Teladan Para Sahabat Menghadapi Kemelut Kepimpinan

Oleh: dreamkiller

Islam adalah sebuah agama yang telah lengkap lagi menyeluruh meliputi setiap persoalan kehidupan alam manusia. Ini termasuklah dalam urusan bermu’amalah terhadap para pemimpin. Dalam perkara ini, Islam amat memandang tinggi kedudukan seorang pemimpin bersesuaian dengan tugas dan beratnya tanggungjawab yang dipikul oleh pemimpin itu sendiri. Dalam sebuah hadis disebutkan:


السلطان ظل الله في الأرض فمن أكرمه أكرم الله ومن أهانه أهانه الله


“Sultan (pemimpin) itu adalah naungan Allah di bumi, sesiapa yang menghinanya, maka Allah akan menghinakannya dan sesiapa yang memuliakannya, nescaya Allah akan memuliakan dia.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi, Syu’abul Iman, 6/17, no. 7373. Dinyatakan hasan oleh al-Albani, Dzilalil Jannah, 2/224, no. 1024)


Imam al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H) menyatakan:


لا يزال الناس بخير ما عظموا السلطان والعلماء، فإن عظموا هذين أصلح الله دنياهم وأخراهم، وإن استخفوا بِهذين أفسدوا دنياهم وأخراهم


“Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mana mereka menghormati sultan (pemimpin) dan para ulama. Maka sekiranya mereka menghormati keduanya ini, Allah akan memberikan kebaikan kepada kehidupan dunia dan akhirat mereka. Dan sekiranya mereka menghina keduanya, maka Allah akan merosakkan kehidupan dunia dan akhirat mereka.” (al-Qurthubi, al-Jami’ li Ahkamil Qur’an, 5/260)


Namun sayangnya, pada masa ini banyak sekali umat Islam yang melupakan adab dalam bermuamalah terhadap pemimpin. Mereka memiliki sikap yang cepat emosi dan mudah melenting hanya disebabkan oleh beberapa kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin. Dalam perkara ini, Dr. Khalid Ali al-Anbari hafizahullah berkata dalam kitabnya, Fiqhus Siyasah asy-Syar’iyyah, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mewajibkan ke atas umat ini supaya menghormati dan memuliakan para pemimpin. Pada waktu yang sama, baginda melarang mencaci mereka dan menyebut-nyebut kekurangan serta kelemahan mereka kerana ianya hanya akan menyebabkan kebencian rakyat kepada mereka bahkan juga akan membawa kepada kejahatan, kerosakan, kederhakaan, dan permusuhan.”


Sekiranya para pemimpin ada yang melakukan kesalahan atau terjebak ke dalam perbuatan maksiat, Islam juga telah menyediakan sebuah garis panduan yang begitu indah bagi tujuan menasihati mereka kerana para pemimpin adalah manusia biasa seperti manusia-manusia yang lainnya juga yang tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Adab menasihati pemimpin ini telah ditunjukkan dengan baik oleh para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, antaranya Usamah B. Zaid ketika ditanya sama ada dia tidak pernah menasihati khalifah Utsman.


Seseorang bertanya kepadanya (Usamah), “Adakah engkau tidak menemui ‘Utsman dan menasihatinya?” Maka Usamah menjawab, “Adakah engkau menganggap bahawa aku tidak menasihatinya melainkan aku perlu memperdengarkannya (memberitahu) kepadamu? Demi Allah, aku telah menasihatinya dengan empat mata (antara aku dengannya). Aku tidak akan membuka perkara (fitnah) di mana aku tidak menyukai sekiranya aku adalah orang pertama yang membukanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 11/46, no. 3027. Muslim, 14/261, no. 5305)


Adab yang mulia inilah yang telah dicontohkan oleh para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah dari dahulu hingga kini. Serta golongan yang mengikuti prinsip-prinsip mereka dengan baik.


Imam asy-Syaukani rahimahullah berkata dalam kitabnya as-Sailul Jarrar, “Mereka yang menyedari berkenaan kesalahan pemimpin, hendaklah dia berusaha menasihatinya tanpa menyebarkannya di hadapan orang ramai (khalayak umum). Tetapi hendaklah dia berbincang secara empat mata di dalam rangka menasihatinya, tidak merendahkan atau menjatuhkan maruah dan martabatnya, serta tidak memperlekehkannya sebagaimana yang terdapat di dalam hadis.”


Telah tercatat dalam sejarah di era para sahabat berkenaan kekejaman seorang gabernor di bawah pemerintahan Khalifah Malik bin Marwan yang bernama al-Hajjaj bin Yusuf as-Tsaqafi. Di mana dia (al-Hajjaj) telah membunuh sehingga ribuan jiwa. Sahabat yang mulia seperti Abdullah B. Mas’ud, Abdullah bin Zubair, dan tabi’in Sa’id B. Jubair juga turut terbunuh. Tetapi, bagaimanakah Sikap para sahabat yang lain pada ketika itu, adakah mereka bertindak mengumpulkan kekuatan untuk memberontak? Demi Allah, tidak sama sekali, bahkan mereka tetap menganjurkan untuk mendengar dan taat dalam hal-hal yang makruf. Zubair bin Adi berkata, “Kami mendatangi Anas bin Malik mengeluhkan perihal al-Hajjaj. Anas pun menjawab, “Bersabarlah, kerana tidaklah datang sebuah zaman kecuali yang setelahnya akan lebih buruk sehingga kamu berjumpa dengan Tuhan kamu, aku mendengar ini dari Nabi kamu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)


Walaupun kedua-dua pemimpin ini begitu zalim dan fasiq, membunuh ribuan nyawa para ulama dari generasi terbaik umat manusia, minum arak terang-terangan, solat dalam keadaan mabuk, dan merosakkan ka’abah dengan manjaniq, tetapi para sahabat dan tabi’in yang hidup pada ketika itu tetap tidak melepaskan tangan ketaatan kepadanya. Bahkan para sahabat bersama-sama para ulama lainnya yang merupakan salafus soleh bagi kita, tetap bersolat bersama-sama imam mereka, al-Hajjaj B. Yusuf ats-Tsaqafi tersebut.


Sebelum dari itu, di ketika berlakunya fitnah al-Hurrah iaitu ketika penduduk Madinah bertindak memberontak kepada kepimpinan Yazid B. Mu’awiyah atas alasan Yazid adalah seorang pemimpin yang fasiq, Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma pun tampil memberi peringatan. Beliau bergegas mengumpulkan ahli keluarganya serta bertemu dengan tokoh-tokoh utama dalam misi pemberontakan tersebut.


Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnadnya berkenaan tindakan Ibnu ‘Umar tersebut sebagaimana berikut:


عَنْ نَافِعٍ قَالَ: لَمَّا خَلَعَ النَّاسُ يَزِيدَ بْنَ مُعَاوِيَةَ جَمَعَ ابْنُ عُمَرَ بَنِيهِ وَأَهْلَهُ، ثُمَّ تَشَهَّدَ، ثُمَّ قَالَ: أَمَّا بَعْدُ، فَإِنَّا قَدْ بَايَعْنَا هَذَا الرَّجُلَ عَلَى بَيْعِ اللهِ وَرَسُولِهِ، وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: ” إِنَّ الْغَادِرَ يُنْصَبُ لَهُ لِوَاءٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يُقَالُ: هَذِهِ غَدْرَةُ فُلَانٍ”، وَإِنَّ مِنْ أَعْظَمِ الْغَدْرِ أَنْ لَا يَكُونَ الْإِشْرَاكُ بِاللهِ تَعَالَى، أَنْ يُبَايِعَ رَجُلٌ رَجُلًا عَلَى بَيْعِ اللهِ وَرَسُولِهِ، ثُمَّ يَنْكُثَ بَيْعَتَهُ ، فَلَا يَخْلَعَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمْ يَزِيدَ، وَلَا يُشْرِفَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمْ فِي هَذَا الْأَمْرِ، فَيَكُونَ صَيْلَمٌ بَيْنِي وَبَيْنَهُ


Daripada Nafi’, beliau berkata, “Ketika manusia keluar dari ketaatan terhadap pimpinan Yazid B. Mu’awiyyah, maka Ibnu ‘Umar pun bergegas mengumpulkan anak-anak dan keluarganya kemudian bertasyahud dan berkata, “Amma ba’du, sesungguhnya kita telah memberi kepercayaan (bai’ah) ke atas orang ini (iaitu Yazid B. Mu’awiyyah) dengan sebab ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan benar-benar aku telah mendengar Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:


“Sesungguhnya bagi seorang pengkhianat akan ditancapkan baginya bendera pada hari kiamat dan akan dikatakan kepadanya, “Inilah (bendera) pengkhianatan si Fulan.” Dan sesungguhnya pengkhianatan yang paling besar bila tidak ada pengkhianatan lain yang lebih besar dari perbuatan syirik kepada Allah, adalah seseorang yang telah memberi kepercayaan (bai’ah) kepada orang lain dalam rangka mentaati Allah dan Rasul-Nya lalu ia mengkhianati bai’ahnya tersebut.”


Maka, janganlah ada di antara kamu yang melepaskan bai’ah (ketaatan) terhadap kepimpinan Yazid (selaku pemerintah ketika itu – pent.), dan janganlah ada di antara kamu yang berlebih-lebihan dalam perkara ini sehingga dengannya menjadikan hubungan antara aku dengannya terpisah.” (Hadis Riwayat Ahmad, 9/105, no. 5088. Isnadnya sahih di atas syarat Bukhari dan Muslim)


Imam Muslim turut meriwayatkan dalam kitab Shahihnya tentang ketegasan Ibnu ‘Umar ini, iaitu ketika beliau (Ibnu ‘Umar) datang kepada ‘Abdullah B. Muthi’ radhiyallahu ‘anhu yang terlibat mengobarkan api pemberontakan dalam peristiwa al-Hurrah tersebut.


Abdullah B. Muthi’ berkata, “Berikan bantal kepada Abu ‘Abdirrahman (iaitu Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma).” Kemudian Ibnu ’Umar pun berkata:


إِنِّي لَمْ آتِكَ لِأَجْلِسَ أَتَيْتُكَ لِأُحَدِّثَكَ حَدِيثًا سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُهُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ خَلَعَ يَدًا مِنْ طَاعَةٍ لَقِيَ اللَّهَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا حُجَّةَ لَهُ وَمَنْ مَاتَ وَلَيْسَ فِي عُنُقِهِ بَيْعَةٌ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً


“Bahwasannya aku tidak datang kepadamu untuk duduk. Akan tetapi aku datang kepadamu untuk menyampaikan sebuah hadis yang aku dengar daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam iaitu beliau bersabda, “Sesiapa yang melepaskan tangan dari ketaatan (terhadap pemerintah), maka dia akan menemui Allah pada hari kiamat dalam keadaan tidak memiliki hujjah (alasan) untuk membela diri. Dan sesiapa yang mati, sedangkan tidak ada (ikatan) bai’ah (ketaatan) di lehernya, maka ia mati seperti mati dalam keadaan jahiliyyah.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/393, no. 3441)


Maka dengan itu, hendaklah kita memahaminya dengan baik. Kerana setiap apa yang datang daripada sunnah dan teladan para salaf itu adalah kebaikan sekaligus merupakan petunjuk yang wajib kita ikuti biar pun kita masih tidak mampu merungkainya. Apalah sangat jika mahu dibandingkan keadaan kita yang cukup serba-serbinya sekali-sekala menghadapi kenaikan harga minyak, harga bawang dan gula, dan tol ditambah? Bahawasanya ia masih amat ringan dengan keadaan para sahabat ketika berhadapan al-Hajjaj yang bertarung nyawa dan darah.


Dalam kisah yang lain, masih di era generasi sahabat di mana Khalifah Mu’awiyah B. Abi Sufyan radhiyallahu ‘ahu telah bertindak menahan dan menghukum bunuh Hujr B. Adi al-Kindi dengan sebab Hujr telah mencerca dan menunjukkan sikap kepembangkangan secara terbuka kepada gabernur Mu’awiyah di Kuffah. Sedangkan Hujr B. Adi al-Kindi adalah termasuk daripada kalangan sahabat (sahabat kecil), dan sebahagian ulama menyatakan beliau adalah tabi’in.


Tindakan Mu’awiyah tersebut tidak mendapat bantahan daripada kalangan sahabat yang lain, sebaliknya ia termasuk sebahagian kebenaran dan menjadi hak bagi seseorang pemimpin untuk mengelakkan fitnah dan huru-hara (bibit-bibit pemberontakan). (Rujuk penjelasannya dalam al-Awashim minal Qowashin oleh Imam al-Qadhi Abu Bakr Ibnul Arabi. Tahqiq: Muhibbudin al-Khatib, Mahmud al-Istanbuli, dan al-Maktab as-Salafi)


Oleh sebab itulah, para ulama antaranya Imam an-Nawawi, ash-Shan’ani, dan asy-Syaukani menyatakan sekiranya kelompok-kelompok penentang, pencela, dan yang suka memfitnah pemerintah ini jika sukar dibendung sikapnya, maka dibolehkan untuk diperangi dan dibunuh. Ini adalah jalan terakhir bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk seperti tercetusnya huru-hara, perpecahan, fitnah, dan mungkin pertumpahan darah.


Manakala, bagi pemimpin yang telah diberikan amanah oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk memimpin rakyatnya, hendaklah dia juga sentiasa berusaha mentaati Allah dan menjalankan amanahnya sebagai seorang pemimpin yang baik. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman yang maksudnya, “(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah al-Hajj, 22: 41)


Juga firman-Nya (bermaksud), “Wahai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.” (Surah Shad, 38: 26)


Maka, hargailah keamanan ini dengan baik dan hamparkanlah rasa penuh kesyukuran. Gunakanlah ia sebagai kesempatan dan peluang memperbaiki diri dengan ilmu, iman, dan melaksanakan amal-amal yang soleh. Hanya dengan ilmu yang benar, aqidah dan iman yang murni, dan amal-amal yang sahih sahaja yang akan menjadikan kita kembali mulia dan terus diteguhkan kedudukan di bumi ini. Ini adalah sebagaimana yang Allah sebutkan dalam Surah an-Nuur, ayat 55 (maksudnya):


“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang melaksanakan amal-amal soleh, bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan benar-benar Dia akan memperkukuhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, setelah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu apapun terhadap Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah an-Nuur, 24: 55)


Dengan itu, bimbing dan tunjukilah para pemimpin kalian dengan dakwah yang benar, bukannya dengan mencanang aib dan maki hamun. Lazimilah kesabaran sebagaimana yang ditunjukkan oleh para Nabi dan generasi terbaik umat ini dari kalangan para sahabat, tabi’in, dan tabi’ut tabi’in.


Semoga dengan baiknya diri-diri kita, akan baiklah seluruh masyarakat lainnya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah keadaan yang ada pada diri-diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya, dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” (Surah ar-Ra’d, 13: 11)


Wallahu a’lam.
Teladan Para Sahabat Menghadapi Kemelut Kepimpinan


Oleh: Abu Numair Nawawi B. Subandi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: