PAS ucap takziah kepada Kapten Sahimi

Aziz Muda
KUCHING, 12 April: PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Kapten Sahimi Ghazali juruterbang helikopter yang ditimpa kemalangan sejurus selepas mendarat di Dataran Perbandaran Sibu petang semalam.

“Kematian dan kehidupan adalah ujian besar dari Allah, semoga keluarga beliau sentiasa dirahmati Allah dan bersabar di atas musibah tersebut,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

PAS juga, katanya, ingin mengingatkan kerajaan BN agar tidak mengambil kesempatan dengan pilihanraya untuk menikmati kemudahan menggunakan helikopter dalam jarak perjalanan sejam ke dua jam.

Lebih mengejutkan bilamana helikopter tersebut baru selesai menurunkan tiga orang anggota rombongan yang mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian helikopter yang membawa rombongan Timbalan Perdana Menteri yang terhempas di Sibu petang semalam, sehingga juruterbangnya, Sahimi Ghazali meninggal dunia di Hospital Sibu, malam tadi.

Allahyarham ditimpa nasib malang apabila helikopter jenis Bell 206 milik Sabah Air yang dipandunya terhempas sejurus berlepas dari Dataran Sibu jam 1.50 tengah hari, setelah menurunkan tiga penumpang termasuk pembantu khas kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang mengalami kecederaan parah di bahagian rusuk terus dikejarkan ke Hospital Sibu oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), tetapi meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 malam, tujuh jam selepas nahas.

Menurut laporan Bernama Online, Ketua Polis Daerah Sibu, Shafie Ismail dipetik berkata, jenazah Sahimi, 38, akan diuruskan keluarganya yang akan datang ke Sibu dari Kuala Lumpur malam tadi.

Shafie dilaporkan berkata, helikopter yang baru tiba dari Bintangor, Sarikei itu merupakan sebuah daripada tiga buah helikopter yang membawa rombongan Muhyiddin melakukan tinjauan mesra di sana.

Sebaik sahaja menurunkan semua penumpang, katanya, helikopter berkenaan mahu meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Sibu, tetapi tiba-tiba helikopter yang berada pada ketinggian kira-kira tiga meter itu dipercayai hilang kawalan dan terhuyung-hayang sebelum jatuh.

“Juruterbang yang bersendirian dalam helikopter itu, tersepit sebelum orang ramai membantu untuk mengeluarkannya. 4 orang awam menarik juruterbang keluar dari pesawat dan digegaskan ke Hospital Sibu. Punca kejadian masih disiasat. Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan menghantar sebuah pasukan untuk membuat siasatan hari ini,” katanya.

Setiausaha Akhbar Menteri Pendidikan itu, Hafiz Abdul Halim pula berkata, beliau sedang berjalan kaki menuju RH Hotel, kira-kira 100 meter dari padang itu ketika kejadian berlaku.

“Tidak ada apa-apa masalah dengan helikopter itu bila kami pulang dari Bintangor atau pusing-pusing. Saya sedang berjalan ke hotel ketika kemalangan itu berlaku,” kata Hafis yang bersama-sama dengan dua pegawai keselamatan yang naik helikopter itu sebelumnya.

Kejadian ini sekaligus membuktikan betapa BN sewenang-wenangnya menggunakan duit rakyat dalam menghadapi kebangkitan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini, kata Tuan Ibrahim.

“Seharusnya mereka belajar dari kegigihan pimpinan Pakatan Rakyat yang sanggup menggunakan kereta bergerak dan tidur bersama petugas sepanjang pilihan raya ini,” kata Tuan Ibrahim (gambar kanan).

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam Twitternya menulis, Muhyidin sepatutnya pergi berkempen ke seluruh Sarawak dengan tidak menaiki helikopter bagi membolehkan beliau menilai sendiri kualiti jalan raya di negeri itu.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu (gambar kiri) pula berkata, kejadian yang amat menyedihkan itu tidak mungkin berlaku jika pihak BN tidak terlalu gelojoh untuk mencapai matlamatnya.

Menurut beliau, sempena kempen pilihanraya, parti-parti yang bertanding sepatutnya tidak menyalahgunakan wang rakyat dengan menggunakan helikopter dan sebagainya.

Ia berbeza dengan pihak PAS yang menggunakan kenderaan darat. “Mungkin orang kata kerana kita tidak ada helikopter.”

“Jadi pihak BN kenalah berfikir lebih jauh dalam hal ini. Janganlah kerana nak capai matlamat dan kemenangan dalam pilihanraya, nyawa manusia pula yang menjadi korbannya hanya disebabkan perjuangannya yang bukan pun atas dasar Islam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa berharap kematian Allahyarham tidak dibiarkan begitu sahaja oleh pihak BN, tetapi dibela dengan ganjaran atau pampasan yang sepatutnya kepada keluarganya.

“Dah mereka gelojoh sangat nak capai matlamat sehingga nyawa orang terkorban, janganlah pula keluarga Allahyarham dibiarkan begitu sahaja. Berilah ganjaran atau pampasan yang sepatutnya kepada keluarga Allahyarham,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: