Bajet PRU 13


Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 15 Okt: Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak petang tadi disifatkan sebagai ‘Bajet Pilihan Raya (PRU) ke-13’ oleh ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Ini kerana bajet yang bertema “Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi” itu memberikan ‘gula-gula’ kepada semua golongan namun tidak membantu mengatasi beban yang ditanggung mereka.

Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa yang juga ditemui di lobi Parlimen pula berkata, bajet yang dibentangkan Najib memerlukan semua pihak bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

“Apa yang dibentangkan ini mungkin tanda PRU akan diadakan lebih awal daripada yang dijangka.

“Namun demikian kita menghargai juga insentif-insentif yang diberikan sebagai gula-gula kepada samada kepada komuniti perniagaan atau rakyat biasa contohnya hal yang berkaitan dengan perbankan Islam dan sebagainyadan juga industri yang ingin diperkembagkan dalam negara kita'” kata beliau yang juga Timbalan Presiden PAS.

Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, secara retoriknya bajet yang dibentangkan menyediakan segala insentif kepada rakyat tetapi

“Bajet ini menunjukkan pilihan raya semakin dekat, mungkin tahun hadapan. Walau bagaimanapun golongan sasar masih lagi tidak tercapai maksud. Mereka tidak mahu menara PNB yang tinggi tapi mahu beban hidup diringankan.

“Ia tidak mencapai matlamat rakyat bawahan. Transformasi ekonomi ini tidak dapat diterjemahkan dengan bajet kepada golongan sasar tapi lebih kepada mega projek yang akan mensasarkan golongan tertentu sahaja,” kata beliau kepada pemberita di luar lobi Parlimen selepas selesai pembentangan bajet.

Sementara itu, ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Umno Barisan Nasional hanya prihatin terhadap rakyat apabila menjelangnya pilihan raya.

“Nampaknya Umno BN hanya prihatin kepada rakyat hanya menjelang pilihan raya.

“Bajet ini nampaknya menjurus kepada pilihan raya. Ada beberapa kemudahan yang ditambah menjelang pilihan raya.

“Tapi isu terbesar yang menyebabkan pelaburan tidak meningkat di negara kita ialah masalah defisit yang tidak ditangani dalam belanjawan .

“Itu menunjukkan belanjawan itu terpaksa berdepan dengan beberapa masalah seperti ekonomi, menjana pertumbuhan dan menarik pelaburan.

“Kemudian satu kelemahan besar kerana masalah rasuah, penyelewengan dan pembaziran tidak disebut. Yang disebut hanya projek mega puluhan bilion ringgit yang akan memberi manfaat lebih besar kepada kroni dan keluarga dan hanya ratusan ringgit kepada rakyat,” kata beliau yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail juga senada dengan ahli Parlimen yang lain bahawa ianya merupakan gula-gula pilihan raya.

“Satu petunjuk yang sangat jelas bahawa pilihan raya sangat dekat. Pertama GST tak jadi dibuat, tol tak dinaikkan, menaikkan elaun kepada pemimpin komuniti yang saya anggap isyarat yang paling jelas kerajaan akan menggubal Parlimen pada bila-bila masa,” katanya yang juga Setiausaha Agung PKR.

Bajet 2011 pinggir Kelantan


Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 15 Okt: Ahli Parlimen Tumpat, Kamaruddin Jaafar melahirkan kekecewaan dengan Bajet 2011 yang dibentang Datuk Seri Najib Razak petang tadi langsung tidak menyentuh peruntukan untuk negeri Kelantan.

“Saya amat kecewa sebagai ahli Parlimen daripada Kelantan, tidak ada apa-apa projek pun yang disebut menyentuh Kelantan sama ada jalan raya, lebuh raya, pangkalan, lapangan terbang ataupun laluan kereta api tak ada satu pun yang memberi nikmat kepada rakyat Kelantan.

“BN tidak mempedulikan Kelantan kerana merasakan seolah-olah mereka tidak mempunyai apa-apa harapan lagi terhadap Kelantan,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad melahirkan kebimbangan dengan cara kerajaan berbelanja yang jelas menunjukkan defisit.

“Saya rasa ini bajet terakhir sebelum pilihan raya. Najib cuba sedapat yang boleh memberikan kemudahan kepada orang kampung, belia, sekolah agama rakyat yang dahulunya ipinggirkan, tidak ketinggalan juga Permata.

“Saya nampak semua diambil kira dan beliau meramalkan defisit RM5.4 bilion. Kalau beginilah cara kerajaan berbelanja dengan tidak memberikan fokus kepada bagaimana langkah-langkah untuk mendapatkan pelaburan asing, saya tidak nampak satu langkah untuk mendapatkan pelaburan asing atau swasta dan membantu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Bajet: ‘Rosmah’ dapat RM111 juta, SAR RM95 juta


Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 15 Okt: Program Permata yang dipopularkan oleh Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada Perdana Menteri turut mendapat manfaat dari Bajet 2011.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan I mengumumkan sebanyak RM111 juta diperuntukkan bagi agenda Permata memperkasa pendidikan awal negara.

Peruntukan itu meliputi projek pembinaan Fasa II Kompleks Sekolah Permata Pintar, membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN) serta membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap.

Peruntukan itu turut meliputi program Permata yang lain seperti Permata Pintar, Seni, Insan dan Remaja.

Walaupun Rosmah tidak mempunyai sebarang jawatan rasmii dalam kerajaan, khususnya Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Pelajaran Malaysia tetapi program Permata yang diuruskannya nampaknya seakan mendapat bajet  ‘istemewa’.

Ini kerana, pertadbiran Najib hanya memperuntukan RM95 juta sebagai bantuan perkapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat (SAR) rendah dan menengah.

Protokol JPM tak nasihat atau Rosmah degil?


Harakahdaily
TEMERLOH, 15 Okt: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mempersoalkan sama ada penggunaan gelaran ‘Wanita Pertama’ oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Sidang Kemuncak Wanita Pertama yang berakhir 13 Oktober yang lalu adalah akibat daripada kealpaan Bahagian Protokol Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk menasihati beliau ataupun disebabkan kedegilan beliau sendiri.

“Rosmah sepatutnya malu untuk menggunakan gelaran ‘First Lady’, kerana umum mengetahui gelaran itu untuk Permaisuri Agong. Namun, walaupun isu ini telah dijelaskan oleh pelbagai pihak namun ianya berterusan berlaku, dan boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan pimpinan asing,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau memberikan komen tersebut sebagai mengulas laporan portal Suara Keadilan yang memetik pakar perlembagaan negara, Prof Dr Abdul Aziz Bari yang mempersoalkan tugas  Bahagian Protokol adalah di bawah JPM yang sepatutnya, pada pandangan beliau menasihatkan Rosmah mengenai penggunaan gelaran ‘First Lady’.

“Sepatutnya bahagian ini menjalankan tanggungjawabnya dan memberi garis panduan kepada isteri Perdana Menteri mengenai isu ini.

“Perlembagaan amat jelas siapa sepatutnya menggunakan gelaran Wanita Pertama iaitu dalam perkara ini Raja Permaisuri Agong,” tegas Dr Abdul Aziz yang juga pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Dr Aziz Bari turut berkata Perkara 32(2) Perlembagaan Persekutuan dalam Bab 1 berkaitan jelas menyatakan hak gelaran Wanita Pertama Malaysia adalah kepunyaan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Perkara 32(2) berbunyi, “Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, dan Isteri Yang di-Pertuan Agong (digelar Raja Permaisuri Agong) hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong”.

“Sehubungan itu pihak istana negara disaran mengeluarkan kenyataan rasmi agar kesilapan ini tidak berterusan dan gelaran ‘First Lady’ tidak digunakan sewenang-wenangnya,” kata Tuan Ibrahim, sambil menambah bahawa tindakan Rosmah dilihat sebagai tidak memahami protokol rasmi dan juga konsep institusi Raja Berperlembagaan.

“Kalau ini berlaku dalam Pakatan Rakyat, kita yakin media perdana akan terus melabelkan kita dengan label pengkhianat,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Muhyiddin: Bajet 2011 bukan bajet pilihan raya

October 15, 2010

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Bajet 2011 sebagai bajet istimewa kerana ia berdasarkan kehendak rakyat dan diyakini mampu memberi faedah maksimum kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Bercakap kepada pemberita selepas selesainya pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini, Muhyiddin berkata bajet tahun ini juga memberi harapan yang cerah ke arah transformasi masa depan negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

“Secara ringkas beberapa pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, bukan sahaja melibatkan masyarakat di bandar tetapi juga di luar bandar, mencakupi sektor-sektor utama, dan kita rasa yakin ini belanjawan rakyat dan faedah maksimum akan diperolehi dengan pelaksanaan yang akan dibuat secara lebih efisien oleh jabatan dan agensi kerajaan.

“Bagi saya ini juga adalah satu petanda bahawa pimpinan Barisan Nasional (BN) prihatan terhadap kehendak semua peringkat masyarakat… ini sesuatu yang kita amat sanjung dan percaya dapat membantu meningkatkan taraf hidup rakyat dan Malaysia mampu menjadi negara maju menjelang 2020,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau yakin banyak pihak yang akan berpuas hati dengan Bajet 2011 kerana ia juga digubal berdasarkan banyak maklum balas yang diambil perhatian oleh Perdana Menteri sendiri dan telah memberi respons cukup memberangsangkan terhadap saranan dan cadangan yang dikemukakan.

Malahan, katanya, strategi empat perkara, iaitu “Mendaya Kembali Pelaburan Swasta”, “Membangunkan Modal Insan”, “Mensejahterakan Hidup Rakyat”, dan “Memperkukuhkan Penyampaian Perkhidmatan Awam” telah merangkumi pelbagai sektor utama yang telah diberi perhatian oleh perdana menteri.

“Oleh itu, saya yakin laluan negara untuk menuju negara berpendapatan tinggi kini lebih jelas… ini asas kukuh yang dibangunkan kerajaan dalam melaksanakan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno menafikan Bajet 2011 sebagai Bajet Pilihan Raya seperti mana dakwaan sesetengah pihak terutamanya parti pembangkang.

“Pengumuman (Bajet 2011) ini bukan untuk tujuan lain kecuali untuk memastikan rakyat dapat hidup dengan lebih selesa… bukan sebab pilihan raya,” katanya.

Mengulas bajet untuk sektor pendidikan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata suntikan peruntukan yang lebih besar kepada Kementerian Pelajaran tahun ini iaitu RM29.3 bilion berbanding RM25.5 bilion, iaitu kenaikan 14.9 peratus berbanding tahun lepas, menunjukkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan pembangunan modal insan. – Bernama

Pembangkang bertegas bajet 2011 bajet pilihan raya

October 15, 2010

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Sungguhpun dinafikan oleh pemimpin kerajaan, namun pihak pembangkang tetap berpendirian bahawa Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini adalah bajet pilihan raya.

Mereka mendakwa pelbagai insentif yang diumumkan termasuk tidak menaikkan kadar tol lebuh raya Utara Selatan (Plus) bagi tempoh lima tahun, pemberian bantuan kewangan khas kepada penjawat awam serta penetapan gaji minimum bertujuan memenangi hati rakyat.

Anggota Parlimen Bachok yang juga Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa mendakwa apa yang dibentangkan itu secara jelas menjurus ke arah pilihan raya.

“Pembentangan bajet ini jelas bahawa ia untuk pilihan raya umum ke-13 akan datang. Jangkaan kami sebelum ini, meletakkan (pilihan raya) daripada bulan enam ke atas, tetapi dari apa yang dibentangkan ini, bagi saya mungkin lebih awal daripada bulan enam,” katanya kepada pemberita.

Namun beliau menyambut baik peruntukan kepada sistem perbankan dan kewangan Islam yang disifatkannya mampu berkembang kukuh untuk tahun hadapan.

Sentimen sama turut disuarakan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa bajet yang dibentangkan Najib tidak menyeluruh dan tidak mencapai matlamatnya dalam membantu rakyat.

“Saya tengok ada kelemahan besar (dalam bajet ini) kerana masalah rasuah, penyelewengan dan pembaziran tidak disebut dan hanya disebut projek-projek mega yang seperti biasa akan memberi manfaat yang lebih besar berbilion kepada kroni dan keluarga, ratus ringgit kepada rakyat,” katanya yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Anwar yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh mendakwa bajet kali ini tidak mempunyai hala tuju yang jelas sebaliknya hanya membentangkan projek-projek gergasi yang akan dilaksanakan dan memberi manfaat kepada golongan tertentu berbanding keperluan rakyat.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata beliau tertarik dengan peruntukkan yang diumumkan oleh kerajaan kepada Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang boleh memperkasakan modal insan di negara ini.

“Cumanya saya tidak nampak macam mana peruntukkan ini digunakan dengan berkesan dan saya berharap kerajaan dapat melaksanakan dengan lebih berkesan strategi yang direncanakan menerusi peruntukan belanjawan hari ini,” katanya yang juga Anggota Parlimen Kepong.

Anggota Bebas dari Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mengalu-alukan cadangan kerajaan untuk memberikan pinjaman 100 peratus kepada golongan eksekutif muda untuk memiliki rumah sendiri yang berharga bawah RM220,000.

Walau bagaimanapun, beliau berharap kerajaan harus mengenakan syarat terhadap pihak pemaju dalam memastikan kuota pemilikan rumah diagih secara adil dan saksama bagi mengelakkan monopoli.

“Sekurang-kurangnya, kerajaan harus memastikan kuota pemilikan rumah dimiliki oleh Bumiputera sebanyak 30 hingga 50 peratus,” katanya. – Bernama

Balasan lupus bukti


SURESH (belakang) dan Sarawanan (depan) dibawa masuk ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting semalam.


 

BANTING – Mahkamah Majistret Telok Datok di sini semalam sunyi seketika apabila dua lelaki yang dihukum penjara tujuh tahun kerana mengaku melupuskan bahan bukti dengan membakar dan membuang abu mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain menyatakan permohonan maaf mereka.

“Saya memohon maaf kepada keluarga mangsa dan masyarakat atas perbuatan saya… saya telah insaf.”

Demikian kata K. Sarawanan, 19, dan U. Suresh, 26, dalam bahasa Tamil sebelum diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh jurubahasa mahkamah sejurus hukuman diputuskan oleh Majistret Hurman Hussain terhadap kedua-dua tertuduh itu.

Dua sahabat itu yang berdiri di kandang pesalah menundukkan kepala seolah-olah kesal dengan perbuatan mereka.

Terdahulu, Hurman menjatuhkan hukuman tersebut terhadap kedua-dua tertuduh selepas mereka mengaku bersalah atas empat tuduhan melupuskan bahan bukti termasuk abu mayat mangsa dan bahan yang digunakan untuk membakar mayat.

Keempat-empat tuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil dan diterjemahkan jurubahasa sebelum mereka kemudian menganggukkan kepala dan mengaku salah.

Sarawanan dan Suresh masing-masing dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun bagi setiap tuduhan yang diarahkan berjalan serentak bermula dari tarikh mereka ditangkap pada awal bulan September lalu.

Hukuman maksimum itu selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan iaitu jika sabit kesalahan dikenakan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Umno-BN Bakal Keruk RM15 Bilion Lagi Duit KWSP, PNB

Oleh Suara Keadilan

kwsp1KUALA LUMPUR 15 Okt – Projek pembangunan berimpak tinggi yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Belanjawan 2011 yang dibentang di Parlimen petang tadi bakal mengguna sebanyak RM15 bilion dana rakyat yang diambil dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Dana KWSP sebanyak RM 10bilion akan diperuntukkan bagi melaksanakan pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh seluas 2,680 ekar.

Antara projek yang akan dilaksanakan melibatkan kediaman mampu milik, perdagangan, industri serta kemudahan prasarana dan ianya  dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2025.

Sementara itu, PNB pula akan menyalurkan dana sebanyak RM5 bilion  untuk membina sebuah menara 100 tingkat, yang tertinggi di Malaysia.

Kata Najib dalam ucapannya, projek tersebut sebagai satu lagi mercu  tanda selepas Menara Berkembar Petronas yang dibina semasa era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Umno-BN Bakal Keruk RM15 Bilion Lagi Duit KWSP, PNB

Bumbung Istana Runtuh ~ Raja Cedera Parah

Oleh: setisab

Kuala Lumpur. 15 Oct. 2013 ~ Bumbung Istana Negara yang baru siap pembinaannya dua tahun lalu runtuh dan menghempap raja yang sedang lena beradu setelah penat bermain golf petang semalam.

Kos pembinaan Istana Negara ini meningkat kepada RM811.2 juta 

Tidak mustahil berita ini akan menjadi tajuk utama akhbar jika kerajaan Umno/BN terus dibiarkan mentadbir negara. Ke manakah perginya pahlawan Melayu, kenapakah membisu atau dia turut bersekongkol dalam pengkhianatan ini?

Datuk Seri Najib Razak diminta menjelaskan skandal pembinaan Istana Negara yang baru apabila projek bernilai RM950 juta itu diserahkan kepada Syarikat Maya Maju (M) Sdn Bhd.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarikat misteri itu dilantik sebagai kontraktor utama pada 26 Oktober tiga tahun lalu.

Walhal, katanya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SMM) mengesahkan syarikat misteri itu telah mati atau tidak aktif ketika proses penyerahan tender dibuat oleh kerajaan Pusat.

Kenyataan Akhbar DSAI pada Khamis 14 Okt 2010

SKANDAL PROJEK PEMBINAAN ISTANA NEGARA

Kontrakor utama – MAYA MAJU (M) SDN BHD

A. KONTRAK

1. Cadangan kos pembinaan yang ditawarkan oleh Maya Maju (M) Sdn Bhd di bawah konsep penswastaan ialah – RM 394,803,200.00

2. Harga yang di tawarkan oleh JKR secara rundingan terus – RM 649,995,507.51

3. Letter of Intent di keluarkan pada – 30 Mei 2006

4. Kontrak di tawarkan pada – 26 Oktober 2007

5. Jangkaan tarikh siap asal – 29 November 2010 dipinda ke Februari 2011

6.. Kos meningkat kepada RM811.2 juta apabila kerja tambahan pembinaan flyover yang menyambung Jalan Duta ke Istana Negara dan kerja “upgrading” di Jalan Changkat Semantan yang diberi kepada Syarikat Ahmad Zaki.

B. PERIHAL SYARIKAT

Semasa kontrak ditawarkan syarikat ini di takrif sebagai “DORMANT” oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Ini bermakna syarikat ini tidak menjalankan apa-apa kegiatan perniagaan, tidak mempunyai ‘track record” dan pengalaman dalam pembangunan dan pembinaan.

Hanya didaftarkan sebagai syarikat pembinaan pada Ogos 2008 setelah mendapat kontrak pembinaan Istana Negara pada Oktober 2007.

Syarikat dikuasai oleh Dato Hj. Man bin Mat. Bekas Bendahari UMNO Merbok.

C. TIDAK BERDAFTAR DENGAN CIDB DAN TIDAK ADA LESEN PKK


1.Syarikat ini tidak mempunyai lesen “PKK” yang wajib untuk dipertimbang kontrak dari JKR.

2. Syarikat ini juga tidak berdaftar dengan “CIDB” sebagai syarat wajib kepada semua kontraktor pembinaan.

Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 menjelaskan

Bahagian VI

Pendaftaran Kontraktor

25. (1) Tiada seorang pun boleh mengaku janji untuk menjalankan dan menyiapkan apa-apa kerja pembinaan melainkan jika dia berdaftar dengan Lembaga dan memegang suatu Perakuan pendaftaran yang sah yang di keluarkan oleh Lembaga

Atau bahasa Inggeris

Part VI

Registration of Contractors

25. (1) No person shall undertake to carry out and complete any construction works unless he is registered with the Lembaga and holds a valid certificate of registration issued by the Lembaga.

D. ADA DUA SYARIKAT YANG MEMPUNYAI NAMA SAMA

MAYA MAJU (M) SDN BHD – Kontraktor Istana Negara
MAYA MAJU SDN BHD

– Kedua syarikat ini tidak ada kaitan langsung dan di kuasai oleh orang yang berlainan.

– Semua pengumuman oleh kerajaan baik dari Menteri Kerja Raya, media maupun portal kerajaan menyebut hanya Maya Maju Sdn Bhd.

– Begitu dengan permasaalahan dan tindakan undang-undang yang diambil terhadap kontraktor pembinaan Istana Negara menyebut Maya Maju Sdn Bhd

– Ini menjejaskan imej, prestasi dan persepsi syarikat Maya Maju Sdn Bhd.

– Pada 23 Januari 2009, satu Perintah Injunksi telah dikenakan terhadap MAYA MAJU (M) SDN BHD dan pengarah2 nya daripada menggunakan nama “Maya Maju”. Walaubagaimanapun Mahkamah Rayuan “overrule” keputusan ini.

F. MASAALAH-MASAALAH LAIN.

1. Pada 18 Disember 2008, pihak Abd Mohd Rejab/JR Design Works keluarkan notis menggulung/winding-up MAYA MAJU (M) SDN BHD atas kegagalan membayar fees kerja rekabentuk artitek,

2. Dalam akhbar The Star 27 Jun 2010 di laporkan ramai buruh asing digunakan untuk bina Istana Negara Baru tetapi TIDAK DIBAYAR UPAH.

3. Pada 6 July 2010 SUHAKAM dilarang masuk tapak pembinaan Istana Negara Baru ketika cuba menyiasat dakwaan pekerja asing dilayan dengan teruk dan ada juga dikatakan tidak menerima gaji bagi tempoh 3 bulan

Empat pemimpin JMM ditahan polis -video

%d bloggers like this: