Manek Urai belum tunai, apa pula janji di Galas -video..

Himpunan generasi kedua Felda 10 Okt


Harakahdaily
SHAH ALAM, 7 Okt: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan mengadakan satu himpunan generasi kedua Felda di perantauan pada 10 Oktober (Ahad) ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam.

Majlis akan bermula pukul 8 malam itu akan menampilkan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu, Mazlan Aliman (Pengerusi Anak), Azman Shapawi Abd Rani (Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat) dan Khalid Samad (MP Shah Alam).

Menurut pengarah program, Mohd Nasaie Ismail, himpunan itu dibuat untuk melancarkan Anak Lembah Klang dan juga memberi pendedahan isu-isu Felda kepada warga Lembah Klang.

Selain anak, cucu dan menantu peneroka Felda, katanya penganjur juga menjemput orang ramai untuk hadir beramai-ramai bagi mendengar ucapan pimpinan khususnya berkaitan isu Felda dan isu politik negara mutakhir ini.

“Program ini merupakan rentetan usaha-usaha memperjuangkan hak peneroka Felda dan isu berkaitan dengan tanah. Selepas melancarkan Anak generasi kedua Felda), Bapa (Felcra), Anak Lembah Klang ini akan mengukuhkan lagi gerakan menuntut hak-hak peneroka,” katanya.

Menurutnya, pada tarikh yang sama sebelah siangnya akan diadakan pertemuan dengan alumni kakitangan Felda yang turut sama memberi sokongan terhadap usaha itu.

Jamuan Ilmuan Perantau pada 9 Okt


Harakahdaily
BANGI, 7 Okt: Anak Terengganu di perantauan dijemput menghadiri Jamuan Aidilfitri Ilmuan Perantau yang akan diadakan pada 9 Oktober (Sabtu) ini di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi,

Penyelaras program, Zulhilmi Abd Rahman berkata, melalui program yang bermula jam 3.00 hingga 6.00 petang akan dapat mengeratkan hubungan sesama peserta.

Beliau berharap anak-anak Terengganu di perantauan terutama sekitar Lembah Klang dapat sama-sama hadir bagi memeriahkan program tersebut.

Justeru, katanya anggota Perantau diharap dapat menghubungi sesama mereka untuk memaklumkan majlis berkenaan.

Galas: Kelantan cadang 4 Nov cuti peristiwa


Rizal Tahir
KOTA BHARU, 7 Okt: Kerajaan Kelantan kemungkinan akan mengisytiharkan cuti peristiwa pada 4 November ini berikutan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas yang jatuh pada hari bekerja, iaitu Khamis.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Nik Mat berkata, ianya bagi memudahkan pengundi untuk keluar mengundi, khususnya yang tinggal di luar kawasan.

Katanya lagi, urusan mengundi  bukan satu perkara main-main, dan sesuatu yang menyukarkan jika ianya jatuh pada hari bekerja.

“Jadi bila begini tentu sekali akan berlaku kelam kabut dan sebagainya bila hari mengundi jatuh pada hari bekerja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas tarikh penamaan calon dan PRK Dun Galas jatuh pada hari bekerja.

Beliau sebelum itu merasmikan majlis Ekspo Pelancongan 2010 Matta Fair disebuah pasaraya di sini sebentar tadi.

Pada masa yang sama beliau melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sikap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menentukan tarikh penamaan calon dan mengundi pada hari bekerja.

Sambungnya, tindakan itu amat tidak wajar apa lagi Persidangan Dun Kelantan (Belanjawan) masih berjalan.

“Terang-terang saya katakan SPR ni menjaga Umno dan Barisan Nasional (BN), langsung tidak jaga orang lain.

“Sepatutnya tanya juga pihak sini (Kelantan) boleh kah buat tarikh tu, dia (SPR) tahu waktu tu sidang Dun Kelantan sedang berjalan,”ujarnya.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS mendakwa, tindakan yang hanya mementingkan diri dan sebelah pihak tanpa memikirkan orang lain itu akan membangkitkan rasa benci terhadap kerajaan pusat.

Menurutnya lagi, SPR hanya berfikir untuk menyenangkan Umno BN sahja dengan mengenepikan kepentingan pihak lain.

Semalam SPR mengumumkan tarikh penamaan calon 26 Oktober ini, manakala tarikh mengundi pada 4 November.

Padah buruk jika BN terus memerintah


Mohd Rashidi Hasan
MOHD RASHIDi HASSAN | rashidi@harakah.net.my
Dalam ucapan pada majlis Malam Sejuta Harapan Ke-6 sempena ulangtahun Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) ke-20 baru-baru ini, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak melahirkan kegusarannya terhadap masa depan negara.

Katanya, jika Barisan Nasional (BN) hilang kuasa memerintah pada Pilihan Raya umum ke-13 akan datang, ia boleh mendatangkan kesan buruk terhadap pembangunan dan kebajikan rakyat.

Oleh itu PM menyeru rakyat perlu bijak menggunakan peluang yang ada dalam membuat pilihan kerajaan.

Di sebalik kegusarannya itu, PM secara tidak langsung mengakui bahawa BN kini, tidak lagi kuat dan bila-bila masa sahaja boleh tumbang.

Oleh itu PM cuba membuat ugutan secara halus supaya rakyat mempercayai bahawa hanya BN sahaja yang boleh membawa kemakmuran dan kestabilan.

Apa yang dinyatakan PM itu, bukan perkara baru bagi rakyat. Politik pembangunan sudah menjadi modal kempen BN untuk mengelabui mata rakyat sekian lama.

Hakikatnya PM lupa bahawa rakyat Malaysia semakin bijak. Rakyat tidak lagi boleh digula-gulakan dengan modal politik pembangunan.

Rakyat sudah sedar bahawa politik pembangunan adalah rasuah seketika untuk BN meraih undi sahaja.

BN hanya muncul menjadi juara kebajikan pada saat-saat pilihan raya, selepas menang pilihan raya, kelibat wakil rakyat BN tidak lagi kelihatan.

Politik pembangunan dan kebajikan tatkala pilihan raya sudah tidak laku. Modal yang BN jaja, iaitu hanya BN sahaja boleh membawa pembangunan juga tidak laku lagi.

Rakyat Malaysia bijak menilai dan membezakan di antara tanggungjawab sesebuah kerajaan dengan janji-janji palsu pemimpin BN.

Pembangunan adalah tanggungjawab kerajaan, bukan jasa-jasa BN. Di negara yang mengamalkan sistem komunis dan sosialis, seperti di China, Rusia dan sebagainya, kerajaan membuat pembangunan yang pesat untuk keperluan rakyat.

Ideologi nasionalisme yang menjadi anutan BN, bukannya ideologi yang boleh menjanjikan keamanan dan demokrasi. Di negara yang mengamalkan sistem komunis dan sosialis, sistem pentadbiran dan politiknya lebih stabil dan demokratik.

Masalah di Malaysia bukan soal kemajuan. Kemajuan negara berjalan seiring dengan kemajuan dunia. Masalah kita ialah, BN mendakwa mereka membawa kemajuan dari segi pembangunan fizikal, tetapi pembangunan minda cuba disekat dan ditutup.

Kuasa yang dinikmati BN sekian lama, menjadikan mereka begitu tamak. Pemimpinnya kaya raya kerana mendapat faedah daripada pembangunan yang dibuat. Di sebalik kepesatan pembangunan, BN menyuburkan amalan korupsi, kronisme dan nepotisme.

Apa ertinya pembangunan jika tiada keadilan dalam pemerintahan. BN menguasai media massa, sehingga suara Pakatan Rakyat ditenggelam dan dinafikan. Media massa menjadi agen propaganda BN, tidak membuat laporan yang seimbang.

Sedangkan di negara-negara yang pesat membangun, setiap parti sama ada dalam kerajaan mahu pun pembangkang mempunyai hak yang sama rata.

Oleh sebab itu kita harus wujudkan sistem dua parti, supaya pemerintah dapat dikawal oleh rakyat. Ada parti yang boleh menjadi check and balance kepada pemerintah.

Maka pada saat ini rakyat amat sedar bahawa bukan BN sahaja yang boleh menjamin pembangunan dan kebajikan. Kini rakyat sudah ada alternatif, iaitu Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat adalah ‘kerajaan menunggu’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, kerana rakyat sudah sedar padah yang akan diterima jika BN dikekalkan lagi.

Wang Yang Disatukan – Bila Mahu Dibersihkan?


Dzulkefly Ahmad
Asalnya memang malas hendak melayan isu ini. Memang kata orang, kerja orang politik senantiasa hendak menjatuhkan lawan. Mutakhir tampak macam Umno mencetus isu, mengambil sebanyaknya ‘mileage’ dan kemudiannya meninggalkan isu begitu sahaja. Pakatan hanya ‘mengekor’ sahaja dan bertindak reaktif. Contohnya mana isu YB Neo Ching masuk masjid, isu Kalimah Allah dsbnya.

Tak putus-putus serangan dibuat. Tapi kali ini Umno silap congak. PAS dan Pakatan tidak akan izinkan Umno mencetuskan isu dan melenyapkan isu ini begitu sahaja. Kali ini, PAS akan lanjutkan sehingga terlondeh Umno! Isu ini akan akhirnya ke Parlimen lagi!

Apabila Reezal Merican Naina Merican pertama-tama mendedahkan bahawa Kerajaan Pulau Pinang telah menggunakan wang sumbangan sebanyak RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang untuk pemberian wang ehsan RM100 kepada warga emas, Umno menyangka Ketua Penerangan Pemuda Umno itu bijak mencari isu membunuh lawan politiknya.

Serangan ini dianggap berjaya dan berkesan mencetuskan rasa marah orang Islam, khususnya warga emas yang memulangkan wang RM100 itu. Mereka bertujuan menjatuhkan wibawa Ketua Menteri Lim Guan Eng. Lantas ada yang ‘berlakon’ memulangkan pemberian itu kembali.

Umno menggeletek keseronokan melihat taktiknya menimbulkan kemarahan terhadap kerajaan Pulau Pinang dan Ketua Menteri itu berjaya. Ketika mendapat tentangan, serangan beraleh sasaran. Kali ini ditujukan kea rah program pembayaran RM1000 kepada waris ketika warga emas meninggal. Kedua-dua ini dikatakan dari sumber haram hasil derma RM2juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.

Kerajaan Pulau Pinang telah secara jelas mengatakan bahawa sumber kedua-dua program tersebut adalah dari peruntukan belanjawaan 2010 sebanyak RM20 juta hasil penjimatan penjimatan dari urustadbir CAT (kecekapan, pertanggungjawaban dan ketelusan). Tuduhan Umno jelas meleset. Tetapi peduli mereka tentang fakta dan kebenaran. Yang penting mereka ‘spin’ –‘putar-belit’ dan mampu yakinkan rakyat yang tidak membaca media alternatif dan internet – golongan yang bengantung seluruh maklumat dari media BN/Umno – Utusan, BH dan RTM.

Begitu juga program Rakan Anti-Kemiskinan (RAK). RAK adalah program kerajaan Pulau Pinang untuk membasmi kemiskinan tegar dengan mengeluarkan keluarga daripada garis pendapatan RM400 sebulan kepada sekurang-kurangnya RM500 sebulan.

Umno kecewa. Program murni ini terus diserang Umno, kononnya sumber haram dan dari judi.

Pegawai Kewangan Negeri sendiri Dato’ Farizan Darus telah mengaskan bahawa sumber RM2juta daripada Kelab Lumba Kuda diasingkan dan dikhusus pemberiannya hanya kepada orang bukan Islam. Memang miskin tegar bukan hanya terdiri dari orang Islam. Tentunya tidak salah menyalurkan wang derma kepada orang bukan Islam sementara orang Islam tidak diberikan dari sumber ini. Bukankah ini satu usaha murni dari kerajaan negeri Pulau Pinang mempastikan orang Islam mendapat sumber yang halal?

Persoalan yang hendak ditanya rakyat, khususnya umat Islam ialah : Sejak bila pulak Umno pandai membezakan sumber rezeki halal dan haram? Sebabnya? Judi dan Umno ini sinonim sejak azali lagi!

Sejarah merakamkan betapa Umno mengingkari fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Pulau Pinang pada tahun 1951 iaitu Tuan Haji Abdullah Fahim (Ayahanda mantan PM Tun Abdullah Ahmad Badawi) bahawa judi loteri adalah haram.

Ertinya halal dan haram dalam UMNO tidak pernah menjadi masalah sejak penubuhannya mereka lagi. Malahan, tumbesaran UMNO tidak sangat memperhitungkan halal-haram sejak Merdeka lagi.

Ini terbukti apabila kalangan ulamak di dalam Umno membantah loteri kebajikan adalah haram. Pemimpin Umno tidak memperdulikan bantahan ulamak dalam Umno, berakhir dengan episod penubuhan PAS pada 24 November 1951.

Sampai sekarang kita tidak dengar suara membantah secara agresif dalam Umno supaya judi dihapuskan, malahan baru sahaja kerajaan Umno BN meluluskan lesen judi bola 2010 sempena pertandingan Piala Dunia kepada Syarikat Ascot Sport Tan Sri Vincent Tan Berjaya Group pada 6 Mei 2010 tetapi terpaksa digantung buat sehingga kini.

Peliknya kerajaan Negeri Pulau Pinang yang pertama mengharamkan judi bola sekaligus memusnahkan rancangan Umno untuk membenarkan lessen judi bola di Malaysia. Kerajaan PAS lebih awal lagi tidak mengizinkan lesen judi di premis-premis di Kelantan setelah berbincang dengan semua tokoh agama-agama lain.

Isu pokok yang hendak diketengahkan ialah sumber pendapatan. Timbalan Perdana Menteri turut tumpang semangkok mengambil kesempatan untuk memukul kerajaan Pakatan Rakyat kononnya orang Islam cukup peka dengan sumber pendapatan mereka bukan dari sumber haram seperti judi.

Kalau benar TPM peka dan Umno peka dengan sumber pendapatan perlu bersih dan halal, mengapa kerajaan Umno/BN sejak berdekad lamanya masih mengumpulkan semua pendapatan dari cukai dan bukan cukai dari sumber yang haram seperti Cukai Dosa atau “Sin Tax”,  rokok, judi, arak dsbnya masih tidak lagi dipisahkan bahkan disatukan dalam ‘Wang yang Disatukan’ atau “Consolidated Fund” di peringkat kerajaan Pusat?

Ahli Parlimem Kuala Selangor pernah membangkitkan perkara ini, seperti juga beberapa ahli Yang Berhormat yang lain, tetapi pimpinan Melayu Umno membisu seribu bahasa. Tiba-tiba nak tunjuk warak dan alim kononnya peka dengan sumber pendapatan – halal dan haram. Kemuncak hipokrasi Umno!

Seluruh rakyat perlu diberitahu bahawa pimpinan Umno menipu rakyat lagi khusus kakitangan kerajaan bahawa penerimaan gaji mereka adalah tidak jelas dari sumber yang halal kerana telah ‘disatukan’. Dalam amalan Kewangan Islam, sumber yang jelas boleh dipisahkan dari sumber yang haram bagi pembersihan pendapatan. Tentunya gaji kakitangan mampu dibayar dari sumber yang jelas halalnya.

Sudah sampai waktunya pimpinan negara bertindak menyelamatkan pembayaran imbuhan kakitangan kerajaan untuk  umat Islam di segi gaji dan bayaran yang mereka terima. Hanya ‘political will’ atau iltizam politik yang tinggi serta kepekaan terhadap agama yang mendalam yang akan mampu membuat perubahan seperti ini. Umno/BN tidak diharapkan untuk membuat perubahan ini.

Kerajaan Pakatan Rakyat termasuk kepekaan pimpinan bukan Islam dari Pakatan tampaknya lebih bersungguh dari pemimpin elit Umno yang tegar dengan rasuah dalam kerasukan haloba tempolok masing-masing, meninggalkan kepentingan umat Islam dan mengorbankan kesejahteraan rakyat seluruhnya.

** Dr Dzulkefly Ahmad adalah AJK PAS Pusat dan juga Ahli Parlimen Kuala Selangor

Campur tangan politik punca PDRM terjejas


Mohd Nor Yahya
KOTA BHARU, 7 Okt: Pakar undang-undang perlembagaan menyifatkan campur tangan keterlaluan kerajaan (politik) dalam institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyebabkan kredibiliti jabatan itu tercemar dan boleh menghakis kepercayaan rakyat.

Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam antarabangsa (UIAM) berkata, jabatan polis sekarang dilihat dipergunakan parti pemerintah bagi mempertahankan hegemoni politik.

”Maka tidak hairanlah apabila polis terlalu banyak bidang kuasa sehingga kebebasan rakyat untuk bersuara pun terhalang.

“Seharusnya pihak polis perlu bertindak dengan bijak dan bukan menyekat kebebasan rakyat bersuara kerana ia dibenarkan dalam perlembagaan,” katanya ketika ditemui di Bengkel Penjelasan Perlembagaan Mengenai Konsep Federalisme di Bilik Gerakan Negeri di sini, hari ini.

Sebelum ini mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan ada campur tangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam institusi polis sehingga membelakanginya sebagai ketua jabatan.

Menurut Musa ada pegawai-pegawainya dikawal, sedangkan tanpa disedari perbuatan itu salah.

Dr Abdul Aziz berkata, kerajaan pusat mempunyai banyak saluran untuk menyebarkan maklumat kepada rakyat termasuk Jabatan Penyiaran Malaysia dan media harian.

Sedangkan katanya, pembangkang tidak mempunyai kemudahan tersebut kecuali ceramah politik bagi menjelaskan sesuatu isu kepada rakyat.

Oleh itu, beliau mencadangkan Jabatan Polis dibebaskan daripada tuan politik kerana peranan mereka menjaga ketenteraman awam.

”Jabatan Polis adalah milik rakyat dan mereka lebih memahami kehendak setempat termasuk polisi kerajaan negeri,” katanya.

Beliau juga berpendapat jabatan polis tidak perlu diberi tanggungjawab yang melampaui bidang tugas mereka bagi memperlihatkan kecekapan agensi berkenaan.

Istana sokong program Bulan Sembahyang


Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 7 Okt: Program Bulan Sembahyang yang dianjurkan kerajaan negeri sejak empat tahun lalu turut mendapat sokongan pihak istana Kelantan memandangkan ia memberi kesan positif kepada golongan remaja.

Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra bertitah program berkenaan memperlihatkan kejayaannya bagi membina generasi yang cintakan solat.

”Jadi sudah sampai masanya kerajaan negeri menyediakan papan tanda khas di seluruh jajahan berhubung program Membina Generasi Solat supaya rakyat mengetahui program tersebut.

“Saya berharap usaha ini dipertingkatkan agar rakyat bukan sahaja mengetahui program ini, sebaliknya sedar sejauh manakan kejayaan hasil program yang dianjurkan.

“Usaha mempertingkatkan program berkenaan perlu dilaksana bersesuaian dengan Kelantan sebagai Negeri Serambi Mekah dan Negeri Tadahan Wahyu,” titah baginda ketika merasmikan majlis Ihtifal Membina Generasi Al-Quran dan Majlis Aidilfitri Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), di Balai Islam, hari ini.

Titah baginda, ibadat solat wajib dilaksanakan dengan sempurna bagi membendung umat Islam melakukan perkara mungkar.

Katanya, masyarakat juga perlu mengubah budaya mendidik anak-anak dengan  menghantar anak-anak di peringkat belajar di sekolah agama.

Sementara itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa dukacita apabila hanya 31 peratus masyarakat Kelantan cukup solat lima waktu sehari mengikut satu kajian yang dilakukan tahun lepas.

Menurutnya, daripada jumlah 1,740 pelajar luar bandar yang dijadikan responden, hanya hanya 50 orang atau 2.8 peratus sahaja mengaku solat lima kali sehari.

“Kajian itu juga merumuskan hanya enam peratus rakyat Kelantan yang mengimarahkan masjid untuk solat berjemaah,” ujarnya.

Menurutnya juga perkara seperti itu malangnya berlaku di Kelantan yang dikenali sebagai Serambi Mekah.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah dan pegawai kanan kerajaan.

Manek Urai belum tunai, apa pula BN janji di Galas


Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 7 Okt: PAS mengingatkan Umno Barisan Nasional agar tidak menabur janji pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas kerana janji mereka di Manek Urai dahulu belum ditunaikan.

Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, Umno BN tidak wajar membuat janji baru selagi belum menunaikan janji lama.

“Janji di Manek Urai dahulu belum selesai, apa lagi yang mereka (Umno BN) nak janji di Gua Musang?” soal beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Dun galas dalam satu sidang media di Pejabat PAS Agung, Jalan Raja Laut, hari ini.

Abdul Halim yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa juga berkata, PAS optimis untuk mempertahankan kerusi di Dun berkenaan berdasarkan analisis pada pilihan raya umum lalu.

Menurut beliau, pada pilihan raya itu, jumlah pengundi di Dun Galas yang memilih calon BN sebanyak 3,826 manakala calon PAS mendapat 4,143.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustaffa Ali pula ketika mengulas mengenai pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya di Galas berkata, perkara itu ada baik dan buruk kepada Umno BN dan PAS.

Beliau berkata, PAS mengakui Tengku Razaleigh merupakan pemimpin berpengaruh Umno di Kelantan, namun beliau juga mempunyai banyak perbezaan pandangan dengan kerajaan pusat.

“Itu hak BN untuk melantik sesiapa sahaja sebagai pengarah (pilihan raya) tetapi saya melihat Ku Li akan mempunyai tanggungjawab besar dalam pilihan raya ini dan menjadi ‘pedang dua mata’.

“Memang PAS menganggap Ku Li orang yang berpengaruh atas isu royalti dan sebagainya tapi dari segi perspektif lain dia merupakan pedang dua mata.

“Kalau dia menjadi pengarah dan BN kalah itu satu satu perkara yang boleh digunakan Pakatan tapi kalau dia menang dia boleh menaikkan imej BN,” kata beliau.

Ujarnya juga, PAS tidak memandang remeh PRK kali ini dan akan menyusun strategi sebaik mungkuin dengan dibantu Pakatan Rakyat dari seluruh negeri.

“Kita tidak pandang mudah perkara ini sebab itu kita akan masuk PRK ini dan yakin Datuk Halim dengan pengalaman yang lama dan mengetahui politik di Kelantan ini akan bersama dengan pengarah jentera operasi akan dapat memainkan peranan yang terbaik dibantu oleh Pakatan Rakyat dari setiap negeri,” katanya.

Menyentuh mengenai hari pembuangan undi yang jatuh pada hari berkerja, Mustafa berkata, ianya akan mempengaruhi peratusan keluar mengundi namun yakin kedua-dua parti akan mengerahkan pengundi untuk melaksankan tanggungjawab itu.

“Oleh sebab hari mengundi pada hari berkerja, tidak akan berlaku maksimum keluar mengundi tapi kalau semua kerah mungkin peratusan keluar mengundi tinggi.

“Saya nampak kedua-dua parti akan kerah pengundi untuk keluar mengundi,” katanya.

Abdul Halim pula berkata, faktor musim haji juga mempengaruhi peratusan keluar mengundi.

“Yang keluar mengundi tidak akan sampai 80 peratus seperti dinyatakan SPR sebab orang sudah mula pergi Mekah. Walaupun saya belum buat analisis di Gua Musang tapi inilah realitinya samaada PAS atau Umno,” katanya.

Sementara itu, Mustaffa memberitahu, pengarah pilihan raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun dilantik sebagai pengarah jentera operasi.

Mengenai calon yang akan bertanding, Mustafa berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat minggu hadapan selepas menerima senarai pendek calon yang layak daripada PAS Kelantan.

Rahimi karut, manipulasi akuan bersumpah


Dzulfikar Mashoor
PETALING JAYA, 7 Okt: Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah menganggap laporan polis terbaru yang dibuat oleh Rahimi Osman adalah karut bagi memanipulasi akuan bersumpah.

Rahimi, bekas pegawai khas Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menuduh dua peguam – Latheefa Koya dan Saiful Izham Ramli memaksanya menamakan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor pernah berjumpa Saiful Bukhari Azlan (saksi utama kes liwat) dalam akuan bersumpah (SD) keduanya pada 28 Jun tahun lalu.

Walhal katanya, Rahimi sendiri pada 23 Jun tahun lalu mempertahankan akuan bersumpah itu ketika memberi keterangan kepada polis.

“Ia suatu manipulasi fakta yang tidak benar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Manakala, Latheefa dan Saiful masing-masing turut menafikan dakwaan Rahimi kononnya memaksa diubah inti akuan bersumpah pertamanya di Quality Hotel sebelum ini.

Rahimi turut mengaku bahawa turut menyaksikan konsultansi Latheefa dan Saiful di Quality Hotel pada 28 Jun lalu memandangkan beliau merupakan kenalan paling akrab kepada Saiful Bukhari Azlan, saksi utama yang mengaku diliwat Anwar.

“Dari pemerhatian saya terhadap Rahimi, kedatangannya adalah untuk memberikan kerjasama kepada pihak kami (peguam).

“Saya boleh sahkan di sini bahawa tidak ada apa-apa paksaan ke atas beliau,” tegas Sivarasa.

Disebabkan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Subang tidak menolak kemungkinan bahawa wujudnya satu lagi konspirasi untuk memburuk-burukkan parti serta Anwar, Ketua Umum PKR.

“Kita nampak ada tangan di belakangannya untuk merancangkan episod buruk ini,” tegasnya.

Sebelum pada itu, Latheefa memberitahu bahawa Rahimi ketika akuan bersumpah kedua ditulis mengaku bahawa Mumtaz sebenarnya bertanggungjawab membawa Saiful Bukhari berjumpa Najib dan Rosmah.

Saiful Izham pula kemudiannya membangkitkan unsur keraguan yang tidak munasabah di sebalik kenyataan media serta laporan polis yang dibuat Rahimi itu.

“Yang menjadi kehairanan kami, sekiranya beliau ditahan oleh kami secara paksa, mana mungkin beliau bersama-sama dengan parti selepas dari itu untuk membantu kempen-kempen, khususnya di Permatang Pauh,” ujar Saiful.

Manakala, peguam N. Surendren yang mewakili Latheefa dan Saiful Izham kemudiannya menuntut supaya Rahimi memohon maaf dalam masa 24 jam serta menarik balik tuduhan berunsur fitnah itu.

Tindakan undang-undang akan dikenakan, termasuk ke atas beberapa media arus perdana sekiranya Rahimi enggan berbuat demikian.

%d bloggers like this: