Sarawak di Persimpangan

by Nasrudin Hassan on Monday, April 11, 2011 at 3:18am

1. Berkampung di DUN Sadong Jaya dan DUN Tanjung Datu serta beberapa tinjauan dibuat sekitar DUN Muara Tuang bermula sehari sebelum tarikh penamaan calon sehingga kelmarin [9 hb April] memberi pengalaman baru dan sangat bernilai dalam mencongak masa depan PAS khasnya pemuda PAS di Sarawak. Insyaallah 14 hb – 16 hb April ini, saya dan rakan – rakan exco DPP Malaysia akan ke DUN Beting Maro sebagai DUN yang paling berpotensi untuk dimenangi oleh PAS dalam pilihanraya umum Sarawak bagi edisi ke 10 ini.

 

2. Masih saya ingat sekitar lebih 10 tahun yang lalu, bersama Yb. Datuk Wan Rahim dan rakan – rakan yang lain memulakan gerakan dakwah dan membawa risalah perjuangan Islam dengan wadah Parti Islam Se Malaysia [PAS] ke Beting Maro, kini benih yang telah ditanam telah mula berbunga dan dijangka tidak lama lagi akan membuahkan hasilnya Insyaallah. Begitu juga beberapa kawasan lain seperti Sadong Jaya dan Sebuyau. Jika sesuai dengan iklimnya, saya percaya benih yang ditanam kian subur dan bakal membuahkan hasil pada suatu masa kelak. Handsome Boy adalah antara bunga yang sedang mekar di Beting Maro.

 

3. Biarpun bergerak agak perlahan berbanding perubahan politik yang digerakkan oleh rakan – rakan Pakatan Rakyat yang lain di Sarawak dewasa kini, saya positif malah optimis bahawa PAS jua akan diterima dengan baik pada suatu masa kelak oleh rakyat di negeri Sarawak. Wajar diinsafi bahawa perjuangan PAS tidak sekadar menatang perubahan politik dan mengapung isu semasa sebaliknya PAS hadhir dengan cita – cita perjuangan Islam untuk :

  • membetulkan aqidah,
  • memurnikan akhlak dan
  • menjernihkan pemikiran ummat manusia .

4. Kekuatan PAS terletak kepada sejauh mana anggota dan penyokongnya memahami dasar perjuangannya iaitu Islam. Tanpa memahami Islam, agak sukar untuk mereka menyertai dan mendokong perjuangan PAS. Keadaan ini hanya memungkinkan PAS meraih simpati dari mereka yang mengikuti jatuh bangun dan suka duka perjuangan PAS lalu dinyatakan kebersamaan mereka dengan penuh simpati sementara mereka juga turut menentang musuh yang sama.

 

5. Justeru itu, agar PAS tidak hanya disertai oleh simpatisan maka pemimpin dan anggota PAS selayaknya bekerja keras untuk menyampaikan risalah Islam dan memahamkan masyarakat kenapa mereka wajar menerima perjuangan Islam. Menyedari kemajmukan masyarakat di Sarawak yang tentunya terdiri dari pelbagai kaum, bangsa dan agama, pemimpin dan anggota PAS sekali lagi mesti hadhir dengan :

  • hikmah yang tinggi,
  • pendekatan yang unik dan
  • kegigihan yang maksimum.

6. Bermula dengan kebajikan, menyantuni kemajmukan mereka serta memperjuangkan hak mereka seperti hak pemilikan tanah yang sememangnya menjadi sebahagian dari agenda Islam, mungkin menjadi pintu masuk utama ke laman hati nurani mereka agar mereka sedia menerima perjuangan PAS. Sementara penyertaan PAS di beberapa DUN dalam pilihanraya umum peringkat negeri Sarawak, [sekalipun berdepan dengan kekalahan teruk] lebih memperkenalkan PAS kepada masyarakat tempatan mengenai simbol, lambang, bendera, pemimpin, pejuang, aktivis, budaya kerja dan segalanya berkait dengan PAS.

 

7. Sepuluh atau lima belas tahun yang lalu, mereka sinis dengan lambang PAS. Ada yang kata PAS adalah parti ping pong dengan menganggap lambang bulan purnama itu adalah bola ping pong. Malah ada yang mengatakan PAS adalah parti Jepang Hijau sehingga mereka benci untuk menjulangnya. Tidak kurang juga pemimpin kita dikejar dengan parang, diherdik dan dimaki hamun. Jika lambang PAS pun mereka keliru, bagaimana mereka mahu memahami prinsip dan dasar perjuangan PAS. Begitulah realiti sebuah pengalaman yang dilalui oleh PAS di Sarawak. Namun keadaan kini semakin baik dan memberangsangkan.

 

8. Saya tidak jangka secepat itu masyarakat Sarawak menerima PAS memandangkan sejarah panjang dan getir yang dilalui oleh PAS di semenanjung dan juga Gerakan Islam di seluruh dunia sememangnya menjadi bukti bahawa tabiat perjuangan Islam ini terhenti sekurang – kurang di atas 5 nokhtah :

  • jauh destinasi
  • sukar pergerakkan
  • diancam penjara
  • dibunuh syahid
  • dibuang daerah

9.  Nokhtah – nokhtah inilah yang terpaksa ditempuh oleh pejuang – pejuang Islam sebagai tribulasi disepanjang jalan sebelum mereka benar – benar teruji dan layak menerima anugerah kemenangan. Tiada short cut untuk menggapai kemenangan sebagaimana tiada jalan mudah untuk meraihkan kejayaan. Kesabaran yang mantap, keyakinan yang tinggi dan munajat yang berterusan akan mendorong nusrah [pertolongan] dari Allah Azza wa Jalla.

 

10. Sarawak kini dipersimpangan. Ke kanan adalah jalan yang lurus dan benar. Menuju perubahan yang total melibatkan dasar dan sistem. Bukan sahaja berkait dasar dan sistem pentadbiran atau pemerintahan, tetapi jauh lebih penting ialah dasar dan sistem kehidupan sebagai hamba Allah swt Tuhan yang Maha Mencipta segala makhlukNya. Sementara ke kiri adalah jalan buntu dan keliru. Menjerumuskan rakyat ke lembah yang serba mundur. Bukan sahaja mundur dari sudut taraf hidup dan sosio budaya tetapi juga mundur perkembangan spiritual dan minda. Situasi ini dinilai setelah lebih 40 tahun rakyat memberi mandat kepada BN di Sarawak. Kini Masa Untuk Berubah.

 

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan.

 

Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: