Insurans kenderaan: Memo kepada Bank Negara

Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Sekretariat Bela Rakyat (Bela) akan menghantar satu memorandum kepada Bank Negara berhubung kesukaran pemilik kenderaan berusia 10 tahun ke atas memperbaharui polisi perlindungan insurans kenderaan mereka.Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, memorandum yang akan diserahkan dalam masa terdekat itu mengandungi cadangan mengatasi masalah tersebut.

“Pihak sekretariat juga akan bertindak lebih serius dengan membuat kajian-kajian yang terperinci dan akan mengemukakan cadangan kepada Bank Negara bagaimana kita boleh menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan kenderaan lebih 10 tahun ini,” kata Salahuddin pada sidang media pelancaran sekretariat itu di ibu pejabat PAS, dekat sini hari ini.

Sekretariat berkenaan akan diketuai oleh ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiyat.

Bela sebelum ini ditubuhkan bagi membantu Pemilik kenderaan yang kebanyakannya penduduk kampung ini terpaksa membayar dengan harga yang tinggi untuk memperbaharui insurans kenderaan mereka yang lebih 10 tahun.

Salahuddin juga berkata, alasan yang diberikan pihak insurans bahawa kenderaan berusia 10 tahun ke atas terdedah kepada risiko keselamatan adalah tidak munasabah dan menganggap ianya sebagai alasan yang sengaja dicipta oleh mereka bagi mengaut keuntungan.

“Kalaulah isu yang mengatakan kenderaan 10 tahun tidak selamat maka objektif penubuhan Puspakom? Kenderaan uyang melebihi 10 tahun mesti melalui proses pemeriksaan oleh Puspakom.

“Apabila Puspakom mengesahkan kenderaan itu selamat walaupun berusia lebih 10 tahun dan diizinkan untuk membayar cukai jalan dan mengambil insurans,jadi tidak ada isu ia tidak selamat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Bela juga tidak bersetuju dengan cadangan Bank Negara untuk mengambil alih peranan syarikat insurans dalam urusan memperbaharui polisi perlindungan kenderaan sebaliknya kerajaan harus memperbaiki sistem yang ada pada hari ini.

“Saya akan kemukakan soalan di Parlimen jumlah pemilik kenderaan yang berdaftar dengan Puspakom dan berusia 10 tahun ke tas yang memerlukan pembelaan dari pihak kerajaan,” katanya.

Masuk surau: Teo akan perjelas kepada Sultan Selangor

Harakahdaily   
PETALING JAYA, 28 Ogos: Ahli Parlimen DAP bagi Serdang Teo Nie Ching kesal dengan tindakan pihak tertentu mempolitikkan isu kunjungannya ke Surau Al-Huda, Kajang sehingga menimbulkan keresahan umat Islam.

Beliau dalam satu kenyataan berkata kehadirannya menghulur bantuan ke surau tersebut adalah ikhlas dan bukan berkepentingan politik.

“Saya menyesal bahawa perkara ini telah menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara kita dan isu ini telah diperhangatkan oleh pihak-pihak tertentu atas sebab-sebab politik.

“Saya ingin menegaskan secara ikhlas dan murni bahawa lawatan saya ke Surau Al-Huda tidak berniat politik, dan tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan,” katanya.

Menurutnya lagi, setelah menyampaikan sumbangan untuk memperbaiki pagar surau, beliau telah dijemput berucap pada majlis tersebut.

“Saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor,” jelasnya.

Ekoran isu tersebut telah dipolitikkan, beliau sedia mengambil langkah lebih berhati-hati agar perkara sama tidak berulang.

Beliau juga akan akan memajukan penjelasan dan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, mengenai perkara tersebut.

“Saya menyambut baik pesanan, peringatan dan nasihat dari semua pihak mengenai perkara tersebut, dan akan dengan segala upaya, menjalankan tugas saya dengan lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham di kalangan umat Islam pada masa yang akan datang,” katanya.

Merdeka: Rakyat perlu azam kerajaan baru

Mohd Ali Hashim   
JERAI, 28 Ogos: Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan negara 31 Ogos ini, rakyat disarankan supaya menanam semangat baru dan keazaman dalam jiwa untuk memastikan negara mempunyai kerajaan baru pada pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) ketika mengulas ulang tahun Hari Kemerdekaan negara ke-53, Selasa ini.

Menurut beliau lagi, rakyat harus menyedari tempoh had pemerintahan dan kuasa yang ada pada Barisan Nasional (BN) sudah sampai ke penghujungnya.

Kata beliau lagi, dengan adanya pemerintahan baru ini, maka kebimbangan rakyat dalam pelbagai masalah yang sekian lama menjadi persoalan akan berakhir.

“BN tidak mampu untuk mengurus hal ekonomi rakyat dengan baik. Isu saman ekor belum selesai, datang pula isu air dan tanah.

“Pakatan Rakyat (PR) cadangkan pendapatan setiap rakyat adalah RM4 ribu, menghapuskan cukai dan membanteras penyelewengan yang berterusan di bawah pemerintahan BN,” katanya.

Tambahnya lagi, walaupun saranan itu hanyalah sebagai cadangan tetapi ia menampakkan idea yang membina dari kepimpinan PR jika dibandingkan dengan BN.

Beliau juga berkata oleh kerana itu, rakyat tidak lagi harus berdiam diri atas cadangan yang telah dibuat oleh PR baru-baru ini.

“Sebagai bukti Kerajaan Negeri Kedah telah pun menurunkan harga cukai tanah di Kedah. Syarikat Air Darul Aman (SADA) dikorporatkan dan bukan diswastakan. Rakyat mendapat bekalan air bersih tanpa bebanan harga yang mahal.

“Dalam situasi ekonomi rakyat yang tidak menentu ini pelbagai sekatan dikenakan oleh Kerajaan Pusat. Slogan mereka rakyat didahulukan hanya mendahulukan rakyat dalam bebanan bagi merealisasikan hasrat dan pencapaian kerajaan diutamakan,” tambahnya lagi.

Raya: Kedah belanja RM3 juta untuk kakitangan

Mohd Ali Hashim   
YAN, 28 Ogos: Kerajaan Negeri Kedah turut menghargai kakitangan awam negeri dengan membelanjakan sebanyak RM3 juta sebagai bayaran khas menjelang Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, bayaran sebanyak RM500 setiap orang itu diberikan kepada semua kakitangan sehingga kumpulan Gred 54.

Menurut beliau lagi, semua kakitangan akan menerima bayaran tersebut dalam tempoh seminggu sebelum hari raya.

“Dengan sumbangan ini, ia dapat menampung keperluan keluarga dan menceriakan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Walaupun  sumber kewangan kerajaan negeri adalah terhad, berkat daripada tindakan kerajaan negeri melaksanakan penjimatan dalam pentadbiran, maka hasil tersebut dapat dikongsi bersama sebagai satu penghargaan kepada semua kakitangan,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah berkata, apa yang diberikan oleh kerajaan negeri kali ini adalah kadar yang termampu.

Azizan berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada guru Al-Quran dan bidang kampung di Kampung Teroi, Yan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengumumkan pemberian wang khas sebanyak RM400 sempena Aidilfitri kepada 3,577 kakitangan awamnya.

Ia kemudiannya diikuti oleh Kerajaan Pusat yang mengumumkan pemberian sebanyak RM500 manakala Selangor, Pahang, Terengganu dan Melaka juga tidak ketinggalan dalam pemberian wang tersebut menjelang Aidilfitri yang akan datang.

Mahasiswa berpolitik: Saifuddin tetap optimis

Nazri Abdullah   
KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah tetap optimis bahawa Kabinet boleh mengubah keputusan untuk membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik.

Menulis dalam blognya beliau berkata, ianya bukan sesuatu yang mustahil kerana beberapa keputusan kabinet sebelum ini juga boleh berubah setelah ada input dan perkembangan baru dalam sesuatu perkara.

“Kabinet juga pernah mengubah keputusannya apabila hadir maklumat baru dan realiti baru termasuk mengubah keputusannya daripada kandungan AUKU pada 1975 kepada kandungan AUKU pada 2009,” katanya.

Kabinet sebelum ini menolak cadangan agar mahasiswa dibenar berbuat demikian.

Saifudin juga turut mengharapkan isu ini terus dibincangkan secara terbuka termasuk oleh mahasiswa, tanpa ada sebarang halangan dari mana-mana pihak.

Menurutnya lagi, matlamat utama cadangannya agar mahasiswa dibenar menjadi ahli politik adalah untuk memenuhi hak mahasiswa sebagai warganegara Malaysia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu ianya juga bagi mematangkan demokrasi Malaysia dengan meluaskan dan meningkatkan partisipasi rakyat, termasuk belia dan pelajar IPT, dalam struktur dan proses membuat keputusan.

Sehingga kini ujarnya, beberapa akta masih menghalang mahasiswa terlibat dalam politik.

Ianya termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan 2009) untuk IPTA, Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib 1976) untuk UiTM, Politeknik dan Kolej Komuniti; dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan 2009) untuk IPTS.

Manakala halangan lain katanya adalah mentaliti negatif seperti tidak percaya kepada pelajar IPT, memperlekehkan pelajar IPT, menggunakan teknik “culture of fear” (menakut-nakutkan) untuk mengongkong kebebasan pelajar IPT, kerangka politik lama yang tidak memahami realiti semasa dan sebagainya.

“Di samping itu, terdapat juga sindrom “anti-pemikiran” dan “anti-intelektual” yang menolak atau tidak senang melihat idea-idea baru didebatkan, didialogkan dan dihujahkan secara terbuka, rasional dan bijaksana,” katanya.

Dalam pada itu, Dewan Pemuda PAS sedang merangka pertemuan dengan Saifuddin dlam usaha membincangkan isu tersebut.

Masuk surau: DAP mahu Mais siasat terperinci

rakahdaily   
SHAH ALAM, 28 Ogos: Pengerusi DAP Selangor Ean Yong Hian Wah menggesa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) supaya membuat siasatan terperinci sebelum mengambil tindakan kepada mana-mana pihak.Beliau merujuk tindakan serta merta Mais berhubung insiden Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang memasuki dan berucap di Surau Al-Huda dua hari lalu.

Menurutnya, beliau tidak mahu isu tersebut dipermainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti Utusan Malaysia, UMNO dan Perkasa sebagai satu isu politik dan perkauman untuk merosakan keharmonian masyarakat kita.

“Saya juga berasa kesal atas tindakan Mais yang mengeluarkan amaran kepada YB Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Serdang dan mengantung Jawatankuasa Surau Al-Huda dengan serta-merta kerana Teo telah berucap di surau tersebut dua hari yang lalu.

“Saya dimaklumkan oleh Teo bahawa beliau telah memberi sumbangan sebanyak RM 1000 kepada Jawatankuasa Surau dan dijemput untuk menyampaikan sepatah dua kata,” katanya.

Menurutnya, Teo hanya menerangkan maklumat tentang skim pinjaman pengajian tinggi Negeri Selangor kepada umat Islam yang hadir dan langsung tidak menyentuh apa-apa isu politik dalam ucapan ringkas tersebut.

“Beliau melawat ke surau tersebut dengan hati yang penuh ikhlas sempena bulan Ramadhan yang suci.”

“Sebagai seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab, beliau perlu membantu semua lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama,” katanya.

Umno tentang Majlis Fatwa

Abdul Aziz Mustafa   
KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Tindakan Umno mengapi-apikan isu bukan Islam memasuki Masjid dilihat menentang keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan, mempolitikkan kunjungan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu.

Muzakarah Kali Ke-90 jawatankuasa tersebut yang bersidang pada 1 Mac 2010 lalu telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Walaubagaimanapun, mengikut keputusan itu, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

“Nyatalah histeria Umno dan konco-konconya itu memalukan umat Islam dengan tindakan mereka yang bukan-bukan sehingga perkara yang diputuskan halal pun diharamkan oleh mereka,” kata Mahfuz.

Keharusan tersebut juga sebagai cara menunjukkan keindahan Islam kepada bukan Islam.

Umat Islam juga dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya.

“Umat Islam janganlah mengizinkan diri mereka diperbodohkan oleh politik perkauman Umno,” jelasnya.

Dalam pada itu Teo Nie Ching menjelaskan beliau hanya mahu menyampaikan sumbangannya bagi memperbaiki pagar seperti yang diminta oleh pihak pengurusan surau tersebut.

Mengenai tindakan memasuki ruang solat utama di surau itu, Teo berkata, beliau hanya memenuhi jemputan.

“Pada hari tersebut mereka menjemput saya masuk.

“Saya tidak dinasihatkan oleh (pengurusan) surau untuk memakai tudung. Saya (pun pada mulanya) tidak menyangka saya boleh masuk surau itu,” jelasnya.

Umno mahu Taib Undur, untuk kuasai Sarawak

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 27 Ogos: PAS melihat Umno kini terdesak untuk menyingkirkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud selepas
kekalahan yang memalukan BN di Sibu baru-baru ini.Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, tekanan tersebut sama seperti dilakukan Umno ketika mahu menjatuhkan Mahathir dan Pak Lah.

Ianya sewaktu kedua-duanya dituduh sebagai punca Kekalahan BN dalam pilihanraya Umum 1999 dan 2008.

Umno ujar Idris mahu menguasai Sarawak dengan menyingkirkan Taib yang kini presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Ini kerana di Semenanjung Umno sudah kehilangan sokongan majoriti besar rakyat Melayu.

“PAS melihat, kejatuhan Taib Mahmud akan menjadi perintis kepada pembubaran PBB sama seperti USNO yang lenyap selepas Umno tiba di Sabah.

“Umno kini bercita-cita untuk menjadikan negeri itu sebagai destinasi terbarunya berikutan trend sokongan rakyat kepada BN di Borneo yang masih lagi memberikan ruang untuk Umno-BN bernafas,” katanya.

PAS juga katanya sedar parti-parti komponen BN yang lain sudah muak melihat keangkuhan Umno yang mahu mendominasi BN.

“PAS menasihatkan agar parti-parti komponen BN memikirkan kerelevenan untuk mereka bersama Umno yang kini seolah-olah dilihat sedang menjadi “Maharaja dalam BN”.

“Pas menyeru supaya parti komponen BN dipersilakan untuk menyertai Pakatan Rakyat untuk kita membentuk satu kehidupan baru,” pelawanya.

Lagi sokongan Kelantan saman Petronas

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 27 Ogos: Tindakan kerajaan Kelantan yang mahu memfaikan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan Royalti 5 peratus, terus mendapat sokongan pelbagai pihak.

PAS pusat dalam satu kenyataan menyokong penuh usaha tersebut dan mengarahkan ahlinya hadir hadir ke Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada 30 Ogos ini.

“PAS menyeru agar rakyat, khususnya anak-anak Kelantan dapat hadir ke Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada 30 Ogos ini untuk sama-sama memberikan sokongan kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan barisan exco Kerajaan negeri yang akan menghantar writ saman berkenaan,” kata Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad.

Selain itu PAS juga katanya meminta agar Kerajaan Negeri mengheret sekali Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan yang membuat keputusan bagi menghalang Kelantan menerima hak royalti berkenaan.

Menurutnya, kabinet telah cuba menafikan hak rakyat negeri itu sedangkan Akta 144 Petroleum Development Act 1974 memberikan kuasa penuh kepada Kerajaan Kelantan menuntut hak royalti tersebut.

Selain PAS pusat, kepimpinan PAS di peringkat kawasan di seluruh Lembah Klang juga mula menyeru ahli PAS di kawasan masing-masing untuk sama-sama hadir ke mahkamah pada hari tersebut.

Khidmat Pesanan Ringkas SMS, FaceBook dan Twitter dilihat digunakan sepenuhnya menyebarkan maklumat ini.

Selain itu, Penasihat Persatuan Anak-anak Darul Naim (Persada), Wan Johari Wan Omar juga turut mengarahkan seluruh ahli persatuan itu hadir memberi sokongan.

Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim turut menyatakan sokongan terhadap tindakan berani kerajaan Kelantan tersebut.

Kelantan akan memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada hari Isnin, 30 Ogos ini jam 9 pagi.

Selesai urusan saman tersebut dibuat, satu majlis solat hajat akan dibuat di Masjid Wilayah, Jalan Duta dan dijangka diimamkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bangkit perkauman untuk tutup kehilangan RM52 bilion

Dzulfikar Mashoor   
GEORGETOWN, 27 Ogos: Tindakan Umno mengapi-apikan isu perkauman dan agama adalah cubaan menutup skandal kehilangan RM52 bilion saham Bumiputera, kata Lim Guan Eng.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata demikian sebagai mengulas isu perkauman yang cuba dihangatkan Umno pada pada waktu ini.

“Mereka mengapi-apikan pelbagai isu perkauman supaya menutup skandal RM52 bilion.

“Dari RM54 bilion yang diberikan kepada Bumiputera sekarang hanya tinggal RM2 bilion sahaja,” ujarnya semalam selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

“Itulah sebabnya mereka mainkan isu-isu berkaitan agama dan perkauman ini, supaya isu sebenar boleh ditutup.”

Sambil mendakwa Umno mengkhianati kepentingan orang-orang Melayu dan Bumiputera, Setiausaha Agong DAP itu turut mempersoal keengganan Umno BN untuk menubuhkan suruhanjaya diraja menyiasat punca ekuiti Bumiputera tinggal RM2 bilion sahaja.

“Siapa yang kebas RM52 bilion saham Bumiputera ini, tentulah Umno BN.

“Adakah disebabkan itu, mereka tidak mahu menubuhkan suatu siasatan suruhanjaya di raja,” soal beliau di Ibu Pejabat PKR, Tropicana, Petaling Jaya.

Sehubungan itu, beliau menganggap DAP, PAS dan PKR atas muafakat Pakatan Rakyat wajar bersatu untuk menentang permainan politik Barisan Nasional itu.

“Kita boleh bersatu melawan kemungkaran yang dicerminkan oleh Barisan Nasional, baik Umno, MCA atau MIC,” katanya lagi.

Sidang media tersebut turut disertai Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Sebelum pada itu, beliau turut mengaku bahawa beberapa pemimpin DAP memang mempunyai perbezaan pendirian berhubung cadangan PAS melaksanakan hudud.

Namun, katanya itu hanya perkara kecil dan Pakatan lebih mengutamakan agenda menentang kemungkaran yang dilakukan dalam Umno BN dari mempopularkan idealogi kepartian masing-masing.

29 Mac lalu, Guan Eng di Dewan Rakyat mempersoal integriti Umno BN ekoran kehilangan RM52 bilion itu.

Persoalan itu lanjutan Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan mendedahkan bahawa ekuiti Bumiputera hanya tinggal RM2 bilion sahaja.

Menurut Guan Eng juga, ekuiti Bumiputera mampu meningkat sebanyak 45 peratus melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) sekiranya Umno tidak mengkhianati amanah rakyat, khususnya orang-orang Melayu.

%d bloggers like this: