Aminulrasyid teringat ibu ketika dikejar polis, kata rakan

November 30, 2010

SHAH ALAM, 30 Nov — Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa Aminulrasyid Amzah, remaja lelaki yang mati ditembak pada 26 April lepas, teringatkan ibunya ketika kereta yang dipandu dikejar kereta peronda polis.

Mohd Zubir Salleh, 15, berkata perkara itu diceritakan rakannya, Muhammad Azamuddin Omar yang berada dalam kereta dipandu Aminulrasyid, 15, ketika mereka berada dalam tandas di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 11 di sini, beberapa jam selepas kejadian.

“Azamuddin memberitahu dia dan Aminulrasyid telah dikejar polis, dan polis mula lepaskan tembakan bermula di stesen minyak. Azamuddin juga beritahu, Aminurasyid ketika itu nak jumpa dengan mak dia, dan Azamuddin beritahu dia larikan diri selepas disepak,” katanya pada perbicaraan Koperal Jenain Subi, 48, yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April lepas.

Jenain didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya.

Terdahulu, Mohd Zubir berkata beliau terserempak dengan Azamuddin di luar pagar sekolah kira-kira 7.20 pagi dan rakannya itu kelihatan takut seperti bermasalah.

Saksi ke-35 pendakwaan itu berkata, Azamuddin kemudian meminta beliau mengumpulkan rakan mereka di tandas sekolah sebelum memaklumkan bahawa Aminulrasyid telah meninggal dunia.

“Azamuddin menceritakan mengenai kejadian itu kepada kami tidak sampai 10 minit, dan selebihnya hanya tangisan yang lama,” katanya.

Beliau berkata Azamuddin turut meminta beliau menyimpan sebuah beg plastic berisi kemeja T serta seluar pendek yang dipakainya pada hari kejadian, dan beliau kemudian menyorokkan barang-barang itu di lorong berdekatan rumahnya.

Katanya, beg plastik itu telah diambil oleh anggota polis forensik yang datang ke rumahnya pada awal pagi 27 April lepas.

Mohd Zubir berkata beliau pernah melihat Aminulrasyid memandu kereta milik abangnya di kawasan perumahan tersebut.

Ketika ditanya sama ada beliau pernah menegur mangsa kerana memandu kereta tanpa lesen, saksi itu menjawab: “Saya pun tidak ada lesen” menyebabkan mereka yang hadir ketawa.

Hakim Latifah Mohd Tahar kemudian menasihati saksi itu supaya tidak memandu kereta tanpa lesen kerana ia menyalahi undang-undang.

Seorang lagi saksi, R Lokman Hakim R Daly, 23, penunggang motosikal yang mengejar kereta yang dipandu Aminulrasyid pada hari kejadian berkata mangsa dilihat memandu kereta seperti orang yang berpengalaman.

Ketika diminta menerangkan maksudnya, Lokman Hakim berkata: “Dia (pemandu) boleh pandu laju dan boleh bawa kereta secara zig-zag untuk elak kereta-kereta lain semasa di lampu isyarat.”

Perbicaraan disambung 6 Dis ini. — Bernama

Umno tangguh pemilihan 2011 selama 18 bulan, dipercayai hadapi PRU-13(umno bn semakin terdesak)

December 01, 2010

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Umno memutuskan untuk menangguhkan pemilihan yang dijadual untuk diadkaan akhir tahun depan selama 18 bulan untuk memantapkan parti – dipercayai bagi membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Perkara itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang diadakan  di sini malam ini.

Langkah itu yang diumumkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak hari ini, lazimnya diambil oleh Umno menjelang pilihan raya-pilihan raya umum lalu.

Spekulasi menyebut pilihan raya umum ke-13 akan diadakan awal tahun depan, kemungkinan pada akhir suku pertama atau awal suku kedua 2011.

Umno sepatutnya mengadakan pemilihan menggunakan sistem baru akhir tahun depan.

Dalam pada itu, Najib juga menangguhkan pengumuman rombakan barisan kepimpinan beberapa negeri sehingga akhir bulan ini.

Najib yang juga Perdana Menteri akan mengumumkan perubahan sebelum awal tahun depan.

Ketika menggulung Perhimpunan Agung Umno bulan lalu, Najib memberitahu bahawa akan melakukan perubahan kepimpinan negeri khususnya melibatkan lima negeri, yang disandang oleh presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden.

Ia dijangka ramai akan diumumkan hari ini.

Tiada istilah Ketuanan Melayu dalam Perlembagaan hanya Ketuanan Raja, kata pakar

November 30, 2010

KUALA LUMPUR, 30 Nov —  Istilah ”Ketuanan Melayu” tidak perlu dibahaskan kerana ia tidak wujud dalam perlembagaan negara, kata pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Beliau berkata dalam aspek sejarah, hanya ”Ketuanan Raja” yang termaktub dalam perlembagaan kerana rakyat perlu menunjukkan taat setia kepada raja.

“Sebelum ini tidak pernah disebut ”Ketuanan Melayu” dalam masyarakat Melayu. Dalam sejarah hal sebegitu tidak betul. Yang ada dalam perlembagaan Cuma ”Ketuanan Raja” iaitu di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

“Orang Melayu mendapat hak keistimewaan kerana mereka adalah rakyat raja, kerana itu raja yang penting. Kedudukan orang Melayu memang diberikan pertimbangan khas dan tidak perlu dipersoalkan,” katanya kepada Bernama malam ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai Ketuanan Melayu yang dibangkitkannya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan Ketujuh parti itu Ahad lepas.

Dr Wan Azizah meminta konsep Ketuanan Melayu dihapuskan bagi membolehkan anak-anak membesar dengan visi ”bangsa bermaruah” atau ”Melayu bermaruah”.

Khoo berkata istilah Ketuanan Melayu hanya dibangkitkan oleh ahli politik bagi tujuan politik semata-mata, dan beliau melihat ahli politik sekarang sering membangkitkan isu yang boleh mendatangkan konfrontasi antara kaum.

“Ahli politik seharusnya memberi perhatian kepada perkhidmatan mereka kepada rakyat, menolong rakyat. Bukan menggalakkan rakyat untuk bergaduh,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin sependapat dengan Khoo bahawa istilah Ketuanan Melayu hanya ciptaan ahli politik dalam menggambarkan kedudukan politik dan ekonomi orang Melayu.

Sambil mempersoalkan tindakan Dr Wan Azizah, beliau berkata kenyataan isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu hanyalah gimik politik dan untuk menutup kemelut yang dihadapi PKR ketika ini.

“Saya tidak tahu kenapa timbulkan isu ini. Apa yang saya nampak adalah ‘Ketuanan Anwar’ dalam PKR. ‘Ketuanan Anwar’ yang perlu dihapuskan. ‘’Ketuanan Melayu’ hanya nak kaburkan ”Ketuanan Anwar”. Pada pandangan saya, konsep itu (Ketuanan Melayu) tidak ada,” katanya.

Beliau berkata Dr Wan Azizah perlu melihat semula apa yang dimaksudkan dengan ketuanan itu dan tidak seharusnya mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu yang telah termaktub sejak zaman kesultanan Melayu lagi.

Shamsul Amri berkata jika dilihat dalam soal ekonomi, kaum Cina mendominasi sebanyak 70 peratus daripadanya manakala Melayu hanya 30 peratus, dan tiada istilah kaum Melayu mendominasi dalam semua aspek.

“Kalau kita lihat sepatutnya 70 peratus itulah yang tuan. Jadi, ketuanan Melayu itu menunjukkan apa? Apa dia ketuanan itu? Dia (Dr Wan Azizah) sendiri tidak jelas apakah maksud ketuanan itu,” katanya.

Beliau berkata ahli politik seharusnya memikirkan isu yang relevan untuk dibincangkan dan tidak membangkitkan isu yang boleh mendatangkan kesan buruk antara kaum. — Bernama

Jalan Runtuh di Sungai Asap S’wak yang terbiar.

Oleh Mat Reban SMSah

KAPIT, 30 Nov 2010. Yang Dipertua PAS Kawasan Bintulu Uztaz Huzaifah dan beberapa orang petugas PAS dari Perak telah terserempak dengan jalan runtuh di Sungai Asap dalam perjalanan ke Bakun.

Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh penduduk tempatan, jalan tersebut telah dibiarkan begitu sejak 3 bulan lalu.  Setakat ini 2 kemalangan telah berlaku disebabkan keadaan tersebut, tetapi masih belum lagi melibatkan kehilangan jiwa.

Persoalannya, adakah nilai nyawa manusia yang tinggal di tengah-tengah belantara Serawak ini tidak berharga?  Semoga Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyedari keadaan ini dan dapat membelanjakan sebahagian hartanya untuk memperbaiki keadaan, dan tidak juga menunggu sehingga waktu pilihanraya, sebagai umpan meraih undi.

Tahniah Minyak Naik Lagi 15 sen Esok!!

leh CoreMax

Harga minyak petrol RON 97 akan dinaikan 15 sen kepada RM2.30 seliter mulai tengah malam ini. Setakat ini mengikut sumber harga minyak RON 95 tidak mengalami perubahan.

Laporan Reuters pula menyebut kenyataan rasmi mengenai perubahan harga ini dijangka dikeluarkan kemudian. Tahniahlah kepada pengundi UMNO. Kerajaan pun tak nak bising kenaikan harga minyak!!

Ia kenaikan kali kedua sejak kerajaan membuat pelarasan subsidi dan memutuskan untuk mengapungkan harganya dari semasa ke semasa.

Pada 1 November lalu, petrol gred RON 97 naik sebanyak 5 sen kepada RM2.15 seliter.

Bagaimanapun kenaikan harga itu tidak diumumkan manakala Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bukan satu isu yang patut dimanipulasi pihak tertentu kerana harganya sudah diapungkan mengikut pasaran minyak dunia.

Ismail Sabri berkata, penetapan harga itu tidak lagi dilakukan oleh kerajaan dan ia tidak memerlukan sebarang pengumuman.

“Pembangkang kata kerajaan naikkan harga. Bukan kerajaan naikkan harga tetapi (kenaikan) berlaku mengikut harga pasaran. Ini berbeza dengan harga petrol RON 95 dan diesel yang masih diberi subsidi dan dikawal kerajaan,” katanya.

Kata beliau, rakyat juga tidak perlu rasa panik kerana lebih 90 peratus penggunaan minyak di negara ini menggunakan RON 95 selain menjangkakan tidak ada kenaikan sehingga penghujung tahun ini.

Menjawap Tulisan SALMANALBUSTANIY, PAS PERLU KETUAI PR

Oleh: wfauzdin_ns

APABILA membaca artikel sahabat Salmanalbustaniy, saya bersetuju dengan pandangan beliau bahawa sekiranya berlaku sebarang kemungkinan buruk terhadap Ketua Pembangkang DS Anwar Ibrahim, maka sewajarnya pemimpin PAS ditampilkan sebagai Ketua Pembangkang sekaligus sebagai Ketua PR. Tidak perlu diragui bahawa pemimpin PAS mempunyai kredibiliti untuk memegang amanah besar ini.

Walaupun pada ketika ini DAP secara teorinya lebih layak memegang jawatan tersebut, tetapi secara praktikalnya pimpinan di dalam PR menggunakan akal dan kebijaksanaan maka DS Anwar diangkat sebagai Peneraju PR sebagai satu maslahah di dalam perjuangan. Oleh yang demikian, tidak salah sekiranya maslahah yang sama diguna pakai untuk melantik PAS pula sebagai Peneraju PR seandainya DS Anwar dikurung ke penjara.

Ini semua memerlukan sokongan dari semua pimpinan di dalam PR, terutamanya dari pimpinan PKR sendiri. Saya percaya, DAP tidak mempunyai masalah sekiranya PKR dan PAS ingin melantik pemimpin PAS sebagai Peneraju PR asalkan matlamat tetap sama iaitu ingin menguburkan Umno/Bn. Siapa yang layak dan berketrampilan sebagai pengganti DS Anwar itu akan boleh diperbahaskan kemudian oleh semua pimpinan PR.

Saya merasa agak terkilan sedikit di atas penulisan artikel sahabat itu tadi, di mana beliau seolah-olah memperlekehkan PKR hanya kerana ingin mencadangkan PAS sebagai Peneraju PR. Lebih tidak menyenangkan, apabila hujahnya terlalu remeh dan dangkal sekali. Beliau mempersoalkan mengapa AMK terlalu bersemangat ingin menentukan DS Anwar tetap menjadi PM sekiranya PR berjaya menguasai Putrajaya. Bagi saya, AMK bebas untuk berjuang atau berusaha ke arah itu sepertimana juga PAS tetap berusaha agar pemimpin PAS dapat diangkat menjadi PM.

Walau bagaimanapun, akhirnya kita perlu menerima keputusan pimpinan PR, siapakah yang boleh diangkat menjadi PM. Maka, tidak salah buat sesiapa ingin menyokong atau berusaha ke arah mengangkat pemimpin yang mereka kehendaki. Bukankah pimpinan PR sebelum ini telah buat keputusan untuk melantik DS Anwar sebagai PM jika berjaya ke Putarajaya? Bagi saya, di dalam PRU ke 13 akan datang, pimpinan PR tentunya akan membuat keputusan untuk meletakkan siapakah bakal PM sekiranya PR berjaya ke Putrajaya. Sudah semestinya keputusan yang bakal dibuat berdasarkan situasi semasa. Ini bermakna, belum tentu DS Anwar akan dipilih semula.

Di dalam tulisan sahabat saya itu, beliau juga meletakkan kesalahan ke atas calon PKR iaitu Sdr Shamsul Iskandar yang tewas bertanding di Terengganu. Beliau menulis “Shamsul Iskandar kalah di kerusi Parlimen Dungun kepada BN kerusi PAS yang dengan berat hati bagi kat PKR untuk pilihanraya lalu. PRU13 PAS kena ambil semula kerusi tersebut. PKR nak menang di P Dungun, jenguk kawasan parlimen Dungun pun tidak, tenaga kerja semua orang PAS.” (Salmanalbustaniy). Pada saya pandangan ini negatif buat mereka yang ingin berpakat di dalam satu pakatan. Saya ingin bertanya, adakah hanya Sdr Shamsul seorang yang tewas ketika itu di Terengganu? Bukankah Terengganu pernah ditawan oleh PAS, kemudian tewas setelah sepenggal berkuasa? Mengapa kerusi lain yang PAS bertanding turut tewas juga? Sebenarnya, terlalu banyak faktor yang menyebabkan kita tewas ketika itu dan PAS sendiri pernah mengeluarkan laporan atau post mortem di atas kekalahan di Terengganu.

Satu lagi pandangan yang tidak boleh diterima langsung adalah apabila beliau di akhirnya menulis, “Banyak lagi nak disebut.. cukuplah PKR.. bagilah PAS yang leads.. PKR telah banyak menghasilkan katak lompat.. dan yang paling teruk menjahanamkan PERAK!”(Salmanalbustaniy). Kisah apa yang terjadi di Perak rupanya selama ini tidak difahami oleh Penulis ini. Mungkin Mantan MB Perak YB Nizar yang juga pemimpin PAS sendiri boleh memberi kefahaman kepada beliau, atau boleh meminta bantuan dari YB Idham Lim juga pemimpin PAS di Perak. Pandangan beliau bagi saya seolah-olah pandangan dari orang yang berada di bawah tempurung.

Masalah `katak lompat’ ini berlaku di dalam semua parti. Kebetulan PR dilihat sekarang boleh menggugat Bn, maka kisah ini diperbesarkan seolah-olah lompat melompat ini hanya berlaku di dalam PKR. Tujuan mereka untuk menunjukkan PKR tidak baik buat PR, maka kita jangan mudah terpedaya dengan propaganda ini. Di dalam PR, parti mana yang tidak ada kisah lompat melompat ini? PAS pernah kehilangan Presiden, Naib Presiden malahan dari Dewan Ulamak yang melompat dari PAS. Cuma, diwaktu itu kisah melompat tidak begitu popular dan diperbesarkan kerana parti pembangkang ketika itu dilihat tidak mampu menggugat Bn.

Saya memuji DS Anwar kerana tidak menyalahkan pemimpin PAS Us Ahmad Awang yang mencadangkan agar Hj Mohsin Fadzli bertanding di Parlimen Bagan Serai menggunakan tiket PKR. Akhirnya, YB Mohsin melompat sehinggakan Us Ahmad Awang merasa amat dukacita. Namun, DS Anwar berlapang dada dan menganggap ini semua adalah ujian buat kita di dalam PR. DS Anwar faham, bukan silap Us Ahmad Awang di dalam hal ini. Sikap menuding jari sesama kita tidak baik untuk perjuangan bersama.

Masalah tenaga kerja dan kempen juga tidak perlu diperbesarkan. Di kawasan saya di Negeri Sembilan, ada beberapa kawasan yang PAS kuat dan banyak kawasan yang PKR dan DAP lebih kuat. Namun kerjasama amat baik, yang kuat bantu yang lemah. Tiada sifat sombong dan ego dengan kekuatan masing-masing. Keikhlasan membantu rakan seperjuangan itu penting, sebab itulah siapa boleh menyangka NS dapat menafikan 2/3 majoriti Dun dikuasai Bn? Mungkin Penulis menganggap kemenangan ini adalah kerana PAS yang banyak membantu jentera kempen di NS. Jika begitu andaiannya, siapa yang banyak membantu jentera kempen di Terengganu? Mungkin benar kerusi yang ditandingi oleh Sdr Shamsul Iskandar (PKR) di Terengganu itu banyak dibantu oleh jentera PAS, bagaimana kerusi-kerusi lain yang banyak juga PAS tewas?

Justeru itu, tidak perlu kita mencari jalan untuk merenggangkan persefahaman yang sedia ada sekarang. Saya yakin, pimpinan PAS sentiasa komited membantu rakan-rakan di dalam PR, mereka tidak pernah pertikaikan kerjasama yang diberikan selama ini. Cuma, penulisan dari sahabat saya ini mungkin mengguris hati rakan-rakan yang lain. Berilah kritikan atau cadangan untuk membina, bukan memperlekehkan sesama kita./wfauzdin.blogspot.com

Selagi dana politik Umno belum terisi

Ahmad Lutfi Othman
Tarikh pilihan raya umum akan datang, menurut seorang teman, tidak perlu didebatkan. Memang selamanya, selagi sistem sedia ada dikekalkan, ia menjadi kelebihan buat parti pemerintah, sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.

Dan prosedur itu sebenarnya tidaklah sangat mencacatkan proses demokrasi, malah dalam keadaan tertentu boleh menguntungkan rakyat. Hayat sesebuah kerajaan boleh dipendekkan tanpa terikat dengan tempoh masa tertentu.

“Yang penting, parti-parti politik harus sentiasa mengkoreksi diri, menilai prestasi, mengambil berat persepsi pengundi. Dan sebaik-baiknya, terutama ketika penggal pemerintahan sudah melewati separuh masa kedua, lakukanlah kajian separuh penggal.

“Jangan remehkan kritikan pesaing, ambil berat rasa tak puas hati rakyat walaupun dalam isu yang nampak kecil, dan cuba selesaikan,” tambahnya, mengulas kolum saya sebelum ini.

“Usah lupa menghidu dan mengesan strategi licik-jahat Umno, yang akan mengerah dan mengeksploitasi apa juga sumber dan kemudahan kerajaan. Taktik lama memperalatkan SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara tidak mustahil akan digunakan kembali, mungkin dalam pendekatan berbeda,” tegasnya, dengan nada serius dan bersungguh-sungguh.

Beliau ternyata risau jika pengalaman lampau, terutama membabitkan senarai daftar pemilih, yang memeritkan pembangkang tidak diambil iktibar.

Rakan saya itu, bekas wartawan berpengalaman, sempat menegur: “Masih ada pemimpin Pakatan Rakyat, malah yang bertaraf ahli Parlimen mahupun Adun, apatah lagi di peringkat ketua kawasan atau bahagian parti, seperti bermentaliti pembangkang lagi. Pembabitan mereka dalam komuniti setempat kurang menonjol. Ada yang semacam malu-malu lagi untuk ke depan menggerakkan masyarakat.”

Membicarakan hal sama, seorang lagi kawan, yang mempunyai hubungan rapat dengan kelompok Umno Selangor, menelefon saya: “Aku yakin, Najib Razak tidak akan mengadakan pilihan raya umum dalam waktu terdekat. Dana atau tabung Umno masih kosong. Belum diisi secukupnya bagi membeli undi rakyat. Mereka perlu masa lebih panjang untuk lancar projek besar dan raih wang panas.”

“Mudah saja,” katanya, “Umno-BN perlukan duit sehingga ribuan juta ringgit untuk gerakkan jentera kempennya. Duit itu ada dalam projek-projek kerajaan yang kosnya sengaja ditinggikan berkali ganda.”

“Bukankah sekarang banyak projek dibuat secara tender terbuka?” pintas saya, nampak sangat macam soalan bodoh.

“Bila pula Najib jadi bodoh macam tu? Semenjak zaman Pak Lah, yang janjikan ketelusan itu pun, banyak projek mega diuruskan secara rundingan terus. Lutfi, bukankah kau juga yang selalu sebut, Umno dan rasuah itu kembar siam yang tak boleh dipisahkan? Hang masih ingat kes Hasbie Satar, bekas Setiausaha Politik Tan Sri Nor Mohamed Yackob? Masa SPRM serbu pangsapuri dia di Butterworth, ada wang tunai lebih RM2 juta,” jawabnya lancar.

“Itu kes kecil yang kebetulan terbongkar. Banyak lagi duit politik Umno yang terkumpul secara senyap dan diuruskan dengan begitu sistematik, tetapi tidak pernah dikesan,” tambah beliau, sambil berjanji akan menjelaskan modus operandinya kepada saya.

“Kau tahu, kebanyakan dana politik Umno ini diuruskan secara rasmi, bukan lagi
di bawah meja? Malah dalam proses rundingan tender dan penentuan harga, peruntukan untuk dana politik Umno ini disebut secara jelas!” sambungnya.

Pakatan Rakyat, meskipun turut menguasai sumber dan kemudahan di empat negeri, tentunya tidak bersedia terjebak dalam perangkap politik wang yang terbukti telah menjerumuskan Umno-BN selama ini.

Rasuah politik jika sudah dimulakan pasti tidak akan menemui titik nokhtahnya. Ia terkepung dalam “lingkaran syaitan”, wabaknya segera berjangkit dan boleh menikam diri.

Dipercayai majoriti rakyat tidak mudah lagi tersilau dengan umpan murahan itu. Tidak hairanlah apabila Perdana Menteri, Najib Razak, seperti terkejut mengapa bantuan kerajaan pusat yang dihulurkan kepada golongan tidak berkemampuan jarang dihargai sedangkan pakej bantuan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang lebih kecil nilainya sering disebut-sebut.

Najib dan pemimpin BN tidak perlu pening kepala mencari jawapannya. Kunci kata adalah keikhlasan dan ketelusan. Bersainglah secara sihat untuk menabur bakti dan jangan rendahkan daya intelektual rakyat.

Saya sukar melupakan dialog seorang pemandu teksi warga emas, dalam perjalanan mendapatkan rawatan susulan di HUKM, Cheras. “Pilihan raya akan datang, jangan sokong BN tau! Mereka rampas duit kita RM1,000, tapi dia derma hanya RM10 dan sembang kuat untuk beritahu semua orang,” ujarnya, dalam nada sedikit lucu tetapi jelas bukan bergurau.

Selang beberapa minggu kemudian, pemandu teksi lain turut berkongsi idea yang hampir sama!

Rakyat dapat memahami bagaimana sesebuah kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat dilihat gagal menjalankan tugas memenuhi amanah dengan lebih efektif kerana kekangan yang dikenakan kerajaan pusat, terutama dari segi peruntukan kewangan dan projek pembangunan.

Konsep federalisme memang menggariskan dengan jelas dalam Perlembagaan tentang senarai negeri dan pusat, namun ada sebahagiannya tidak dihormati pemimpin kerajaan pusat, atau dilaksanakan secara tidak adil kepada negeri yang diperintah Pakatan.

Namun demikian, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan usaha berterusan mengotakan janji seperti diungkapkan dalam manifesto pilihan raya. Wakil rakyat bersama pemimpin parti mesti bersikap proaktif di tengah masyarakat, menjadi penggerak di medan depan.

Rakyat mahu melihat perbedaan dan nasib mereka dibela. Mereka sudah muak dan jelak dengan stail kehidupan majoriti YB Umno-BN. Elemen politik baru perlu dipraktikkan.

Gaya politik baru yang muncul pada 1999 dan menyerlah ketika pilihan raya umum ke-12 bukan lagi fenomena sementara atau sekadar bermusim. Ia semakin merata dan mula menyelinap ke segala pelosok tanahair.

Peningkatan tahap pendidikan dan perkembangan teknologi maklumat, terutama dengan pembudayaan ruang siber di kalangan masyarakat, telah mempercepatkan lagi proses pendemokrasian dan kematangan berpolitik rakyatnya, termasuk di negara kita.

Terdapat pengkaji yang melihat gaya politik baru ini “tenggelam dan timbul” dalam tiga pilihan raya umum terdekat, iaitu muncul pada 1999, tenggelam pada 2004 dan kembali timbul pada 2008.

Justeru, ada yang bimbang, dalam pilihan raya seterusnya ia akan tenggelam semula. Mungkin gaya lama yang sarat dengan sentimen perkauman, politik adu-domba, retorik “keselamatan dan pembangunan” dominan kembali?

Soalnya, apakah aktivis dan penggerak Pakatan Rakyat hanya menunggu “nasib baik” dalam pusingan seterusnya itu, tanpa berusaha keras dan tersusun bagi mempengaruhi budaya politik masyarakat Malaysia?

Ini berikutan budaya dan tradisi masyarakat bukanlah sesuatu yang bersifat tegar, sebaliknya ia adalah lebih bersifat fleksibel iaitu ia boleh dicipta, diubahsuai, diubahsuai semula dan malah boleh dihapuskan.

Menurut Kamus Sains Politik (DBP), istilah budaya politik ditakrifkan sebagai: “Sifat dan oreintasi politik yang diamalkan dalam sesebuah negara yang mengandungi elemen seperti kepercayaan, simbol dan sistem nilai. Semua tindakan politik dalam masyarakat berasaskan kepada elemen ini. Budaya politik juga boleh mengalami perubahan melalui proses sosialisasi, tetapi mengambil masa yang panjang.”

Manakala ada sarjana yang mendefinisikan sosialisasi politik sebagai cara atau kaedah kita menerima norma, nilai dan pengalaman politik dalam kehidupan. Ia suatu proses yang berterusan, bermula apabila masyarakat belajar mengenai politik dan kerajaan dengan melalui putaran hidup, bermula dengan zaman kanak-kanak, dewasa dan zaman tua.

Proses sosialisasi politik dicorakkan oleh peranan keluarga dan juga masyarakat dari pelbagai status dan kelas, selain alam pendidikan yang mempunyai impak besar. Kuasa baru dalam dunia sosialisasi politik ialah media alternatif atau ruang siber. Ia seterusnya mencetuskan ruang awam yang membuka laluan kepada perdebatan sihat tanpa saringan yang mengongkong. Media tradisi sudah kehilangan sengatnya. Kawalan maklumat tidak berkesan lagi.

Saya mahu menekankan bahawa persaingan politik dan gerakan mengembangkan pengaruh semakin terbuka di negara ini. Sepatutnya tiada pihak yang berasa rendah diri dan tertinggal jauh di belakang.

Fenomena  BN menang percuma sebelum bertanding sudah berlalu. “Padang permainan” menjadi semakin rata. Meskipun proses pilihan raya masih tempang dan perlu dilakukan perubahan menyeluruh melalui tuntutan lebih agresif, namun penguasaan BN tidak sekebal mana. Sentimen perkauman bukan lagi senjata ajaib untuk menumpaskan pembangkang.

Terpulang kepada setiap “peserta” untuk melakukan persiapan sebaiknya. Jika ada masalah menghimpit, pasti tersedia jalan keluar. Yang penting adalah daya kreatif dan tekun mencari formula penyelesaian.

Harus diingat, propaganda keterlaluan media yang memperbodohkan audien, seperti terbukti menimpa BN pada 2008, hanya memakan tuan. Promosi berlebihan, yang cuba menutup salahlaku dan penyelewengan, boleh menimbulkan dampak negatif.

Namun begitu, media baru masih terbatas jangkauannya, lagipun ia bukan lagi monopoli golongan “reformasi”. Mendemokrasikan maklumat perlu melalui pelbagai kaedah yang inovatif. Amat malang jika segalanya tersangkut dan terbantut pada sistem penyampaian yang bercelaru dan tidak efisyen. Dengan itu persepsi rakyat terus gagal untuk diperbetulkan.

Tidak seperti jentera Umno-BN yang cukup bergantung kepada wang, sehingga Najib tidak akan mencadangkan pembubaran Parlimen selagi dana politik belum terisi sepenuhnya, bagaimanapun bagi Pakatan, tanpa peruntukan yang memadai, ia juga boleh merencatkan laluan ke Putrajaya.

Misi menggantikan sebuah kerajaan yang bertapak lebih 50 tahun – apatah lagi dalam kedudukan yang hegemonik seperti BN – menuntut persiapan serapinya. Pengalaman perit memerintah beberapa kerajaan negeri, yang sentiasa ditindas kerajaan pusat, sudah cukup untuk menggerakkan persediaan itu.

Yang lebih diharapkan ialah perubahan pada sikap, mentaliti, tanggapan dan budaya politik setiap pendokong Pakatan bagi memikul tanggungjawab lebih besar menjelang pilihan raya umum akan datang.

%d bloggers like this: