Generasi kedua jawab fitnah Ahmad Maslan


DUMEXjiman_76
Saya adalah generasi kedua Felda iaitu FELDA KAHANG BARAT, terpanggil saya untuk menjawab “FITNAH” daripada Datuk Ahmad Maslan. Terlebih dahulu ingin saya memulakan dengan isu TABUNG TANAM SEMULA yang di wujudkan oleh FELDA. Tidak dinafikan tabung ini memberi manafaat kepada warga Peneroka. Pernah kami merayu kepada FELDA untuk tidak membuat pemotongan ketika HARI RAYA memandangkan ketika itu harga kelapa sawit tidak begitu baik dan rayuan kami tidak dihiraukan. Maka kami adik-beradik menangis kerana tidak dapat pulang kekampung akibat kesempitan wang.

Walupun ada pemotongan untuk tabung tanam semula, bapa saya masih juga membuat “PINJAMAN ASB” di MAYBANK pada tahun 1995 sebanyak RM20,000. Pelik juga saya, bila ditanya kepada ayah apa tujuan dia membuat pinjaman tersebut. Ayah menyatakan ia adalah wang untuk persediaan menampung kos untuk tanam semula kelapa sawit.

Setelah 10 tahun berlalu, wang tersebut telah pun matang maka tibalah masa untuk pokok kelapa sawit ditebang. Betapalah sedih bila diberitahu oleh FELDA bahawa duit tanam semula yang di kumpul hanya boleh dikeluarkan sekiranya pokok TUA ditebang dan pokok MUDA telah pun tumbuh. Selepas itu perlu ada pemeriksaan dari pihak FELDA. Mujur Ayah saya telah membuat perancangan awal.

Tahukah rakyat malaysia, mereka yang mempunyai keupayaan mengusakan sendiri penanaman semula terpaksa membuat pinjaman BANK untuk kos PENEBANGAN POKOK, RACUN, ANAK BENIH, BAJA yang kosnya menelan belanja hampir RM20,000. Sedangkan FELDA senang lenang menguruskan tanah tersebut dengan duit yang telah tersedia dalam tabung tanam semula.

Pihak FELDA perlu sedar, Mereka BOLEH MEMPERBODOHKAN warga peneroka yang rata-ratanya tidak mempunyai taraf pendidikan yang rendah akan tetapi kami anak-anak warga Felda yang mempunyai MENTALITY tinggi tidak akan membiarkan ibu bapa kami diperlakukan sebegini.

MAKA, saya nak bangkitkan persoalan yang daripada DATUK AHMAD MASLAN, memang wujud 2 golongan:

1. Beliau juga mendakwa wang tanam semula RM17,000 diguna peneroka membeli motor, kereta dan membaiki rumah. Golongan ini mempunyai modal sendiri [simpanan@pinjaman bank] untuk menguruskan kebun dan duit tanam semula tersebut di keluarkan oleh felda selepas melepasi syarat-syarat yang ditetapkan. Maka wang tanam semula adalah satu “bonus” atas mereka dan terpulang pada mereka untuk mebelanjakannya.

2.Antaranya kenyataan Ahmad yang mendakwa kebun peneroka tanam sendiri menjadi hutan, penuh dengan babi, ular sawa, tikus dan kumbang. Golongan ini tidak mempunyai Modal untuk menguruskan kebun dan sepatutnya golongan ini dibantu oleh FELDA dengan mengeluarkan WANG TANAM SEMULA yang menjadi HAK mutlak peneroka. Mereka mempunyai keupayaan tetapi tiada modal.

Maka, dengan ini saya menolak sekeras-kerasnya, tuduhan bahawa pihak peneroka Felda MENYALAHGUNAKAN WANG TANAM SEMULA dan saya mengangap ia satu FITNAH.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Tarik balik penswastaan Kem Sungai Besi


Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 12 Okt: Ahli Perlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menuntut satu kertas putih dibentangkan di Dewan Rakyat berhubung penswastaan Kem Kantomen dan Kem Sungai Besi.Ianya kerana timbul keraguan berhubung nilai harga yang dijual kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

“Kita tuntut kerajaan bentang kertas putih, kita nak tahu dari aspek keselamatan, kos yang diperoleh syarikat itu, berapa harga yang ditawar kedua-dua syarikat itu.

Soalan berhubung perkara itu sebelum ini dibangkitkan ahli Parlimen Batu, Tian Chua namun tidak dijelaskan oleh Menteri Pertahanan.

Dalam sidang media sama, Tian berkata, kerajaan juga tidak pernah menyatakan secara terbuka penswastaan tersebut namun proses itu berlaku secara dalaman degan kedua-dua syarikat tersebut.

“Kementerian Pertahanan dan Perdana Menteri menjalankan penswastaan ke atas kedua-dua kem ini adalah perkara yang tidak masuk akal.

“Ini membuktikan bahawa ia menggadaikan jaringan keselamatan dan kedaulatan negara.

Dalam soalan Tian semalam, beliau bertanya siapa pembeli kedua-dua kem tersebut dan kenapa kerajaan tidak menjualnya secara tender terbuka.

Beliau juga bertanya mengenai keluasan kawasan serta nilai harga yang ditawarkan.

Menteri dalam jawapannya bagaimanapun tidak menjelaskan berhubung nilai harga yang diberikan kepada dua syarikat tersebut.

Sehubungan itu, Tian mendesak kerajaan menarik balik cadangan penswastaan tersebut sebelum satu kertas putih dibentangkan.

Wang judi: Warga emas tolak fitnah Umno


Mohd Sabri Said
BUTTERWORTH, 12 Okt: Warga emas sekitar Seberang Perai Utara mengatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng serta meminta meneruskan program penghargaan kepada golongan veteran pada masa depan.

Seramai 70 orang warga emas yang datang dari Penaga, Kepala Batas, Bagan, Teluk Air Tawar, Sungai Dua, Tasek Gelugor, Pokok Sena, Lahar Yooi dan kawasan lain turut kesal dengan tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim yang tiba-tiba mengajak mereka mengembalikan RM100 dan RM1,000 untuk para waris jika terdapat kematian warga emas kononnya berpunca dari wang judi.

Bagi mereka, semua itu merupakan mainan politik jahat yang sengaja dibangkitkan oleh Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno, Reezal Merican Naina Merican yang menuduh pemberian wang pada pertengahan tahun ini berpunca dari wang Kelab Lumba Kuda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man pula meminta warga emas usah terpengaruh dengan dakyah jahat pembangkang negeri ini yang sudah kehabisan modal.

Beliau berkata, sebenarnya wang itu adalah lebihan perbelanjaan Kerajaan Pakatan Rakyat tahun ini sebanyak RM88 juta dan RM20 juta diperuntukkan kepada warga emas sebagai menghargai pengorbanan mereka terhadap kemajuan Pulau Pinang.

“Wang hasil pemberikan Lumba Kuda memang ada tapi ia tidak dimasukkan pada tabung sumbangan kepada warga emas sebaliknya digunakan untuk Rancangan Anti Kemiskinan (RAK) khas untuk masyarakat bukan Islam, ” jelasnya lagi.

Seorang warga emas, Zainab Mat (kanan) dari Butterworth menyifatkan, apa yang diperjelaskan oleh kerajaan negeri cukup meyakinkan bahawa semua itu pembohongan.

“Bila datang mendengar sendiri keterangan yang disampaikan oleh Adun dan Ahli Majlis Seberang Perai (MPSP) baru tahu hal sebenar,” ujarnya.

Bekas ahli Umno, Abu Bakar Said (kiri) dari Bagan Ajam pula menambah, di zaman BN tidak pernah berlaku ketua menteri melawat surau atau masjid tetapi berlaku di era kepimpinan Pakatan Rakyat.

“Bila KM sendiri turun padang menziarahi umat Islam di samping memberikan penghargaan warga emas, ia satu peristiwa yang tidak pernah berlaku dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN),” tegasnya.

Bagi Sambasivam (kanan) pula, kini baru beliau tahu hal sebenar mengenai perkara itu kerana selama ini mendengar sebelah pihak sahaja.

Sesi penerangan untuk menolak fitnah Umno itu diadakan di Bangunan Datuk Ahmad Badawi disampaikan oleh beberapa orang Adun termasuk Adun Bagan Dalam, Thanasekharan dan Adun Bagan Jermal, Lim Hock Seng.

Konsert Adam Lambert biak virus gejala sosial


Harakahdaily
BANGI, 12 Okt: Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) membantah sekeras-kerasnya penganjuran konsert Adam Lambert di Bukit Jalil pada 14 Oktober ini.

Presidennya, Mohd Nazri Mohd Tahir ketika ditemui berkata, konsert yang akan dianjurkan itu dilihat semakin menambah gejala sosial yang sedang berlaku di saat ini.

Katanya, ketika semua masyarakat Malaysia sedang mencari penyelesaian untuk mengubat penyakit sosial yang semakin membarah ini, sekali lagi pihak kerajaan membenarkan konsert itu berlangsung.

Beliau yang juga Naib Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menegaskan bahawa seharusnya pihak kerajaan bertegas dalam perkara itu.

Menurutnya, semua rakyat jelas dengan karakter yang dimiliki oleh artis tersebut yang disebutkan sebagai seorang yang mengamalkan hubungan sejenis (gay).

“Di Malaysia, hubungan sejenis ini ditolak sepenuhnya oleh rakyat Malaysia. Jadi mengapa pihak kerajaan masih lagi membenarkan artis tersebut masuk ke negara ini?” soalnya.

Baginya, kebenaran mengadakan konsert itu boleh diibaratkan seolah-olah hendak mengubat penyakit tetapi dalam masa yang sama membiakkan virus-virus yang membawa penyakit terus berlegar-legar dengan bebasnya.

Justeru, tambah beliau seharusnya pihak kerajaan bertindak dengan tegas dan serius dalam perkara-perkara seperti itu walaupun terdapat pandangan-pandangan tertentu yang menyebutkan bahawa ia hanya sekadar hiburan semata-mata, namun perlu dlihat dari aspek yang lebih jauh lagi.

“Kita bimbang kesan dan pengaruh artis tersebut akan mempengaruhi anak muda di negara kita ini dan akhirnya ia secara tidak langsung akan membawa kesan buruk kepada negara pada masa akan datang.

“Isu ini sangat sensitif dan lebih-lebih lagi konsert tersebut akan dianjurkan pada hari Khamis malam Jumaat yang merupakan malam yang biasa diadakan bacaan surah Yaasin di masjid-masjid dan surau-surau,” ujar beliau lagi.

Tambahnya, dengan melihat bahawa implikasi buruk yang bakal diterima daripada penganjuran konsert itu, seluruh mahasiswa Islam secara amnya membantahnya.

19 kelongsong peluru di samping Aminurasyid


Harakahdaily
SHAH ALAM, 12 Okt: Seorang saksi kes perbicaraan seorang anggota polis yang didakwa menyebabkan kematian adik Aminulrasyid Amzah, 16 tahun, memberitahu mahkamah, ada 19 kelongsong peluru dijumpai di tempat kejadian.

Kopral Mokhtar Hussein berkata, dia menjumpai kelongsong peluru itu ketika beliau ke tempat kejadian selepas mendapat laporan tembakan ke atas seorang remaja.

Beliau memberikan keterangan sebagai saksi ke atas Kopral Jenain Subi, 48 tahun, yang didakwa menyebabkan kematian ke atas Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, Shah Alam pada awal pagi 26 April lalu.

Jenain boleh dihukum sehingga 30 tahun penjara berikutan dakwaan membunuh tanpa sengaja itu.

Perbicaraan ke atas beliau bermula hari ini di Mahkamah Sesyen Shah Alam di hadapan hakim Latifah Mohd Tahar. Jenain diwakili oleh Salim Bashir manakala peguam Karpal Singh menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga Aminulrasyid.

15 saksi dijangka akan dipanggil bagi memberikan keterangan dalam kes yang mendapat perhatian pelbagai pihak ini.

Pada awal pagi 26 April lalu, Aminulrasyid mati tertembak apabila sebutir peluru menembusi kepalanya dari belakang.

Aminurasyid memandu kereta yang dimiliki kakaknya. Turut serta dalam kereta itu adalah rakannya, Azamuddin Omar, 15,  yang juga seorang remaja di bawah umur.

Saksi pertama yang memberikan keterangan hari ini adalah lans kopral Mohd Sabri Salleh, 30 yang bertugas pada hari kejadian itu.

Dia memberikan keterangan bahawa pada jam kira-kira 1.45 pagi, dia menerima panggilan dari kereta peronda untuk membantu menghentikan sebuah kereta Proton Iswara berwarna puteh yang dipandu laju dan tidak berhenti apabila diminta berbuat demikian oleh polis.

Saksi kedua adalah penyiasat lans kopral Ahmad Zamzani Abd Wahab, 25. Dia dipanggil untuk mengambil gambar tempat kejadian dan mendapati tayar belakang kereta yang dipandu Aminurasyid itu pancit.

Menteri puji PAS jumpa pembangkang Indonesia


Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 12 Okt: Usaha ahli Parlimen PAS bertemu dengan pihak pembangkang Indonesia pada September lalu mendapat pujian daripada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman di Dewan Rakyat hari ini.

Anifah yang juga ahli Parlimen Kimanis merakamkan ucapan itu ketika sesi soal jawab lisan hari ini sebagai respons kepada ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa yang memberitahu bahawa pertemuan awal September lalu sebagai usaha menjernihkan hubungan Malaysia-Indonesia (gambar).

“Saya berterima kasih dengan inisiatif yang telah pun dijalankan oleh Yang Berhormat. Dalam jawapan saya tadi, saya mengatakan bahawa setiap lapisan masyarakat termasuk pemimpin politik harus mengambil satu langkah yang boleh memantapkan lagi hubungan dua hala di antara Malaysia dan Indonesia dan saya tidak pernah katakan bahawa hanya ahli Parlimen daripada Barisan Nasional ataupun kerajaan sahaja yangboleh memainkan peranan,” ujarnya.

Beliau juga berharap usaha yang dilakukan PAS itu turut dilakukan oleh ahli Parlimen dan pihak-pihak lain.

“Oleh itu saya mengucapkan ribuan terima kasih atas usaha yang dilakukan oleh Yang Berhormat. Usaha seumpama itu saya menyanjung tinggi dan mudah-mudahan usaha seperti yang dilakukan oleh Yang Berhormat dan rakan-rakan yang lain akan diteruskan kerana ini bagi kepentingan bukan sahaja ahli-ahli Parlimen tetapi juga masyarakat kedua-dua negara,” katanya.

Pada 1 September lalu, Nasharudin yang juga Timbalan Presiden PAS dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian, serta ahli Parlimen Tumpat, Kamaruddin Jaafar mengadakan pertemuan dengan anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Reike Diah Pitalokal dan beberapa wakil pembangkang Indonesia yang lain

Pertemuan itu bagi membincangkan isu utama berhubung hak asasi manusia melibatkan pendatang dari Indonesia.

Dalam pertemuan di bangunan Parlimen itu, pihak pembangkang Malaysia dan Indonesia sepakat untuk meneruskan dan memperbaiki hubungan baik antara kedua-dua negara.

Nasharuddin juga mengulangi pendirian Kamaruddin dalam pertemuan tersebut bahawa satu kaukus Parlimen mengenai hubungan Malaysia-Indonesia perlu ditubuhkan bagi menyelesaikan isu-isu membabitkan kedua-dua negara ini.

“Kami memandang keperluan menubuhkan satu kaukus hubungan Indonesia dan mlaysia di peringkat Parlimen bukan sahaja kepada pihak pemerintah yang mengambil bahagian tetapi ahli politik atau sesiapa sahaja yang boleh memainkan peranan,” katanya.

Anifah sebelum itu menjawab soalan ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan tindakan yang telah dilakukan bagi menjamin hubungan Malaysia-Indonesia sebagai kerabat Asean sentiasa terpelihara agar peristiwa serangan ke atas Pejabat Kedutaan Malaysia di Jakarta tidak berulang kembali.

Kenapa hanya 14 wanita pertama sertai sidang?


Harakahdaily
KUALA LUMPUR,  12 Okt: Mengapa hanya 14 negara dan hanya dari negara-negara Afrika sahaja  menghantar wanita pertama mereka ke persidangan pertama Wanita Pertama Dunia menjadi tanda tanya.

Bagi Speaker Dun Selangor, Teng Chan Kim, jawapannya hanya satu sahaja iaitu tuan rumah sidang ini bukannya wanita pertama Malaysia iaitu Raja Permaisuri Agung.

“Kecuali Laos, tidak ada negara di Asia yang menghantar Wanita Pertama mereka ke sidang pertama Wanita Pertama. Ia lebih sesuai di namakan Sidang Wanita Pertama Afrika,” kata Teng Chang Kim.

Sidang pertama ini dianjurkan oleh isteri perdana menteri, Datin Seri Dr Rosmah Mansur. Sebelum ini, Rosmah menimbulkan kekeliruan apabila menyiarkan iklan bernilai RM1.5 juta di akhbar The New York Times di Amerika dan menamakan beliau sebagai wanita pertama Malaysia.

Ekoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib terpaksa membuat penjelasan di Parlimen dan mempertahankan gelaran untuk isteri beliau itu.

Persidangan Wanita Pertama yang bermula hari ini di hotel Palace of The Golden Horses disertai 14 wanita pertama iaitu kira-kira 7.3 peratus dari 192 negara di dunia. Ia turut dihadiri enam perwakilan wanita pertama dan 20 menteri.

Antara negara yang menghantar wanita pertama mereka adalah Albania, Congo, Gambia, Ghana, Jamaica, Kiribati, Laos, Mali, Mauritius, Mozambique, Nigeria, Paraguay, Seychelles, Sierra Leone, Sri Lanka dan Zambia.

Sidang hari ini bermula dengan ucaptama oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Perbincangan panel membabitkan lima wanita pertama yang terdiri daripada Ernestina Naadu Mills dari Ghana, Lorna Golding dari Jamaica, Nyama Koroma dari Sierra Leone, Mercedes Lugo De Maidana dari Paraguay dan Thandiwe Banda dari Zambia.

Jangan percaya rayuan Najib, tolak Umno BN


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 12 Okt: PAS menyeru rakyat Malaysia jangan terima rayuan Datuk Seri Najib Razak supaya rakyat memberi mandat kepada Umno BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Sebaliknya, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyeru rakyat menggemblengkan tenaga untuk menolak kerajaan Umno BN.

“Ini kerana sudah cukuplah setengah abad, kehidupan rakyat semakin tenat dengan tekanan hidup yang memuncak,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Najib mengajak rakyat berkongsi impiannya untuk menjadikan Malaysia negara kelas pertama bertaraf dunia pada abad ke-21.

Kata Najib, kerajaan serius dengan inisiatif transformasi seperti Model Baru Ekonomi, Pelan Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10 dan semua ini tidak berguna tanpa mendapat sokongan rakyat.

Bagi Idris, indeks pengguna semakin menekan rakyat terutama yang berpendapatan rendah yang tidak sepatutnya berlaku jika kerajaan Umno BN jujur dan amanah dalam mentadbir negara.

Menurutnya, pemimpin Umno BN pada hari ini merasa tidak berdosa dengan pengkhianatan amanah yang diberikan kepada mereka.

Sepatutnya, kata beliau pemimpin Umno BN merasa malu kenapa negara jiran seperti Singapura walaupun tidak mempunyai khazanah alam tetapi mampu memacu ekonomi setaraf dengan negara maju.

Rakyat perlu bangkit menolak BN untuk membentuk kuasa politik baru dengan meninggalkan kerajaan yang ada pada hari ini.

Tarik balik penswastaan Kem Sungai Besi -Umno bn masih lagi menipu rakyat dalam isu perbelanjaan wang rakyat

Konsert: Kerajaan suburkan gejala sosial


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 12 Okt: Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata, amat mendukacitakan apabila gejala sosial semakin membiak, usaha menyuburkannya digiatkan lagi.

Katanya, barah yang ada ditambah lagi dengan racun yang bakal dibawa oleh pemerintah sendiri, iaitu budaya ‘gay’ yang bakal ditonjolkan melalui artis remaja Amerika, Adam Lambert dalam konsert pada 14 Oktober ini di Stadium Putra Bukit Jalil.

“Tidak ada guna membina sekolah untuk remaja hamil yang terlanjur (sekolah harapan), ataupun lawatan ke Belgium untuk mendapatkan sistem pencegahan masalah ini sekiranya dalam masa yang sama budaya negatif ini dibawa masuk,” ujar beliau i dalam blognya.

Tambahnya, seperti sedia maklum, Adam Lambert merupakan penyanyi yang amat tidak bermoral sehinggakan rancangan televisyen Good Morning America terbitan ABC di Amerika Syarikat pun membatalkan penampilannya di udara kerana menolak budaya liar penyanyi gay itu.

“Nampaknya warga Amerika lebih sensitif dalam soal budaya dan sosial sedangkan mereka bukannya sebuah ‘Negara Islam’ seperti Malaysia,” ujarnya sinis.

Baginya, kesan daripada konsert itu akan menjadi suatu wabak dan ikutan remaja Melayu Islam untuk ‘menghalalkan’ budaya yang dilaknat oleh Allah.

“Ambillah iktibar dari sirah kaum Nabi Luth yang akhirnya ditimpakan bala bencana yang dahsyat oleh Allah dan kesannya boleh dilihat hingga hari ini.

“Kerana itu, Allah menyeru untuk kita bermusafir melihat kesan penderhakaan dan pemesongan dari perintah Allah,” ujarnya yang juga Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Justeru, ujar beliau sepatutnya isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pergi melawat tempat-tempat yang diturunkan azab atas kemurkaan Allah itu dan bukannya melawat tempat lain seperti Belgium untuk mendapat formula menangani masalah sosial.

Katanya lagi, lawatan tersebut hanyalah retorik kerana usaha untuk menangani gejala sosial yang tidak serius, ditambah pula dengan konsert Adam Lambert yang akan berlangsung nanti yang pastinya akan menambahkan masalah sosial yang makin parah di kalangan remaja dan anak muda sekarang.

Maka, tegasnya Gamis membantah sekeras-kerasnya konsert yang akan dianjurkan itu dan memohon pihak kerajaan untuk menarik balik permit yang diberikan.

“Jika tidak mampu berbuat demikian, saya syorkan agar mahasiswa dan masyarakat umum memilih kerajaan lain yang berani dan boleh menghalang budaya liar dan jijik ini pada masa akan datang.

“Selamatkan generasi muda kita sebelum terlewat,” ujarnya.

%d bloggers like this: