PAS hampir selesai temui pengundi

Hazayani Zakaria
SANTUBONG, 11 April: PAS sudah hampir menyelesaikan misi menemui seramai mungkin pengundi di N03 Dun Tanjong Datu yang terdiri daripada Melayu, Cina, Iban dan Bidayuh.

Penyelaras Jentera Pilihan raya PAS bagi Dun ini, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, PAS dengan segala kekuatan jentera tempatan dan Semenanjung sedang sedaya upaya menyelesaikan misi ini sebelum hari membuang undi 16 April ini.

“Kita sedang berdepan cabaran untuk bertemu bertemu seramai mungkin pengundi dan hampir menyempurnakan lawatan ke rumah-rumah panjang yang kebanyakannya dihuni kaum Iban,” katanya.

(Gambar: Nani bertemu dengan pengundi Tanjong Datu)

Beliau yang juga Bendahari PAS Pusat juga berkata, lawatan ke kawasan penempatan kaum Cina juga sudah selesai dilakukan termasuk mengenal pasti masalah yang dihadapi mereka.

PAS juga akan menemui kira-kira 134 pengundi di Kampung Telok Melano dua hari sebelum mengundi yang hanya boleh diakses melalui jalan air dan mengambil masa 45 minit dari Pekan Lundu.

Selain itu, Dr Hatta sendiri akan mengetuai program pemeriksaan kesihatan percuma dari rumah ke rumah.

“Kita akan adakan program kesihatan selama dua hari pada 14 dan 15 April termasuk memberi nasihat dan rawatan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Tambahnya, PAS turut dibantu jentera DAP dan PKR daripada pelbagai kawasan.

Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Sin Giaw akan turun sama berkampung di sini selama beberapa hari.

Ditanya mengenai sambutan pengundi-pengundi, Dr Hatta berkata mereka menerima PAS dengan senang hati.

“Setakat lawatan yang kita lakukan, mereka menyambut kita dengan ramah mesra dan senang hati,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai aduan penduduk rumah panjang yang ditemui, Dr Hatta berkata secara keseluruhannya mereka masih dibelenggu masalah infrastruktur seperti bekalan air dan elektrik selain masalah hak milik tanah yang dirampas syarikat swasta.

“Mereka sangat memerlukan kemudahan asas terutamanya air dan elektrik kerana kebanyakannya masih bergantung kepada generator dan air dari gunung.

“Mereka juga mengadu mengenai tanah adat yang belum diberikan hak milik,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Krai itu yakin PAS mampu merampas kerusi Dun ini daripada BN melihat kepada peluang yang ada sepanjang tempoh kempen.

(Gambar hari penamaan calon: Dr Hatta [kiri sekali] mengiringi calon PAS bersama pimpinan PAS yang lain)

“Kita mempunyai peluang yang sama dengan BN untuk menang dan PAS yakin dapat menyumbang kerusi Tanjung Datu untuk Sarawak,” katanya.

Nani Sahari diberi kepercayaan oleh PAS bertanding di Dun Tanjong Datu menentang penyandang kerusi ini, Tan Sri Adenan Satem daripada BN-PBB dan calon Bebas, Gilbert Asson Kulong.

Calon wanita yang diketengahkan PAS ini berasal daripada Kampung Pula, Petrajaya, Sarawak dan merupakan seorang graduan UiTM pada tahun 1993.

Nani, 42, yang bertugas sebagai pembantu klinik di Sarawak merupakan bekas Ketua Wanita PKR Sarawak pada tahun 2009 sebelum menyertai PAS tahun lalu.

Pada tahun 2006, Adenan menang kerusi ini dengan mendapat 4,545 undi menewaskan Sobey Daud, PKR (409) dan Larry Dominic Linang, Bebas (357).

Jumlah Pengundi di Tanjung Datu seramai 7,936 dengan majoritinya Melayu (53.06%), Cina (19.63%), Iban (17.34%) dan Bidayuh (9.97%).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: