Demonstrasi Aman Membantah Penganjuran Pertunjukan Fesyen (Busana Islam: Asri, Pemuda PAS gesa penganjur termasuk isteri PM minta maaf)

October 22, 2010
 

Rosmah Mansor tertarik melihat rekaan pakaian yang dipamerkan oleh pereka fesyen pada Festival Fesyen Dunia Melayu Dunia Islam 2010 di Melaka 9 Oktober lalu, tetapi ia tidak menimbulkan kontroversi. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 22 Okt — Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Pemuda PAS menggesa umat Islam yang terlibat dalam penganjuran Festival Busana Islam (IFF) di Monte Carlo Ogos lalu, termasuk isteri Perdana Menteri yang dipertikaikan Pakatan Rakyat dan NGO Islam, agar memohon maaf kepada umum.

Bekas mufti Perlis itu juga meminta agar mengisytiharkan program itu yang didakwa menghina Islam sebenarnya bukanlah ‘Islamik’.

Sehubungan itu beliau menegaskan, adalah bahaya untuk isteri pemimpin utama terlibat dengan hal-hal yang seperti itu.

Pemuda PAS pula mendakwa IFF yang dianjurkan itu sama tarafnya dengan festival fesyen di barat, bahkan mungkin lebih teruk lagi.

Dengan wanita-wanita yang berpakaian seksi sudah tentu imej Malaysia tercalar, kata sayap muda PAS itu dalam kenyataan berasingan.

Pada 9 Oktober lalu, Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung IFF merasmikan satu Festival Fesyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) 2010 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Melaka, Melaka.

Dalam capannya, Rosmah berkata, usaha lebih gigih perlu dilakukan oleh pereka fesyen dan usahawan busana Muslim di rantau ini bagi memperkembangkan lagi industri fesyen dengan bertunjangkan kepada kreativiti dan inovasi.

Bagaimanapun Pemuda PAS dan beberapa NGO mempertikaikan majlis Ogos lalu.

Menurut Asri, penganjuran itu akan memberi mesej Islam salah kepada dunia, apatah lagi Malaysia dianggap salah sebuah negara Islam yang penting.

“Kepimpinan negara akan rosak jika isteri-isteri pemimpin utama ini cuba menonjolkan diri sehingga tidak teliti dan tidak lagi memikir buruk baik sesuatu tindakan.

“Perbuatan seperti ini akan merosakkan kepimpinan sesebuah negara yang majoritinya Muslim,” kata beliau yang kini berada di Qatar dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Justeru, Asri beliau mencadangkan kepada mereka yang berminat menganjurkan pertunjukan ‘fesyen Islamik’ mewujudkan penasihat syariah terlebih dahulu.

“Mereka boleh menjemput ilmuwan yang lebih terbuka dan fleksibel tetapi mengikut prinsip-prinsip umum syarak,” kata beliau.

Asri memberitahu berdasarkan apa yang ditonjol, jelas bahawa mengaitkan fesyen-fesyen tersebut dengan Islam adalah satu penghinaan.

“Sama sekali ia tidak Islamik. Penganjur amat salah jika menyangka ‘Islamic design’ dan ‘Islamic fashion’ hanya berkaitan dengan penonjolan tulisan yang berunsur Islamik tanpa memahami soal etika dan hukum-hakam syarak.

“IFF boleh memberikan gambaran salah yang serius mengenai pakaian dalam Islam. Ia juga melambang kecelaruan fikiran mereka yang terlibat.

“Islam tidak menghalang fesyen untuk wanita, tetapi mesti dengan prinsip dan etika yang tersendiri,” kata beliau.

Asri juga menambah, penganjuran fesyen pakaian itu tidak salah, tetapi konsep dan pengisiannya IFF itu salah disebabkan tidak memahami prinsip dan etika dalam hal ini.

Asri mengeluarkan kenyataan ketika Dewan Pemuda PAS bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan mengadakan Perhimpunan Aman Membantah Festival Busana Islam (IFF) di beberapa bahagian di Semenanjung

Bagaimanapun Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan membatalkan tindakan mereka yang sepatutnya diadakan di pekarangan Masjid Kampung Baru di sini selepas solat Jumaat tadi.

Sebaliknnya, Dewan Pemuda Wilayah berrcadang mengambil pendekatan lain selain perhimpunan, kata Ketua Penerangannya Fadhil Osman dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun perhimpunan aman diteruskan di negeri-negeri lain iaitu di Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan dan Melaka.

 

Demonstrasi anjuran Dewan Pemuda PAS di pekarangan Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu hari ini.

Baru-baru ini, Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) melahirkan rasa kesal dengan penglibatan Rosmah sebagai penaung kepada IFF.

ILMAM menyeru kepada seluruh umat Islam membantah dan mencela IFF.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Fadhil Osman berkata, pihaknya merasa kecewa kerana penganjur langsung tidak menjaga sensitiviti agama Islam khususnya penganut agama Islam.

“Kalaulah niat dan tujuannya untuk menonjolkan syiar dan syariat Islam, mengapa perlu peraga-peraga fesyen memakai pakaian yang menjolok mata.

“Sedangkan Islam secara tegas menjaga persoalan aurat umatnya khususnya golongan wanita.

“Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mempersoalkan, apakah nilai Islam yang hendak ditonjolkan hasil dari IFF itu,” kata beliau.

Beliau menambah apakah mesej yang hendak disampaikan khususnya kepada golongan anak-anak muda di Malaysia selain memberi kesan negatif terhadap gejala sosial yang semakin parah.

“Lebih dikesalkan lagi, ada model yang memakai baju yang bertulis nama Rasulullah SAW dalam keadaan terbalik dan diletakkan di dada wanita yang tidak menutup aurat.

“Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan merasakan ada tujuan dari pihak tertentu yang mahu menghina Rasulullah SAW dan agama Islam itu sendiri.

“Lebih menyedihkan, ia dilakukan di dalam negara umat Islam seperti Malaysia dan direstui oleh isteri Perdana Menteri sendiri,” kata Fadhil lagi.

Kata beliau, pihaknya meminta penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom berhubung penganjuran festival ini.

“Dewan Pemuda PAS Wilayah juga mendesak Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung festival ini bertanggungjawab dan meminta maaf kepada semua umat Islam di Malaysia di atas penganjuran festival maksiat ini.

“DPPWP juga memberi amaran kepada pihak kerajaan khususnya yang menjaga hal ehwal umat Islam agar perkara sebegini tidak berlaku di masa-masa akan datang,” katanya.

Pemimpin BN Mati Pun Rakyat Kena Bayar -Ceramah Anwar Sambutan 20 Tahun Kelantan Membangun Bersama Islam

Jentera PAS turun dengan ‘underdog’ di Galas

Analisa Berita Zulkifli Sulong
GUA MUSANG, 22 Okt: Walaupun dilihat mendahului BN, namun jentera pilihan raya PAS di Galas meletakkan diri mereka underdog (di belakang) dalam gerak kerja pilihan raya kecil ini.

“Kalau di Manik Urai undi popular kita merosot 6 peratus dalam pilihan raya kecil berbanding undi kita dalam pilihanraya umum, maka di Galas kita meletakkan kita ketinggalan 6 peratus juga iaitu dari menang dengan 54 peratus dalam pilihan raya umum kepada kalah iaitu 48 peratus sahaja sekarang,” kata Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (gambar), Penasihat jentera pilihan raya PAS di Galas.

Sikap ini diambil oleh jentara plihan raya PAS berdasarkan pengalaman Pakatan menghadapi dua pilihan raya penting yang memberikan banyak pengajaran kepada PAS.

“Semasa di Manik Urai, kita ambil pendekatan bertahan kerana kita sudah menang. Terbukti, ia merugikan kita sehingga kita hampir kalah. Berbanding dengan jentera Pakatan di Sibu yang meletakkan kita kalah. Kita berusaha sehinggalah kita menang di sana,” kata Wan Rahim yang merupakan penasihat jentera pilihan raya itu.

Wan Rahim, anggota Parlimen Kota Bharu pernah bertanding melawan Tengku Razaleigh Hamzah di Parlimen Gua Musang dan dia kalah. Dia juga pernah menjadi Yang Dipertua PAS Gua Musang sebelum ini.

Kalau dilihat dari mata kasar, PAS  nampaknya terus mendahului Umno dalam kempen pilihan raya kecil Dun Galas apabila melancar jentera pilihan rayanya 19 Oktober lalu.

Umno masih lagi tenggelam dalam kemelut dalaman apabila difahamkan wujud dua kem utama dalam Umno Gua Musang iaitu kem bekas Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh dengan kem Umno asal yang dipimpin Saufi Deraman yang mendapat sokongan padu Wanita dan Pemuda Bahagian.

Kehadiran ribuan penduduk tempatan dalam majlis pelancaran itu memberi satu isyarat Dun Galas seakan-akan sukar digugat Umno biar pun mempertaruhkan  Tengku Razaleigh sebagai pengarah jentera pilihan raya BN di Galas.

Di antara ribuan yang hadir dengan bersesak-sesak di hadapan Markas Besar PAS Dun Galas adalah masyarakat bukan Islam termasuk orang Cina dan India.

Situasi itu kelihatan berlainan berbanding dengan pilihan raya kecil Dun Manek Urai pada Julai tahun lepas kerana tiada ragam kaum yang hadir pada pelancaran jentera pilihan raya PAS.

Pilihan raya umum 2008

Dalam pilihan raya umum 2008 lalu, calon PAS, Dr Zulkefli Muhamad mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah sebanyak 317 undi untuk Dun Galas dalam pertembungan mereka untuk merebut kerusi Parlimen Gua Musang.

Namun Ku Li memenangi kerusi itu selepas menang lebih besar di dua Dun lagi iaitu Paloh dan Nenggiri yang juga terletak di bawah Parlimen Gua Musang.

Menurut kajian sebuah badan bebas, pengaruh peribadi Ku Li hanya 30 peratus sahaja di Gua Musang. Selebihnya adalah sokongan daripada Umno. Jika Ku Li bukan calon dalam pilihan raya ini, bermakna pengaruh peribadi itu akan hilang.

Seramai 11,553 pemilih layak mengundi dalam pilihan raya ini dengan Melayu berjumlah 7,123 atau 61.67 peratus dari jumlah pemilih itu. Cina 2317 (20.06 peratus), Orang Asli 1,889 (16.35 peratus) manakala India 185 (1.6 peratus).

Kubu utama PAS dalam pilihan raya ini adalah daerah mengundi Sungai Terah yang mempunyai pemilih seramai 1,912. Dalam pilihan raya umum lalu, 68.45 peratus telah mengundi Dr Zulkifli (undi Parlimen) dan 68.56 peratus mengundi Che Hashim Sulaima untuk undi peringkat Dun Galas.

Kekuatan PAS terletak di Lembaga Kemajuan Tanah Sungai Terah yang mempunyai 1,380 pengundi. Mereka adalah peneroka asal yang dihantar oleh kerajaan negeri pimpinan Datuk Asri Muda untuk membuka tanah kawasan itu.

Daerah mengundi yang paling ramai adalah Kampung Bharu yang 52.60 atau 1131 pengundinya adalah kaum Cina. Selebihnya iaitu 999 pengundi atau 46.47 peratus  adalah Melayu.

Dalam pilihan raya lalu, 52.41 peratus memberikan undi kepada Dr Zul (Parlimen melawan Ku Li) manakala 55.91 peratus memberikan undi kepada Che Hashim.

Dalam pilihan raya umum lalu juga, PAS hanya kalah di Kampung Pulai yang mempunyai pemilih seramai 471 di mana 83.86 peratus atau 395 orang adalah pengundi Cina.

Namun menurut Nasir Daud, Penyelaras Operasi bilik gerakan PAS di Galas, isu yang melanda pengundi kawasan ini sudah dikenalpasti. Beliau yakin, pengundi Cina kawasan ini akan kembali kepada PAS dalam pilihan raya kecil ini.

Keutamaan pengundi

Dengan data-data inilah, jentera PAS yang disokong Pakatan Rakyat dan jentera Umno yang disokong BN akan berebut pengaruh dalam pilihan raya ini.

Namun, isu utama yang menjadi pengkiraan pengundi kawasan ini tetap kepada apa yang mereka untung atau rugi jika mengundi BN dan apa yang mereka untung atau rugi jika mengundi PAS.

Yang pasti, jika mereka memilih PAS, penduduk kawasan ini termasuk Gua Musang keseluruhannya akan mendapat seorang wakil yang boleh menghubungkan mereka dengan kerajaan negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS. Tanpa wakil PAS bermakna, mereka terputus hubungan dengan kerajaan negeri. Urusan paling penting bagi penduduk di sini adalah hak dan pemilikan tanah. Ia adalah bidang kuasa kerajaan negeri.

Jika mereka memilih calon BN, ia hanya menambahkan seorang sahaja lagi wakil mereka kerana BN sudah ada anggota Parlimen di situ dan dua Adun lagi iaitu Paloh dan Nenggiri sudah Adun BN. Ketiga-tiganya sudah lebih dari cukup untuk mewakili mereka dalam berurusan dengan kerajaan Pusat.

GMUKM persoal kredibiliti pentadbiran UKM

Harakahdaily
BANGI, 22 Okt: Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) berpandangan isu penglibatan dua orang siswa UKM dalam Perhimpunan Agung Umno di PWTC sebagai suatu perkara yang harus dipandang serius oleh semua pihak khususnya pentadbiran universiti.

Pengerusinya, Mohd Hafiz Abdul Razak berkata, siswa tersebut dipercayai daripada Fakulti Pengajian Islam serta Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina UKM didapati telah mengambil bahagian dalam perbarisan perasmian Perhimpunan Agung Umno yang kini sedang berlangsung.

“Kami di peringkat Gabungan Mahasiswa UKM berpendirian bahawa pihak pentadbiran UKM harus menjalankan siasatan secepat mungkin demi menjawab segala persoalan yang timbul tentang isu ini,” ujarnya.

Tambahnya, pihak pentadbiran UKM perlu membuat penjelasan bagaimana sebuah universiti yang sepatutnya bersifat non-partisan tetapi bertindak pihak tertentu mempergunakan siswa dalam program parti politik mereka.

Selain itu, ujarnya, pihak pentadbiran universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu memberi penjelasan sama ada mahasiswa tersebut akan diambil tindakan sama seperti kes UKM4 yang didakwa di bawah Auku.

GMUKM juga, katanya menggesa pihak Kementerian Pengajian Tinggi khususnya Datuk Seri Khaled Nordin mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dengan kes itu.

“Pihak Kementerian Pengajian Tinggi perlu menubuhkan suruhanjaya siasatan khas untuk menyiasat dakwaan bahawa ada kakitangan pentadbiran UKM terang-terangan pernah menyatakan sokongan terhadap sebuah parti politik dalam sebuah majlis rasmi di UKM,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, GMUKM turut bersimpati dengan nasib kedua orang siswa itu yang jelas dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu atas kepentingan agenda politik mereka.

Tambahnya, kedua orang siswa tersebut tidak harus diarahkan ke program tersebut atas kapasiti badan beruniform yang dianggotai mereka kerana ia dilihat mencabuli etika disiplin badan beruniform tersebut yang seharusnya bersifat non-partisan.

“Justeru di sini GMUKM berpendirian tegas bahawa mahasiswa tidak wajar dijadikan alat parti politik kerana mahasiswa itu ada idealismenya tersendiri dan seharusnya bebas daripada cengkaman mana-mana parti politik,” katanya lagi.

GMUKM juga, ujarnya amat berharap kampus UKM akan sentiasa mengekalkan identiti universiti itu sendiri sebagai pusat ilmu yang unggul.

Galas: Pengalaman lebih dua tahun beri kelebihan

Muhammad Yusri Amin
GUA MUSANG, 22 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kemenangan PAS di Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu adalah platfom baik buat PAS dalam menghadapi semula PRK itu 4 November nanti.

Menurutnya, kemenangan lalu itu memberikan kelebihan pada PAS untuk lebih mengenali masyarakat di kawasan itu dan tahu selok belok permasalahan mereka.

Kelebihan itu penting katanya, kerana PAS bukan saja berdepan dengan Umno-Barisan Nasional (BN) tetapi juga berdepan dengan jentera Kerajaan Persekutuan.

“Tidak syak lagi mereka itu menggunakan jentera-jentera kerajaan.

“Oleh sebab itu kita terpaksa bekerja lebih kuat,” katanya kepada media selepas majlis perisytiharan calon malam tadi.

PAS meletakkan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad sebagai calon mereka.

Perisytiharan calon itu dibuat sempena ceramah sambutan 20 tahun Membangun Bersama Islam Kerajaan Kelantan di bawah pemerintahan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz.

Selain Mursyidul Am PAS, turut hadir Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham dan kepimpinan Pakatan Rakyat lain.

“Umno sudah tidak ada kelebihan, berada pada peringkat bertahan dan itu faktor untuk Umno yang bersifat ‘basuh tangan’ terhadap kesilapan-kesilapan yang mereka lakukan selama ini.

“Mengenai isu-isu yang  dibawa PAS pada PRK Galas, itu terpulang kepada ‘gendang yang dipalu’ Umno-BN, namun kita tidak terikat dengan gendang mereka,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa  tidak nampak pengundi di Dun Galas akan terpengaruh dengan isu-isu yang dimainkan Umno-BN.

“Bahkan isu yang ditonjolkan Umno BN  itu akan memberi kesan yang negatif kepada mereka sendiri, ini kerana mereka mengulangi kesilapan-kesilapan yang lama di samping mendepani masalah yang belum dapat diselesaikan,” katanya.

Festival busana: Mana dia ulama muda Umno

Mohd Sabri Said
PERMATANG PAUH, 22 Okt: “Di mana perginya 40 ulama muda Umno dan mana dia mufti yang selalu tangkas mengeluarkan kenyataan bila berlaku sesuatu peristiwa yang menyebelahi Umno,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam perhimpunan aman di hadapan Masjid Jamek Permatang Janggus selepas solat fardhu Jumaat tadi.

Seramai 200 orang jemaah mengadakan bantahan secara aman terhadap Festival Busana Muslim yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur dan bakal diadakan lagi pada bulan depan.

Tegasnya, Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang mengecam sekeras-kerasnya tindakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan penaung festival berkenaan kerana sanggup menggadai agama Islam semata-mata untuk mendapatkan publisiti.

“Kenapa ulama muda dalam Umno dan mufti di negeri-negeri membisu tanpa mengeluarkan sesuatu kenyataan yang membela Islam dan mendesak Rosmah Mansor memohon maaf pada umat Islam di dunia atau khasnya di Malaysia,” ujarnya.

Katanya, Rosmah yang juga mendapat gelaran baru ‘First Lady’ tidak wajar bertindak membelakangkan para agamawan disebabkan mahu namanya berada di kemuncak.

“Jelas isteri Datuk Seri Najib menghina Islam menerusi penganjuran festival yang berselindung di belakang nama Islamik tetapi fesyen yang diperagakan tidak sesuai dengan Islam bahkan Rosmah sendiri tidak mengenakan pakaian yang sesuai dengan tema ketika merasmikan program tersebut,” katanya.

Di Pulau Pinang, dua masjid dijadikan lokasi bantahan berkenaan iaitu di Masjid Jamek Hashim Yahya, Jelutong dan Masjid Jamek Permatang Janggus bagi zon Seberang Perai.

Gugur kes liwat Anwar jika mahu tarik pelabur

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 22 Okt: Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar mencadangkan dakwaan liwat ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan demi memulihkan semula persepsi pelabur asing pada prospek ekonomi negara.

Beliau berkata demikian sebagai mempertegas pandangan Richard Branson, jutawan dan pengasas Kumpulan Virgin pada hujung bulan lalu di Program Tranformasi 10 Tahun Ekonomi Malaysia, ibu negara.

“Dalam satu majlis rasmi kerajaan Malaysia, yang dituanrumahkan Mida (Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia), yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak; Richard Branson sebagai pengucap utama telah mengatakan bahawa nama Malaysia menjadi buruk disebabkan kes liwat ini.

“Dia (Richard Branson) kata kes ini menjadi penghalang pada pelaburan asing dan gugurkan saja kes ini dari mahkamah,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, penegasan Richard itu sekaligus memberi isyarat bahawa dakwaan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir kononnya politik pihak pembangkang sebagai punca pelabur asing lari dari Malaysia adalah dakwaan yang tidak berasas.

Dalam nada yang sinikal, AJK PAS Pusat itu turut mencadangkan Mukhriz menuduh Richard sebagai agen terbaru yang diupah oleh pembangkang untuk memburuk-burukkan prospek pelaburan di tanah air.

“Richard Branson takkan pemimpin pembangkang di Malaysia, Richard Branson takkan pembangkang yang bayar,” ujarnya sambil tersenyum.

“Dia (Richard) seorang jutawan antarabangsa, dia bercakap bebas sudah tentu demi kepentingan dan prospek multi perdagangannya.”

Beliau turut menafikan laporan berita media arus perdana, kononnya tindakan Anwar berpidato di Parlimen Republik Indonesia pada 12 Oktober lalu mengakibatkan pelabur asing meninggalkan negara.

“Pemimpin Umno lupa bahawa pemimpin pembangkang cakap begitu juga di dalam negara, tapi media arus perdana tidak bawa (melaporkannya).

“Apabila kita bercakap di luar negara, di Jakarta seperti baru-baru ini, media mereka bebas (dan) media mereka melaporkan apa yang kita cakap, maka jadilah beritanya,” ujarnya lagi.

Channel News Asia pada 28 September melaporkan, Branson mendesak pentadbiran Najib menggugurkan kes itu kerana secara fundamentalnya adalah salah.

“Saya harap kes ini dapat digugurkan. Kes ini secara fundamentalnya salah dan tidak membuatkan Malaysia dilihat baik dalam peta dunia,” ujarnya.

Umno’s ‘cheap shot’ at animal rights ruffles feathers

PKR masih letak harapan runding di Batu Sapi

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 22 Okt: Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali masih memberikan harapan untuk membolehkan pertandingan satu lawan satu pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

Bagi beliau, pertandingan tiga penjuru di Batu Sapi antara calon Pakatan dari PKR, SAPP dan PBS dari BN sesuatu yang tidak baik.

“Sayang tak dapat elak tiga penjuru di Batu Sapi,” kata Syed Husin dalam twitternya.

Namun begitu, beliau tetap menaruh harapan agar berlaku pertandingan dua penjuru sahaja di Batu Sapi.

“Masih ada masa runding dan elak (tiga penjuru),” tulis beliau dalam twitternya.

Ekoran itu, beliau berkata, suasana lebih baik kelihatan di Galas berbanding Batu Sapi.

Baru-baru ini, Pakatan Rakyat mengumumkan calon dari PKR akan diletakkan untuk bertanding dalam pilihan raya Batu Sapi itu.

Pengumuman itu dibuat selepas Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menyerahkan Pakatan Rakyat Sabah membuat rundingan bagi menentukan calon mereka di Batu Sapi.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu, PAS juga berminat untuk bertanding di Batu Sapi kerana 61 peratus pengundinya adalah beragama Islam.

Bagaimanapun, pilihan raya kecil Batu Sapi dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PKR dan SAPP apabila usaha mencari jalan penyelesaian antara kedua-dua parti pembangkang itu menemui jalan buntu semalam.

Bagaimanapun, PKR dan SAPP bersetuju untuk tidak berkempen menentang satu sama lain dan menjadikan BN sebagai sasaran bersama dengan harapan pilihan raya kecil itu boleh dijadikan “sumber rujukan” oleh mereka apabila mengadakan rundingan pada masa akan datang.

SAPP akan mengumumkan calonnya Sabtu ini, manakala Leong sekadar berkata PKR akan mengumumkan calonnya “sedikit masa lagi”.

BN akan mengumumkan calonnya daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) Ahad ini.

Mesyuarat peringkat tertinggi lebih sejam semalam diadakan oleh kedua-dua parti itu dengan bendahari PKR mewakili Pakatan Rakyat manakala SAPP pula diketuai oleh presidennya, Datuk Yong Teck Lee.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan penamaan calon pada Selasa ini manakala pengundian adalah pada 4 November ini.

Kerusi Batu Sapi kosong, berikutan kematian ahli parlimennya, Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, minggu lalu.

Mendiang menduduki kerusi berkenaan sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenanginya tanpa bertanding manakala pada pilihan raya umum 2008 mengalahkan calon bebas.

Pemuda PAS yakin Zulkefli mampu galas amanah

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 22 Okt: Dewan Pemuda PAS Pusat menyokong penuh calon pilihan PAS yang mewakili Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas, Dr Zulkefli Mohamad yang diumum malam tadi.

Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, pemuda PAS yakin Dr Zulkefli mampu menggalas amanah tersebut dengan jayanya dengan bantuan seluruh jentera parti pelbagai peringkat.

Ini kerana Dr Zulkefli mempunyai pengalaman luas dengan politik di Galas apabila pernah bertanding dalam pilihan raya umum 2004 di Dun Galas dan pilihan raya umum 2008 bagi Parlimen Gua Musang.

“DPPP sokong penuh calon PAS yang diumum oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz semalam bagi mewakili PR di Dun Galas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengerahkan seluruh jentera pemuda turun ke Galas bagi membantu memenangkan calon PAS tersebut.

Bagaimanapun katanya, pemuda PAS dinasihatkan agar berhati-hati dan tidak terpengaruh provokasi pihak lawan.

“Pemuda PAS perlu turun ke Galas dengan akhlak yang tinggi, semangat juang yang tabah serta elak diri dari terjebak dengan sebarang provokasi,” tambahnya lagi.

Beliau juga optimis PAS mampu mengekalkan kerusi Dun tersebut jika jentera menjalankan tanggungjawab sebaiknya dan ikhlas dalam perjuangan.

“Perjuangan Islam pasti menang apabila Allah redha. Allah hanya redha pada yang ikhlas dan benar dalam perjuangan, kerana kedua-duanya itu adalah asas kepada kejayaan,” katanya.

PAS malam tadi mengumumkan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.45 Dun Galas.

Pengumuman itu dibuat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis pengisytiharan calon di Dataran Ilmu, Gua Musang.

Menurut Tuan Guru Nik Aziz, Zulkefli dipilih kerana diyakini mampu meneruskan kerja cemerlang yang telah diusahakan wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Hadir sama pada majlis tersebut, semua pimpinan utama PAS Pusat termasuk Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharudin Mat Isa. Turut serta ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham.

%d bloggers like this: