Dr Zulkefli dipilih penuhi hasrat penduduk Galas

Mohd Nor Yahya
GUA MUSANG, 22 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pemilihan Dr Zulkefli Mohamad sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Dun Galas amat bertepatan dengan permintaan penduduk setempat.

Tambahan pula, Dr Zulkefli merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang juga memangku tugas Yang Dipertua berikutan kematian Chek Hashim Sulaima.

Menurutnya, Zulkefli dipilih kerana diyakini mampu meneruskan kerja cemerlang yang telah diusahakan wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat Melayu di Dun Galas akan memberi sokongan padu dan berganding bahu dengan kaum Tionghua, India dan Orang Asli bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS.

Bagi Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham, pemilihan Zulkefli Mohamad adalah bertepatan dengan kejayaan beliau yang telah memenangi undi bagi parlimen Gua Musang di Dun Galas dalam pilihan raya umum ke-12 dulu.

“Kami di pihak DAP mengucapkan tahniah di atas pemilihan beliau dan jentera DAP akan bergerak sebaik mungkin terutamanya dalam memberi penjelasan terhadap kewibawaan calon ini,” ujar beliau.

Ngeh juga berkata sebelum ini masyarakat Tionghua begitu takut untuk mengundi calon dari PAS kerana mereka telah termakan hasutan Umno yang mengatakan PAS sebuah parti yang menindas kaum lain.

“Kita akan mengambil pendekatan menjelaskan terhadap perkembangan di Perak semasa di bawah Pakatan Rakyat dulu yang mana Menteri Besarnya ialah dari orang PAS, tetapi kehidupan masyarakat lain terus mendapat pembelaan, lagi pun PAS di Kelantan sudah memasuki tahun ke dua puluh dan tiada pun kita dengan masyarakat lain ditindas atau dipinggirkan di sini,” katanya lagi.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, Dr Zulkefli telahpun dikenali ramai kerana sebelum ini pernah bertanding sebagai calon PAS bagi Parlimen Gua Musang dalam PRU 12.

Melalui tinjauan yang dibuat sebelum ini, ramai dari akar umbi bersetuju untuk menerima beliau sebagai calon.

“Pengisyitharan malam ini sebenarnya tidaklah mengejutkan pengundi di sini, kerana mereka telah menjangka dari segi jawatan dalam partipun beliau merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan,” ujar beliau.

Tuan Ibrahim juga berkata, dengan pengorbanan dan kesungguhan beliau bekerja untuk parti semasa Allahyarham Chek Hashim menjadi wakil rakyat telah terbukti.

“Jentera parti PAS akan meneruskan amanah ini dengan memperkemaskan setiap pelosok dan peti undi.

“Kita juga mengharapkan dengan sokongan masyarakat Tionghua, India dan Orang Asli dan dokongan orang Melayu akan berlaku perubahan besar dengan meningkatkan majoriti undi dan pengisytiharan malam ini juga adalah bersempena sambutan 20 tahun pentadbiran PAS di Kelantan,” katanya lagi.

Bagi Parti Keadilan Rakyat, kesepakatan dalam Pakatan Rakyat akan diterjemahkan dengan menggerakkan jentera pilihan raya kecil di Dun Galas.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun PKR kini sedang sibuk dalam urusan pemilihan parti, namun ia tidak menghalang usaha membantu calon yang telah mendapat mandat dari pimpinan Pakatan Rakyat.

“Insya Allah dengan jentera yang kita ada, kita akan membantu sebaik mungkin rakan-rakan kita yang lain seperti PAS dan DAP dalam usaha memberi penjelasan kepada masyarakat di sini dan usaha ini akan diteruskan dari masa ke semasa,” ujar beliau.

Bagi Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, jentera Pemuda PAS sudah lama bersiap untuk bergerak membantu calon PAS dalam pilihan raya kecil Dun Galas.

Menurut beliau lagi, Pemuda PAS telah berikrar untuk menyokong sesiapa sahaja calon yang dipilih walaupun ia bukan dari kalangan pemuda.

“Bagi kita dalam Pemuda PAS, setiap apa yang diputuskan oleh pimpinan parti itu jugalah keputusan kita dan jentera pemuda bersama dengan ulamak dan muslimat telah bersepakat untuk berjuang habis-habisan di sini bagi memastikan kemenangan dengan majoriti lebih selesa,” kata beliau lagi.

Jasa Allahyarham Chek Hashim tidak dilupakan

Nazri Abdullah
GUA MUSANG, 22 Okt: Allahyarham Chek Hashim Sulaima ditimpa kecelakaan jalan raya pada 21 Mac 2008 iaitu kira-kira dua minggu selepas bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri.

Kejadian di Ciku 2, Gua Musang tersebut berlaku ketika Chek Hashim bersama isteri, Aida Zakaria, 40, dan anak-anak dalam perjalanan dari Gua Musang ke Pasir Puteh.

Ekoran kemalangan tersebut, beliau cedera di kepala, anak bongsunya berlaku pendarahan di bahagian dalam perut, manakala isterinya patah kaki.

Selang beberapa bulan selepas itu, beliau kemudiannya sekali lagi diuji apabila dikesan menghidap kanser usus.

Dengan bantuan masyarakat Cina Galas, Allahyarham menerima rawatan di The First People’s Hospital Fu San di Guantong, China pada pada 23 Julai 2008, yang kemudiannya menjalani pembedahan pada 7 Ogos.

Sejak dari itu beliau perlu menerima rawatan susulan sehingga banyak masanya dihabiskan untuk memulihkan kesihatannya.

Biarpun diuji dengan masalah kesihatan, kerja-kerja dan tanggungjawab sebagai Yang Berhormat Galas tidak pernah diabai.

Ikhlas dan tidak sayang wang ringgit

Tugas wakil rakyat itu kemudiannya dipikul dua orang yang rapat dengan beliau iaitu Husein Embong yang kini sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Dun (MTD) dan seorang lagi Setiausaha MTD, Rosmadi Abdul Wahab.

Menurut Husein, memikul tugas allahyarham bukan sesuatu yang mudah.

Biarpun masyarakat Galas tahu allahyarham ketika itu sedang sakit, namun mereka tetap mengharap komitmen dan khidmat 100 peratus dari pengganti sepertimana Adun asal.

Menurutnya, Allahayarham Chek Hashim terkenal di kalangan masyarakat sebagai seorang yang ringan tulang dan suka menolong orang.

Namun biarpun tidak berjaya 100 peratus menjadi seperti Allahyarham, beliau tetap menunaikan tanggungjawab semampu mungkin.

“Pertama sekali keikhlasan dia kita nampak. Dia ni senang kira, mudah bahasa, tak kedekut wang ringgit atau tenaga dia.

“Itu yang sukar bagi saya nak buat, sebab kita hanya mengurus apa yang perlu dibuat, nak jadi macam dia saya tak mampu,” katanya.

“Satu kelebihan dia (Chek Hashim) ni kalau ada rakyat dia meninggal dunia, dia akan hadir dan urus sampai ke kubur,” jelasnya lagi.

Selain itu, Chek Hashim juga jelasnya seorang yang komited dan tekun dengan kerjanya.

Sepanjang mengenali Allahyarham katanya, beliau tidak pernah tinggal mesyuarat rasmi di Kota Bharu.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan jasa besar Allahyarham adalah menyelesaikan isu tanah rakyat sejak sekian lama tertunggak dan diabaikan Adun BN sebelum ini.

“Di sini banyak isu tanah, YB Che Hashim ni banyak selesai isu tanah di kawasan Tanah Putih, Sungai Kepa dan Perkampungan Kundor,” jelasnya.

[Lihat video – Siri 3]

Tolong tak kira parti politik

Menurut Rosmadi pula, kehilangan Allahyarham Chek Hashim sukar dicari ganti.

Kesungguhan menjaga rakyatnya, tidak mampu ditandingi sesiapa.

“Bukan calang-calang orang boleh jadi seperti dia. Dengan jarak Galas dengan Kota Bharu 200 km, dia boleh ulang alik berkali-kali sehari urus hal rakyat.

“Dia tolong rakyat tak kira orang itu penyokong PAS ke Umno ke, semua dia tolong.

“Kalau dengar rakyat dia sakit je, walaupun ada mesyuarat di KB, dia akan balik biarpun pukul 1 pagi,” katanya.

Seperkara lagi antara kelebihan yang ada pada Allahyarham Chek Hashim adalah rapat dengan masyarakat Orang Asli.

“Dia memang rapat dengan Orang Asli sebab dia dulu kerja jual rotan di Kuala Betis.

“Orang Asli anggap dia tauke rotan, dan semua Orang Asli kenal dia,” katanya.

Sebab itu katanya, semenjak Allahyarham menjadi wakil rakyat, banyak pembangunan dan kemudahan dikecapi oleh masyarakat di pedalaman itu.

Chek Hashim Sulaima bagaimanapun meniggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang 21 September lalu akibat kanser usus yang dihadapinya.

Allahyarham memenangi kerusi Dun Galas dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum yang lalu mengalahkan penyandang dari BN, Saufi Deraman.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November ini sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas, manakala 26 Oktober hari penamaan calon.

Secara tradisi, kerusi Dun tersebut adalah milik BN, namun berjaya dirampas PAS pada tsunami politik PRU ke-12 lalu.

[Lihat video – Siri 4]

Malaysia bukan harta pusaka Umno BN

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 22 Okt: Datuk Seri Najib Razak perlu sedar bahawa Malaysia bukan harta pusaka Umno BN yang telah diwasiatkan melalui Amanah Raya, tetapi ia adalah hak rakyat untuk menentukan kepimpinan di negara ini melalui pilihan raya.

Justeru, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mengharapkan Najib selaku Presiden Umno yang hendak mempertahankan kemenangan Umno BN mestilah dengan cara demokrasi, bukan dengan bermain di padang yang tidak sama dan mengubah tiang gol.

Beliau merujuk kepada ucapan Najib di perasmian persidangan agung Umno di PWTC  semalam, yang menyebut: Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan! membayangkan mimpi ngeri pemimpin Umno untuk menghadapi kebangkitan rakyat dalam pilhan raya akan datang.

“Mereka membayangkan apa akan terjadi kepada rumah banglo mewah mereka, kereta mewah mereka dan perniagaan mereka jika kerajaan BN jatuh.

“Sebenarnya mereka bukan takut rakyat tidak boleh makan, bukan takut hak Melayu akan hilang. Kerana selama ini pun mereka tidak  pedulikan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, banyak perwakilan Umno telah membangkitkan bagaiamana pemimpin mereka yang tidak memperdulikan rakyat selama ini di mana turun berjumpa rakyat hanya ketika hendak pilihan raya.

Sehubungan itu, ujarnya PAS mengharapakan supaya pemimpin Umno belajar menjadi orang kalah, kerana dalam negara demokrasi ada masa turun naik.

PAS, tegasnya hendak tahu juga apa maksud  ucapan Najib “walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!”.

“Apakah kalau BN tidak mendapat suara majoriti adakah mereka tidak mahu menyerah kuasa juga? Demokrasi apakah ini?” soalnya.

Justeru, beliau menyeru pemimpin Umno supaya belajarlah daripada PAS yang pandai menghormati demokrasi di negara ini.

Katanya, PAS pernah memerintah Kelantan pada tahun 1959 , tapi tewas pada tahun 1978 walaupun dengan taktik undang-undang darurat.

Namun, jelasnya PAS menyerahkan kuasa kepada Umno, kemudian kembali memerintah pada tahun 1990 hingga kini.

PAS juga, ujarnya pernah menang 1959 dan kalah di Terengganu pada tahun 1961 melalui taktik kotor.

Katanya, kemudian menang pada tahun 1999 dan tewas pada tahun 2004.

“Walaupun pada ketika itu emosi penyokong PAS tidak boleh menerima kekalahan ini, namun kebijaksanaan pemimpin PAS telah berjaya menenangkan rakyat supaya menghormati suara rakyat,” jelasnya.

Begitu juga, tambahnya dengan peristiwa jatuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak walaupun dengan cara tidak demokratik, namun PAS dan Pakatan Rakyat terus bersabar dan akur dengan keputusan itu.

Festival Busana Muslim hina Islam – Helwa Abim

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 22 Okt: Bahagian Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang serius penganjuran Islamic Fashion Festival atau Festival Busana Muslim di Kuala Lumpur, baru-baru ini yang gagal memenuhi serta mematuhi kehendak syariah serta konsep aurat yang digariskan di dalam Islam.

Helwa Abim berpandangan bahawa isu penjagaan aurat dan hijab adalah vital sekiranya masyarakat mahu membicarakan tentang fesyen Islam.

“Justeru, Helwa Abim merasa sangat kecewa dan terkilan dengan interpretasi fesyen Islam yang gagal dihayati dan difahami secara keseluruhannya, khususnya menyentuh isu penjagaan aurat yang menjadi elemen terpenting dalam penghayatan Islam secara keseluruhannya,” ujar Naib Presiden Helwa Abim, Fadhlina Siddiq dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Malah, katanya apa yang dipotretkan kepada masyarakat sewaktu penganjuran Islamic Fashion Festival itu nyata jauh tersasar dan mengelirukan masyarakat Islam sendiri malah serta merupakan unsur-unsur penghinaan terhadap Islam dengan jelas.

Tegasnya, menutup aurat dan hijab adalah lambang wanita Islam yang hadir dengan esensi murni yang signifikan untuk memelihara kehormatan, maruah dan melambangkan akhlaq seorang wanita Islam.

Tambahnya, aa bukan pakaian bermusim untuk pesta-pestaan serta bukan pakaian untuk melambangkan siapa yang lebih Islamik.

“Bahkan ia juga bukan interpretasi bahawa inilah pakaian Islam yang sebenar mengikut pandangan peribadi sesiapapun,” ujarnya.

Jelasnya lagi, anjuran menutup aurat bukan untuk pesta-pestaan semata-mata kerana ia adalah anjuran ketegasan wahyu dan perintah yang tuntas demi menjaga kehormatan dan maruah seorang wanita Islam sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran.

Beliau memetik maksud ayat Surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman, supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang perkara-perkara yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Dan mereka perlu melabuhkan kain tudung mereka ke dadanya.

Begitu juga dengan firman Allah SWT di dalam Surah al- Ahzab, ayat 59 yang bermaksud: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka melabuhkan pakaian bagi menutup seluruh tubuhnya.

“Andai wanita Islam jelas tentang konsep dan anjuran syariat tentang kewajipan menutup aurat, tidak timbul soal fesyen Islam yang berterusan mahu dipesta-pestakan sedangkan ia jelas bertentangan dengan syariat dan sama sekali terpesong dari fahaman esensi kepentingan menutup aurat yang sebenar,” katanya lagi.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor adalah penaung festival tersebut.

Sementara itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyatakan rasa kesal dengan penganjuran Festival Busana Muslim itu yang jelas menghina syariat Islam dan Rasulullah s.a.w.

Menurut Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari Saidon, pastinya pemikiran sempit itu semakin mencelarukan kefahaman muda-mudi terhadap Islam itu sendiri sehinggakan terdapat pemikiran Islam ala pemerintah Malaysia sekarang dan yang dituntut di dalam Al-Quran.

Justeru, Gamis mempersoalkan ke mana perginya badan-badan agama dan NGO Islam yang sebelum ini lantang dalam forum perdana menghuraikan kewajipan berpakaian seperti termaktub di dalam Surah An-Nur, ayat 31.

Katanya, perkataan “Muhammad” dalam tulisan Arab secara terbalik diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat adalah suatu penghinaan yang amat jijik dilemparkan kepada Islam.

Tegasnya, Gamis mengecam sekeras-kerasnya tindakan Rosmah yang didapati menghina syariat Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. apabila salah satu fesyen mereka melukis nama Nabi dalam keadaan pakaian itu jelas mendedahkan sebahagian besar aurat mereka.

Tambahnya, sangat mendukacitakan jika rakyat Malaysia khususnya umat Islam masih tidak tersedar dan sensitif akan isu itu.

“Dulu umat Islam sangat sensetif terhadap isu murtad, kita juga berarak bantah kartun Nabi yang dibuat di Denmark. Kita juga tidak terlepas menyertai perarakan Maulidur Rasul, menyatakan sayangnya kita kepada Rasulullah, tetapi ini juga satu bentuk penghinaan terhadap Rasulullah, dan kita perlu bantah serta bertegas dengan mereka yang menganjurkannya,” tegasnya.

Sehubungan itu, katanya  Gamis memuji tindakan pertubuhan tertentu yang akan mengadakan himpunan aman pada hari ini sebagai membantah tindakan penganjuran festival itu.

Sehubungan itu, katanya Gamis meminta anak muda dan Gamis negeri supaya turut sama turun menyatakan bantahan terhadap kemungkaran dan kemaksiatan terhadap Allah serta pengkhianatan ke atas muslimah seluruhnya di samping bersama menyedarkan masyarakat akan kepentingan kembali kepada Islam yang sebenar.

Allahyarham Chek Hashim: Tolong tak kira parti politik

Allahyarham Chek Hashim: Ikhlas dan tidak sayang wang ringgit

%d bloggers like this: