang..

Daerah Saratok penduduknya 14 ribu orang. Tidak jauh beza dengan daerah kabong, tetapi mengapa pembangunan banyak di salurkan ke daerah Saratok dan daerah Roban sahaja.  Daerah Kabong menempatkan kaum melayu dan Umat Islam majoriti di Sarawak. Sepatutnya daerah Kabong sekurang-kurangnya mempunyai Jabatan Agama Islam, Baitulmal, Lembaga Amanah Islam, masjid terbesar di Sarawak, sekolah-sekolah agama kerana daerah-daerah yang berhampiran Kabong adalah majoriti Islam dan melayu. Bangunan Persatuan melayu  pun tidak ada.

Sudahlah Daerah Kabong ditindas tidak diberi pembangunan, hiburan , artis dan Fun fair penuh dihantar ke daerah Kabong. Kampung Gerigat dan Kampung  Nyabor yang di masukkan ke dalam daerah Roban terus didera tidak ada pembangunan langsung.

Inilah nasib daerah Melayu Sarawak. Fikirkanlah. 

Daripada :

Anak  Jati Kabong, Sarawak

Ramai penduduk Daerah Kabong tiada tanah

 

Pada bulan Jun 2010 yang lepas kita mendapat berita penduduk daerah Simunjan manarik nafas lega apabila wakil rakyatnya Mohamad Naroden turun padang mengumumkan bahawa 400 lot tanah telah disediakan untuk kawasan penduduknya yang sudah bertahun lama menanti. Persoalannya ! kenapa baru sekarang nak beri ? kenapa hamper nak pilihanraya baru nak beri ? Sebenarnya apa yang berlaku di Simunjan adalah cerita yang sama menimpa nasib penduduk di semua daerah di Sarawak termasuklah di Kuching, Kota Samarahan, Miri dan Bintulu.

Salah satunya sedarkah kita. Penduduk kampong Daerah Kabong terutamanya Kampung Laut, Kampung Hilir, Kampung tengah, kampong Hulu, Kampung Masjid Lama yang terdiri daripada beribu-ribu orang penduduk tidak ada milik tanah sendiri. Angka ini melebihi daripada penduduk Simunjan yang telah pun diberi lot tanah. Daerah Kabong yang begitu mempunyai tanah yang cukup besar tetapi penduduknya beribu orang tiada tanah sendiri. Fikirlah dalam satu rumah adik-beradik yang ramai sudah berkahwin , ada anak, nenek dan cucu tetapi masih berhimpit dalam satu rumah. Fikirkanlah, bagaimana nasib-nasib generasi baru anak-anak Kabong pada masa akan datang..

Sedangkan menteri-menteri dan wakil rakyat Sarawak banyak mempunyai harta dan duit yang banyak serta tanah, rumah yang banyak di pelbagai tempat. Penduduk Daerah Kabong juga sekarang ramai terpaksa membina rumah di persisir laut dan ada yang terpaksa membina rumah di atas tapak perkuburan.

Adapun wakil rakyat Kabong (Adun N.33 Kalaka : Abdul Wahab Aziz) dan (Parlimen P.205 Saratok : Jelaing Ak Mersat) telah membuka tanah lot untuk penduduk Kabong di Emburuh. Sebenarnya di sebalik cerita itu hanya bebarapa orang penduduk sahaja yang mendapatnya. Itupun hanya yang bekerja dengan kerajaan yang diberi tanah lot di Emburuh yang rata-ratanya sudah ada rumah sendiri dan tanah…

Nasib malang terus menimpa warga Kabong !  

Daripada :

Anak  Jati Kabong, Sarawak

Ramadhan bulan tarbiah diri

Mohd Nor Yahya   
KOTA BHARU, 10 Ogos: Kerajaan Negeri Kelantan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHAEIK) sekali lagi melancarkan sambutan Ihya Ramadhan bertempat di Balai Islam baru-baru ini bagi menzahirkan sokongan kepada pelbagai program yang dirancang di seluruh negeri bagi menghidupkan bulan Ramadhan.Perasmian majlis Sambutan Ihya Ramadhan peringkat negeri telah dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mewakili Menteri Besar Kelantan, turut hadir Pengarah JHAEIK Datuk Mohd Azamli Jamaluddin.

Mohd Amar ketika berucap melahirkan rasa gembira kerana tahun ini sambutan Ihya Ramadhan telah memasuki tahun ke-18 dan ini menggambarkan keperihatinan kerajaan dalam usaha menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan beribadat kepada rakyat negeri ini.

Program ini juga adalah sebahagian daripada program pembangunan rohani kerajaan negeri sejak sekian lama.

Sambutan ini juga bagi menggalakkan rakyat negeri ini agar dapat meningkatkan mutu ibadah dan penghayatan Islam sepanjang masa.

Beliau juga berharap umat Islam dapat menjadikan bulan Ramadhan sebagai satu bulan yang menjadi institut pentarbiahan diri dalam pelbagai aspek meliputi jasmani dan rohani.

“ Al-Quran telah menjelaskan bahawa kefardhuan ibadah puasa di bulan Ramadhan adalah bertujuan untuk mendapatkan ketakwaan kepada Allah SWT,” ujar beliau.

Mohd Amar juga berkata dalam menelusuri perjalanan ibadah di sepanjang Ramadhan, suatu perkara yang harus diberi perhatian ialah penghayatan ibadah puasa sebagai konsep pengabdian yang menyeluruh kepada Allah.

Dengan menggunakan tema “Puasa Membina Keunggulan Rohani dan Jasmani” pada tahun ini, ia amat bertepatan dengan amalan harian umat Islam kerana di bulan Ramadhan, selain daripada menjadi amalan yang mendapat ganjaran pahala dari Allah, ia juga boleh menjadikan sebagai satu tabiat yang baik dalam aspek kesihatan fizikal.

“Kalau di bulan lain, kita sering berhadapan dengan pelbagai makanan dan ia boleh mendedahkan diri seseorang kepada pelbagai penyakit dan bi bulan Ramadhan ini, insya Allah bagi mereka yang suka kepada pelbagai makanan, ia dapat dikurangkan,” katanya lagi.

Di majlis yang sama penyampaian buku Tadarus Al-Quran yang mengandungi ayat 63 hingga 77 dari Surah Al-Furqan diedarkan kepada semua pegawai Halaqat negeri yang akan digunakan sebagai program bertadarus di seluruh jajahan.

Setuju desak kerajaan laksana demokrasi

http://kacapermata.blogspot.com   
Sudah tentu saya antara jutaan rakyat Malaysia yang bersetuju malah amat bersetuju untuk kita terus mendesak supaya kerajaan melaksanakan dengan sesungguhnya amalan demokrasi di Malaysia. Sewajarnya, perlembagaan persekutuan yang menaungi setiap pergerakan dan peraturan rakyat Malaysia ini dijadikan rujukan utama dan sebarang undang-undang yang bercanggah dengannya mestilah dibatalkan dengan segera.

Saya ingin menarik minat dan perhatian semua untuk kita sama-sama, sekali lagi membaca kandungan Perlembagaan Persekutuan, terutamanya Bahagian II, berkaitan Hak Asasi khusus kepada Perkara 10,

Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

(1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)—

(a)  tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;

(b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata;

(c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.

(2) Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan—

(a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara- negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan;

(b) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persektuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam;

(c) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.

(3) Sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan.

(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181 melainkan yang berhubungan dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.

Sudah menjadi tanggungawab saya, dan semua rakyat Malaysia untuk sama-sama mendokong perlembagaan ini sebagai titik pertemuan kepada persefahaman tentang bagaimana kita menjalankan kehidupan kita masing-masing di Malaysia yang sama-sama kita kongsi udara, air dan segala yang terkandung di dalamnya. Begitu juga dengan prisnsip demokrasi yang menjadi tunjang dan amalan pentadbiran negara sejak sekian lama.

Bayangkan, jika tanpa peraturan, kita tidak mungkin akan dapat menyelesaikan masalah dan konflik yang berlaku saban hari. Contoh mudah, jika kita gagal bersetuju bahawa “MERAH TANDA BERHENTI”, dan memilih warna kegemaran masing-masing untuk berhenti mahupun berjalan, maka sudah pasti hasilnya ialah kecelaruan lalu lintas. Tanpa peraturan yang dipersetujui bersama, pergerakan dan kehidupan seharian kita akan tersekat dan terhenti. Konflik akan bertambah dan kemusnahan akan berlaku di mana-mana.

Isu kehormatan diri misalnya, jika kita gagal memahami keperluan untuk menjaga kehormatan diri dan orang lain, dan memilih untuk memberikan tafsiran tersendiri terhadap “kepentingan menjaga kehormatan diri”, maka natijahnya ialah kecelaruan sosial dan mengakibatkan krisis pergaulan dan perhubungan yang kronik.

Kembali kepada desakan untuk berpolitik. Sudah pasti, kebebasan berpolitik ini perlu disambut baik oleh semua pihak. Namun, terlebih dahulu kefahaman dan tafsiran khusus terhadap definisi “kebebasan berpolitik” perlu diperjelaskan supaya tidak berlakunya kecelaruan. Istilah politik misalnya, umum memberikan gambaran dan persepsi yang agak negatif terhadap politik. Hakikatnya, politik ini ialah segala hal yang melibatkan pengurusan kehidupan manusia. Bagaimana kita ditadbir dan mentadbir segala urusan seharian kita. Politik perlu difahami dalam konteks yang lebih luas. Ianya bukan sekadar menunjukkan warna, malah yang terlebih penting daripada itu ialah nilai yang dipegang dan dilaksanakan.

Politik sebagai alat pemerintahan dan pentadbiran, sewajarnya berfungsi untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam Kerajaan serta segala urusan dan perkara yang melibatkan kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira sempadan usia, ras dan keturunan. Setiap warganegara bahkan mereka yang mendapat permit untuk berada di Malaysia ini perlu dijamin keselamatan dan hak masing-masing, dan ini proses ini juga perlu melalui suatu proses yang dinamakan politik. Sekecil-kecil bayi pun menerima kesan dari iklim politik yang melanda sesebuah negara inikan pula golongan mahasiswa dan kakitangan kerajaan yang mengawal dan mengatur kehidupan sendiri.

Memilih dan dipilih merupakan kata kunci utama terhadap penglibatan seseorang dalam politik. Bahawa seseorang itu perlu diberikan kebebasan untuk memilih dan dipilih. Memilih dan dipilih bukan sekadar memilih warna dan kelompok yang disukai, termasuklah dalam memilih serta memperjuangkan nilai yang pada pandangannya perlu diketengahkan. Setiap rakyat perlu diberikan hak untuk menyatakan pandangan dan pendirian masing-masing. Manusia yang tidak berpendirian samalah seperti lalang yang ditiup angin, maka menidakkan kebebasan untuk berpendirian samalah seperti “me-lalang-kan manusia”. Kerajaan yang prihatin terhadap kelangsungan hidup dan penjanaan potensi tenaga manusia, perlu melihat kepada perkara ini secara serius.

Jangan salahkan sistem pendidikan, jika anda sendiri memainkan peranan sebagai kilang mencetak lalang yang utama dalam negara.

Saya bersyukur dan berbangga kerana dilahirkan sebagai rakyat Malaysia. Malaysia merupakan sebuah negara yang makmur dan aman. Rakyatnya hidup dalam rukun dan damai. Setidak-tidaknya kita masih lagi mampu mengawal beberapa bahagian penting dalam kehidupan seharian kita. Namun, rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap kemampuan sistem sedia ada dalam mentadbir dan menguruskan kehidupan mereka seharian. Pihak berkuasa semakin hilang “kuasanya” pada pandangan sebahagian masyarakat menyebabkan mereka merasakan undang-undang yang sedia tidak berhak dipatuhi. Sistem pendidikan juga hilang cengkamannya terhadap perkembangan dan pertumbuhan minda anak muda menyebabkan mereka suah semakin hilang minat untuk belajar dan mengasah bakat serta potensi mereka.

Langkah untuk pencerahan sistem demokrasi ini perlu dimulakan secepat mungkin supaya rakyat kembai peka dan prihatin terhadap sistem dan nilai yang selama ini mengatur dan menguruskan kehidupan mereka sehari-hari.

MINDA NAIB PRESIDEN PAS – 10 OGOS 2010-Li Fook Gao

Jika saudara mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanya kepada ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila hantarkan soalan saudara ke sembangnaibpresidenPAS@gmail.com. Pemilihan soalan pembaca adalah bergantung keistimewaan soalan dan juga budi bicara pengelola kolum ini.

MARI KITA SEMBANG BERSAMA…Datuk Tuan Ibrahim (TITM, YB Salahuddin Ayub (SA) danDato’ Mahfuz Omar (MO)

Selamat membaca!

Soalan 1:

 

Apa nasihat para Naib Presiden kepada semua warga Muslim seluruh negara di bulan Ramadan ini? Bolehkah Naib Presiden sekalian berkongsi amalan-amalan atau peristiwa-peristiwa menarik masing-masing semasa berpuasa selama ini?

 

TITM: Terlebih dahulu saya merakamkan ucapan selamat menyambut kedatangan Ramadhan, bulan rahmat dan keberkatan, bulan pengampunan dan kasih sayang Ilahi, bulan jihad dan perjuangan. Kehebatan bulan Ramadhan mestilah diambil peluang sebaiknya bagi seluruh umat Islam dengan melakukan muhasabah dan melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Perkara yang sukar dilakukan ialah melakukan perubahan; namun bulan Ramadhan memberi ruang yang luas kearah perubahan tersebut; samada perubahan personaliti, amal ibadah serta penggabungan diri dalam perjuangan Islam.

Ambillah kesempatan dengan menghadirkan diri dalam majlis ilmu dan ibadah. Menikmati setiap amalan yang dilakukan dengan penuh ketaqwaan. Menghayati sejarah perjuangan umat Islam lampau dalam bulan Ramadhan serta kehebatan mereka. Marilah kita memelihara Ibadah puasa dengan mengisi setiap detik waktunya dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah.

Pengalaman yang paling manis dalam bulan Ramadhan ialah bersama sahabat ketika pengalaman berbuka, bertaraweh dan tazkirah di tepi pantai bersama sahabat  satu usrah.

Suasana yang nyaman dan tenang di saat matahari terbenam, dengan laungan azan dan menikmati juadah yang dibawa bersama adalah pengalaman jamaah yang kalau diberi peluang saya akan mengulanginya. Alangkah indahnya bila mana semua ahli keluarga dapat bersama. Mengukuhkan ukhuwah dalam jamaah.

SA: Ramadan kali ini perlu dilihat dari perspektif baru dan segar, dan saya rasa apa yang kita perlu hari ini ialah suatu tekad yang luar biasa untuk kita melakukan ibadah di bulan Ramadan ini dan juga kebajikan-kebajikan yang sangat dituntut kerana Ramadan kali ini telah membuktikan usia kita ini telah bertambah setahun lagi.

Inilah masa terbaik untuk membuat perkara yang secukupnya. Dalam konteks perjuangan, saya rasa inilah masa terbaik untuk kita mengumpul kekuatan di bulan yang sangat berkat ini, untuk kita lebih berinovatif dalam melayari bahtera perjuangan Islam ini dan apa yang perlu kita lakukan hari ini ialah kita perlu membuktikan Islam yang kita perjuangkan ini bukanlah suatu halangan besar untuk kita terus maju ke hadapan dalam konteks politik Malaysia.

Yang agak menarik dalam kehidupan saya semasa Ramadan ini, saya masih teringat lagi sewaktu saya belum menjadi wakil rakyat ialah bagaimana saya membantu isteri saya untuk mendapatkan sedikit rezeki dengan menjual kuih-muih dalam bulan Ramadan dan untuk juga menghadapi Hari Raya. Saya cukup ingat pada peristiwa itu sehinggakan saya pernah terjatuh daripada menaiki motosikal apabila saya membeli persiapan-persiapan untuk membuat kuih-muih itu kembalinya dari pasar. Kuih yang paling laris sekali ialah kuih Melaka.

Rasanya cukup sedih pada waktu itu kerana kereta pun tak ada – di sekitar 80-an waktu saya sudah mula full time dengan parti, dan pada masa itu sudah ada 2 orang anak yang masih kecil.

MO: Menjelang ramadan, letakkan taqwa sebagai maklamat yang perlu dicapai dalam melaksanakan ibadah puasa. Jadikan ibadah wajib dan sunat serta sedekah jariah, infak dan jihad sebagai bidang keberhasilan utama yang perlu dicapai.

Jimat berbelanja dan turunkan berat badan bagi yang terlebih berat dan gemuk. I miss you, Ramadan.

Sejak terlibat sebagai pemimpin PAS dan rakyat, saya tiada mempunyai banyak masa untuk berbuka dengan keluarga. Pada tahun 2009, hanya 3 kali saya dapat berbuka bersama keluarga.

Walau apa pun saya tetap beri ruang dan waktu untuk bersama keluarga – berhimpun bersama anak-beranak serta keluarga abang adik saya untuk berbuka bersama. Selebihnya saya banyak berbuka dengan masyarakat di masjid dan surau.

Pada tahun ini sudah diatur program berbuka dan bersahur dirumah orang orang miskin, wargamas dan anak yatim disamping menyampai bantuan sumbangan – harap saya boleh bawa keluarga sekali untuk mendidik mereka secara mendekati dan merasai denyut nadi umat. Insyaallah.

Soalan 2:

 

Saya merupakan salah seorang pemuda Umno di Gombak, tetapi saya berminat dan selalu mengikuti perkembangan PAS dan juga parti lain di dalam Pakatan Rakyat sejak dari dahulu lagi. PAS bagi saya adalah sebuah parti yang sangat dihormati baik kawan ataupun lawan.

 

Tokoh Spiritual PAS yang sangat dihormati Tuan Guru Nik Aziz memberi impak dan pengaruh yang amat besar di dalam sejarah moden PAS buat masa kini, kami Pemuda Umno melihat PAS mungkin akan kehilangan impak dan pengaruh kepada pengundi jika ketiadaan TGNA.

 

Bagaimana ini dapat diatasi dan apakah momentum TGNA dapat diteruskan oleh penggantinya nanti?

SA: Saya yakin dan percaya bahawa pemimpin dalam PAS ini datang dan pergi. Dan kita telah ada rekod – kita telah berusia setengah abad, walaupun faktor kepimpinan dan tokoh itu sangat-sangat penting dalam mana-mana organisasi termasuk PAS tetapi yang menyebabkan PAS boleh hidup pada hari ini pada kekuatan ‘amal jamaii’ nya – kita punya konsep dan amalan kolektif responsibility atas nama jamaah itu lebih kukuh sebenarnya.

Oleh itu, jangan bimbang sangat – memang saya sendiri pun hari ini merasakan begitu, kalau tak ada orang ini, PAS akan susah – kalau tak ada Tok Guru ini, nanti siapa penggantinya tapi dengan kekuatan jamaah yang kita bina bersama ini, sampai masanya besok akan lahirnya pemimpin baru yang lebih dinamik dan berinovatif untuk terus memimpin parti. Yang penting saya rasa benda-benda fundamental tidak boleh terhakis, terutama sekali dasar Islam kita yang jelas, dan di situlah terbinanya personaliti, integriti, akhlak pemimpin-pemimpin yang kita boleh banggakan dan juga seterusnya ialah komitmen kita kepada perjuangan.

Saya rasa pemimpin-pemimpin PAS ini ialah principled man – tidak mudah melompat ke sana ke mari, dan itulah saya rasa suatu khazanah yang kaya di dalam PAS.

MO: Pertama, saya ucapkan terima kasih atas soalan tersebut kerana ia suatu gambaran menunjukkan penghormatan dan pengiktirafan yang diberikan ahli-ahli Umno kepada Tok Guru Nik Aziz. Ia adalah satu penghormatan yang sangat tinggi kerana ini menunjukkan Tok Guru mempunyai ketinggian ilmu dan ketokohan yang ada pada beliau.

Namun begitu, dalam konteks parti, PAS tidak hanya berdiri atas kekuatan pemimpin semata-mata, tetapi PAS berdiri atas kekuatan daripada pelbagai sumber daya kekuatan yang ada ini.

Sebab itu ahli-ahli kita tidak pun lari walaupun pemimpin pergi sama ada melarikan diri ataupun meninggal dunia, tetapi ahli PAS tetap berdiri teguh kerana ahli PAS telah dididik satu didikan yang cukup kuat di mana penyertaan kita dalam perjuangan PAS ini bukan atas nama pemimpin tetapi atas kewajipan untuk memikul amanah daripada Allah.

Oleh sebab itu, para pemimpin melatih dan mendidik ahli-ahli untuk menghayati konsep ini – apabila mereka dapat menghayati konsep ini maka mereka berada di dalam PAS bukan kerana pemimpin, tetapi kerana kewajipan dan tanggungjawab amanah yang dipikul ini. Oleh kerana itu, walaupun ada pemimpin yang lari, ada pemimpin yang meninggal dunia, tapi ahli tetap berdiri bersama dengan perjuangan PAS.

Konsep ini jugalah yang dilakukan oleh PAS dalam membentuk budaya politik masyarakat Malaysia – supaya menyokong PAS itu bukan hanya sekadar kerana diri pemimpin itu, tetapi apa yang lebih penting ialah untuk memikul amanah yang diberikan Allah ke atas kita.

Demikian juga dengan tanggungjawab pemimpin – ia bukan sahaja untuk penampilan diri dia, menonjolkan dari segi kehebatan diri dia sendiri tetapi penampilan yang diberikan pemimpin itu ialah penampilan yang menzahirkan amanah yang diberikan Allah Sub’hanahu Wa Ta’ala.

PAS membawa penampilan pemimpin parti dalam konteks integriti, kejujuran dan keikhlasan bukan sahaja pada diri seseorang pemimpin tapi semua pemimpin diberikan penekanan termasuk ahli-ahli untuk menampilkan satu penampilan yang membezakan kita dengan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang ada dalam negara kita ini.

Inilah yang menjadi penyambung seterusnya kepada perjuangan PAS ini walaupun dengan ketiadaan pemimpin atau kehilangan seseorang pemimpin tetapi yang adanya terus akan memberikan penampilan-penampilan yang sama sebab yang diberikan oleh Tok Guru Nik Aziz ialah integriti, kejujuran dan keikhlasan dan orang dapat melihat perbezaan pada Tok Guru Nik Aziz dengan yang ada apa pemimpin Umno.

Ini juga yang akan dibawa pemimpin-pemimpin PAS yang lain selain daripada Tok Guru Nik Aziz.

TITM: TGNA adalah tokoh besar mewarnai perjuangan PAS. Impak besar yang ada pada beliau telah berjaya membawa satu demensi baru dalam politik negara; saya akui ia sangat dihormati oleh lawan dan kawan – sehingga ada yang bimbang bilamana ketiadaan beliau.

Memang kita akui untuk mencari orang sepertinya adalah sukar. Namun PAS pernah mempunyai tokoh hebat dalam sejarah perjuangannya dan kehilangan mereka sangat dirasai, contohnya kehilangan Dr Burhanuddin al Hilmi, Dr Yusuf Rawa, Us Fadhil Nor juga mempunyai kesan besar dalam politik.

Itulah silih berganti kepimpinan, dan kita yakin Allah akan mengatur urusan agamanya dengan sebaik mungkin walaupun untuk mencari dan menandingi kehebatan seseorang tokoh sangat sukar.

Pemimpin yang paling baik ialah yang menyediakan penggantinya lebih baik darinya.

Soalan 3:

 

Mungkin tak Sabah dan Sarawak juga akan dijual secara senyap-senyap oleh Barisan Nasional? Apa pandangan Naib Presiden sekalian tentang perkara ini?

 

MO: P Ramlee banyak mengajar kita – pertama beliau memberikan walaupun secara gurauan, Alif Mim Nun Wau sepatutnya bunyinya UMNO tapi beliau membuat dalam bentuk joke, Alif tolak Mim tendang Wau, bunyinya Sarkas – jadi maknanya telahan P Ramlee ketika itu yang saya berpendapat bahawa itu adalah telaahan gurauan yang menunjukkan satu hari nanti UMNO akan menjadi sarkas.

 

Dan P Ramlee juga memberikan satu gambaran bahawa penyamun atau orang-orang yang mencuri di kampung satu hari nanti akan menjadi penyamun ‘collar’ putih. Begitulah juga soalan pembaca di atas seperti mana P Ramlee menggambarkan bahawa suatu hari nanti keluarga pun boleh dijual demi harta seperti dalam filem Tiga Abdul.

Yang saya nak kaitkan di sini ialah bagaimana bapa mertua Ahmad Nisfu ini jual menantu dia hanya semata-mata untuk mendapatkan harta. Perkahwinan anak dia itu, hanya untuk merebut harta kekayaan yang ada pada menantu dia.

Akhirnya apabila menantu dia melanggar peraturan undang-undang yang ada dalam rumah dia, dia jual kerana perjanjian itu kata kalau marah, semua harta akan diambil oleh bapa mertua.

Jadi P Ramlee sudah bagitahu lama bahawa kerana harta, segalanya boleh dijual walaupun menantu dia. Jadi macam itu juga pemimpin Umno, kalau kerana wang dan Ringgit Malaysia, Blok L dan M dia jual, tak mustahil Sabah dan Sarawak ini pun dia boleh jual.

TITM: Persoalannya apakah Sabah dan serawak juga akan turut ‘terjual’ secara senyap-senyap oleh BN – memang realiti kini pun telah berlaku.

Kedua negeri ini mempunyai hasil yang santa besar, dan mampu menjana ekonomi yang herat. Namun, mereka adalah negeri yang rakyatnya paling miskin di Malaysia.

Hakikatnya, kekayaan hanya dikaut oleh pemimpin dan kroninya sahaja. Rakyat menyaksikan bagaimana hasil mahsul sabah dan Sarawak diangkut keluar di hadapan mata mereka menyebabkan mereka masih lagi terbelenggu dengan kemiskinan – jauh dari arus pembangunan sehinggakan kemudahan asas gagal disediakan.

Keperluan utama seperti jalanraya, leterik dan bekalan air bersih masih Belem disediakan meskipun mereka didendangkan dengan lagu pembangunan negara maju menjelang 2020.

Hentikan kerakusan ini dengan segera and mereka perlu bangkit membuat perubahan dalam PRU ke 13. Anda akan meyaksikan bagaimana hasil mahsul negeri tidak lagi berada dalam mulut-mulut buaya darat yang sedia menggadai negeri demi memenuhi nafsu mereka.

SA: Menjual negara ini, saya rasa sudahpun berlaku secara tidak langsung, terutama dalam isu-isu yang melibatkan kedaulatan negara, ini cukup kita bimbang – jadi kita harus hati-hati untuk menghadapi isu ini dan menamatkan dan merehatkan BN dalam pilihanraya akan datang – itu sangat penting.

Kit Siang sangsi bukti terbaru ‘Nota Teoh’

LFG   
KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Kemunculan bukti terbaru yang dipercayai satu ‘nota’  telah menimbulkan lebih banyak kecurigaan dari memberikan penjelasan ke atas punca kematian Teoh Beng Hock.

Teoh Beng Hock, bekas setiausaha politik kepada Exco Kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah yang ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai tahun lepas.

Beliau mati ketika disoalsiasat sebagai saksi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan yang sama.

“Twist terkini dalam inkues Tan Hock Beng’s (adalah) yang amat mengejutkan dan belum pernah terjadi sebelum ini,” kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menulis di laman Twitternya mengenai perkembangan terkini inkues Teoh.

Kit Siang juga mendakwa kehadiran ‘bukti baru’ tersebut telah menjejaskan keyakinan dan kepercayaan awam bahawa punca sebenar kematian Teoh akan dibongkar melalui inkues.

Semalam, semasa inkues, SPRM telah mengemukakan sebuah bukti “baru” yang berupa nota yang ditemui pada tahun lalu di dalam beg sandang Teoh yang mungkin mengandungi petunjuk tentang kematian bekas setiausaha politik pemimpin DAP itu.

Kehadiran bukti baru di saat akhir inkues kematian Teoh menyebabkan ketidakpuasan di kalangan  peguam yang mewakili keluarga Teoh dan kerajaan Selangor. Akibat daripada perkembangan tersebut, sidang inkues ditunda kepada 18 Ogos, Isnin depan.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh melahirkan rasa kecewa beliau terhadap perkembangan tersebut, dan menuntut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk memberikan penjelasan terhadap ‘bukti terbaru’ tersebut yang didakwanya disembunyikan pihak pendakwaraya kerana ‘bukti’ sudahpun dimiliki pihak pendakwaraya sejak Oktober tahun lepas.

“Bukti itu sepatutnya dikemukakan sebelum bermulanya prosiding,” beliau dipetik sebagai berkata.

Sebagai respon kepada dakwaan Gobind, pejabat Peguam Negara telah mengeluarkan satu kenyataan lewat petang semalam menjelaskan bahawa Peguam Negara hanya akan mengemukakan dokumen sebagai bukti jika pejabat itu berpuas hati tiada lagi kemusykilan terhadap sesuatu bukti.

Menurut kenyataan tersebut, pejabat Peguam Negara telah dimaklumkan mengenai penemuan nota pada 7 Oktober lalu iaitu lebih dua bulan selepas kematian Teoh oleh pegawai penyiasat ASP Nazri Zainal walaupun pada mulanya Ahmad Nazri tidak menemui nota tersebut ketika beliau memeriksa beg sandang Teoh sebaik insiden berlaku.

Kenyataan itu turut mendakwa bahawa Ahmad Nazri baru-baru ini mengaku yang dia menjumpai nota tersebut ketika memeriksa beg sandang simati pada 17 Julai tahun lepas tetapi tidak menyedari kepentingannya kerana turut menjumpai dokumen lain dan ia ditulis dalam tulisan Cina dan rumi.

Bagaimanapun, ‘nota’ tersebut tidak dikemukakan ke inkues kerana ketika itu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, tidak berasa yakin dengan ketulenan nota itu disebabkan kekurangan contoh untuk mengesahkan tulisan tangan berkenan, khususnya tulisan Cina.

Beliau juga berpendapat nota itu tidak perlu dikemukakan sehingga, dan melainkan, pegawai penyiasat boleh menyediakan penjelasan yang memuaskan, menurut kenyataan itu lagi.

Namun, selepas pegawai penyiasat berkenaan menjelaskan kepada pejabat Peguam Negara bahawa beliau menjalankan pemeriksaan rapi selepas dinasihatkan oleh pakar psikologi iaitu kebiasaannya sekeping nota akan ditinggalkan dalam kes bunuh diri, Peguam Negara telah memutuskan untuk mengemukakan nota tersebut.

Beliau juga mengarahkan pegawai penyiasat untuk menjelaskan perkara ini di mahkamah untuk mengelak sebarang akibat pada masa depan dan membiarkan perkara itu diputuskan oleh koroner selepas menimbangkan penjelasan pegawai penyiasat dan laporan oleh pemeriksa dokumen.

“Inkues Teoh Beng Hock – semakin banyak perkembangan luar biasa. Boleh percaya tak?” soal Kit Siang ketika mengulas penjelasan pejabat Peguam Negara sambil menambah beliau sangsi dengan usaha saat-saat terakhir oleh Peguam Negara di dalam mencari kebenaran dalam inkues Teoh.

Peneroka saman Felda wajar, tepat

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Datuk Kamarul Baharin Abbas melihat tindakan yang diambil oleh peneroka Felda Serting Hilir dan Felda Gugusan Raja Alias dengan mengemukan saman terhadap Felda adalah satu langkah yang tepat dan sewajarnnya.

“Sudah hampir 15 tahun Felda menekan dan juga menipu peneroka terbabit dengan mengambil titik peluh peneroka dalam Kadar Perahan Gred (KPG) yang kita tahu terdapat perbezaan antara 6% bagi setiap tan,” ujarnya selaku Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sembilan dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, katanya Felda hanya membuat kiraan antara 16  sehingga 19 peratus sahaja, sedangkan ujian yang dilakukan oleh peneroka di Makmal Sime Darby Research Sdn Bhd dan juga Felda Analytical Laboratory menunjukkan KPG boleh mencapai 25.54%.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Telok Kemang berkata, Felda mengaut keuntungan tanpa keihklasan dari peneroka bagi memenuhi kantung mereka, setelah itu mereka membazikan sumber tersebut tanpa melihat kepada faedah yang diperolehi oleh setiap peneroka.

 “Kita tahu pentadbiran yang pincang berlaku di dalam Felda. Kegagalan Felda untuk memperbetulkan urus tadbirnya boleh menyebabkan ia menyimpang dari matlamat asal.

“Usaha yang sepatutnya diambil oleh Felda adalah kembali kepada prinsip asalnya. Apa yang boleh diandaikan jika berlaku kekusutan di dalam akaun Felda, maka peneroka yang menjadi mangsa,” ujarnya lagi.

Tambahnya, merujuk kepada tindakan yang diambil oleh peneroka di Seremban pada 9 Ogos dulu menggambarkan peneroka sekarang telah muak dengan sikap Felda yang  mempergunakan mereka.

Katanya, jika selama ini mereka tidak mendapat pembelaan dari mana-mana individu, persatuan ataupun peguam tetapi sokongan dari Pakatan Rakyat jelas menampakkan sinar baru kepada peneroka.

“Prinsip yang kita bawa adalah keadilan untuk semua rakyat  maka pembelaan yang dilakukan ini adalah satu usaha kita agar peneroka di negara ini mendapat hak mereka yang sebenarnya,” katanya lagi.

Baginya, tuntutan saman RM200 juta bukanlah satu jumlah yang sepatutnya dituntut oleh peneroka, jumlah yang sebenar adalah lebih tinggi lagi kerana nilai keringat setiap peneroka dalam membangunkan sektor hartanah itu jauh nilainya.

“Kita lihat dari hutan belukar menjadi sebuah perkampungan yang memiliki segala-galanya, justeru tanpa sumbangan dari peneroka bagi saya kesemua itu tidak akan tercapai,” katanya.

Beliau berkata, tentu wujud ugutan dari pihak-pihak tertentu terhadap tindakan itu.

“Pesanan saya kepada setiap peneroka jangan gusar dengan segala dugaan tersebut kerana kita berada di tempat yang benar.

“Jangan sesekali kita tunduk dengan desakkan pihak berkenaan, apatah lagi yang dilakukan oleh Umno-BN yang selama ini hanya  mempergunakan peneroka untuk kepentingan politik mereka,” ujarnya.

Beliau menambah, usaha yang dilakukan hari ini adalah satu tindakan yang terbaik untuk seluruh peneroka dan beliau yakin dengan semangat yang ada dari peneroka serta barisan peguam kejayaan yang akan diperolehi.

Katanya, dengan cara ini sahajalah Felda, Umno BN sedar bahawa mereka tidak lagi boleh menekan dan mempergunakan keringat peneroka untuk kepentingan tertentu dan politik mereka.

Bela bantu perbaharui insurans kenderaan

Hazayani Zakaria   
GOMBAK, 10 Ogos: Selepas berjaya melancarkan Kempen Anti Saman ekor (Kase), PAS hari ini mengorak langkah dengan melancarkan Gerakan Bela Rakyat (Bela) bagi mencari penyelesaian kepada masalah pemilik kenderaan berusia 20 tahun ke atas yang terpaksa membayar tinggi untuk memperbaharui polisi insurans.

Pengerusi Bela, Salahuddin Ayub berkata, pemilik kenderaan 20 tahun ke atas terpaksa melalui prosedur yang merumitkan dan membayar upah untuk memperbaharui insurans kenderaan mereka.

Mereka terpaksa melalui Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP) dan Uniasia untuk memperbaharui insurans kenderaan, dan bayaran yang dikenakan meningkat sehingga 200 peratus berbanding dahulu.

“Hari ini saya mewakili rakyat bawahan melancarkan Bela kerana memahami kumpulan rakyat bawahan sangat tertekan dengan isu kereta dan motor yang berusia 20 tahun ke atas yang menghadapi masalah untuk memperbaharui atau mendapatkan perlindungan polisi insurans,” katanya pada sidang media pelancaran Bela di sebuah restoran, di sini hari ini.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS berkata, kerajaan hanya mendengar aduan daripada pihak insurans bahawa mereka mengalami kerugian jika memperbaharui insurans kenderaan 20 tahun ke atas dengan harga asal, dan  tidak mendapatkan pandangan umum, sebaliknya terus membiarkan rakyat menjadi mangsa.

Isunya sekarang, kata beliau mereka terpaksa mengambil insurans dengan MMIP dan Uniasia.

“Dulu pemilik kenderaan boleh beli insurans dengan mudah di mana-mana syarikat insurans dengan harga yang murah tapi ada aduan syarikat insurans yang mendakwa mereka mengalami kerugian rugi dan menyarankan kepada pihak kerajaan agar mekanisme baru dicari untuk mereka mengatasi apa yang dikatakan kerugian itu.

“Dan tanpa kajian dan pandangan umum diambil kerajaan, polisi ini diaplikasi dan rakyat menjadi mangsa,” katanya.

Salahuddin juga berkata, bebanan itu sangat dirasai oleh rakyat yang tinggal di kampung-kampung dan kawasan pedalaman kerana MMIP hanya terdapat di pekan-pekan besar.

“Masalah ini dihadapi oleh rakyat di kampung dan kawasan pedalaman sebab MMIP hanya ada di pekan-pekan  besar sahaja.

“Dan soalan yang ditanya dalam borang yang diberikan sangat menyusahkan orang-orang kampung. Kalau mereka tidak tahu jawab, kena upah orang untuk isi borang dengan bayaran RM20 hingga RM30.

“Nak ambil borang kena ke pekan besar, lepas itu kena upah untuk isi borang, jadi berapa kali kesusahan yang mereka terpaksa hadapi untuk mendapatkan insurans kenderaan,” katanya.

Sehubungan itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian akan mengadakan satu persidangan meja bulat bagi mencari penyelesaian kepada polisi yang sudah hampir setahun berkuat kuasa ini.

Beliau berkata, tujuh kumpulan akan dipanggil menyertai meja bulat ini antaranya persatuan insurans am Malaysia, persatuan pemilik kereta bermotor, insurance and takaful brokers assosiatioan, Fomca dan badan-badan lain yang berkaitan selain wakil daripada kementerian kewangan dan kementerian pengangkutan.

“Bela akan mengadakan persidangan meja bulat dalam masa dua minggu lagi untuk mencari penyelesaian kepada isu ini. Saya akan panggil beberapa kumpulan untuk saya dapatkan pandangan mereka.

“Persidangan ini untuk kerajaan bertindak segera bagi memberi satu skim kepada rakyat untuk mendapatkan insuran yang mereka mampu untuk bayar. Selepas itu saya akan bawa hasil perbincangan ke persidangan Parlimen seawal mungkin,” katanya.

Tambahnya juga, Bela akan bergerak ke seluruh negara bagi memberikan penerangan kepada rakyat berhubung polisi yang membebankan ini.

Tegasnya, kerajaan seharusnya menyediakan satu dasar yang jelas berkenaan perkara ini.

“Kerajaan mesti ada satu mekanisme dan dasar automotif negara dan dasar insurans rakyat. Kita tahu insurans memang tidak boleh dihapuskan keran amelibatkan keselamatan pemilik kenderaan itu sendiri namun merka mesti datang denagn satu penyelesaian yang tidak membebankan rakyat.

“Kita tidak mahu satu dasar yang flip flop kerana kita tahu insurans mestilah ada kepentingan mereka sendiri,” katanya.

Suaram ragui KDN pantau kesihatan, rawatan OKT

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) amat meragui kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menyatakan bahawa kerajaan akan memastikan semua orang kena tahan (OKT) dipantau dari segi kesihatan serta mendapat rawatan kesihatan sekiranya diperlukan.

Suaram turut mengutuk keras Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara Malaysia di atas kematian Wan Khairul Azizi Wan Ali, 34, dalam Mahkamah Majistret 2, Kuantan, Pahang semasa dalam tahanan polis.

Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung berkata, pihaknya mengutuk pihak polis yang bertugas langsung tidak menjalankan tanggungjawab untuk memastikan keadaan OKT dalam keadaan yang sihat dan baik seperti yang dinyatakan dalam Akta Kaedah-Kaedah Lokap(L.N.3289/1958)(4) semasa di lokap Mahkamah Majistret 2, Kuantan.

Wan Khairul Azizi yang berasal dari Felda Bukit Goh dan telah ditahan di Penjara Penor sejak 12 Mei 2010 atas tuduhan berkaitan dadah mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada 7 Ogos lalu, orang kena tahan (OKT) tersebut telah hadir di Mahkamah Majistret 2, Kuantan untuk sebutan kesnya dalam keadaan badan yang amat lemah.

Tidak lama setelah berada di mahkamah, beliau telah rebah dan meninggal dunia.

“Suaram ingin membangkitkan beberapa persoalanan berhubung perkara ini,” ujar Heng Lung dalam satu kenyataan.

Pertama, katanya di manakah pegawai polis yang bertugas ketika mangsa OKT dalam keadaan amat lemah; dan kedua, mengapa pengawai polis enggan mengambil tindakan kecemasan yang sewajarnya ketika diminta oleh ahli keluarganya.

Beliau berkata, Suaram melahirkan kekecewaan terhadap kualiti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Jabatan Penjara Malaysia.

Katanya, mengikut kenyataan ahli keluarga mangsa, pihak pengawai penjara juga tidak memaklumkan keadaan kesihatan OKT kepada mereka sebelum itu.

Ini, ujarnya menunjukkan pihak penjara tidak memberi penjagaan yang sepatutnya seperti yang termaktub di dalam Akta Penjara 1995 (Akta 537) dan Peraturan-peraturan Seksyen (234), (235) dan (236).

“Kes kematian dalam tahanan ini bukan yang pertama. Mengikut Kementerian Dalam Negeri (KDN), terdapat sebanyak 141 orang yang mati dalam tahanan sejak tahun 2000.

Sehubungan itu, katanya Suaram menyeru agar kerajaan segera melaksanakan IPCMC iaitu Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang bersifat bebas serta telus dan adil.

Di samping, ujarnya tindakan tatatertib hendaklah segera diambil terhadap pengawai polis dan penjara yang terlibat selain meningkatkan semula keyakinan rakyat terhadap kualiti PDRM dan juga Jabatan Penjara serta menghentikan penyalahgunaan institusi negara terutama PDRM untuk menindas hak-hak rakyat.

%d bloggers like this: