Taufan Wan Mokhtar 1999 kini landa Taib

M Faqih Foto Rizal Tahir

KUCHING, 14 April: AGAM, sama usia dengan Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Beliau tinggal di Kampung Batu Boya. Anehnya Agam seperti menyesal tidak sudah kebelakangan ini. Tanahnya seluas seekar sudah terlepas ke tangan pemaju.

Kini dia hanya ada tapak rumah sahaja. Namun apa yang dimusykilnya sehingga ke hari ini tanah itu dibayar hanya RM25,000, sedangkan kenalannya Uncle Lim, mendapat hampir RM1 juta.

Tanah Lim juga diambil pemaju. Keluasannya serupa. Agam sedih mengenangkan nasib keluarganya. Hari ini barulah dia tahu tanah kenalannya ada ’land title’. Agam hanya mengaru kepalanya yang semakin licin.

(Gambar kanan: Doa untuk kejayaan Pakatan Rakyat di Sarawak)

Tanah seekar itu diwarisi sejak turun temurun. Biar pun tanah itu hak milik keluargannya tetapi tiada ’land title’.

Rupa-rupanya bukan hanya Agam yang mengalami nasib begitu, sebaliknya ramai lagi penduduk peribumi termasuk Iban, Bidayuh dan Melayu-Melanau. Lebih-lebih lagi Orang Ulu yang tinggal jauh di pedalaman Sarawak.

Malang sungguh bagi Agam kerana Taib yang acap kali ditonton di televisyen sekarang sudah kaya raya. Taib, 75 juga ada isteri muda lagi cantik pula.
Taib menduduki kerusi Ketua Menteri Sarawak pada 26 Mac 1981. Beliau menggantikan bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Yaakob.

Selepas mengangkat sumpah, Taib menubuh lembaga yang dinamakan sebagai Agensi Pembangunan Tanah (Pelita). Ketua Menteri menjadi pengerusinya. Beliau juga bertindak sebagai Menteri Perancangan dan Pembangunan Sumber.

Sesiapa sahaja yang menerajui jawatankuasa tersebut dikatakan mempunyai kuasa ’ajaib’ bagi mengagihkan tanah kepada sesiapa sahaja.

Berlapik atas nama pembangunan tanah-tanah tradisi penduduk asal hari ini semakin berkurang sedikit demi sedikit. Lebih malang lagi adapenduduk mendakwa tanah tradisi mereka didatangi syarikat-syarikat pembalakan dan perladangan.

Ramai juga penduduk tidak menyedari tanah adat Bumiputera (NCR) mereka telah disukat orang lain.

Di Batu Boya, Samarahan ramai orang seperti Agam dirundung nasib malang. Namun saban hari Taib menjaja melalui media harian kehidupan rakyat sudah jauh terbela sekarang.

Akhirnya tanah-tanah NCR terlepas dengan mudah kepada pihak lain. Inilah kesedaran baru yang berputik di jiwa Agam sekarang. Agam berjanji pada dirinya sendiri mahu melepaskan geram pada 16 April ini.

”Biarlah Taib tahu siapa sebenarnya kami,” kata Agam. Pegawai kerajaan pusat yang bertugas di Kuching itu menganguk-anguk. Mereka bersembang di sebuah kedai kopi di Samarahan.

Pegawai dari Semenanjung itu sudah bertugas lebih 20 tahun di Kuching. Dia hanya mampu mengeleng-ngeleng kepala tanda simpati terhadap nasib
Agam.

Baginya sudah banyak cerita seperti itu menerjah telinganya sejak menjejak kaki di bumi Kenyalang.

Maka tidak hairanlah sehingga kini lebih 200 kes tanah adat sudah dibawa ke mahkamah. Hakikat itu juga diakui seorang peguam, Baru Bian. Beliau juga Pengerusi PKR Sarawak.

“Kalau kita lihat di pedalaman banyak kerusi di kawasan ini diwakili masyarakat Dayak. Terdapat 29 daripada 71 kerusi semuanya.

“Bagi Melanau dan Melayu ada 26 kerusi. Ertinya di seluruh Sarawak, bukan hanya satu kawasan sahaja yang terlibat dengan masalah NCR, tapi juga berlaku di Sematan, Lundu, Sibu, Miri, Kelimau dan Lawas.

”Itu sebab NCR menjadi isu panas,” katanya dalam satu rancangan terbitan TV Selangor, dua minggu lalu. Baru memberitahu NCR merupakan isu besar yang boleh menghalang kemenangan BN.

Taib telah diberi peluang selama 30 tahun untuk menyelesaikan masalah NCR, namun nampaknya beliau tidak bersungguh-sungguh melakukannya. Sebab itulah menjelang 16 April ini Taib kelihatan gelabah sekali. Gundah pilihan raya kecil parlimen Sibu Mei tahun lalu juga belum reda.

Ketua Menteri paling lama dalam sejarah di Sarawak itu tidak jangka DAP mampu memenangi pilihanraya kecil Sibu. Soal menang dengan majoriti tipis sebanyak 398 undi bukan lagi perkara penting.

Pada pilihan raya tersebut calon DAP mendapat 18,845 undi dan BN (18,447 undi). Peratusan keluar mengundi 70 peratus.

Biar pun ketika kempen, BN yakin dapat mengekalkan kerusi tersebut namun  hakikatnya kewujudan pengundi Cina sehingga 67 peratus cukup mendebarkan.

Tsunami Mac 2008 yang melanda semenanjung ternyata sudah berolak ke Sarawak.

Calon DAP, Wong Ho Leng mendapat sokongan kira-kira 64 peratus daripada jumlah pengundi kaum Cina, manakala calon BN Robert Lau Hui Yew dari dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hanya sekitar 36 peratus.Manakala calon Bebas, Narawi Haron hanya mendapat 232 undi.

Biar apa sekali pun alasan diberi Taib dan BN, rasa tidak senang pengundi terhadap SUPP tidak mampu lagi disembunyikan masyarakat Cina Sarawak.

Malah kebenaran dakwaan itu turut dirasai Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan.

“Lebih 50 peratus pengundi berasa tidak senang dengan SUPP, sudah pasti kami perlu turun ke akar umbi untuk mengetahui puncanya,” katanya sejurus selepas pilihan raya tersebut selesai.

Bagi melegakan ombak di dada, Dr George Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri hanya mampu berkata, parti itu akan mengadakan bedah siasat untuk mengetahui faktor SUPP ditolak pengundi.

Kecewanya membuak apabila menyebut “Kita tidak tahu mengapa mereka tidak gembira dengan SUPP.”

SUPP juga ditolak di enam kerusi majoriti Cina pada pilihan raya negeri 2006. Di kerusi parlimen Kuching juga SUPP tidak diterima rakyat. Sebaliknya DAP menguasai kerusi tersebut melalui Chong Chieng Jen.

Berdasar kepada fenomena di Sibu, jelaslah hanya kaum Melayu dan Dayak yang masih menjadi tulang belakang BN di Sarawak. Sokongan sehingga 75 peratus masyarakat Melayu/Melanau dan Dayak boleh menjadi penyelamat.

Namun BN tidak mampu mendabik dada memandangkan 15 kerusi Dun didiami majoriti masyarakat Cina. Maka tidak hairanlah ada ramalan menyebut BN mungkin sukar menguasai kesemua Dun terbabit.

Sebaliknya bagi pengundi Melayu/Melanau undi BN boleh terjejas angkara Datuk Trio atau Trio Umno yang diketuai Tan Sri Rahim Tambi Chik (RTC). Ciptaan isu video seks yang dikatakan mirip pemimpin Pakatan Rakyat memualkan mereka.

Ramai orang Melayu di Sarawak tidak mudah menerima bulat-bulat apa yang dipersembahan.

Mereka sependapat dengan Mufti Perlis yang berasal dari Sarawak, Dr Juanda Jaya.

Dalam surah al-Hujurat, disebut, ”Apabila datang berita daripada orang fasik, hendaklah kamu selidik dahulu berita itu.”

“Dan kalau tidak cukup empat saksi, sepatutnya penuduh dikenakan hukuman Qazaf. Hukum orang fasik dia tak layak lagi menjadi saksi untuk sebarang kes,” ujarnya seperti dilapor laman berita baru-baru ini.

Seorang kakitangan kerajaan di Sibu menyebut, semua orang kenal siapa RTC.

“Skandal lama membabitkan dirinya sudah cukup untuk orang ramai mengenali siapa bekas Ketua Menteri Melaka itu,” ujar penjawat awam itu.

Kalau ada yang masih keliru pun, mereka yang berada di sekeliling pinggang Ketua Menteri Sarawak.  Alasan mereka kerana takut terlepas projek segera anugerah Taib dan kerajaan BN. ”Tanpa Taib hidup mereka pasti berubah,” dakwa pegawai tadi.

BN Sarawak sekarang hanya bergantung kepada 56 kerusi majoriti Bumiputera. Bagaimanapun isu rampasan Alkitab tidak boleh dipandang mudah. Ini
kerana sebahagian kaum Melanau ada juga beragama Kristian.
(Gambar: Petugas PAS dari Semenanjung bergambar kenangan dengan rakan-rakan mereka di Sarawak)

Malah kata penganalisis politik punca kemenangan DAP di Sibu tahun lepas juga ada kaitan isu terbabit.

Dr Jeneri Amir dari Unimas juga bersetuju isu Alkitab telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan masyarakat Bumiputera Kristian.

Seorang lagi pensyarah universiti mendakwa sekiranya mubaligh atau paderi mengambil pendirian, ia boleh mempengaruhi undi penganut Kristian di Sarawak.

Jeniri juga memberitahu dalam beberapa kes menjelang pilihan raya 16 April ini, jalan-jalan menunju ke rumah panjang penduduk yang menyokong pembangkang tidak lagi diturap, manakala lampu jalan dipadamkan.

Benarkah begitu.

Sekarang ada tiga isu besar berada di tangan rakyat Sarawak. Satunya liabiliti Taib, kedua, isu NCR dan ketiga, Alkitab. Isu paling besar ialah kekecewaan rakyat Sarawak terhadap Taib. Maka tidak hairanlah sebuah NGO, Movement for Change Sarawak (MoCS) minggu lalu memberi tempoh sehingga 13 Ogos kepada Taib meletak jawatan.

Pengerusinya, Francis Paul Siah mendakwa MoCS akan menggerakkan kuasa rakyat jika Taib gagal berbuat demikian. Tunggulah sejarah Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad di Terengganu pada 1999 sedang berpusar menuju ke Sarawak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: