PAS hormati keputusan rakyat

Aziz Muda

KUCHING, 16 April: PAS menghormati keputusan yang telah diumumkan dan akur dengan keputusan itu, walaupun gagal untuk memenangi sebarang kerusi pada PRN Sarawak Ke-10 tahun ini, termasuk di kawasan-kawasan yang dijangka akan melahirkan anak sulungnya.

Namun PAS sedar dan berbangga dengan pencapaian yang telah diperolehi yang jelas memperlihatkan peningkatan sokongan rakyat Sarawak secara keseluruhan terhadap PAS, sekali gus memberikan petanda masa depan PAS yang cukup baik di Sarawak.

Timbalan Presiden PAS yang juga Pengarah pilihan raya ini, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata, peningkatan baik yang diterima oleh PAS amat ketara di Dun Beting Maro yang terletak dalam kawasan Parlimen Batang Lupar, apabila hanya kalah dengan majoriti sekitar 400 undi kepada BN, berbanding PRN Sarawak tahun 2006 sebanyak 800 undi.

Menurut beliau, begitu juga di Dun Tanjung Datu yang terletak dalam kawasan Parlimen Santubung dan Dun Muara Tuang yang terletak dalam kawasan Parlimen Kota Samarahan yang baru pertama kali ditandingi, tetapi turut memperlihatkan sokongan yang amat baik di kalangan pengundi di kawasan itu terhadap PAS.

Katanya, namun PAS amat kesal dengan laporan dan analisis yang dibuat oleh Astro Awani awal malam ini yang amat jauh menyimpang dari kebenaran dengan mengatakan PAS mengalami kekalahan sebanyak 2,000 undi di Beting Maro.

“Laporan dan analisis Astro Awani itu ternyata tak betul. Malah sebenarnya sokongan para pengundi di Beting Maro terhadap PAS ternyata semakin meningkat sehingga hanya kalah dengan majoriti undi yang amat kecil sebanyak 391 undi sahaja,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Walaupun kalah bagi kesemua kawasan yang ditandingi, menurut beliau, perkembangan dari PRN Sarawak Ke-10 ternyata semakin memberikan sinar kepada PAS untuk menempa kejayaan lebih gemilang pada masa akan datang.

“Dengan perkembangan yang baik ini, PAS tidak akan patah semangat untuk melakukan gerak kerja yang lebih baik di Sarawak sama ada dari sudut politik dan sudut-sudut lain.

“Malah, PAS pasti akan berusaha untuk mempertingkatkan lagi usaha di Sarawak dari semasa ke semasa bagi menghadapi pilihanraya akan datang demi kepentingan rakyat Sarawak termasuk dalam politik dan bidang-bidang lain,” tegasnya.

Beliau mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para pengundi di Sarawak yang telah memilih PAS dalam pilihanraya tahun ini.

“Jutaan terima kasih juga saya ucapkan kepada jentera PAS di semua peringkat, sama ada dari kalangan jentera tempatan dan juga jentera-jentera PAS dari luar, yang telah bertungkus lumus berusaha membantu PAS untuk mencapai kemenangan sejak awal kempen hingga hari pengundian.

“Inilah semangat yang PAS mahu dan inilah semangat yang cukup baik yang telah ditunjukkan oleh jentera-jentera PAS dari semua peringkat termasuk dari kalangan jentera tempatan dan jentera-jentera PAS dari luar Sarawak,” tegasnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: