PAS kenal Anwar… dan pemimpin Umno

Ahmad Tajdid
Pengerusi Gerakan Anti-Penyelewengan Selangor (Gaps) yang juga bekas Setiausaha Angkatan Muda KeADILan (AMK), Sd. Johari Md. Yasin dilaporkan kesal kerana PAS masih gagal diyakinkan dengan fitnah video seks membabitkan Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menuduh PAS masih bersekongkol dengan Anwar meskipun diyakini mengetahui siapakah sebenarnya pemimpin pembangkang itu.

“Saya amat yakin PAS tahu kebenaran kes yang dihadapi Anwar namun dibutakan oleh matlamat politik yang mengatasi perjuangan kononnya berasaskan Islam,” kata Sd. Johari seperti dipetik Utusan Online.

Nampaknya isu video lucah yang dicetuskan Trio Umno @ Dato’ T masih terus mendominasi laporan media massa pro-Umno meskipun ia gagal meyakinkan rakyat. Walaupun penafian telah dibuat Anwar dan keluarganya tentang video itu, namun ia langsung tidak diendahkan lawan politik Anwar.

Malah kini isu jam tangan Omega pula dimainkan sedangkan polis sendiri menyatakan tiada keperluan untuk mendapatkan jam tangan Omega itu daripada Anwar.

Isu video lucah itu juga nampaknya lebih diberi perhatian NGO-NGO Melayu dan ahli akademik Melayu pro-Umno seperti Prof Kamarudin Kachar dan Prof Ramlah Adam berbanding isu-isu lain yang menyentuh survival dan kepentingan orang Melayu yang lebih mendesak.

Mereka tidak langsung prihatin dengan pengakuan Perdana Menteri bahawa RM52 bilion pegangan saham Melayu-Bumiputera hilang di Bursa Malaysia dan hanya berbaki RM2 bilion sahaja; tetapi amat prihatin dengan video lucah berimej kabur yang kononnya membabitkan Anwar.

Kaya sangatkah Melayu dan tinggi menjulangkah kedudukan ekonomi mereka hinggakan lesapnya RM52 bilion (RM52 ribu juta) saham Melayu di Bursa Malaysia langsung tidak dipedulikan; sedangkan
hanya RM1 bilion diperuntukkan sebagai modal permulaan oleh kerajaan BN melalui Unit Peneraju Agenda BUmiputera (Teraju) bagi membolehkan syarikat Bumiputera berskala besar disenaraikan dalam pasaran saham!

Sejak bila pula persoalan akhlak pemimpin menjadi perhatian utama Umno dan para penyokongnya sedangkan parti itu sendiri dipenuhi kebejatan akhlak dan moral para pemimpinnya sejak sekian lama?

Sd Johari mempertikaikan sikap PAS yang kononnya masih mahu bersama Anwar sedangkan mengetahui ‘cerita sebenar’ tentang Ketua Pembangkang itu. Soalnya, apakah pertuduhan yang dikaitkan dengan Anwar itu disertakan dengan bukti ‘prima facie’ dan ‘melangkaui keraguan yang munasabah’?

Adakah Sd Johari dan individu yang bersekongkol dengannya mengetahui tentang beratnya dosa menuduh seseorang itu berzina sedangkan gagal mengemukakan empat orang saksi lelaki yang adil?

Jenayah qazaf yang dilakukan Sd Johari, Umno, NGO-NGO tunggangan Umno, Utusan Malaysia, Kosmo!, TV3 dan lain-lainnya sebenarnya sama berat dengan dosa berzina. Dan adakah mereka yang terbabit dengan ‘pesta qazaf’ itu bersedia untuk menghadapi hukuman Allah SWT di akhirat kelak?

Jika bukti yang dihadapkan untuk mensabitkan Anwar dengan kegiatan tidak bermoral sudah memadai dan boleh diambil kira, puluhan kes berkaitan moral membabitkan pemimpin Umno juga boleh meyakinkan pemimpin PAS dan dijadikan modal politik. Tapi itu bukanlah budaya PAS yang gagal difahami Umno.

PAS menyedari peri pentingnya seseorang muslim memahami tentang keperluan syariat diturunkan (maqasid syariah) iaitu untuk menjaga agama (akidah), nyawa, maruah, zuriat dan harta manusia. Kepentingan menjaga lima perkara itulah menyebabkan pembuktian terhadap perkara-perkara berhubung jenayah syariah begitu dititikberatkan Islam.

Tuduhan melakukan zina adalah sesuatu yang berat di sisi syariat kerana ia membabitkan soal maruah dan zuriat manusia. Malah menurut pandangan ulama, menyembunyikan perbuatan maksiat dan bertaubat kepada Allah lebih utama daripada mengakuinya di hadapan hakim bagi dikenakan hukuman hudud.

Anwar bukanlah individu yang terkenal dengan perbuatan dan amalan maksiat berbanding sebahagian pemimpin Umno.

Seperti bidasan Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali ketika menjawab isu ‘kaki botol’ membabitkan bekas calon KeADILan PRK Hulu Selangor, Dato’ Zaid Ibrahim: “Semua Perdana Menteri minum arak kecuali Tun Abdullah Ahmad Badawi.”

Sehubungan itu Mustafa menasihati Umno supaya tidak memainkan isu-isu menyerang peribadi lawan kerana mereka (pemimpin Umno) juga terdedah dengan pelbagai kelemahan masa kini dan masa silam!

Tidak hairanlah apabila seorang pemimpin muda KeADILan, Che’gu Bard mengakui pernah ditawarkan dua klip video seks membabitkan Ketua Pemuda Umno dan isteri seorang pemimpin negara.

Dan cerita-cerita skandal seks berkaitan pemimpin Umno bukanlah sesuatu yang asing pada pengetahuan pemimpin PAS. Ada di antaranya membabitkan pengakuan si suami tentang kecurangan isterinya, seorang pemimpin Wanita Umno.

Kesimpulannya, jika bukti mengaitkan Anwar dalam isu video seks ini cukup kuat untuk menjarakkan PAS dengan Anwar dan KeADILan seperti diharapkan Sd Johari, maka ia pasti menjadi hujah paling kuat untuk PAS terus menolak Umno bagi menentang kebejatan moral dan akhlak para pemimpinnya!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: