Politik aib: JK Fatwa dituntut keluar pendirian rasmi

Aziz Muda
PUTRAJAYA, 8 April: Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dituntut mengeluarkan pendirian rasmi berhubung isu politik mendedahkan aib yang kini sedang bermaharajela dalam negara ini.

Tuntutan tersebut dibuat atas dasar Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memiliki kuasa untuk mengadakan Sidang Panel Kajian Syariah bagi membincangkan isu yang dikemukakan oleh masyarakat.

Para pemimpin pelajar dalam tuntutannya menggesa jawatankuasa itu menyatakan pandangan Islam dengan jelas terhadap budaya politik seperti itu yang kini ternyata semakin mencelarukan lagi suasana politik dalam negara.

Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Muhammad Safwan Anang Talib menegaskan, PMIUM amat kesal apabila kesemua pemimpin yang terlibat dalam permainan politik aib itu adalah mereka yang beragama Islam.

Menurut beliau, hal itu secara tidak langsung boleh mendatangkan persepsi negatif masyarakat khususnya yang bukan Islam terhadap ajaran Islam.

Katanya, oleh itu, pendirian rasmi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu amat perlu bagi memberikan kefahaman kepada seluruh masyarakat Malaysia bahawa Islam melarang keras budaya itu, di samping menyediakan hukuman tegas bagi sesiapa sahaja yang cuba mengamalkan budaya yang tidak sihat seperti itu.

“Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga perlu menyatakan pendirian rasmi berhubung hukuman yang perlu dikenakan kepada pendedah aib berdasarkan hukum Islam,” tegasnya ketika menyerahkan memorandum kepada jawatankuasa itu di pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Putrajaya, hari ini.

Memorandum tersebut diserahkan oleh beliau kepada Penolong Pengarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sekitar jam 11 pagi tadi.

Turut bersama beliau dalam majlis penyerahan memorandum itu 14 pemimpin pelajar lain yang mewakili Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) dan Pro Mahasiswa Nasional (PRO-MN).

Dalam kenyataan bersama PMIUPM dan persatuan-persatuan terbabit, Muhammad Safwan menegaskan, banyak daripada kalangan NGO Islam sudah memberi pandangan masing-masing berhubung si pelaku yang mendedahkan video perlu diheret di bawah undang-undang syariah di bawah peruntukan Qazaf.

“Namun sehingga ke hari ini, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan selaku institusi yang berautoriti belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Semoga memorandum yang diusulkan ini dapat diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak Prof Emeritus Tan Sri Datuk Dr Abdul Shukor Husin Razak, bagi membolehkan semua pihak khususnya rakyat Malaysia dapat kembali merasai suasana demokrasi yang aman, bersih dan adil,” katanya.

PMIUM, tegasnya, menolak sebarang budaya politik sama ada yang berlaku di peringkat nasional mahupun dalam universiti yang memaparkan budaya bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh menyebabkan salah faham masyarakat terhadap ajaran Islam.

Selain itu, PMIUM juga menyokong penuh pelancaran Gerakan Mahasiswa Selamatkan Rakyat yang diumumkan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) baru-baru ini.

“Malah, penghantaran memorandum itu juga adalah salah satu daripada agenda Gerakan Mahasiswa Selamatkan rakyat yang akan diteruskan lagi dengan beberapa agenda yang telah disusun,” tegasnya.

Sementara dalam memorandum tersebut, mereka amat kesal dengan pihak terbabit yang sanggup bertindak sedemikian hina demi mengejar kuasa, biarpun cara tersebut amat bercanggah dengan nilai yang digariskan oleh Islam.

Mengenai isu video seks, mereka tidak melihat isu tersebut sebagai isu tunggal yang perlu diberikan perhatian, tetapi menilai isu yang berlaku adalah hasil daripada pemainan politik yang kotor lantas menghasilkan budaya pemerintahan yang bobrok.

Mereka tidak meragui betapa rosaknya integriti seorang pemimpin yang sanggup mendendangkan politik murah demi menjatuhkan pesaing politik. Sudah pasti sistem pemerintahan negara akan semakin tempang jika pemimpin yang tidak berintegriti seperti itu terus dibenarkan menduduki kerusi pentadbiran.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: