Perkauman: Tuduhan Mahathir tidak berasas

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 19 April: DAP berasa amat kesal dan kecewa dengan kenyataan terbaru Tun Dr Mahathir yang mendakwa bahawa parti itu telah berjaya membawa politik perkauman kepada Sarawak.

Setiausaha Politik kepada Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari berkata, tuduhan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab dan tidak berasas sama sekali.

Sebaliknya, kata beliau sindiran-sindiran yang sebegitu rupa yang menjadi punca ketegangan antara kaum di Malaysia.

Menurutnya, sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan negarawan yang dihormati ramai, beliau sepatutnya lebih matang dan tidak mengapi-apikan tohmahan yang boleh memecah belahkan rakyat.

“Sebagai seorang yang telah terlibat secara terperinci dalam proses perancangan, perangkaan strategi dan pelaksanaan kempen DAP untuk Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, saya boleh mengesahkan dengan tegasnya bahawa tiada sedikit pun unsur perkauman yang cuba dibangkitkan oleh parti kami.

“Sepanjang kempen, isu-isu yang telah kami tekankan adalah seperti masalah pentadbiran, penyalahgunaan kuasa, rasuah yang berleluasa, polisi ekonomi yang tidak memanfaatkan rakyat, inflasi yang kian melambung dan kegagalan kerajaan untuk mengatasi masalah-masalah di atas,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Mungkin, soalnya dalam pendapat Tun Dr Mahathir, hanya masyarakat Cina sahaja yang mengambil berat tentang isu-isu sedemikian.

“Bukankah itu satu penghinaan kepada rakyat Sarawak dan rakyat Malaysia secara umumnya?” tanya beliau lagi.

Sebaliknya, kata beliau pihak yang telah cuba menakut-nakutkan pengundi dengan isu-isu perkauman adalah parti-parti daripada BN seperti SUPP, PBB dan MCA.

Namun, katanya rakyat Sarawak telah membuktikan kematangan mereka kerana tidak termakan umpan bersifat parokial seperti dakwaan bahawa ‘masyarakat Cina’ akan kehilangan perwakilan dalam kerajaan jika wakil-wakil Cina daripada BN tidak berjaya dalam pilihan raya.

Beliau menambah, seperti yang sudah sedia maklum, keputusan pilihan raya jelas menunjukkan bahawa rakyat Sarawak menolak sama sekali unsur-unsur politik perkauman dan sebaliknya inginkan wakil-wakil yang memperjuangkan keadilan dan kebenaran!

Tambahan pula, ujarnya kenaikan undi yang diperolehi parti DAP bukan hanya daripada satu kaum tertentu.

“Dalam kawasan-kawasan seperti Meradong, Dudong dan Kirudong, kejayaan kami adalah hasil tambahan undi kaum Dayak yang cukup memberangsangkan,” ujarnya.

Di Batu Kawa pula, kemenangan DAP di situ tidak mungkin akan berlaku tanpa undi-undi orang Melayu/Melanau yang telah meningkat dalam sokongannya terhadap DAP.

“Hakikatnya, saya yakin bahawa Tun Dr Mahathir sedar dan memahami dinamik politik di negeri Sarawak dan juga di seluruh negara,” katanya lagi.

Tambahnya, namun disebabkan motivasi politik, beliau memilih untuk memainkan sentimen sempit perkauman untuk menjaga kepentingan BN.

Sekali lagi, katanya rakyat boleh melihat dengan sendiri bagaimana pemimpin-pemimpin BN akan menggunakan taktik pecah dan perintah untuk mengekalkan kuasa mereka.

Sebagai pengakhir kata, beliau ingin mencadangkan satu pepatah bahasa Inggeris: if you have nothing good to say, say nothing at all (jika anda tidak mempunyai apa-apa yang bernas untuk dikatakan, usahlah meluahkan walau sekata).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: