Mengapa masih ada rakyat Sarawak miskin?

Dr Jeniri Amir

Kerajaan negeri telah untuk sekian lama berusaha memerangi masalah kemiskinan di Sarawak. Meskipun telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan, namun Sarawak masih berada di tangga ke empat dari bawah dari segi jumlah keluarga miskin di negara ini. Dengan kekayaan sumber semula jadi dan pelbagai langkah dilaksanakan mengapakah kita masih belum berjaya membanteras masalah kemiskinan? Ke mana perginya kekayaan hasil balak, minyak dan sumber lain yang dimiliki negeri Sarawak? Siapakah yang menguasai dan membolotnya? Ketika terdapat pemimpin kaya raya luar biasa, sebahagian rakyat hidup sederhana dan papa kedana.

Program ekonomi yang dilaksanakan seolah-olah gagal membuahkan hasil sedangkan pendapatan negeri begitu memberangsangkan. Misalnya, pada tahun 2009, pendapatan Sarawak mencecah hampir RM3.726 bilion, tetapi mengapakah sekitar 70 peratus penduduk rumah panjang masih tidak menikmati bekalan air bersih, jalan raya dan tenaga elektrik dan dibelenggu kemiskinan yang parah?

Kita tidak boleh membutakan mata kepada realiti, sebagaimana kita tidak menafikan kejayaan kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan. Untuk melihat kedaifan dan kemiskinan sebahagian rakyat Sarawak, kunjungi sahaja sebahagian rumah orang Melayu, Melanau dan rumah panjang Iban yang dalam keadaan begitu daif – dinding, atap dan lantai yang begitu menyedihkan.

Saya pernah melihat dengan mata sendiri, masih terdapat rakyat yang papa kedana, dengan keadaan rumah yang hampir hendak menyembah bumi, dan dengan keadaan hidup kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Ironinya, mereka ini merupakan penyokong setia Barisan Nasional yang ditaburkan pelbagai janji menjelang setiap pilihan raya.

Penduduk dijanjikan air, bekalan elektrik dan jalan raya berturap. Tetapi janji tinggal janji, dan rakyat tetap miskin dan menderita. Mereka tetap menghadapi kesukaran untuk makan makanan yang enak, pakaian yang mencukupi, dan seterusnya mengeluarkan keluarga daripada cengkaman kemiskinan.

Memang, kerajaan memberikan perhatian yang serius terhadap usaha membasmikan kemiskinan terutama di luar bandar dan pedalaman negeri 2.5 juta jiwa ini. Pelbagai projek dilaksanakan bagi meningkatkan pendapatan bulanan mereka, terutama dalam kalangan golongan yang miskin tegar. Bagi membuktikan bahawa kerajaan komited dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan, kerajaan telah meletakkan sasaran pengurangan kemiskinan kepada tahap 2.8 peratus pada akhir tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Untuk itu, tumpuan diberikan ke arah meningkatkan pendapatan bulanan kumpulan sasar melalui Program Peningkatan Pendapatan. Sejumlah RM115.64 juta diperuntukan menerusi RMK-9 kepada Sarawak dan juga Sabah bagi membiayai pelaksanaan projek yang dapat menjana pendapatan kumpulan terbabit.

Kerajaan juga memperuntukan sejumlah RM37.79 juta menerusi perlaksanaan kursus latihan kemahiran di bawah Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) bagi melatih kumpulan miskin dan miskin tegar di negeri berkenaan. Selain itu, tempat kediaman yang lebih selamat dan selesa juga dibina di bawah Program Bantuan Rumah. Kerajaan meletakkan sasaran untuk membina 24,221 unit di Sabah dan Sarawak dalam tempoh dua tahun bermula 2010 hingga 2012 dengan unjuran kos pembangunan berjumlah RM682.44 juta.

Dalam pada itu, kerajaan turut memberikan perhatian berat dalam melaksanakan strategi pembangunan tanah yang bersepadu bagi melonjakkan ekonomi di kawasan yang mempunyai tahap kemiskinan yang tinggi di luar bandar menerusi Projek Lonjakan Mega yang berkonsepkan agropolitan.

Dalam tempoh tiga tahun ini, kerajaan mempunyai iltizam padu dan meletakkan sasaran tinggi untuk mengatasi masalah kemudahan asas di luar bandar di Sarawak. Jika sasaran untuk menyediakan bekalan elektrik, air dan jalan raya berkenaan dipenuhi dalam tempoh tiga tahun, rakyat tidak akan lagi terpaksa minum air dari sungai dan telaga atau bergantung kepada air hujan, menggunakan pelita minyak dan mengharungi jalan raya yang berlubang dan berlumpur. Bahagialah mereka kerana sama-sama dapat menikmati kemudahan moden yang sudah lama dinikmati rakan-rakan mereka di bandar dan negeri lain.

Komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di bawah gagasan 1Malaysia akan menyaksikan, penduduk di luar bandar tersenyum lebar dalam satu dua tahun lagi. Inilah golongan yang akan bersyukur kerana akhirnya mereka mampu menikmati kemudahan asas berkenaan meskipun sesudah negeri mencapai kemerdekaan hampir 50 tahun.

Kerajaan memang menumpukan perhatian terhadap usaha pembasmian kemiskinan, meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan untuk rakyat pelbagai kaum di negeri ini. Usaha gigih diambil untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi supaya dapat mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

Justeru, pelbagai strategi dan rancangan dilaksanakan untuk mentransformasikan kehidupan rakyat dengan memastikan berlakunya pertumbuhan ekonomi yang pesat dan seimbang antara bandar dengan luar bandar dan juga antara masyarakat pelbagai kaum di negeri ini. Tidak harus dibiarkan jurang besar wujud antara golongan kaya dengan golongan kurang berada kerana ini merupakan bom jangka yang boleh meledak pada bila-bila masa.

Dalam tempoh Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan dari 1970 hingga 1990, kadar kemiskinan berjaya diturunkan daripada 42.4 peratus pada 1976 kepada 17.1 peratus pada 1990, dan terus dikurangkan kepada 7.2 peratus pada tahun 2000, di negara ini.

Kerajaan pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud sejak awal telah berusaha untuk menyeimbangkan pembangunan bandar dengan luar bandar sebagai strategi mengurangkan kadar kemiskinan di luar bandar. Cabaran membangunkan negeri ini memang besar, apatah lagi dengan 5,000 rumah panjang yang bertebaran, Kampung Melayu dan Bidayuh bertebaran antara 3 batu hingga 30 batu, dan 60 peratus daripada 5,000 pusat kependudukan mempunyai kurang daripada 100 keluarga.
Tindakan menyalurkan peruntukan lebih besar untuk pembangunan luar bandar telah membuahkan hasil. Bagi kemiskinan luar bandar , kadar pada 1976 ialah 64.4 peratus, dan berjaya dikurangkan kepada 37.3 peratus pada 1984 sebelum dikurangkan menjadi 29 peratus pada 1987. Angka itu kini sekitar 7 peratus sahaja.

Di bawah Ketua Menteri pertama, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan sebanyak 46 peratus belanjawan adalah untuk kawasan luar bandar, berbanding 36 peratus di bawah Tan Sri Tawi Sli, Ketua Menteri kedua Sarawak. Di bawah Tun Abdul Rahman Ya’kub yang menggantikan Tawi Sli, peruntukan pembangunan luar bandar ialah 20 peratus. Taib Mahmud menyalurkan sekitar 40 peratus peruntukan untuk luar bandar dan 18.7 peratus untuk pembangunan bandar.

Terbukti memang terdapat peruntukan besar untuk pembangunan luar bandar, tetapi yang menyebabkan masalah kemiskinan terus membelenggu penduduk luar bandar ialah strategi dan pendekatan pembangunan dan program menghapuskan kemiskinan yang kurang berkesan, selain masalah ketirisan dan kebocoran dalam pelaksanaan projek berkaitan.

Namun, dengan komitmen baharu kerajaan pimpinan Perdana Menteri, masalah kemiskinan dan kekurangan pembangunan di luar bandar mungkin akhirnya dapat diselesaikan. Semua pihak perlu terus komted untuk mengeluarkan rakyat miskin daripada cengkaman pedih kemiskinan agar mereka dapat turut merasai nikmat kemerdekaan.

Nota: Penulis ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: