Ansari Bawa Harapan Rakyat Batu Sapi

Dari TV Selangor

Ansari Abdullah,56, diumumkan oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Pakatan Rakyat untuk menggalas tugas besar dalam Pilihanraya Kecil P185 Batu Sapi.

Beliau merupakan seorang peguam yang banyak membela kes-kes tanah di Sabah.

Menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi PKR dan Ketua Cabang Tuaran. Ansari yang lahir pada 11 Ogos 1954 mengambil jurusan Undang-undang di Universiti Malaya.

Anwar mengumumkan perkara demikian pada jam 5. 03 petang di Dewan Hakka Batu 6 Sandakan di sini.

Turut bersama dalam pengumuman ini ialah Presiden PAS ,Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PKR Azmin Ali dan pimpinan Pakatan Rakyat. Serentak dengan pengumuman itu hadirin memberikan tepukan dan sokongan kepada calon yang diumumkan bagi membawa misi besar Pakatan Rakyat khususnya di Negeri Bawah Bayu ini.

Tegas Anwar calon yang diumumkan akan membawa perjuangan membela rakyat Sabah terutamanya isu tanah ke peringkat lebih tinggi.

Hadi dalam ucapannya menegaskan walaupun pilihanraya 4 November di Batu Sapi merupakan satu pilihanraya kecil namun memberi makna besar kepada Sabah dan negara.

Tegas Hadi Awang, walaupun pilihanraya ini pilihanraya kecil namun memberikan makna yang besar kepada Sabah dan negara.

“Rakyat diberi peluang untuk menjadi hakim siapakah yang akan memimpin kerajaan. Pilihanraya Kecil Parlimen Batu Sapi merupakan pilihanraya ke-13 sejak Pilihanraya Umum ke-12 pada Mac 2008 lepas.,”kata Hadi.

Sebelum itu pimpinan Pakatan Rakyat Sabah memberikan ucapan yang senada dan komitmen untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dan memberikan kemenangan kepada calon Pakatan Rakyat.

Lebih 5,000 orang memenuhi dewan yang terletaknya lebih kurang 10 kilometer daripada pusat bandar Sandakan.

Sementara itu, Dewan Masyarakat Sandakan akan dijadikan pusat penamaan calon pada Selasa 26 Oktober dan pusat penjumlahan rasmi 4 November ini.

Sebanyak 12 pusat mengundi iaitu enam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong dan enam lagi di DUN Karamunting dibuka, dan sebuah bot akan disediakan untuk kegunaan petugas ke satu pusat mengundi yang terletak di sebuah pulau, iaitu Pulau Timbang.

Pengundi berdaftar yang digazetkan bagi kawasan Parlimen tersebut sehingga 9 Oktober lepas ialah 25,582 orang iaitu 24,047 pemilih biasa dan 1,535 pengundi pos.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong selepas penyandangnya dari Barisan Nasional (BN) Datuk Edmund Chong Ket Wah terbunuh dalam satu nahas jalan raya pada 9 Oktober lepas.

Pada perkembangan lain,Datin Linda Tsen Thau Lin, isteri kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah yang juga Timbalan Ketua Wanita PBS Elopura diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) .

Balu Edmund Chong calon BN di Batu Sapi

Joseph Sipalan
Okt 24, 10
3:10pm,BN akan meletakkan Datin Linda Tsen Thau Lin, 54, sebagai calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi 4 November ini.

Beliau adalah timbalan ketua Wanita PBS Elopura dan isteri kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah.

Ketua Menteri Sabah yang juga pengerusi BN negeri, Datuk Musa Aman berkata, jawatankuasa BN negeri sebulat suara memilih Linda bertanding di Batu Sapi.

Katanya, BN yakin dengan kemampuan calon BN itu untuk meneruskan khidmat kepada penduduk di kawasan berkenaan.

pilihan raya kecil itu, yang diadakan berikutan kematian Edmund, 54, dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan Selasa ini dan pengundian pada 4 November.

Edward memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 3,708 undi, dengan menewaskan calon Bebas, Chung Ong Wing. Edward memperolehi 9,479 undi manakala Chung mendapat 5,771 undi.

Kerusi parlimen Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi yang terdiri daripada 24,047 biasa dan 1,535 undi pos – dengan 15,099 atau 59.02 peratus pengundi bumiputera-Muslim, 689 bukan bumiputera-Muslim (2.69 peratus), 9,737 Cina (38.06 peratus) dan 57 lain-lain kaum (0.22 peratus).

Pakatan sandar harapan pada Abdullah Ansari

 

Pakatan Rakyat hari mengumumkan pemilihan ketua cabang PKR Tuaran, Ansari Abdullah sebagai calonnya dalam pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi 4 November ini.

Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berusia 56 tahun itu adalah seorang peguam lulusan Universiti Malaya.

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pencalonan Ansari itu di satu majlis di Dewan Persatuan Hakka Sandakan petang ini.

Antara yang hadir ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; naib presiden PKR, Azmin Ali; pengarah pilihan raya PKR, Fuziah Salleh dan pengerusi DAP Sabah, Hiew King Cheu.

Ahli parlimen DAP Lim Kit Siang tidak dapat hadir hari ini kerana tidak sihat.

Kira-kira 2,000 menghadiri majlis tersebut sambil melaungkan “reformasi” selepas pengumuman itu dibuat.

Ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan berlaku perpecahan undi di kalangan pembangkang apabila Parti Maju Sabah (SAPP) turut bertanding, Anwar memberitahu Bernama bahawa soal itu tidak timbul kerana SAPP tidak pernah menyifatkan diri mereka, termasuk di Parlimen, sebagai pembangkang.

Katanya SAPP adalah parti bebas yang boleh menyokong mana-mana pihak dan sehubungan itu undi mungkin berpecah di kalangan calon bebas.

Ansari pula mengakui pilihan raya kecil di Batu Sapi kali ini adalah

sengit namun yakin mampu memberi saingan kepada BN berdasarkan jumlah undi yang diperoleh pada pilihan raya umum ke-12.

Pengerusi DAP negeri Ir Hiew King Cheu juga mengakui pilihan raya kecil berkenaan adalah sengit.

BN hari ini mengumumkan pemilihan Timbalan Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah Bahagian Elopura Datin Linda Tsen Thau Lin, sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

SAPP pula memilih presidennya Datuk Yong Teck Lee sebagai calon pilihan raya kecil berkenaan.

Pilihan raya kecil Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya, mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lepas.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan pada Selasa ini dan pengundian pada 4 November

Mesyuarat agung Makkal Sakti dicemari kekecohan

Mesyuarat agung kedua parti Makkal Sakti hari ini dicemari kekecohan yang dicetuskan oleh sekumpulan 30 orang yang mendakwa anggota parti itu, lapor Bernama.

Insiden tersebut dilaporkan berlaku di luar Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada kira-kira jam 10.20 pagi apabila penyokong A.Vathemurthy, yang mendakwa
dirinya presiden Makkal Sakti yang sah, dihalang masuk oleh pengawal ke dalam dewan mesyuarat tersebut.

Mereka mendakwa layak menyertai mesyuarat agung itu kerana merupakan anggota parti tersebut yang sah.

S Sanjay, yang mendakwa dirinya naib presiden parti Makkal Sakti, berkata mereka tidak berpuas hati kerana tidak dijemput ke dalam mesyuarat itu.

“Kami ahli, resit ahli pun kami ada… dalam mesyuarat itu pun bukan semuanya perwakilan, budak sekolah pun ada dalam tu. Kami semua ahli sepatutnya benarkanlah kami masuk ke dalam.

“Kami juga tidak menerima apa-apa notis mengenai AGM ini. Sepatutnya mereka perlu memberi kepada kami dua minggu lebih awal sebelum ia diadakan. Kami tahu pun mengenai mesyuarat ini melalui surat khabar Malaysian Nanban semalam,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi berkata kekecohan tersebut tidak melibatkan penahanan mana-mana pihak kerana kesemua mereka akhirnya mengikut arahan polis supaya bersurai.

“Mesyuarat yang diadakan hari ini pun telah berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang masalah. Kami telah berurusan dengan mereka selama dua jam dan kemudian mereka akur dengan arahan yang kami berikan untuk bersurai,” katanya.

– Bernama

Pemilihan DAP Klang: Puak Tee sapu semua jawatan

Dalam pemilihan jawatankuasa parlimen DAP Klang, penyokong Ronnie Liu kalah teruk kepada kumpulan yang dikaitkan dengan Tee Boon Hock yang dipecat sebagai anggota Mjlis Perbandaran Klang (gambar bawah).

‘Puak Tee’ menyapu bersih kesemua 13 jawatan dalam jawatankuasa tersebut, termasuk anggota MPK, Ivan Ho yang dipilih sebagai pengerusi.

Mesyuarat hari ini dipengerusikan oleh ahli parlimen Puchong, Gobind Singh berakhir dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Perjalanan pemilihan itu dipantau oleh timbalan setiausaha publisiti kebangsaan, Teo Nie Ching dan pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Sejumlah 138 atau 75.82 peratus perwakilan daripada 26 cawangan menghadiri mesyuarat hari ini.

Dua calon dekat di hati rakyat bertarung di Galas

October 24, 2010

GUA MUSANG, 24 Okt — Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas menyaksikan pertarungan dua calon yang dekat di hati rakyat serta berpengalaman memberikan khidmat kepada masyarakat di Gua Musang.

Barisan Nasional (BN) memilih Abdul Aziz Yusoff, 49, iaitu pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), sebuah agensi pusat bertanggungjawab memacu pembangunan Hulu Kelantan, yang dirintis Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah ketika menjadi Menteri Kewangan.

Bagaimanapun, Abdul Aziz yang juga Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang, perlu melepaskan jawatannya dalam Kesedar untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Anak kelahiran Kampung Bertam Baru, dekat Paloh di sini, mula mencurahkan bakti kepada masyarakat setempat selepas menyertai Kesedar sejak 1983, dengan hanya berbekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia.

Ini merupakan kali pertama beliau dipilih bertanding di kawasan DUN, sekaligus menjadikan Abdul Aziz sebagai muka baru yang diberi mandat oleh kepimpinan Umno.

PAS pula meletakkan pengamal perubatan Dr Zulkefli Mohamad, 44, yang juga pemangku Yang Dipertua parti itu di Gua Musang, sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil 4 Nov itu.

Lulusan Universiti Malaya itu berkhidmat kepada masyarakat melalui kliniknya di Ciku 3, iaitu kira-kira 50 kilometer dari bandar Gua Musang.

Dr Zulkefli merupakan anak bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Guchil pada 1974, iaitu Mohamed Awang.

Berbeza dengan calon BN, beliau adalah muka lama yang berpengalaman dan pernah bertanding di Parlimen Gua Musang sebanyak dua kali, iaitu pada pilihan raya umum 2004 dan 2008, namun tewas di tangan Tengku Razaleigh.

Biarpun pernah tewas, kepimpinan PAS ternyata mempunyai keyakinan kukuh terhadap calonnya itu kerana Dr Dzulkefli pernah mengalahkan Ketua Umno Gua Musang di DUN Galas pada 2008 dengan kelebihan 317 undi.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Che Sulaima, 46, dari PAS, yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 Sept lalu. — Bernama

SPRM buka 20 kertas hasil laporan Ketua Audit Negara 2008

October 24, 2010

KUALA LUMPUR, 24 Okt — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka sebanyak 20 kertas siasatan dan penyiasatan serta lima kertas pemeriksaan dan perundingan, hasil daripada Laporan Ketua Audit Negara 2008 yang dikeluarkan tahun lepas.

Menurut satu kenyataan hari ini, setakat ini, tiga individu telah didakwa di mahkamah, empat laporan SPRM dikemukakan kepada ketua jabatan berkenaan dengan cadangan prosiding tata tertib terhadap pegawai terlibat, lima surat nasihat dikeluarkan kepada jabatan berkaitan serta lima kajian sistem dan prosedur bagi menutup sebarang ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah atau penyelewengan.

“Kes-kes siasatan yang ditutup tanpa sebarang tindakan pula adalah disebabkan sama ada tiada perlakuan jenayah rasuah atau penyelewengan jenayah atau kerana tiada keterangan bagi mencadangkan sebarang pertuduhan,” katanya.

Kenyataan itu juga menyebut kes yang dibawa ke mahkamah membabitkan tiga pegawai sebuah syarikat subsidiari Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dan melibatkan penggunaan peruntukan sebanyak RM888,000 yang tidak mendapat sebarang kelulusan lembaga pengarah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah amanah jenayah, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Kes berkenaan masih dalam perbicaraan. — Bernama

Fitnah: Dr Zulkefli akan ambil tindakan undang-undang

Muhammad Yusri Amin
GUA MUSANG, 24 Okt: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil N.45 Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Dr Zulkefli Mohamad berkata, isu beliau ditangkap khalwat yang  dibangkitkan Umno-Online adalah dilakukan dengan sengaja bagi memfitnahnya.

Sehubungan dengan itu, beliau bersama peguamnya, akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya fitnah itu tidak ditarik balik.

“Tindakan pertama ialah meminta supaya didropkan fitnah itu daripada web Umno-Online, dan sekiranya tidak dipatuhi maka tindakan selanjutnya akan menyusul.

“Kedua, tempoh bagi tindakan adalah bergantung kepada tindakan dilakukan Umno-Online terhadap permintaan yang pertama itu,” katanya pada sidang media semalam.

Turut hadir Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk  Abdul Halim Abdul Rahman dan Penasihat Jentera Operasi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.45 Dun Galas Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Hadir sama ialah Peguam Abu Daud Wan Abdul Rahim dari Azmi & Co.

Terbaru selepas diisytiharkan calon PAS bagi Dun Galas, Dr Zulkefli dilaporkan media Umno-Online bahawa Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang itu pernah ditangkap khalwat dengan ‘isterinya’ sekarang, Ramlelah Mat Jusoh.

Bagaimana pun, Dr Zulkefli dengan tegas menafikannya kerana Ramelah yang dilaporkan itu adalah ibunya, sedangkan isterinya ialah Zainab Jalar.

“Berkenaan dengan hak yang dikeluarkan dalam Umno-Online yang dikatakan saya terlibat dalamkes khalwat, kemudian diletak pula nama Ramelah binti Mat Jusoh.

“Ramelah binti Mat Jusoh itu adalah sebenarnya emak saya, dan untuk kes khalwat ini sepatutnya dibuat semakan di mana-mana Pejabat Agama atau Mahkamah Syariah untuk dipastikan, dan (kes yang dibangkitkan ini) saya menafikan sekeras-kerasnya.

“Sebenarnya tidak ada kes ini, (hanya) dibangkit sebagai fitnah saja,” tegasnya.

Sementara itu, Abdul Halim Abdul Rahman ketika mengulas perkara itu berkata isu timbul tanpa ada asasnya.

“Sengaja diada-adakan isu,” katanya.

Dapsy Kuching’s Photos – 《2011财政预算案,谁是真正赢家》讲座;Seminar on 2011 Budget

Dulu Benci PAS, Sekarang Kasih Kepada PAS.-Timbalan Setiausaha Agung DAP Datuk Negh

Timbalan Setiausaha Agung DAP Datuk Negh berkata Umno & BN telah memburukkan PAS dikalangan orang Cina dan DAP dikalangan orang Melayu, namun ‘tembelang’ Umno/BN sudah pecah sekarang

%d bloggers like this: