Isu khutbah: Kerajaan negeri nafi, janji hukum jika benar

August 21, 2010

KUALA LUMPUR, 21 Ogos — Kerajaan negeri Pulau Pinang sekali lagi menafikan nama Ketua Menteri Lim Guan Eng digunakan untuk menggantikan dengan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin sambil menegaskan, tindakan tegas akan diambil jika ada pihak bertanggungjawab berbuat demikian.

“Biar siasatan dijalankan untuk menentukan khatib atau imam masjid mana yang terlibat dan kalau benar tindakan tegas akan diambil,” kata Timbalan Ketua Menteri I Dr Mansor Othman dan Exco Kerajaan Negeri Abdul Malik Kassim dalam satu kenyataan bersama hari ini.

“Hanya khatib atau imam yang tak siuman berani menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Lim Guan Eng. Sekiranya dakwaan ini benar, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas,” kata pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Dalam kenyataan hari ini Abdul Malik dan Mansor (gambar) menambah, dakwaan yang lebih merupakan fitnah terhadap kerajaan negeri adalah sangat serius kerana boleh mencetuskan kemarahan, kebencian dan ketegangan kaum dan agama dan membawa insiden yang tidak diingini.

“Lim Guan Eng, yang tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran Islam, pun dianiayai,” kata mereka.

Sehubungan itu kata beliau, Umno harus membuat laporan rasmi polis atau di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang terhadap mana-mana khatib atau imam mesjid di Pulau Pinang yang didakwa menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Lim.

“Sekali lagi, kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan dengan keras dakwaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tentang penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

“Teks khutbah Jumaat yang dibacakan oleh para khatib atau imam yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam tidak pernah menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

“Kerajaan negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang juga tidak pernah menerima atau mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk tujuan tersebut,” kata kedua-dua pemimpin itu.

Kata mereka, permainan politik Umno ini berniat jahat dan telah mencemarkan nama baik golongan khatib atau imam di Pulau Pinang, yang bukan sahaja mendokong syair Islam yang syumul dan menyeluruh tetapi juga setia kepada raja dan negara.

“Beberapa ahli kariah masjid yang berikan keterangan menyokong dakwaan Umno berkata nama Ketua Menteri ada disebut. Tetapi ia disebut oleh khatib atau imam dalam konteks memohon kepada Allah supaya Ketua Menteri diberi petunjuk dan hidayah untuk memeluk Islam.

“Ini adalah perkara lain daripada menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan Ketua Menteri. Adalah difahamkan ahli kariah tersebut adalah orang Umno,” kata Mansor dan Abdul Malik.

Kedua-dua pemimpin itu berkata, adakah BN dan Umno marah kerana kesudian Ketua Menteri untuk hadir di majlis-majlis agama Islam, umpamanya sumbangan Ihya Ramadan, sambutan Maulidur Rasul, menganjurkan majlis berbuka puasa di masjid-masjid di Pulau Pinang yang tidak pernah dilakukan oleh Ketua Menteri sebelum ini.

“Sumbangan Ihya Ramadan, yang diluluskan oleh Ketua Menteri diberikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Serbaguna Jawi kepada semua masjid. Ketua Menteri hanya hadir bersama. Ini boleh disahkan oleh semua masjid yang hadir.

“Lagipun Lim Guan Eng merupakan di antara Ketua Menteri yang paling awal sekali mengharamkan judi bola yang diluluskan oleh Umno.

“Adakah Umno simpan dendam dalam hati kerana Lim Guan Eng, sungguhpun bukan Islam, telah memalukan Umno dengan mengharamkan judi bola yang dihalalkan oleh Umno?” katanya lagi.

Waspada tiupan api perkauman Umno BN

Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 20 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru semua lapisan rakyat dalam negara ini agar dapat bertenang dan menilai dengan adil akan tiupan api perkauman yang saban hari semakin menebal oleh pimpinan Umno BN.

“Kepada seluruh rakyat dalam negara kita, marilah terus bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk melakukan suatu perubahan dan keluar dari politik songsang mainan Umno BN ini, dengan kita sama-sama meletakkan negara di landasan yang sepatutnya dalam menghadapi cabaran zaman yang mendatang, ke arah suasana yang lebih adil dan aman di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, lewat hari ini.

Justeru, menurutnya, permasalahan yang dibangkitkan oleh Presiden MCA berbentuk resolusi dari kongres ekonomi yang dianjurkan oleh parti itu baru-baru ini adalah merupakan satu lagi manifestasi kegagalan Barisan Nasional dalam memahami kehendak keadilan yang perlu dilaksanakan terhadap rakyat pelbagai kaum dalam negara kini.

Beliau berkata, keadaan itu tambah merumitkan apabila MCA yang merupakan satu parti yang dianggotai oleh golongan elit dan kaya yang tidak membela nasib rakyat bawahan berketurunan Cina yang memerlukan.

Kegagalan itulah juga, ujarnya yang turut dikongsi bersama oleh parti MIC.

Menurutnya, orang Melayu dalam negara ini juga tidak boleh lagi terus percaya bahawa Umno akan membela nasib mereka, setelah selama puluhan tahun rakyat sama-sama melihat bagaimana sistem yang ada dalam negara ini ini menuju kepada pengagihan hasil ekonomi negara kepada kelompok Umno-putra.

Katanya, ketidakadilan ini bukan sahaja dirasai oleh pelbagai kaum yang wujud dalam negara ini, bahkan juga berlakunya diskriminasi terhadap orang Melayu dan Bumiputera yang berlainan fahaman politik dengan kerajaan yang dipimpin oleh Umno-BN.

“Bukan itu sahaja, politik perkauman sempit dan laungan bersifat rasis kini telah menjadi bahan ugutan dan senjata untuk meraih sokongan oleh pimpinan BN di kala terdesak, seolah-olah rakyat dengan begitu senang boleh dipengaruhi pada zaman langit terbuka ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

KSSB, SPRM setuju tubuh pasukan khas

Harakahdaily   
SHAH ALAM, 21 Ogos: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi membanteras rasuah perlombongan pasir di Selangor.

Persetujuan itu dicapai pada pertemuan antara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan SPRM di pejabatnya di sini, semalam.

Pertemuan itu disertai Setiausaha Politiknya, Faekah Husin, Ketua Pengarah Eksekutif KSSB, Wan Ab Halim Wan Ismail dan Pengarah Eksekutif KSSB, Ir Ramli Majed.

Manakala SPRM pula diwakili, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Sutinah Sultan, Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Shaharuddin Khalid, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Jaafar Maahad dan Ketua Unit Pemeriksaan dan Perundingan SPRM Selangor, Mohd Noor Abd Rahman.

Pertemuan itu diadakan susulan pelawaan Kerajaan Selangor kepada  SPRM untuk menempatkan kakitangan dan pegawai di KSSB bertujuan membanteras rasuah.

Pasukan Petugas Khas ini dicadang dianggotai pegawai KSSB dan SPRM.

Sehubungan itu, Menteri Besar berkata, KSSB akan mengadakan taklimat mengenai operasi mereka kepada SPRM termasuk prosedur dan kaedah-kaedah yang dipratikkan dalam perlombongan pasir.

Selain itu, SPRM juga akan didedahkan dengan sistem-sistem yang diguna pakai oleh KSSB dan diajar untuk memahami urus niaga pasir yang dipratikkan oleh anak syarikat kerajaan Selangor tersebut.

Abdul Khalid berkata, kerajaan Selangor menyambut baik kesediaan SPRM kerana  kerajaan negeri mengamalkan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab.

“Kita berterimakasih kepada SPRM kerana mahu bersama Kerajaan Negeri bagi memastikan  operasi perlombongan dan perniagaan pasir bebas dari unsur rasuah,” katanya.

Beliau berkata, apabila Pasukan Petugas Khas ini ditubuhkan, SPRM lebih bebas untuk memantau perjalanan operasi KSSB.

Pada pertemuan itu juga, Abdul Khalid telah diberitahu bahawa SPRM sedang memantau lebih dekat operasi perlombongan pasir di beberapa negeri termasuk di Selangor.

Kerajaan negeri berharap, SPRM boleh mencadangkan prosedur yang boleh mengurangkan berlakunya rasuah.

Sebelum itu, Abdul Khalid telah menyampaikan taklimat kepada SPRM berkenaan keselamatan dan penguatkuasaan yang diambil Kerajaan Negeri menerusi Pasukan Khas yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud.

Beliau telah menerangkan bahawa kecurian pasir gagal diatasi oleh kerajaan terdahulu kerana hanya menumpukan kepada tindakan penguatkuasaan tanpa melihat masalah tersebut dari aspek bekalan pasir kepada industri pembinaan.

Perkauman: Rakyat perlu berpayung di bawah PR

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 21 Ogos: Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli yakin, Umno sedang cuba mencetuskan huru hara apabila cuba membangkitkan isu perkauman pada waktu ini.

Menurutnya, tindakan itu dibuat supaya Umno dapat mengambil kesempatan selepas kerajaan BN semakin lemah.

“Kita yakin Umno sekarang dalam keadaan tersepit dan cuba cetuskan kemarahan kaum.

“Mereka perlu satu keadaan di mana mereka boleh mengambil kesempatan untuk menarik kembali sokongan rakyat.

“Yang kita risau, mereka nampaknya cuba bangkitkan isu perkauman,” katanya.

Menurutnya, tindakan paling selamat bagi rakyat sekarang ini adalah berlindung di bawah payung Pakatan Rakyat yang sentiasa menghormati hak semua kaum.

Umno melalui medianya Utusan Malaysia didakwa memainkan sentimen itu apabila menyiarkan tajuk muka depan berbunyi ‘Bangkitlah Melayu’.

Sebelum ini, pelbagai berita provokasi termasuk mendakwa nama Lim Guan Eng diguna menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat di Pulau Pinang baru baru ini.

Padahal ia dinafikan sama sekali oleh kerajaan Pulau Pinang.

Kerajaan negeri juga melihat terdapat percubaan secara agresif memburukkan pemerintahan Pakatan Rakyat negeri itu dengan memainkan isu perkauman.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semalam juga turut menyeru rakyat negara agar bertenang dan menilai dengan adil akan tiupan api perkauman yang saban hari semakin menebal oleh pimpinan Umno BN.

Mufti teliti isu khutbah

Mohd Sabri Said   
PULAU PINANG, 21 Ogos: Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Hasan Ahmad sedang meneliti dan menyiasat isu nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng ada pada doa kedua khutbah Jumaat yang menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Menurutnya, memang dibolehkan nama orang bukan Islam jika sekiranya berdoa untuknya mendapat hidayah daripada Allah SWT.

“Jabatan Mufti sedang meneliti dan menyiasat apa yang diperkatakan itu.  Semua keterangan akan dimaklumkan kemudian pada media,” ujarnya yang tidak mahu mengulas lanjut.

Jelasnya, doa ada dua kategori iaitu doa untuk kesejahteraan atau mendapat hidayah manakala menukar nama Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan Ketua Menteri dianggap  tidak lojik.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Rosidi Husein sanggup mengetuai pasukan penyiasat bagi mengenal pasti masjid mana yang dimaksudkan oleh Ahmad Zahid itu.

Katanya, jika didapati ia hanya mainan ‘politik kebudak-budakan’, maka tunggulah satu tindakan akan diambil bagi membersihkan nama Ketua Menteri yang tidak tahu menahu namanya dibaca dalam khutbah Jumaat.

“Saya sendiri akan menghantar pasukan menyiasat di mana masjid yang dikatakan berlaku di Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Permatang Pauh.  Jika tiada apa-apa berlaku kita akan lihat langkah seterusnya,” tegasnya.

Menurutnya, tidak menjadi kesalahan sekiranya nama Ketua Menteri dibaca dalam khutbah supaya beliau diberikan taufik dan hidayah oleh Allah SWT memandangkan banyak melibatkan diri dalam aktiviti Islam.

Pasukan itu, kata beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kepala Batas, akan dibentuk sejurus sahaja mendapat kata putus dalam perbincangan sesama rakan seperjuangan.

Rosidi yang juga Pengerusi Generasi Perwaris Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) menyifatkan, tuduhan melulu Zahid itu berpunca dari kemelut dalaman Umno yang kemungkinan sukar berpaut pada masyarakat Melayu pada pilihan raya ke-13 kelak.

“Bila rasa tersepit, apa lagi terciptalah berbagai isu karut,” tambahnya.

Khutbah: PAS sokong siasatan rapi

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 21 Ogos: PAS menyokong penuh agar satu siasatan rapi dilakukan bagi membuktikan apa yang didakwa oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung nama Lim Guan Eng digunakan di dalam khutbah.

“PAS melihat isu ini cuba dipolitikkan bagi menimbulkan kemarahan umat Islam khususnya orang Melayu kepada Pakatan Rakyat (PR),” ujar Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, ianya juga  lanjutan isu perkauman yang dicanangkan oleh Umno BN setelah mereka gagal mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu khususnya dan kini menumpukan isu Melayu bagi meraih sokongan.

“Bagi PAS, siasatan perlu dilakukan, dan sekiranya kenyataan yang dibuat adalah palsu, kita tidak akan teragak-agak untuk menimbanghkan tindakan perundangan bagi membersihkan kerajaan PR di Pulau Pinang khususnya,” katanya lagi.

Menurutnya, walaupun doa hidayah kepada sesiapa sahaja merupakan perkara harus dalam Islam, namun bila mana ia cuba dipolitikkan, PAS harus menghadapinya dalam konteks politik.

Jelasnya, sejarah doa khusus untuk pemimpin dalam khutbah hanya diadakan di zaman kerajaan Bani Umayyah dengan  mendoakan kesejahteraan kepada pemerintah dan kecaman kepada musuh politik pada waktu itu.

Namun, katanya lagi bila mana Umar bin Abd Aziz dilantik sebagai khalifah, baginda mengekalkan doa kebaikan buat khalifah dan menghapuskan doa kecaman kepada musuh poilitik dengan menggantikan dengan ayat: “sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada ahli keluarga kamu dan bilamana kamu menjatuhkan hukuman di kalangan manusia,  hendaklah kamu menghukumkannya dengan penuh keadilan”.

“Doa khusus kepada pemimpin walaupun bukan rukun atau sunat dalam khutbah, kita melihat ia mempunyai kebaikan, kerana bila mana pemimpin memerintah dengan hidayah dan pertunjuk Allah, dengan memelihara batas larangan Allah, maka kebaikannya akan turut dirasai oleh rakyat,” jelasnya lagi.

%d bloggers like this: