Shukur Harun: Menunggu tsunami politik melanda Sarawak

Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com

Hanya beberapa hari saja lagi rakyat Malaysia akan mengetahui samada Barisan Nasional akan dapat mempertahankan lagi kuasanya dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 16 April ini atau tersungkur di tangan Pakatan Rakyat.

Ini adalah pertarungan paling sengit dalam sejarah pilihan raya di Malaysia, khususnya Negeri Sarawak. Pertarungan ini juga  menyaksikan sama ada Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud akan terus berkuasa atau sebaliknya.

Pilihan raya ini juga dikatakan menjadi petunjuk kepada pemimp Kerajaan Pusat Najib Tun Razak mengenai tarikh pilihan raya umu di Malaysia. Jika BN menang, khabarnya, Perdana Menteri akan memanggil segera pilihan raya umum, begitulah pula sebaliknya.

Namun dalam sepanjang kempen baik di kawasan bandar – Kuching, Sibu dan Miri – mahupun semi bandar bahkan di kawasan pedalaman termasuk kawasan rumah panjang ternyata kempen Pakatan Rakyat khususnya DAP (di kawasan bandar) mendapat sambutan luar biasa.

Ini sesuatu yang luar biasa yang belum pernah berlaku selama ini dan ini sangat merunsingkan pemimpin Barisan Nasional menyebabkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yasin ‘berkampung’ di Sarawak untuk berkempen.

Ini adalah bayangan ketakutan mereka terhadap kemungkinan tsunami politik akan melanda Sarawak pada 16 April ini, sama seperti yang berlaku dalam pilihan raya umum 2008 dulu.

Faktor Nik Aziz

Kempen Pakatan mendapat sambutan hangat dengan kehadiran orang ramai yang sangat menonjol dan kempennya juga mendapat sambutan. Ini terutama dengan kehadiran Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yang bagi orang Sarawak, Mursyidul Am itu, biasa didengar namanya saja, tetapi kali ini beliau turut berucap dan menerima sambutan begitu hangat sekali.

Di masa lalu, dalam beberapa pilihan raya di Sarawak di mana PAS turut bertanding, orang Sarawak hanya berkata ‘Ini PAS parti Nik Aziz Kelantan’ ketika melihat poster dan bendera PAS. Tetapi dalam pilihan raya negeri kali ini keadaan amat berbeza – Tuan Guru datang sendiri berucap dan bersalaman dengan sekian banyak orang.

Ramai rakyat Sarawak terpegun melihat kesederhanaan Tuan Guru dengan tongkat dan jubah putihnya berceramah memberika pandangan mengenai keadilan Islam yang diterapkan di negeri Kelantan yang diperintahnya.

Ramai yang membandingkan kesederhanaan Tuan Guru Nik Abd Aziz dengan pemimpin Umno yang ‘serba hebat dan mewah’.

Ada yang hadir di majlis ceramah Tuan Guru telah bercakap dengan  kawan-kawannya, “kalau pemimpin Sarawak seperti ini, tak adalah tanah rakyat yang diambil, jauh sekali mengumpul kekayaan.”

Sementara itu PAS tampil kali ini dengan persiapan yang lebih kemas di mana petugas tempatan berganding bahu dengan petugas dari Semenanjung dengan bendera dan kain rentang. Diikuti dengan kehadiran ramai pemimpin PAS – antaranya Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan timbalannya, naib-naib presiden, anggota Dewan Harian, Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat serta AJK PAS Pusat yang lain.

Seperti biasa petugas PAS dari Kelantan, Terengganu dan Kedah datang membantu silih berganti, diikuti oleh negeri lain. Ini ternyata sebuah pilihan raya negeri yang sangat mencemaskan pemimpin Barisan Nasional.

Sebelum ini mereka tidak menyangka pembangkang melakukan kempen yang begitu intensif sekali, terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang yang telah berkampung di Sarawak sejak hari penamaan calon lagi.

Pemimpin PAS seperi Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayob, Datuk Mahfuz Omar, Ir. Nizar Jamaludin, Muhamad Sabu, Ir. Khalid Samad, Dr. Mariah Mahmud dan pemimpin lain berulang alik dari Semenanjung ke Sarawak. Dalam masa yang sama pemimpin PKR juga demikian.

Ini menunjukkan pilihan raya negeri Sarawak kali ini sangat luar biasa. Ia sebenarnya adalah pertarungan paling sengit antara BN dan Pakatan Rakyat.

Isu yang sangat mendominasi dalam pilihan raya kali ini ialah perampasan tanah rakyat yang sangat ketara, kemiskinan yang sangat mencengkam, isu kekayaan Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud dan suku sakatnya, pembangunan desa yang terabai.

Ada kawasan pedalaman, khabarnya, masih menggunakan air hujan kerana selama ini tiada bekalan air paip, jurang kaya miskin yang sangat ketara, isu Al Kitab yang tidak selesai, diskriminasi berleluasa dan banyak lagi.

Kesemua 71 kerusi Dun di Sarawak menyaksikan perebutan antara BN, Pakatan Rakyat, Parti Cinta Malaysia (PCM), Parti Ekonomi Rakyat Sarawak (PERS) mahupun calon bebas, bermula hari ini sehinggalah hari pengundiannya pada 16 April 2011.

BN bertanding di kesemua 71 kerusi, iaitu PBB-35, SUPP-19, PRS 9 dan SPDP-8, sementara PR bertanding untuk 69 kerusi (PKR-48, DAP-15, PAS-5). SNAP membariskan 26 orang calon, sementara PCM bertanding untuk 6 kerusi, dan terdapat seramai 41 orang calon bebas dalam PRN Sarawak 2011.

Sebanyak 27 Dun menyaksikan pertembungan ‘satu lawan satu’; 2 kawasan menyaksikan pertandingan tiga penjuru, dan 17 kawasan menyaksikan pertarungan empat penjuru.

Terdapat satu kawasan Dun yang menyaksikan pertandingan lima calon, dan satu lagi enam calon. Begitu hebat sekali.

Kerajaan BN Sarawak menerima tamparannya pada tahun 2006 apabila pembangkang berjaya merampas sembilan kerusi dari tangannya. Bagaimanapun, pembangkang akhirnya hanya tinggal tujuh kerusi, setelah dua ADUN yang terpilih menyertai BN. PKR menang kerusi Padungan menerusi Dominique Ng, sementara DAP merangkul enam kerusi, termasuklah Kidurong, Bt Assek, Meradon,  Pending, Kota Sentosa dan Batu Lintang.

Masih menjadi ramalan apakah ‘tsunami politik’ yang melanda Semenanjung Malaysia pada 8 Mac 2008 bakal memberi kesan terhadap bumi kenyalang ini?

Kajian Merdeka Review

Kajian Merdeka Review menyenaraikan kerusi-kerusi yang disandang BN, tetapi besar kemungkinan ditembusi Pakatan Rakyat atau pembangkang pada PRN Sarawak ini.

Kerusi BN yang mungkin dirampas Pakatan Rakyat menurut Merdeka Review itu, ialah:

N24 Beting Maro (Parlimen: Batang Lupar)

Mungkinkah ia menjadi kerusi Dun pertama yang dimenangi PAS di Sarawak? Dalam PRN Sarawak 2006, PAS hanya tewas dengan perbezaan 896 undi. Calon PBB Bolhassan bin Di @ Ahmad Di memperolehi 2,796 undi, sementara calon PAS Alem bin Din mendapat 1,901 undi.

Kali ini, Abang Ahmad Kerdee Abang Masadus menyarung jersi PAS dalam percubaannya untuk membuka lembaran baru dalam sejarah PAS di Bumi Kenyalang. Beliau berdepan dengan Razali Ghapor dari PBB.

N30 Saribas (Parlimen: Betong)

PBB hanya menang dengan majoriti 94 undi dalam PRN Sarawak 2006, menewaskan calon PKR Abang Zulkifli bin Abang Engkeh. Abang Zulkifli bertanding semula di kawasan ini, berdepan dengan calon PBB Ricky @ Mohammad Razi Sitam.

N20 Sadong Jaya (Parlimen: Batang Sadong)

Calon PKR tewas dalam PRN Sarawak 2006 dengan hanya perbezaan 858 undi, kepada calon PBB. Kali ini, PKR memberi laluan kepada calon PAS, Abang Eddy Allyanny untuk bertanding kawasan Dun ini dengan cara menukar kerusi Senadin. Abang Eddy berdepan dengan Aidel Lariwoo dari PBB dan calon Bebas Mahayudin bin Wahab.

N25 Balai Ringin (Parlimen: Sri Aman)

Perang tiga penjuru dalam PRN Sarawak 2006 menyaksikan pertembungan antara calon PRS, SNAP dan Bebas. Seandainyn dijumlahkan undi yang diperolehi calon SNAP (1559 undi) dan bebas (742 undi), maka PRS-BN hanya menang dengan lebihan 774 undi.

Kali ini, pertandingan tiga penjuru digandakan, antara calon PRS Snowdan Lawan, calon PKR Ibi anak Uding, dan calon SNAP Dan Giang, Lipeh anak Mawi (PCM), Cobbold Ak Lusoi (bebas) dan Suji anak Gansi (bebas).

N28 Engkelili (Parlimen: Lubok Antu)

Calon SNAP Johnichal Rayong Anak Ngipa berjaya menewaskan Jonathan Krai Pilo dengan majoriti 426 undi dalam PRN Sarawak 2006. Bagaimana pun, Johnichal kemudiannya menyertai BN menjurus kepada kehilangan satu kerusi daripada pembangkang.

Kali ini, Johnichal Rayong bertanding atas tiket SUPP, menentang calon PKR Marudi @ Barudi anak Mawong, Jimmy Simon Ma (bebas) dan calon SNAP Semijie Anak Janting.

N29 Batang Ai (Parlimen: Lubok Antu)

Nicholas Bawin Anak Anggat bertanding atas tiket SNAP dalam PR Sarawak 2006, kalah hanya dengan perbezaan 806 undi. Bagaimanapun, dalam PKR Batang Ai pada April 2009, BN berjaya menewaskan Jawah Gerang (KeADILan) dengan majoriti 1,850 undi.

Kini, Nicholas Bawin pula bertanding dengan menyarung jersi PKR. PRS-BN meletakkan Malcom Mussen anak Lamon untuk mempertahankan kerusi ini. PRS-BN dijangka berdepan dengan pertarungan sengit, kononnya banyak janji yang ditaburkan ketika PKR Batang Ai 2009 belum dikota.

N70 Ba’kelalan (Parlimen: Lawas)

Baru Bian tewas dengan perbezaan hanya 475 undi dalam PR Sarawak 2006. Selain pengaruhnya di kalangan Kristian, Pengerusi PKR Sarawak ini juga seorang peguam yang banyak mengendalikan kes tanah adat. Baru Bian pernah dijulang sebagai Ketua Menteri di laman sosial Facebook, seandainya Pakatan Rakyat berjaya memerintah di Sarawak. Beliau berdepan dengan calon SPDP-BN, Willie Liau.

N39 Repok (Parlimen: Sarikei)

SUPP menang dengan majoriti 576 undi dalam PRN Sarawak 2006. Kali ini, DAP meletakkan calonnya Wong Hua Seh untuk bertembung dengan David Teng Lung Chi.

N48 Pelawan (Parlimen: Sibu)

SUPP menang dengan majoriti 263 undi dalam PRN Sarawak 2006 di kawasan yang terdiri daripada 90% pengundi Cina ini. Bagaimana pun, DAP memperolehi lebihan 3,491 undi daripada kawasan ini dalam PRU 2008, untuk kerusi parlimen Sibu. Dalam PRK Sibu 2010, DAP melebarkan jurangnya dengan SUPP, apabila meperolehi 5,469 undi, mengatasi SUPP. Calon DAP David Wong K Woan akan berdepan dengan calon SUPP-BN, Vincent Goh Chung Siong (BN-SUPP).

N47 Bawang Assan (Parlimen: Sibu)

Timbalan Setiausaha SUPP Wong Soon Koh menang dengan  majoriti 2,504 undi dalam PRN Sarawak 2006. Bagaimana pun undi majoritinya menunjukkan pola penurunan, jika dilihat kepada keputusan PRU 2008 (tinggal majoriti 1,458 undi) dan PRK Sibu 2010 (866 undi). Kali ini, Wong berdepan calon DAP Alice La
Kiong Yieng.

N46 Dudong (Parlimen: Lanang)

SUPP menang dengan majoriti 408 undi dalam PRN Sarawak 2006. Kali ini, SUPP meletakkan ahli parlimen Lanang, Tiong Thi King untuk mempertahankan kerusi ini, berdepan dengan cabaran Yap Hoi Liong.

N 43 Ngemah (Parlimen: Kanowit)

Kerusi ini dimenangi calon bebas Adeh Ak Denong dengan major 549 undi dalam pertandingan tiga penjuru bersama calon PRS dan SNAP. Bagaimana pun, Adeh Ak Denong menyertai BN selepas menang dalam PRN Sarawak 2006. PKR meletakkan calonnyn Aris anak Alap, berdepan dengan Alexandar Vincent dari PRS-BN Adeh Ak Denong dari PCM, Yakup Khalid (bebas) dan Micheal Anak Lias dari SNAP.

N 57 Belaga (Parlimen: Hulu Rajang)

Kerusi ini dimenangi calon PRS-BN Liwan Lagang dengan majoriti 227 undi, dalam pertandingan tiga penjuru yang melibatkan calon SNAP John Bampa dan calon bebas Stanley Ajang Batok dalam PRN Sarawak 2006. Stanley memperolehi 1,628 undi dan John Bampa memperolehi 912 undi. Dengan kata lain, jumlah undi kedua-dua calon ini melebihi jumlah undi yang diperolehi calon BN. Lingkungan kawasan Dun Belaga merangkumi Sungai Asam iaitu tempat kediaman kira-kira 10 ribu penghuni yang dipindah kerana pembinaan Empangan Bakun.

Kali ini, 6 calon mengambil bahagian dalam pertandingan Dun Belaga, iaitu penyandangnya Liwan Lagang, calon PKR Basa Kesing @ Ali Basah Kesing, calon SNAP John Bampa @ Tusau dan wakil PERS Michael Jok dan dua orang calon bebas Matthew ak Munan dan Kenneth Adan Silek.

Ada beberapa kerusi yang menjadi tumpuan umum, meskipun tidak semestinya dirampas dari tangan BN. Antaranya:

N51 Balingian (Parlimen: Mukah)

Pada tahun 2006, Abdul Taib Mahmud memenangi 6,393 undi sementara calon Ibrahim Bayau dari PKR hanya memperoleh 667 undi. Ketua Menteri yang memerintah untuk 30 tahun Sarawak ini dijadikan sasaran dalam PRN Sarawak 2011, berikutan tempoh pemerintahannya yang terlalu lama, malah terpalit dengan tuduhan rasuah, sebagaimana yang dibongkarkan media dan pembangkang.

PKR meletakkan Suriati Abdullah untuk menentang beliau, pada yang sama beliau juga dicabar oleh sepupunya, Salleh Jafaruddin yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran.

N13 Batu Kawah (Parlimen: Stampin)

Meskipun menang dengan majoriti 4,180 undi pada tahun 2006 namun kerusi Dun ini merupakan satu-satunya kawasan majoriti Cina yang masih dipertahankan SUPP di Kuching. Penyandangnya, Tan Joh Phoi dari SUPP berdepan dengan cabaran Christina Chiew Wang See dari DAP.

N63 Piasau (Parlimen: Miri)

Kerusi yang dimenangi Presiden SUPP George Chan dengan majoritin 3,918 undi. Beliau berdepan dengan cabaran Ling Sie Kiong dan DAP.

N64 Pujut (Parlimen: Miri)

SUPP menang dengan majoriti 1,370 undi dalam PRN Sarawak 2006. Chia Chu Fatt meraih 55.5% undi popular, namun undi popular menurun 8.8% di kawasan ini untuk BN dalam PRU 2008 (Parlimen Miri). Dalam PRN Sarawak 2011, Chia Chu Fatt akan berdepan dengan Fong Pau Teck.

Dua kerusi yang bahaya untuk Pakatan Rakyat

N 11 Batu Lintang (Parlimen: Stampin)

Kerusi DUN ini dimenangi calon DAP dalam PRN Sarawak 2006 dengan majoriti 3,407 undi. Bagaimanapun, kerusi ini ditukar dengan DUN Padungan, untuk menyelesaikan pertikaian antara DAP dengan PKR. Dengan rombakan tersebut, Voon Lee Shag dari DAP dan Dominique Ng dari PKR tersingkir dari senarai calon. Kini, kerusi ini ditanding oleh See Chee How dari PKR bersama Sih Hua Tong (SUPP-BN), dan Soo Lina (Bebas). Soo Lin dilihat sebagai penyokong Dominique Ng.

N 9 Padungan (Parlimen: Bandar Kuching)

Satu-satunya kerusi DUN yang dimenangi PKR dalam PRN Sarawak 2006, dengan majoriti 1,417 undi. DAP diberi laluan untuk bertanding di kawasan ini, dan PKR sebaliknya bertanding di Dun Batu Lintang. Keputusan ini mencungkil ketidakpuasan penyandangnya, Dominique Ng, yang bertanding kali ini sebagai calon bebas. Beliau berdepan dengan Sim Kiang Chiok dari SUPP dan Wong King Wei dari DAP. Demikianlah menurut kajian Merdeka Review.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: