Interlok warisi ideologi Umno, dakwa penulis bebas

cleh Syed Mu’az Syed Putra

March 24, 2011

KUALA LUMPUR, 24 Mac — Novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, yang kini berubah menjadi bahan kontroversial, terus berhadapan dengan kritikan beberapa panel pada satu forum malam tadi dengan ia disifatkan sebagai usaha mengekalkan ideologi perjuangan Umno-BN.

Sambil menyifatkan novel Interlok bersifat rasis, panel juga sebulat suara bersetuju agar ia digugurkan dari dijadikan buku teks sastera sekolah.

“Sasterawan negara kata ia (Interlok) adalah karya seni dan sastera tapi ia dibuat hanya untuk memenangi pertandingan sempena 10 tahun kemerdekaan, ini bermakna ia bukan buku sejarah tapi politik dalam rangka Umno,” kata penulis bebas  Lee Ban Chen.

“Novel ini mempertahankan perjuangan dan ideologi Umno dan dasar-dasar yang dibawa Umno.

“Ini adalah perkara yang perlu kita tahu, ia bukan sahaja ideologi Umno tapi ia juga adalah yang dipupuk penjajah British.”

Jelas Lee, novel Interlok dibantah sebagai buku teks di sekolah kerana ia mengandungi banyak unsur yang boleh memecahkan perpaduan kaum.

Selain itu, menurut Lee, novel Interlok dihasilkan sebagai mewarisi ideologi yang berasaskan Ketuanan Melayu.

“Ia lebih banyak berkisarkan ideologi Umno dan Ketuanan Melayu, jadi saya rasa kalau Ketuanan Melayu ini tiada, maka novel ini pasti tidak sempurna.

“Ideologi yang boleh diterima adalah ideologi ketuanan rakyat dan kita mesti guna untuk tolak Ketuanan Melayu,” katanya.

Forum yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini dihadiri kira-kira 60 orang.

Pensyarah Universiti Putra Malaysia Dr Chong Fah Hing pula berkata, novel Interlok boleh dianggap sebagai “karya bermasalah” kerana banyak perkara dalam novel yang berusia lebih 40 tahun itu tidak menepati fakta selain banyak kesalahan.

“Dalam Interlok ini banyak menekankan soal imigran dan kalau dijadikan buku teks, ia akan menimbulkan masalah lain.

“Jadi jangan ada stereotaip pada satu kaum sahaja, novel ini terlalu banyak kesalahan dan karya bermasalah yang condong kepada Umno-BN ini selain menekankan ideologi haluan kiri,” katanya.

Jelas beliau, novel Interlok menimbulkan kontroversi kerana banyak fakta yang tidak benar.

“Interlok adalah sebuah karya yang bermasalah yang akan jadi kontroversi, pengarang cuba sampaikan pemikirannya dalam novel ini.

“Walaupun beliau (Abdullah) adalah seorang Sasterawan Negara, namun tidak semestinya buku-bukunya adalah terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azmi Sharom, memberitahu, mana-mana novel bersifat rasis perlu dihalang dari dibawa ke peringkat sekolah.

“Bila isu ini timbul, saya rasa tidak sedap hati dan bila ada berlaku kes bakar novel, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena.

“Kalau kita lihat kerajaan sangat suka mengharamkan bahan bacaan dan ini hobi mereka yang mana banyak bahan bacaan telah diharamkan.

“Kita nak halang buku ini dibawa ke sekolah bukan untuk sekat dari diterbitkan dan pada saya buku yang bersifat rasis ini tidak boleh digunakan,” katanya.

Mengakui masih belum membaca novel Interlok, Azmi bagaimanapun setuju segala keputusan mesti dibuat dari sudut pandangan intelektual demi kebaikan semua pihak.

“Nak tukar atau pinda bukan jalan penyelesaian. Di Malaysia rasis tak salah dan kita masih belum sampai satu tahap di mana boleh kata rasis adalah sesuatu yang salah.

“Jika novel ini rasis, ia akan mempengaruhi pelajar,” katanya.

Langkah kerajaan menjadi novel Interlok di mendapat bantahan banyak pihak termasuk masyarakat India yang banyak membantah penggunaannya sebagai teks komponen sastera di sekolah.

Sementara itu Pengerusi Badan Bertindak Interlok Kebangsaan (NIAT) Datuk Thasleem Mohamad Ibrahim Al-Haj berkata, pihaknya akan terus mendesak Putarajaya agar menggugurkan novel Interlok sebagai buku teks.

“Kita akan terus mendesak sehingga Kementerian Pelajaran menarik balik penggunaan novel Interlok ini,” katanya.

Justeru beliau sekali lagi meminta Kementerian Pelajaran menarik segera penggunaan novel Interlok yang digunakan di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

Ada pandangan yang mengatakan aspek kontroversi juga membabitkan kaum-kaum lain.

Interlok memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka.

Bagaimanapun Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Persatuan Penulis Nasional (Pena) mempertahankan novel Interlok sambil menyifatkan tiada sebarang unsur yang menghina mana-mana kaum dalam novel yang sudah berusia 40 tahun itu.

Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata novel Interlok akan tetap digunakan sebagai buku teks sastera tingkatan lima.

Kementerian Pelajaran sebelum ini telah membentuk satu panel bebas untuk mengkaji novel Interlok dan hasil cadangan pindaan telah dikemukakan pada 4 Mac lalu untuk tindakan susulan.

Bagaimanapun hasil kajian pindaan itu juga berhadapan dengan kontroversi selepas tiga wakil kaum India memutuskan untuk menarik diri daripada panel itu.

Tetapi kemudian dimaklumkan mereka bersedia mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin sahaja bagi mencari penyelesaian.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: