Kugan’s mother finally submits petition to King

Ramadhan: Memenuhi Fitrah Manusia

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat   

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” – Surah al-Baqarah, ayat 183. 

Memahami tujuan hidup

Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapi di antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa sebarang masalah akan dirujuk kepada pawang atau bomoh.

Selalu juga berlaku, sebahagian atau segelintir orang mengambil langkah penyelesaian kepada pelbagai masalah itu dengan cara mengadu kepada kuasa lain selain Allah SWT. Cara itu adalah khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua itu menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara fitrahnya, manusia perlu kepada Tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapa yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya Tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui Tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan jasad manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Dengan kata lain, manusia diseru agar mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Pengabdian kepada Allah SWT merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Pencipta.

Al-Quran panduan hidup

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut tujuan tanah, air, api, dan udara atau sebagainya adalah berguna kepada manusia. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, siapakah yang dapat menjelaskan tujuan hidup jika tidak Allah SWT sendiri?

Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya mereka yang berpengetahuan tentangnya.

Demikianlah tujuan hidup manusia. Mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia, iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah (para rasul) yang ditugaskan untuk memandu manusia, bagaimana hidup ini perlu diselaraskan menurut kehendak Allah SWT.

Justeru jurupandu kepada umat ini ialah para ambiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berpandukan al-Quran.

Sehubungan itu, bersempena menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak kali ini (1431H), maka seluruh kehidupan ini hendaklah mengambil pengajaran darinya. Antaranya mengambil ingatan sebaiknya kerana bulan Ramadhan merupakan bulan penurunan al-Qur an. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas sepertimana firman Allah SWT:

” Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).”
– Surah al-Baqarah, ayat 185.


Puasa memenuhi fitrah manusia

Justeru, antara keberkatan utama bulan Ramadhan adalah difardhukan ibadat puasa sepertimana difardhukan ke atas umat terdahulu. Namun, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain juga merupakan keperluan bagi fitrah manusia. Jika sekalipun agama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas dirinya untuk berpuasa kerana banyak manfaat daripadanya, termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, maka lebih perlulah puasa ditunaikan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan.

Salah satu manfaat besar puasa ialah dapat membukti sejauh mana tanda taat dan tunduknya manusia kepada tuhannya. Manusia selaku hamba Allah, sanggup bersusah payah (dengan berpuasa), demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk menjaga anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita mengutamakan ibadat sepanjang Ramadhan ini, sanggup kita bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Dari sinilah, hati kita perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati yang memenuhi tuntutan takwa kepada Allah SWT.

Ingatlah, hilangnya keyakinan terhadap Allah, maka akan hilanglah roh dari ibadat puasa tersebut. Hilangnya roh ibadat puasa itu, maka akan menghilangkan pula ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang berpuasa. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW :


“Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat
apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam.”
– Riwayat Ibnu Majah.

Semoga kita semua dapat memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT di sepanjang Ramadhan. Malah, semua ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita, bukan hanya ketika bulan Ramadhan. Harapan kita, agar bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan al-Quran sebagai usaha kita memenuhi apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. InsyaAllah, Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.

Kasihan sungguh Fathul Bari yang malang

Yangretibase   
Tulisan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (ILMU), Fathul Bari Mat Jahaya yang bertajuk ‘Nasihat ulama muda Umno’ dalam sebuah akhbar dalam talian baru-baru ini tidak sedikit pun memperlihatkan dirinya sebagai ilmuan yang hebat. Saya tidak berminat langsung untuk menjawabnya, walaupun dengan cara mudah; apalagi membuat analisis setiap fakta janggal yang diutarakannya.

Respons saya ini hanya sekadar peringatan ikhlas kepada Fathul Bari Mat Jahaya agar beliau dan kumpulan ulama muda yang bersama-samanya menyertai Umno pada 25 Jun, 2010 memuhasabah diri sendiri, menghisab diri sendiri dan mengira-ngira diri sendiri. Tertanya-tanya saya, adakah Umno itu sebuah parti politik suci yang dianggotai pula oleh ahli-ahli yang keramat sehinggakan tarikh seseorang itu menyerahkan borang untuk menyertai Umno pun dianggap keramat? Saya bimbang, tarikh keramat itu sama juga dengan tarikh sesat.

Seorang ulama akhiratkah Fathul Bari Mat Jahaya? Seorang ulama akhirat atau ulama benar sudah pasti berpegang teguh dengan mantapnya kepada kesemua 6,236 ayat al-Quran. Cukup banyak ayat Allah SWT yang melarang unsur-unsur persekongkolan, persahabatan dan persubahatan dengan pihak yang fasiq. Mengapa Fathul Bari tergamak dan berani melanggar ayat 44, 45, 47 dan 49 dalam Surah al-Maidah dan ayat 3 dalam Surah Ibrahim?

‘Al-ulama warathatulanbia’. Seorang ulama itu waris para Nabi. Mana mungkin seseorang itu layak dan tergamak menggelarkan dirinya ulama jika taat setianya kepada Rasulullah tidak setepu-tepunya? Waris Nabikah dia? Seorang ulama benar yang imannya kental tidak tergoyah sedikit jua oleh godaan, cubaan dan ujian dunia yang fana ini, tetapi bertentangan sekali dengan ulama dunia yang lebih mementingkan dan mengutamakan dunia daripada akhirat.

Malu dan takut seorang ulama Rabbani hanya kepada Allah SWT, tetapi seorang ulama suk lebih takut dan malu kepada manusia. Demikian juga seorang ulama Malaki pasti tetap senantiasa bersama-sama dengan jemaah yang istiqamah menjunjung tinggi akan setiap titah perintah Allah SWT dengan berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.

Kesimpulannya, saya bimbang, dengan menyertai Umno, Fathul Bari Mat Jahaya dan kumpulan ulama mudanya hanyalah ulama dunia atau ulama suk yang kasih dan cinta mereka kepada dunia mengatasi kasih dan cinta mereka kepada Allah SWT dan Rasulullah s.a.w.

Kasihan sungguh Fathul Bari Mat Jahaya yang malang.

Yangretibase,

Kuala Terengganu.

Jangan kembali ke era Tun Razak dan Hussein

Subky Latif   

DUNIA media cetak di Malaysia selepas merdeka sememangnya dirundung suasana seperti gerhana matahari.

Jika sebelum era Dr. Mahathir, di era Tun Razak dan Tun Hussein Onn, siangnya seperti gerhana matahari penuh dan malamnya seperti tidak berbulan. Itulah yang dinamakan gelap. Zaman mereka adalah  zaman gelap bagi media cetak.

Tetapi di zaman Dr. Mahathir ada sedikit cahaya. Cahaya itu seperti dunia menghadapi tiga suku gerhana matahari. Ia tidak gelap  gulita, tetapi lebih teruk dari mendung.

Ketika UMNO mula berkuasa di zaman Tunku, cahaya media belum tercemar. Bukan saja UMNO ada lidah rasminya, Malaya Merdeka, Parti Negara dan Partai Rakyat bebas memiliki akhbar.

Dato Onn menerbitkan mingguan untuk Parti Negara bernama Kritik. Dato Onn tidak disyaratkan oleh kerajaan meletakkan di muka depan akhbarnya penjelasan seperti Untuk Ahli Parti Negara Saja. Mingguan Partai Rakyat yang dikelolakan oleh Ahmad Boestamam tidak disyaratkan meletakkan Untuk Ahli Partai Rakyat Saja.

Malah sebelum merdeka kerajaan penjajah Inggeris tidak menyaratkan kepada Malaya Merdeka mencetak Untuk Ahli UMNO Saja.

British tidak mensyaratkan kepada Tunku supaya Malaya Merdeka dijual di pejabat UMNO saja  dan Dato Onn tidak diperintah menjual Kritik di pejabat Parti Negara saja. Ia boleh dijual di mana-mana di pasaran terbuka.

Malaya Merdeka terkubur kerana tidak laku. Kritik terkubur kerana Dato Onn dan Parti Negara mati. Lidah Rasmi Partai Rakyat jadi mendiang kerana parti itu tidak cukup dana.

Di hujung era Tunku dan sepanjang era Tun Razak dan Hussein dunia media cetak bukan saja malap tetapi gelap. Parti pembangkang tidak diberi permit penerbitan. Apa yang dibuat oleh pembangkang ialah penerbitan haram. Berkeliaran polis memburunya.

Datang ke era Dr. Mahathir dengan dia sendiri menjadi Menteri Dalam Negeri yang menjaga permit penerbitan  dibenarkannya PAS menerbitkan Harakah tetapi disyaratkan sebagai penerbitan dalaman, tidak boleh dijual kepada orang ramai – untuk ahli saja.

PAS tidak pernah minta permit terhad tetapi yang Mahathir beri permit terhad.

Harakah diedarkan oleh ahli-ahlinya. Tetapi kerana ia mendatangkan rezeki kepada pengedar, ramailah pengedar akhbar mengambil terus dari pejabat Harakah.

Tetapi polis yang dulunya dipanggil mata-mata gelap betul-betul menjadi mata-mata  gelap mengacau pengedar-pengedar akhbar. Mata-mata gelap itu tidak pula terus menerus mengacau. Ikut angin dan mood UMNO.

Apa yang berlaku itu adalah gambar demokrasi Mahathir. Dia buli Harakah seperti kucing tangkap tikus. Kucing tidak terus makan tikus yang ditangkapnya. Tetapi dikepungnya hingga tikus itu tidak bertenaga.

Dr. Mahathir dari semasa ke semasa mengeluarkan amaran tetapi dibenarkannya pula Harakah diterbitkan dua kali seminggu. Walaupun Harakah mengamalkan demokrasi, mengkritik politik Dr. Mahathir, UMNO dan kerajaan BN, dia sekadar beri amaran tetapi pula menghalang KDN mengeluarkan permit baru apabila lama tamat.

Apabila Tun Abdullah Badawi menjadi Menteri Dalam Negeri, kerja pertama yang dibuatnya ialah menyekat permit dua kali seminggu yang dibenarkan oleh Dr. Mahathir kepada dua kali sebulan,

Dari tak ada langsung seperti di zaman Tun Razak dan Tun Hussein, dua kali sebelum adalah lebih baik dari zaman sebelum Dr. Mahathir. Walau pun  tak dapat semua, jangan tak dapat semua.

Tetapi di pertengahan era Pak Lah yang singkat itu dibenarkannya pula Harakah terbit semula dua kali seminggu dan dikeluarkannya pula permit untuk Roket untuk DAP dan Keadilan untuk PKR.

Seminggu sebelum Pak Lah ‘dipaksa’ bersara dia cuba bawa balik alam media cetak era Tun Razak dan Tun Hussein yang gelap dulu. Disekatnya permit Harakah. Tetapi apabila Najib mengambil alih kuasa dibatalkannya perintah Pak Lah itu.

Cuma selepas KDN diserahkan kepada Dato Seri Hishamuddin, dilambatkannya pengeluaran permit baru Harakah hingga ia tidak dapat diterbitkan seminggu dan Roket serta Keadilan digantung permitnya.

Perdana Menteri Najib adalah anak Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri Dato Hishamuddin adalah anak Tun Hussein. Keduanya seolah-olah sepakat mahu kembali ke era gelap ayah mereka dulu.

Dengan perubahan masa, anak Felda saja sudah 200 ada PhD, dunia media bertambah maju, zaman ini bukan seperti 30 tahun, orang sudah tidak sekuno dulu, biarlah keduanya tidak jadi sekolot ayah mereka.

Datuk Seri Hisham patut ingat apa yang datoknya, Dato Onn bebas menerbitkan akhbar partinya, tidak pernah disekat oleh kerajaan masa itu. Yang Dato Onn buat dulu kira-kira sama dengan PAS, PKR dan DAP buat sekarang. Dato Onn tidak dihalang mengapa cucu Dato Onn dan anak Tun Razak cuba buat apa yang orang dulu tidak buat terhadap Dato Onn.

Najib dan Hisham jangan ulang kelemahan ayah masing-masing!

Bakun: Wang rakyat mungkin terus dibazirkan

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Sikap tidak peduli Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membiarkan wang rakyat terus digunakan di dalam projek Empangan Bakun adalah sangat bertentangan dengan pendapatnya mengenai subsidi minyak dan gula.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Najib seolah-olah tidak kisah dengan kemungkinan wang rakyat terus dibazirkan untuk projek itu, tetapi bersungguh-sungguh mahu menarik balik subsidi minyak dan gula  sedangkan sasaran penjimatan perbelanjaan kerajaan adalah terlalu kecil berbanding dengan wang rakyat yang digunakan untuk membiayai projek Empangan Bakun setakat ini.

Katanya, sasaran penjimatan RM750 juta dari potongan subsidi hanyalah 10% dari jumlah kos keseluruhan projek Empangan Bakun.

Menurutnya, projek ini juga telah menyebabkan anggaran kerugian sejumlah RM450 juta yang dialami oleh Sime Darby bagi tahun kewangan 2010, di samping pampasan RM900 juta yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, jumlah keseluruhan kerugian dan pampasan kepada Sime Darby sahaja boleh membiayai pelbagai program kebajikan rakyat yang sepatutnya dijalankan apabila subsidi ditarik balik, untuk meringankan bebanan rakyat.

“Minggu ini, kita dikejutkan dengan berita projek ini akan mengalami kenaikan kos mendadak disebabkan oleh kelewatan (bukan perkara baru sejak projek dilaksanakan).

“Saya memandang dengan serius laporan-laporan mutakhir yang menunjukkan kelewatan projek Empangan Bakun kerana begitu banyak wang rakyat telah disalurkan ke projek ini sejak sedekad yang lalu,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan laporan, katanya jumlah kos keseluruhan dijangkakan akan meningkat akibat beberapa kelewatan projek.

Menurutnya lagi, kos setakat ini sudah pun mencecah RM7.3 billion dan sebahagian besarnya dibiayai oleh wang rakyat melalui pinjaman berjumlah RM5.75 billion yang diberikan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).

Katanya, kedua-dua pinjaman itu juga dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, laporan-laporan juga memetik sumber dalaman yang menyebut perbezaan pendapat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak mengenai harga apabila projek ini diserahkan kepada kerajaan negeri.

Perbezaan itu, ujarnya memungkinkan Kerajaan Persekutuan terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2 billion apabila projek diserahkan kelak.

“Siapa yang akan membayar kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2 billion ini?

“Adakah Perdana Menteri akan secara senyap-senyap mengarahkan KWSP dan KWAP melupuskan sebahagian dari RM5.75 billion hutang yang diberikan kepada projek Empangan Bakun, untuk menutup kerugian itu?” soalnya.

Katanya lagi, Empangan Bakun adalah lambang layanan Barisan Nasional yang berbeza-beza kepada rakyat dan syarikat besar dalam menentukan subsidi.

Menurutnya, di mata Barisan Nasional, 20 sen subsidi bagi setiap kilogram gula yang dinikmati rakyat adalah beban yang cukup besar kepada pentadbirannya, tetapi pada masa yang sama ia menghadiahkan subsidi korporat berbillion ringgit kepada syarikat besar tanpa rasa bersalah sedikit pun.

“Saya menyeru Perdana Menteri mengambil pertanggungjawaban dan berterus-terang dengan rakyat mengenai masalah kewangan projek Empangan Bakun dan kesannya kepada wang rakyat.

“Menteri yang dipertanggungjawabkan menyelia projek juga perlu berterus-terang dan menerangkan kepada rakyat kenapa anggaran kerugian RM2 billion itu perlu ditanggung oleh rakyat,” tegasnya.

Tambahnya, rakyat berhak tahu terutamanya apabila rakyat diminta mengurangkan beban kewangan kerajaan, maka subsidi korporat juga perlu dihentikan.

Setuju hukuman berat buang bayi- Nik Aziz

Harakahdaily   
KOTA BAHARU, 13 Ogos: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong cadangan mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah buang bayi yang semakin berleluasa di negara ini.

Bercakap sewaktu menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu hari ini, Menteri Besar Kelantan itu juga, bersetuju agar pesalah buang bayi tersebut dihukum mati jika bayi yang dibuang tersebut mati.

Menurutnya, hukuman tersebut wajar bagi memberi pengajaran kepada pelaku dan masyarakat keseluruhan agar tidak mengulangi perkara sama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan mengarahkan polis menyiasat kes pembuangan bayi sebagai kes percubaan bunuh atau bunuh yang boleh dijatuhi hukuman gantung bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat.

Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Sebelum ini, semua kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menteri Besar Kelantan itu juga seperti dilapor Bernama, berpendapat undang-undang sekarang lebih “bersimpati” kepada penjenayah buang bayi yang menyebabkan gejala itu masih berleluasa.

Kaukus rentas parti benar siswa berpolitik

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Pemimpun muda Keadilan menggesa pembentukan kaukus rentas parti oleh ahli politik muda daripada semua parti bagi memperjuangkan penglibatan mahasiswa di dalam politik.

“Sebelum ini kami menyambut baik bahawa ada rakan-rakan kami di dalam Barisan Nasional yang turut berkongsi keyakinan bahawa membenarkan mahasiswa terlibat di dalam politik dan proses politik bagi menggembleng potensi anak muda menyumbang kepada negara sepenuhnya,” ujar mereka dalam kenyataan media bersama hari ini.

Mereka terdiri daripada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Yusmadi Yusuf (Balik Pulau), Adun Kuala Kurau, Yunus Jamhari, Kesavan (Hutan Melintang), Nik Nazmi Ahmad (Seri Setia), Chan Ming Kai (Simpang Pulai), Chang Lih Kang (Teja), Sim Tze Tzin (Pantai Jerejak) Amiruddin Shari (Batu Caves) dan Gan Pei Nei (Rawang).

Bagi mereka, usaha Timbalan Menteri Datuk Saifuddin Abdullah untuk menarik perhatian terhadap isu itu beserta tentangan daripada Khairy Jamaluddin terhadap pengumuman Kabinet tempoh hari menggambarkan kita boleh mewujudkan penyelesaian rentas parti terhadap isu itu. 

“Justeru, memandangkan komitmen mereka, kami ingin menjemput Datuk Saifuddin untuk mempimpin kaukus rentas parti dalam isu ini.

“Jika rakan-rakan kami daripada Barisan Nasional benar-benar ikhlas tentang masa depan generasi muda, peluangnya terbuka luas untuk mereka membuktikan keikhlasan mereka,” ujar mereka.

Menurut mereka, pengumuman Datuk Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi tentang keputusan Kabinet meneruskan sekatan terhadap penglibatan mahasiswa dalam politik menggambarkan sebuah kerajaan yang ketinggalan dengan perubahan yang berlaku di persekitarannya.

Tindakan kerajaan melayan tentangan daripada Tun Mahathir Mohamad dan kuncu-kuncunya, kata mereka bermakna pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak lebih prihatin dengan pandangan lapuk berbanding keperluan mendengar dan berinteraksi dengan generasi masa depan.

Faedah membenarkan mahasiswa terlibat di dalam politik sudah diketahui umum dan telah dibahaskan berkali-kali di peringkat nasional.

Lebih penting lagi, ujar mereka matlamat negara melahirkan modal insan yang berdaya saing mesti menekankan pendidikan menyeluruh yang melangkaui bilik kuliah dan kurikulum yang diajar.

Menurut mereka lagi, generasi yang kreatif dan inovatif lahir daripada minda yang bebas yang diberikan sepenuhnya peluang berbahas, berbincang dan lebih penting lagi melakukan kesilapan agar mereka belajar daripada kesilapan mereka.

“Kita cuma menunggu masa sebelum mahasiswa negara ini yang membentuk kelompok pengundi yang penting, menghantar mesej menolak Barisan Nasional; memandangkan petanda jelas daripada Pilihan Raya Umum 2008 telah diketepikan begitu sahaja.

“Tindakan seterusnya untuk menyanggah keputusan kabinet bahawa mahasiswa tidak bersedia terlibat di dalam politik ialah dengan menggambarkan kematangan dan pengaruh sebenar mahasiswa dan anak muda,” ujar mereka lagi.

Senarai hitam belum ditarik balik?

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Seorang pemuda hari ini melahirkan rasa kecewa apabila masih tidak dapat memperbaharui cukai jalan kenderaannya biarpun kerajaan mendakwa telah menarik balik tindakan menyenaraihitamkan pesalah trafik berkuat kuasa 11 Ogos lalu.Dalam emailnya kepada Harakahdaily, Ahmad Nizam berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak MyEG bahawa kenderaannya masih disenarai hitam dan tidak dapat membuat urusan memperbaharui cukai jalan.

“Katanya berkuasa semalam hingga 28 Feb, tetapi dalam sistem masih tak boleh buat, saya dah cuba melalui MyEG.

“Saya hubungi MyEG mereka menyatakan sistem PDRM (Polis DiRaja Malaysia) yang masih belum ‘turn off the bar’,” adunya.

MyEG Services Berhad merupakan sebuah syarikat pemegang konsesi kerajaan elektronik Malaysia.

Ianya antara lain menawarkan khidmat memperbaharui cukai jalan secara online tanpa perlu pemilik kenderaan ke kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Pejabat Pos.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan menarik balik tindakan menyenaraihitamkan kenderaan pesalah trafik akibat saman ekor buat sementara waktu bermula hari ini hingga 28 Februari tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, ini berikutan keputusan memberi kelonggaran semasa musim perayaan yang akan tiba tidak lama lagi.

Tindakan menyenaraihitam itu sebelum ini mendapat bantahan rakyat yang juga tidak bersetuju dengan tindakan saman ekor oleh PDRM.

Aduan juga telah dikemukakan oleh penyelaras Kempen Anti-Saman Ekor (Kase) kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung perkara sama Selasa lalu.

Bakar gereja: Dua beradik dipenjara

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas dua beradik setelah mendapati bersalah membakar gereja di Desa Melawati awal tahun ini, lapor Bernama.

Hakim S.M. Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas mendapati Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 24, dan adiknya, Raja Mohamad Izham, 22, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah selepas dipanggil membela diri.

Kedua mereka didakwa melakukan khianat dengan membakar gereja Metro Tabernacle di Jalan 4/4C, Jalan Desa Melawati pukul 11.50 malam, 7 Jan lepas.

Kedua-dua beradik itu dituduh melakukan kesalahan tersebut bersama beberapa orang yang masih bebas, mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pada 30 Julai lalu rakan mereka, Azuwan Shah Ahmad, 23, dilepas dan dibebaskan di akhir kes pendakwaan atas tuduhan yang sama.

Presiden PAS tunai umrah

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang malam tadi selamat berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah umrah sempena bulan Ramadhan ini.

Beliau bersama isteri dan anaknya serta 60 anggota rombongan lain berangkat kira-kira jam 2.50 pagi tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki pesawat Qatar Airways menuju ke Jeddah.

Menurut Setiausaha Politiknya Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Tuan Guru dijangka berada di sana selama dua belas hari bermula hari ini sehingga 24 Ogos ini bersamaan 14 Ramadhan 1431.

Sepanjang tempoh berada di sana, Tuan Guru turut akan mengikuti perkembangan politik terkini tanah air dari semasa ke semasa.

“Beliau (Abdul Hadi) akan menghubungi saya setiap hari untuk menanyakan perkembangan politik Malaysia,” kata Samsuri ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

%d bloggers like this: