NGO saran tentera Saudi keluar dari Bahrain

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 25 Mac: Sebuah NGO hari ini menyarankan Raja Abdullah Saudi Arabia dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mengeluarkan tentera mereka daripada Bahrain.

“Tiada sebarang sebab untuk mereka berada di sana,” kata S.M Mohamed Idris, Pengerusi Citizens International dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.

Campurtangan pihak luar tidak perlu, kata Idris kerana Bahrain sekarang tiada mengalami sebarang kecaman luar, hanya beberapa protes dalaman oleh rakyat yang inginkan reformasi politik untuk menamatkan kerajaan kuno yang berdasarkan penguasaan keturunan.

Idris turut menyelar tindakan Raja Bahrain, Hamad bin Eisa Al Khalifa yang menggunakan kekerasan dan kekejaman sehingga ramai pendemo aman demokrasi terbunuh dan cedera.

“Beliau sepatutnya menggunakan dialog dengan pemimpin-pemimpin gerakan demokrasi untuk mewujudkan satu demokrasi berperlembagaan di Bahrain yang menjamin hak yang saksama untuk semua rakyat,” tambah Idris.

Idris turut menyifatkan kenyataan Raja Hamad yang mengaitkan demo aman menuntut demokrasi dengan satu plot peringkat antarabangsa sebagai tidak berasas apabila beliau sendiri memberikan lampu hijau kepada tentera Saudi untuk campur tangan.

“Kenyataannya langsung tidak berasas, dan ia sebenarnya ditujukan terhadap Iran untuk mengalihkan perhatian sedangkan masalah sebenar wujudnya protes ialah rasuah, kurangnya demokrasi dan pencabulan hak asasi manusia yang serius oleh regim beliau,” selar Idris.

Idris turut menambah bahawa Raja Hamad tidak boleh lagi meneruskan pembohongan kepada rakyat Arab dengan menuding jari kepada Iran untuk kebangkitan rakyat di sekitar dunia Arab untuk kebebasan dan demokrasi.

“Mereka tidak boleh lagi memainkan perbezaan sektarian untuk mengekalkan rakyat supaya terus berpecah bagi mengekalkan regim mereka yang tidak sah. Puak Sunni dan Shiah ialah satu iaitu Muslim dan bersama menuntut penamatan kuasa diktator dan penguasaan secara keturunan untuk kebebasan, demokrasi dan keadilan,” kata Idris.

Dengan mengambil contoh kebangkitan rakyat di Mesir dan Tunisia, Idris memberikan amaran bahawa kebangkitan rakyat terhadap diktator-diktator Arab serta raja-raja mengikut keturunan yang lain yang tidak mengendahkan suara rakyat akan menyebabkan mereka ini dihancurkan sebagai sampah sejarah.

“Kita menyeru rakyat Malaysia dan semua yang lain menghargai kebebasan dan demokrasi, di mana mereka berada untuk menyokong perjuangan rakyat Bahrain, Saudi Arabia dan negara Arab yang lain untuk kebebasan, demokrasi dan keadilan,” seru Idris.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: