My Merdeka – Promo -Reality suara rakyat yang benar…..-must see!!!!

Mahathir Gila Duit PETRONAS

Syeikh Mahmud Siyam di Masjid Rusila 19 Ramadhan 1431H, 29 Ogos

Bekas Imam masjid al-Aqsa, Dr. Muhammad Mahmud Siyam berkata Ramadhan adalah bulan yang diturunkan al-Quran, kemudiannya menjadi bulan ‘Jihad’ bagi menegakkan Islam diseluruh dunia.

Purnama agih kuih raya pada pesakit HUSM

Salmah Mat Husain   
KOTA BHARU, 30 Ogos: Pengerusi Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Kelantan (Purnama) mengagihkan sumbangan kuih raya kepada 120 orang pesakit di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Cawangan Kubang Kerian.

Sumbangan berkenaan disampaikan sendiri oleh isteri Menteri Besar, yang juga Pengerusi Purnama, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak pagi tadi.

Kehadiran mereka disambut Penolong Pegawai Kanan Unit Jururawat Wan Norhimah Mahmood, Penolong Pengarah Perhubungan Awam HUSM, Ikmal Mathlan dan Penyelia Jururawat Norkiah Saud.

Hadir sama pada program itu, Timbalan Pengerusi Purnama yang juga isteri Timbalan Menteri Besar, Datin Siti Zubaidah Abdul Hamid serta anggota jawatankuasa Purnama yang lain.

Sumbangan itu yang merupakan acara tahunan Kerajaan Negeri melibatkan tujuh wad hospital berkenaan termasuk wad wanita, bayi dan pesakit kronik.

Tuan Sabariah berkata, beliau yang mewakili Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersyukur kerana berkesempatan melawat pesakit-pesakit pelbagai kaum di  wad berkenaan terbabit.

“Sumbangan tidak seberapa ini diharap dapat menceriakan semua pesakit terutamanya umat Islam yang terpaksa menerima rawatan di hospital pada Ramadan ini.

“Saya berharap pesakit yang ditempatkan di wad hospital ini cepat sembuh dan sabar dengan dugaan Allah,” katanya ketika ditemui selepas lawatan itu.

Turut bersama rombongan itu  Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Mas, Rohani Ibrahim dan Wan Ubaidah Omar, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri.

Semua sumbangan itu diagih-agihkan secara bergilir-gilir oleh ahli rombongan di tujuh wad berkenaan.

Surau: Hasan akan panggil Khusrin

Ismail Hashim   
SHAH ALAM, 30 Ogos: Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali akan memanggil Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammad Khusrin Munawi dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian berhubung isu penyertaan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dalam majlis bantuan kewangan kerajan negeri di Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Kajang baru-baru ini.

Dalam sidang akhbar yang diadakan di Bangunan SUK, dekat sini petang tadi, Dr Hasan berkata, usaha itu dilakukan untuk mendapatkan penjelasan mengenai tindakan yang telah diambil oleh Khusrin berhubung perkara itu.

“Dalam pertemuan itu nanti, banyak perkara boleh dikongsi bersama kerana saya telah mendapat banyak input dari kalangan masyarakat termasuk intelektual yang pakar dalam bidang berkaitan yang memerlukan perbincangan lanjut,” jelasnya.

Sebelum itu, Dr Hasan menegaskan perkara itu telah dieksploitasi oleh pihak-pihak yang ingin menangguk di air keruh lantas keadaan ini telah menimbulkan reaksi segera di pihak Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jais.

“Sedangkan Teo memang dijemput sebagai tetamu atas sifat beliau sebagai Ahli Parlimen Serdang di mana beliau dijemput menyampaikan bantuan kewangan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Selangor di bawah parlimen itu.

“Beliau telah dijemput masuk ke dewan solat surau untuk menyampaikan bantuan dan seterusnya menyampaikan ucapan ringkas. Ucapan beliau tertumpu kepada usaha-usaha kerajaan negeri dalam membantu pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi,” jelasnya.

Ekoran dari itu, Pengerusi serta Bendahari Surau dan Pembantu Khas Teo dipanggil memberi keterangan di hadapan Pengerusi Mais, Pengarah Jais dan wakil istana lalu keputusan diambil dengan membubarkan jawatankuasa surau dan Masi mengambil alih pentadbiran surau.

Dr Hasan kesal kerana ada akhbar melaporkan kejadian itu dengan begitu berat sebelah antaranya Teo dikatakan menyampaikan ‘tazkirah’ dan dalam majlis itu beliau disebutkan sebagai menyampaikan bantuan kewangan kepada ahli-ahli PAS.

“Berdasarkan rentetan kejadian di atas saya telah mengambil inisiatif berikut antaranya, cuba menasihatkan semua pihak termasuk ahli-ahli politik demi menjaga sensitiviti setiap golongan rakyat mereka dengan memaklumkan rancangan kehadiran mereka kepada pihak-pihak yang berwajib supaya tatacara penggunaan surau dan masjid dapat dipatuhi.

“Saya juga akan mencadangkan supaya digubal peraturan yang lebih detail dengan memperincikan langkah-langkah yang mesti diambil dan tatasusila yang mesti dipelihara bagi mereka yang berhajat menggunakan kemudahan surau dan masjid di Negeri Selangor,” tegasnya.

Menjawab satu pertanyaan tentang desakan Pemuda Umno agar beliau meletakkan jawatan ekoran peristiwa ini, Dr Hasan berseloroh, jika ikut desakan itu, setiap kali bukan Islam masuk masjid, sudah beribu kali beliau terpaksa meletakkan jawatan.

Persoalan di sini, jelasnya, adalah bagaimana peraturan sebenar dan bagaimana pula penguatkuasaannya, tidak timbul masalah Hasan Ali tetapi yang utama, isu ini segera diselesaikan.

PRU13: Sudahkah Pakatan bersedia hadapinya?

Selena Tay   

Telah diramalkan bahawa PRU-13 akan diadakan pada tahun 2011.  Semua parti politik sedang membuat persediaan sekarang sebab kemungkinan PRU akan diadakan dalam awal, pertengahan ataupun akhir tahun 2011.

Bagi penulis yang tahu bahawa adalah menjadi tabiat kaum Cina yang benci buat persediaan dalam minit terakhir dan memandangkan bahawa parti MCA telah melancarkan gerak-kerja strategi mereka pada akhir bulan Julai 2010, ini bermakna bahawa PRU-13 boleh dikatakan akan diadakan dalam masa lebih kurang setahun.

Walaupun gelombang perubahan telah dimulakan pada masa tsunami politik PRU-12, penulis berpendapat ada ramai lagi rakyat Malaysia yang belum bersedia untuk mengundi Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU-13.  

Di bawah ini adalah sebab-sebab kenapa penulis berkata demikian:-

Pengundi Melayu – ini adalah kumpulan pengundi yang terbesar sekali di mana terdapat ramai daripada mereka yang masih lagi tinggal di kampung-kampung.  Faktor yang amat penting di sini ialah penyaluran maklumat kepada mereka mestilah dilaksanakan dengan sempurna terutamanya kepada yang tinggal di pinggir bandar dan di kampung.  

Contohnya di PRK Hulu Selangor bulan April yang lalu, ramai pengundi di situ beranggapan bahawa air percuma yang mereka terima adalah diberikan oleh Kerajaan BN.  Apabila perkara sebegini berlaku, tidak hairanlah mengapa ramai pengundi Melayu di pinggir bandar dan di kampung yang mengundi BN – iaitu maklumat yang betul dan benar gagal disampaikan kepada mereka.

Sebagaimana yang semua sedia maklum, media arus perdana adalah di bawah kawalan Kerajaan BN manakala media alternatif seperti lidah rasmi parti-parti Pakatan Rakyat (Harakah dan Roket) dan suratkhabar yang berpihak kepada Pakatan Rakyat seperti Kabar Era Pakatan dan Siasah tidak sampai pengedarannya kepada penduduk-penduduk di kawasan pinggir bandar, apalagi di kampung.

Apabila maklumat dari Pakatan Rakyat gagal disampaikan kepada pengundi di kawasan yang disebut di atas, maka para pengundi di situ akan mengundi BN.  Jika mereka mendapat maklumat yang benar dan betul mengenai Pakatan, mereka akan mempunyai keupayaan untuk membuat penelitian yang lebih sempurna dan terperinci mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang akan membolehkan mereka membuat keputusan yang lebih baik dan bijak dalam proses pengundian nanti.

Memandangkan  bahawa kekurangan maklumat yang disalurkan kepada para pengundi merupakan salah satu punca utama kekalahan Pakatan Rakyat di Hulu Selangor, adalah perlu Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mengambil langkah-langkah yang wajar untuk membetulkan kelemahan ini.  Oleh itu, penulis berpendapat perbelanjaan RM15 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk penyebaran maklumat mengenai pentadbirannya adalah langkah yang betul dan bijak.

Pengundi India – golongan ini pun ditimpa nasib kekurangan maklumat (info-deficient).  Tetapi terlebih dahulu dari itu, kajian perlu dibuat untuk mengetahui kenapa terdapat lonjakan undi yang ketara kepada BN di PRK Hulu Selangor.

Pada PRU-12, kira-kira 51% pengundi India berpihak kepada pihak pembangkang (pada masa itu Pakatan Rakyat belum diwujudkan lagi). Tetapi di PRK Hulu Selangor, statistik telah menunjukkan bahawa hanya 45% sahaja yang menyokong Pakatan Rakyat.  Jika peratusan ini terus menjunam, maka ia akan memberi kesan yang buruk kepada Pakatan Rakyat dan di kawasan-kawasan di mana kemenangan Pakatan adalah tipis (kurang dari 300 undi), mungkin akan terus kehilangan kerusi tersebut.

Tidak dapat dinafikan bahawa  kekurangan maklumat merupakan antara faktor yang menyebabkan pengundi India berpihak kepada BN.  Tetapi selain daripada itu, imej BN yang merupakan parti yang boleh memberi keyakinan kepada kaum India terutamanya kaum India yang berpendapatan rendah yang tinggal di estet adalah juga faktor yang patut diambilkira.  

BN memberi golongan India yang miskin dan serba kekurangan ini satu ‘feel good faktor’ sebab BN yang telah begitu lama wujud berjaya memaparkan satu imej kukuh yang dapat memberi keyakinan kepada kaum India yang miskin dan memerlukan tempat yang stabil untuk bergantung.  Dengan adanya ‘feel good faktor’ terhadap BN, penulis berpendapat bahawa BN akan terus mendapat sokongan orang India yang masih tidak begitu yakin terhadap Pakatan.

Pengundi Bumiputera bukan-Melayu di Sabah dan Sarawak – pengundi dari kumpulan ini juga tidak mendapat maklumat yang betul dan benar mengenai Pakatan Rakyat dan selagi perkara ini berlaku maka mereka akan terus mengundi BN.

Perlu dijelaskan di sini hal ini adalah sedemikian kerana ramai daripada mereka tinggal di kawasan pendalaman yang terpencil yang memerlukan sama ada sampan ataupun helikopter untuk sampai ke kawasan perumahan mereka.  Dan di sini Pakatan mengalami masalah untuk menyampaikan mesej ke kawasan pendalaman kerana untuk menyewa helikopter pun bukan murah dan BN boleh dikatakan mempunyai sokongan yang kukuh dari kumpulan ini disebabkan oleh faktor-faktor geografi dan kewangan yang memihak kepada BN.

Pengundi Cina – pengundi dari kumpulan ini adalah pengundi yang berpikir secara ‘tactical dan practical’. Mereka akan mengundi pihak yang akan dapat memberi manfaat yang lebih dan manfaat yang ketara kepada mereka.  Slogan-slogan yang menarik tidak akan dapat menarik perhatian mereka jika kedudukan mereka dari segi ekonomi sama sahaja.  Contohnya, penulis ini pernah diberitahu oleh seorang pemandu teksi berbangsa Cina, “kerajaan ini ada banyak slogan, NEM, GTP, NKRA, tetapi setiap hari adakah slogan ini membantu saya cari makan?  Cari makan pun bukan senang.  Slogan-slogan ini bukannya masukkan wang dalam saku saya.  Oleh itu saya akan mengundi pihak yang dapat memperbaiki kehidupan saya dan anak-anak saya dalam jangkamasa pendek mahupun jangkamasa panjang.”

Dari rumusan di atas, penulis berpendapat perlulah pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat bekerja dengan lebih keras lagi (iaitu melebihkan aktiviti turun padang untuk berjumpa dengan para pengundi) untuk menyampaikan maklumat yang betul dan benar kepada semua rakyat Malaysia di seluruh pelusuk negara.  Bukan itu sahaja tetapi imej Pakatan Rakyat perlu diperkukuhkan lagi dan Dasar Pakatan Rakyat harus diberitahu kepada semua rakyat Malaysia. Jika tidak, maka Putrajaya akan tinggal sebagai satu impian sahaja.


…Penulis adalah ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Selangor mahu kemerdekaan holistik

Ismail Hashim   
SHAH ALAM, 30 Ogos: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Hajah Halimah Ali menegaskan kemerdekaan yang dihajatkan Kerajaan Negeri Selangor adalah merdeka holistik yang menggabungkan kesejahteraan fizikal, mental dan spiritual.

Kerana itu, ujarnya, kerajaan negeri tetap meneruskan gerakan memantapkan spiritual rakyat Negeri Selangor bagi mencapai matlamat Negeri Idaman, Maju dan Sejahtera yang menjadi tonggak perjuangan siasah Pakatan Rakyat sejak menerajui negeri pada 8 Mac 2008 lalu.

 “Ini merupakan gerakan jihad akbar yang dimajukan oleh Generasi Idaman Selangor (GeMS) dan memerlukan pengembelengan kemahiran dan pengalaman aktivis sosial yang bersinergi dalam usaha membersihkan Selangor dari gejala sosial,” tegasnya.

Ketika bercakap di sebuah stesen radio bernuansa Islam yang disiarkan ke seluruh negara pagi tadi, beliau yakin dengan konsep success mentality dan bersemangat dengan firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 110.

Dr Halimah yang juga Adun Selat Klang menyatakan hasratnya meneruskan usaha murni tersebut meskipun sedar ianya merupakan perkara baru dalam masyarakat.

Sambil berkata, ‘jika tidak kita memulakannya siapa lagi?’ yang baginya, untuk membawa satu perkara besar ini memerlukan kerjasama banyak pihak yang berkemahiran dan berpengalaman yang terdiri daripada aktivis sosial yang sudi bekerjasama.

Dr Halimah dalam siaran itu bercakap lanjut tentang program Semarak Merdeka dan Penghayatan Ramadhan peringkat Negeri Selangor di I-City, Seksyen 7, dekat sini yang akan diadakan pada malam ini (30 Ogos Isnin).

Menurutnya, orang ramai berhimpun sejak 6.30 petang nanti dan majlis dimulakan dengan Iftor Jamaie (berbuka puasa secara ramai), Solat Tarawih Perdana, setelah itu diadakan Konsert Amal Kemerdekaan, Mengingati Peristiwa Mavi Marmara LL4Gaza.

Tepat jam 12 malam, sambutan kemerdekaaan dimulakan dengan perasmian oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim termasuk pelancaran Kempen Anti Zina dan Ekspedisi Dakwah GeMS.

Selain itu, pertunjukan bunga api dan cabutan bertuah diadakan dengan kemasukan secara percuma.

Antara artis popular tanahair yang turut serta adalah Ramli Sarip, Mawi, Ringgo termasuklah juara Imam Muda, Ustaz Mohd Asyraf, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan Ustaz Zamri Zainuddin.

Kempen pelayaran ke Gaza November ini

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 30 Ogos: Gabungan badan NGO di bawah Talian Hayat Untuk Gaza (LL4G) mengumumkan rancangan melancarkan kempen pelayaran kemanusiaan ke Gaza yang dijangkakan pada bulan November tahun ini dengan cita-cita yang berkobar-kobar bagi menamatkan embargo ekonomi yang dikenakan ke atas penduduk di Gaza dan Palestin.

Pelancaran konvoi pelayaran Gaza ini dilancarkan bersempena dengan semangat kemerdekaan rakyat Malaysia yang bebas dan hidup aman dan damai berbanding dengan rakyat Palestin yang hidup terpenjara di bawah cengkaman zionis Israel sejak sekian lama. Kesan daripada penglibatan rakyat Malaysia semasa konvoi flotilla lalu yang digerakkan oleh badan NGO Malaysia, ianya telah menarik minat para relawan dari negara kita dan juga negara-negara ASEAN lain seperti Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura, Kemboja dan Vietnam untuk turut serta dalam konvoi pelayaran kali ini.

Konvoi kedua pelayaran Gaza kali ini akan melibatkan pelbagai badan NGO antarabangsa yang mensasarkan lebih 200 kapal yang akan belayar bersama-sama menghantar bantuan dan seterusnya menamatkan embargo ekonomi ke atas Palestin, lapor laman web http://www.lifeline4gaza.org

Di negara kita, gabungan NGO LL4G sekarang ini telahpun bertambah menjadi 16 anggota. Setiap badan NGO yang bernaung di bawah LL4G masing-masing di seluruh negara mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai aktiviti dan kempen seperti golf amal, majlis makan malam, mini maraton, ceramah-ceramah, pameran dan kempen kutipan melalui SMS.

Sasaran kutipan dana pada kempen kali ini ialah RM7 juta bagi meneruskan usaha membantu rakyat Palestin yang telah dijajah.

Kutipan yang ada ini akan digunakan untuk pembelian kapal kargo yang akan diubahsuai bagi membawa penumpang, bahan perubatan, barangan pendidikan, barangan keperluan asas penduduk, barangan binaan perlaksanaan mini projek seperti telaga air dan bilik bedah di hospital bagi membangun semula Palestin.

Gabungan badan NGO LL4G amat mengalu-alukan sebarang usaha yang berkaitan sokongan terhadap isu Palestin ingin mengajak lebih ramai lagi orang ramai dalam kalangan masyarakat tidak mengira agama, bangsa untuk menyatakan `tidak’ kepada kekejaman Israel ke atas Gaza dan rakyat Palestin.

Kesan peristiwa berdarah dari konvoi `Mengakhiri sekatan Gaza-LL4G’ pada akhir Mei, 2010 di atas Mavi Marmara, telah memberi kesedaran baru kepada seluruh masyarakat dunia termasuklah juga di Negara kita. Seramai 12 orang relawan Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara lalu tanpa jemu-jemu turun padang memberikan penerangan dan ceramah mengenai kezaliman dan kejahatan askar Zionis Israel di seluruh negara. Justeru itu, gabungan LL4G ingin menegaskan agar segala kejahatan dan jenayah zionis Israel ini perlu didedahkan dan dibawa ke muka pengadilan antarabangsa.

Gabungan badan NGO LL4G juga berharap agar seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira status, agama dan latarbelakang menyokong usaha yang suci murni ini. Isu ini bukanlah isu orang Arab atau isu umat Islam. Perkara ini boleh berlaku di mana-mana negara. Isu sebenarnya ialah untuk menyatakan ketegasan kita untuk tidak mengiktiraf perhambaaan, aparted dan perlanunan oleh zionis Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dan di Palestin. Kita tidak boleh berdiam diri dengan tindakan kejam ini. Marilah sama-sama kita bersatu dan berpadu menyuarakan kezaliman dan kekejaman yang dirasai oleh penduduk Palestin sejak enam dekad lalu.

Antara 16 badan NGO utama yang terlibat dengan gabungan projek Lifeline4 Gaza kali ini ialah:
1. HALUAN Malaysia
2. Haluan Palestin
3. Dewan Pemuda Masjid
4. Yayasan Amal Malaysia
5. Pertubuhan Mawaddah Malaysia
6. Muslim Care Malaysia
7. ABIM
8. Viva Palestina Malaysia
9. Aqsa Syarif Sdn. Bhd.
10. JIM
11. PACE
12. Barakah, gabungan NGO Islam Pahang
13. FORUM, gabungan NGO Islam Pulau Pinang
14. CAKNA Palestin
15. AMAN Malaysia
16. Aman Palestin Berhad

Sumbangan

Kami amat mengalu-alukan sumbangan kewangan bagi konvoi kemanusiaan Gaza kedua melalui akaun utama di bawah:

Nama Akaun: “TABUNG PALESTIN HALUAN”
No. Akaun: 5644 9020 8528
Bank: Maybank Berhad

Kami juga mengalu-alukan sumbangan korporat dan zakat di mana sumbangan dapat dimasukkan ke dalam akaun yang tertera di atas.

Kita bertindak dulu, Najib pun ikut

Mohd Sabri Said   
PULAU PINANG, 30 Ogos: Guru-guru Kelas Agama dan Fadhu Ain (Kafa) seluruh Pulau Pinang tentunya tersenyum simpul kerana buat pertama kalinya kerajaan negeri memberikan RM250 wang raya kepada mereka.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, memandangkan peranan guru Kafa tiada tolok bandingnya memberikan pendidikan kepada anak-anak Islam, maka kerajaan negeri sedia mengeluarkan peruntukan untuk menghiburkan hati golongan tersebut menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

Kerajaan Pusat ujarnya, pasti akan meniru langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat beberapa hari lagi sebagaimana langkah mengharamkan judi bola dan bantuan kepada kakitangan kerajaan sebanyak RM400.

“Bila kita bertindak dulu, Najib pun ikut. Itulah kelebihan kita. Rakyat patut sokong kerajaan yang bertindak dulu kerana tanpa tindakan berkenaan Kerajaan Pusat sukar untuk menyalurkan bantuan seperti mana hari ini,” ujarnya.

Sebagai sebuah kerajaan yang berhemah sambungnya, peruntukan tetap diberikan kepada semua kaum dan agama berbanding Barisan Nasional (BN) yang asyik memilih bulu.

Adun PAS ziarah kuil Hindu

Harakahdaily   
KLANG, 30 Ogos: Kunjungan dan ucapan anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching telah menyebabkan Umno dan penguasa agama di Selangor melenting tetapi bagaimana reaksi mereka kalau melihat Adun PAS pergi melawat kuil Hindu dan berucap di sana.Baru-baru ini, Adun PAS dari Meru, Dr Rani Othman telah melawat Kuil Hindu Bukit Rajah dan bercakap kepada para penganut agama itu yang sedang membuat ibadat.

Melalui blognya, Dr Rani menulis, beliau mengunjungi kuil di Bukit Rajah dan mengambil kesempatan untuk memberikan gambaran sebenar tentang tasawwur dan keadilan Islam kepada masyarakat India yang berada di situ.

“Sejarah membuktikan walaupun 12 kurun Islam menguasai negara Palestin contohnya, tetapi tidak ada seorang pun dari penganut agama Kristian dan Yahudi yang di paksa untuk menganut agama Islam sepanjang pemerintahan itu melainkan ramai dari mereka yang menganut agama Islam adalah dari kerelaan hati mereka sendiri apabila mereka dapat melihat sendiri keadilan dan akhlaq yang tinggi dikalangan orang-orang Islam,” tulis beliau dalam blog Khidmat Meru itu.

%d bloggers like this: