NATO setuju Gaddafi berundur

BEBERAPA pemberontak bersolat di sebuah gurun di pinggir bandar Ajdabiya, Libya semalam.

PARIS – Negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) semalam menegaskan bahawa tujuan utama mereka di Libya adalah untuk menamatkan pemerintahan rejim Muammar Gaddafi.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton menyatakan dunia mesti meningkatkan sokongan kepada pemberontak Libya yang menentang kepimpinan Gaddafi. Usaha menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya menjadi agenda utama dalam mesyuarat dua hari menteri-menteri luar 28 buah negara anggota NATO.

Serangan udara selama tiga minggu yang dilihat gagal melemahkan tentera Gaddafi nyata memberi tekanan kepada tentera sekutu Barat.

Walaupun bersetuju Gaddafi mesti disingkirkan, mereka kurang pasti bagaimana untuk merealisasikannya.

Itali mencadangkan supaya kuasa Barat membekalkan senjata kepada kumpulan pemberontak.

Menurut jurucakap Kementerian Luar Perancis, Bernard Valero berkata, pihaknya menyifatkan tindakan NATO masih belum cukup.

Malah beliau menggesa negara-negara lain supaya mengenakan tindakan yang lebih berkesan dan pantas.

Kumpulan pemberontak pula meminta tentera AS untuk kembali memegang peranan lebih besar dalam kempen serangan udara.

Namun, pentadbiran Presiden Barack Obama dilihat berpegang dengan pelannya yang ingin kekal sebagai penyokong.

Jabatan Pertahanan AS menegaskan Washington telah menerbangkan 35 peratus misi tentera udaranya dalam tempoh 10 hari lepas.

“Memandangkan misi kita berterusan, perpaduan antara anggota NATO amat penting. Gaddafi sedang menguji kesungguhan kita.

“NATO perlu meningkatkan misi politik, diplomatik dan ekonomi untuk menekan dan menjatuhkan rejim Gaddafi,” kata Hillary.

Setiausaha Agung NATO, Anders Fogh Rasmussen menegaskan pihaknya benar-benar terlibat dalam operasi-operasi untuk melindungi rakyat Libya selain mengambil apa jua langkah bagi menghalang serangan kejam dan sistematik tentera Gaddafi.

Dalam mesyuarat yang sama, NATO turut mengutarakan usaha-usaha untuk menyerahkan tanggungjawab keselamatan di Afghanistan kepada pihak berkuasa negara tersebut.

Pergolakan di Libya bermula pada 15 Februari lalu ekoran kejayaan penunjuk perasaan yang berjaya mengakibatkan Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan sebagai Presiden Tunisia pada Januari lalu.

Pemberontakan itu juga mendapat ilham kejayaan para penunjuk perasaan yang berjaya mengakibatkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden Mesir pada Februari lalu.

Setakat ini, pertempuran masih berlaku melibatkan para pemberontak dengan tentera Gaddafi di Libya.

NATO kini mengambil kawalan menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya daripada tentera bersekutu diketuai AS. – Agensi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: