Peluang PAS cerah di Beting Maro

Nazri Abdullah
BATANG LUPAR, 5 April: Peluang PAS untuk merampas Dun Beting Maro pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini dilihat cerah ekoran pergaduhan dalaman melanda BN.

Utusan Borneo hari ini melaporkan, penyokong BN di kawasan tersebut berbalah sesama sendiri ekoran tidak berpuas hati dengan pemilihan Razaili Gapor sebagai calon.

Rasa tidak puas hati itu diluahkan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sendiri yang mendakwa pemilihan Razaili dibuat tanpa rundingan dengan ahli parti di peringkat akar umbi.

Mereka yang bersama BN sejak 30 tahun dahulu itu mahukan calon pilihan mereka sendiri iaitu Mohd Eden Mohd Ali namun ditolak pemimpin BN.

Sementara itu, tinjauan Harakahdaily ke beberapa kawasan termasuk di rumah panjang Kampung Matong di sini mendapati, suara-suara tidak puas hati kepada BN memang wujud.

Sehinggakan mereka secara terbuka mengumumkan untuk memilih calon PAS pada hari pengundian 16 April ini.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Pesaka Bersatu (PBB) Bahagian Matong, Sukun Anak Rembau antara yang sudah bosan dengan sikap kepimpinan BN.

Ianya ditambah lagi dengan isu hak milik tanah yang gagal diselesaikan, malah tanah-tanah mereka juga ‘dirampas’ kerajaan negeri.

“Kita sudah lama memberi sokongan kepada BN, kita sokong tetapi dia tidak sokong kita.

“Kita bawa masalah tanah kepada wakil rakyat, tetapi tidak ada penyelesaian,” katanya.

Ujar Sukun, BN sangat lemah dalam menyelesaikan isu-isu membabitkan tanah adat di sini, sedangkan sejak Sarawak menyertai Malaysia lagi, isu-isu membabitkan tanah adat sudah diperkatakan.

Beliau yang juga Ketua Rumah Panjang Kampung Matang kesal dengan sikap kepimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang enggan menyelesaikan isu tanah adat di sini.

Lebih malang, tanah-tanah penduduk di sini diambil dengan pampasan sekitar RM200 seekar, menyebabkan penduduk hilang punca rezeki dan terpaksa bekerja sebagai buruh di sektor pembinaan, katanya.

“Kali ini sokong bulan (PAS) kita mahu ajar “Tok Uban” (Taib Mahmud), dia tak selesaikan masalah kami di sini,” ujarnya lagi.

PAS mengumumkan Abang Ahmad Kerdie sebagai calon mereka bagi Dun Beting Maro.

Abang Ahmad merupakan seorang peguam yang dijangka dapat membantu masyarakat di sini dalam menyelesaikan isu-isu tanah adat.

“Kami mahu calon baru (wakil rakyat baru) tolong kami,” ujar Sukun sambil disahut laungan ‘hidup bulan’ oleh penyokong rumah panjang (gambar atas).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: