Pemuda PAS: Jangan undang kematian ketiga di SPRM

Oleh Syed Mu’az Syed Putra
April 10, 2011

KUALA LUMPUR, 10 April — Dewan Pemuda PAS pusat mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memastikan setiap siasatan ke atas suspek atau saksi dibuat secara telus supaya tiada lagi kematian — selepas nasib menimpa Teoh Beng Hock dan yang terbaru Ahmad Sarbani Mohamed.

Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hasan at-Tantawi berkata, SPRM juga perlu memberi jaminan agar semua saksi dan suspek yang disiasat selamat semasa siasatan dijalankan.

Kelmarin, SPRM mengumumkan saksi dan suspek hanya akan disoal siasat di aras bawah bangunan mereka mulai sekarang.

“Bagi menjaga nama baik SPRM, satu siasatan yang telus dan terbuka perlu dijalankan secara terperinci. Dewan Pemuda PAS pusat menegaskan agar SPRM tidak terikat dengan kongkongan atau pengaruh politik mana-mana pihak.

“Sekiranya ada individu yang didapati bersalah dalam kes ini, hukuman setimpal perlu dijalankan tanpa kompromi meskipun individu tersebut adalah seorang berprofil tinggi dan SPRM juga mesti memberi jaminan agar semua saksi atau tahanan mereka selamat semasa dalam premis SPRM,” katanya dalams satu kenyataan hari ini.

Kata Nasrudin, SPRM sepatutnya mengambil iktibar atas tragedi yang menimpa Teoh, bekas pegawai DAP dan Ahmad Sarbani, penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia dengan memberi perhatian serius terhadap keselamatan saksi ketika siasatan dijalankan.

“SPRM tidak boleh membiarkan pegawai-pegawainya lepas tangan daripada menjaga dan memantau keselamatan saksi atau tahanan.

“Selain itu, saksi atau tahanan perlu diberikan hak membela diri dan tidak dikasari atau diugut, bahkan Dewan Pemuda PAS pusat difahamkan ada saksi mendakwa mereka diseksa ketika disoal siasat SPRM,” katanya.

Jelas beliau, SPRM juga perlu terus menjaga imej dan kredibiliti agensi pencegah rasuah itu agar tidak dipersoalkan rakyat.

“Ini merupakan kejadian kedua kematian individu yang sedang disiasat dalam kawalan SPRM, sebelum ini kes yang hampir serupa berlaku kepada mendiang Teoh Beng Hock.

“Hanya dengan cara ini, SPRM mampu mengembalikan keyakinan rakyat, jika tidak selamanya rakyat meletakkan persepsi bahawa SPRM tidak bebas kongkongan parti pemerintah.

“Lebih dari itu, rakyat ketakutan apabila dipanggil memberikan keterangan atau disoal siasat dalam premis SPRM,” katanya.

Tambah Nasrudin, pihaknya mendesak agar kerajaan membuat siasatan rapi dan menyeluruh bagi mencari punca sebenar tragedi yang membabitkan Ahmad Sarbani.

“Dewan Pemuda PAS pusat berharap agar kematian beliau (Ahmad Sarbani) dapat diberikan pembelaan dan keadilan yang sewajarnya,” katanya lagi.

Ahmad Sarbani ditemui mati di aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Rabu lalu.

Dia merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B.

Ia kejadian kedua dalam dua tahun ini. Kes kematian Teoh, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor, pada Julai 2009 masih disiasat oleh suruhanjaya diraja.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: