Pelawa Ku LI berjuang bersama Pakatan

Suhaimi Mokhtar
Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali dengan panggilan Ku Li memang dianggap umum satu-satunya pemimpin berwibawa Umno yang masih tinggal. Pemimpin dari keluarga diRaja Kelantan itu memang mempunyai pemikiran dan pendirian politik tersendiri, berbanding dengan pemimpin Umno yang telah luput, apalagi dengan pemimpin Umno terkini.

Ku Li yang hampir-hampir memenangi pemilihan Presiden Umno mengalahkan Dr Mahathir apabila beliau hanya kalah sebanyak lebih 40 undi, telah melalui pengembaraan politik yang jauh, berjuang untuk menjadi pemimpin utama negara, sebagai Perdana Menteri (PM).

Dari awal lagi, ketika masih muda Ku LI memang dipupuk dan diasuh oleh PM kedua, Tun Abdul Razak, ayahanda PM sekarang untuk mewarisi kepimpinan Umno, namun nasib tidak menyebelahinya. Beliau sentiasa terhalang oleh keadaan kelangsungan politik persekitaran yang kadang-kadang di luar perhitungan manusiawi.

Perlantikan Ku Li mengetuai Petronas, Pernas, Bank Bumiputra dan lain-lain agensi kerajaan yang dewasa ini lebih dikenali sebagai GLC (Syarikat Milik Kerajaan) merupakan petanda bahawa beliau memang di ‘groom’ untuk nanti mewarisi kepimpinan Umno.

Ku Li menjulang sehingga mencapai peringkat antara Naib Presiden Umno yang mendapat undi terbanyak, tetapi dalam pergolakan politik Umno, Ku Li tidak terpilih untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) ketika Hussien Onn, PM ketiga mengambil alih pimpinan Tun Razak yang meninggal dunia secara mengejut di London pada tahun 1976.

Khabar angin bertiup kencang bahawa Hussien Onn mahu melantik Ghazali Shafie sebagai TPM, tetapi tiga Naib Presiden, Ku LI, Ghaffar Baba dan Mahathir membantah ura-ura itu dan mahukan salah saorang dari tiga Naib Presiden dilantik.

Hussien Onn memilih Mahathir yang mendapat undi paling rendah diantara tiga Naib Presiden. Ku Li terhalang untuk menjadi TPM yang merupakan satu langkah ke hadapan bagi memungkinkan untuk menjadi PM.

Hussien Onn hanya menjadi PM satu penggal sahaja, jawatan itu diserahkan kepada Mahathir yang tidak memilih TPM tetapi membiarkan perlawanan antara Musa Hitam dan Ku Li bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden Umno bagi menentukan siapa di pilih oleh perwakilan Umno sebagai Timbalan Presiden dan sekaligus sebagai TPM.

Ku Li kecundang lagi akibat permainan politik Mahathir. Bulan madu pemerintahan awal Mahathir dengan regunya Musa yang dipanggil era 2M, Mahathir-Musa, tidak dapat bertahan lama. Musa berundur dan akhirnya sampailah saat pertandingan regu Ku Li- Musa, yang menyebelahi Ku Li bertanding melawan Mahathir-Ghaffar untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno.

Mahathir-Ghaffar menang dan Ku Li mengalami kekalahan akibat ada bahagian yang menjanjikan undi baginya, di saat-saat akhir tidak bersamanya. Sejak itu Ku Li mengembara jauh dalam arena politik yang sebelumnya menyaksikan Umno diharamkan pendaftarannya dan Mahathir menubuhkan Umno baru. Ku Li mahu mengekalkan Umno lama dan menamakannya sebagai Parti Semangat 46, mengambil sempena kewujudan Umno pada tahun 1946.

Kegagalan Ku Li untuk mengalahkan Mahathir berkemungkinan persepsi perwakilan Umno bahawa Presiden Umno dan sekaligus PM mestilah berkisar antara anak kelahiran Kedah, Pahang, Johor dan Pulau Pinang. Ku Li yang berasal dari Kelantan tidak diberi kesempatan, walaupun beliau juga membawa nama Tengku dihadapannya, seperti Tunku Abdul Rahman, PM pertama yang berasal dari Kedah. Nama Tengku sahaja tidak cukop bagi Ku Li kerana beliau berasal dari Kelantan.

Ku Li kemudiannya berada di pentas pembangkang dengan mengadakan persefahaman pilihanraya dengan PAS dan DAP. Dengan PAS digerakkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU), tetapi dalam pilihan raya yang diadakan Semangat 46 tidak dapat menandingi Umno-BN yang menggunakan segala jentera kerajaan untuk menjamin kemenangannya. Melaluinya PAS bersama S46 mampu
mengambilalih pimpinan negeri Kelantan.

Ku Li akhirnya membubarkan S46 dan menyertai semula Umno tetapi rentetan yang panjang dalam karrier politik Ku Li ini menunjukkan Ku Li pernah berkerjasama dengan pembangkang terutama PAS, maka adalah sewajarnya Ku Li membuat satu penilaian semula terhadap politik baru bagi menyelamatkan negara ini dari politik kotor, jijik, rasuah, ketidakadilan dan penuh dengan fitnah serta
dendam kesumat.

Ku Li sebagai ahli politik ulong yang mempunyai kebijaksanaan mampu meningkatkan momentum bersama pimpinan Pakatan Rakyat untuk mengangkat perubahan lanskap politik dan reformasi demokratik penuh keadilan dalam pilihanraya ke-13 bagi menamatkan pemerintahan kerajaan Umno-BN.

Perjuangan Ku Li dalam Umno sudah sampai kepenghujungnya. Terakhir Ku Li diminta berkhidmat untuk menggalas jentera pilihanraya kecil Dun Galas di Kelantan bagi merampas kemenangan dari PAS. Faktor Ku Li adalah sebahagian dari punca sebab kemenangan calun Umno di Galas yang terletak di bawah kawasan Parlimen Gua Musang yang merupakan satu-satunya kawasan yang tidak dapat dirampas oleh PAS dan terus menerus dapat dikekalkan oleh Ku Li.

Sebagai ahli politik Ku Li boleh sahaja berjuang bersama Pakatan Rakyat kerana parti politik hanya satu wadah perjuangan untuk menerajui  kepentingan rakyat. Kelihatan Umno-BN yang dipimpin oleh generasi kedua, ketiga Umno sudah tidak sesuai dengan kepintaran generasi lama, walaupun Ku Li bukanlah terdiri dari genarasi pertama Umno, kerana budaya Umno sekarang sangat jelek,kotor dan jijik.

Ku Li sendiri memberikan komennya bahawa video seks yang mengaitkan Anwar Ibrahim tidak dapat diterimanya. Rakyat juga tidak dapat menerimanya. Ia serupa sahaja dengan kes liwat 1998, katanya.

Banyak pertembungan pendapat antara Ku Li dengan pimpinan Umno sekarang. Ia menyentuh bukan perkara-perkara kecil, tetapi melibatkan dasar. Ku Li menentang Kelantan tidak diberi royalti petrol begitu juga royalti minyak untuk Terengganu ditukar menjadi wang Ihsan. Mahathir ialah orang yang melaksanakan rampasan royalti minyak di Terengganu sebaik sahaja PAS memenangi pilihanraya 1999.

Sebagai orang yang terlibat secara langsung merangka perjanjian Patrolium bersama pakar-pakar lain termasuk Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas, Ku Li membela hak negeri-negeri untuk mendapat royalti minyak lima peratus sebagaimana perjanjian yang dibuat antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri-negeri yang persekitaran lautnya terdapat deposit minyak dan gas.

Jika Ku Li terus berada dalam Umno, tokoh yang disenangi oleh kawan dan lawan itu tidak dapat membuat sumbangan besar kepada rakyat dengan kapasiti yang ada. Di pentas Pakatan Rakyat dijangkakan beliau mampu memberi sumbangan lebih besar sebelum hayat politiknya berakhir.

Ada yang berpendapat Ku Li tidak berpengaruh lagi kecuali di Kelantan, kerana beliau dianggap sebagai tenaga sudah terpakai, tetapi dengan berada dalam Pakatan Rakyat, ia mampu dikitar semula dan sedikit sebanyak melonjakkan momentum kebangkitan untuk menukar kerajaan Umno-BN yang memerintah terlalu lama.

Kalau pernah pada satu ketika Pakatan Rakyat meuar-uarkan untuk mengambilalih pimpinan kerajaan melalui penyebrangan MP-MP kerajaan kepada Pakatan Rakyat,tetapi tidak menjadi kenyataan,maka adalah lebih wajar,Pakatan Rakyat ,ketika menjelang pilihanraya ke-13 mengajak dan mempelawa beberapa kerat yang masih mempunyai kredebaliti termasuk Ku Li untuk bersama Pakatan Rakyat menukar lanskap politik negara.Mungkin selepas pilihanraya ke-13 giliran anak kelahiran Pulau Pinang pula mampu menerajui negara sebagai PM.Inilah kesepakatan antara komponan Pakatan Rakyat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: