Aktivis Pakatan masih gagal manfaatkan Youtube, Facebook?

Ahmad Lutfi Othman
Walaupun saya belajar kejuruteraan selama lima tahun di Universiti Teknologi Malaysia (1981-86), namun saya boleh dianggap sebagai orang yang cukup “lembab” untuk menguasai teknologi baru. Semasa menyertai Harakah pada 1987, hatta untuk menggunakan perisian komputer yang paling mudah, iaitu sekadar untuk menulis bagi menggantikan mesin taip, saya “merangkak-rangkak”. Dari segi aplikasi, seorang rakan sepejabat, lulusan sekolah Arab, lebih cepat memahami.

Dunia ICT berkembang pesat dan cukup menakjubkan — umpama sebuah revolusi. Sebagai wartawan dan kemudiannya editor, saya memang sering “ketinggalan keretapi”. Ketika teriakan reformasi 1998 mengejutkan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dan seterusnya merebak ke seluruh negara, saya lebih banyak tertumpu di Harakah, majalah Tamadun dan kemudiannya menerbitkan sendiri, Detik. Bagaimanapun, saya tetap menjadi pencandu laman-laman web popular seperti Mahazalim, Mahafiraun dan Minda Rakyat.

Sehinggalah apabila majalah Detik, yang saya sewa permitnya daripada seorang teman, diharamkan KDN, pada pertengahan tahun 2000, barulah ada idea untuk menerbitkan Detik versi online. Apa pun, saya akui saya tidak cukup stamina untuk mengendalikan sebuah laman berita, yang terpaksa memenuhi ketagihan luar biasa pembaca. Pelayar internet mahukan proses kemaskini dari minit ke minit.

Mengenali beberapa webmaster, saya begitu mengkagumi dedikasi hebat mereka. Tenaga, masa dan wang dihabiskan tanpa memikirkan imbalan. Malah sebahagiannya langsung tidak dikenali walaupun oleh tokoh-tokoh yang mereka sanjung, mungkin antara lain, disebabkan mereka sendiri jarang menulis.

Kuasa siber mengoncang keyakinan lama terhadap media tradisi. Pembolotan elit penguasa terhadap maklumat dipecahkan. Jika laman-laman web atau portal berita menjadi popular menjelang pilihan raya umum 1999, fenomena blog pula mempengaruhi suasana politik 2008. Tiba-tiba sahaja seorang blogger menjadi insan paling berkuasa; boleh menerbitkan apa saja idea tanpa suntingan dan tapisan.

Namun bagi saya, isu utama masih kepada kandungan yang disiarkan, bukan sekadar pelebaran proses pendemokrasian. Jaringan internet membentuk komuniti tersendiri, yang tidak terikat lagi dengan undang-undang represif seperti Akta Mesin cetak dan Penerbitan. Ya, sesiapa saja boleh mencipta blog dan menulis tanpa sekatan, tetapi bagaimana dengan kualiti dan kesahihan kandungannya, serta kemampuan untuk mempengaruhi audien?

Tanpa meremehkan ratusan ribu blog di Malaysia, yang menyiarkan pelbagai info dan cerita, soalnya, sejauh mana ia berupaya menjadi pengimbang kepada media yang dikuasai sepenuhnya pemerintah? Ada yang bertanya saya, mengapa keputusan pilihan raya 2004 begitu memihak BN, sehingga menguasai lebih 90 peratus kerusi Parlimen sedangkan lebih ramai rakyat Malaysia dapat akses internet waktu itu berbanding pilihan raya 1999?

Tidak mudah untuk saya meremehkan pengaruh media tradisi, seperti akhbar dan televisyen, yang kekal dikontrol Umno-BN, sekurang-kurangnya untuk PRU13 nanti. Saya turut ternanti-nanti kajian sistematik pengaruh media sosial seperti Facebook dan Twitter, yang menjadi kegilaan semasa, terhadap realiti politik, misalnya dalam pilihan raya Sarawak.  Maaf, jika pemerhatian rambang saya tidak melihat jumlah pengguna FB yang melebihi 10 juta itu sebagai kuasa yang cukup menakutkan BN sekiranya mesej yang dikongsi di dalamnya kekal seperti sekarang .

Malah, harus diingat, “senjata” yang sama juga boleh menikam Pakatan Rakyat jika  strategi dan pendekatan politiknya masih tumpul atau tidak disokong oleh “keresahan rakyat”.  Revolusi Tahrir di Mesir atau Revolusi Jasmin di Tunisia bukan semata-mata dijayakan oleh  media sosial tetapi digembleng bersama oleh kreativiti aktivisnya mengungkapkan kebobrokan dan kebejatan politik secara berkesan melalui FB dan YouTube.

Media, baik baru mahupun lama, hanya “kenderaan” yang banyak bergantung kepada pemandu dan pemiliknya, bukan “mukjizat” yang dapat memastikan kemenangan memihak mereka yang dilihat lebih mendominasikannya. Kemenangan sesebuah parti bergantung kepada pelbagai elemen yang saling berkait.

Banyak isu rakyat melengkari kehidupan seharian kita, yang sepatutnya dipersembahkan dengan begitu “menakjubkan” melalui media. Pengalaman saya mengetuai beberapa akhbar dan majalah menjadi bukti kesukaran mencari penyumbang berkualiti (juga mendidik wartawan berketrampilan terutama untuk melakukan laporan penyiasatan). Kita turut ketandusan penulis blog (terutama dalam bahasa Melayu) yang baik untuk dikongsi ideanya menerusi FB atau pembikin dokumentari pendek yang kreatif bagi dimuatkan dalam YouTube, seterusnya disebarkan melalui media sosial.

Potensi YouTube memang belum dimanfaatkan sepenuhnya. Bagi saya, ini satu kegagalan yang mesti ditangani segera. Ia tidak seharusnya diserahkan kepada usaha individu malah patut digerakkan secara bersepadu, dan menagih sumber yang besar. Propaganda TV hanya dapat disanggah dengan berkesan oleh slot YouTube yang dirancang rapi. Bagi saya, zaman TV masih belum berakhir, khususnya dalam era televisyen satelit ini.

Kadang-kadang sudah terhidang pendedahan eksklusif seperti dalam laman Sarawak Report (sebelum diserang) tentang seribu satu kisah penyelewengan regim Taib Mahmud tetapi sukar untuk mencari berita mengenainya yang diolah semula agar lebih mesra-pembaca. Saya membayangkan alangkah baiknya jika ada sekumpulan editor berpengalaman, dengan bahasa mudah, ringkas dan tepat, menghidangkan semula koleksi pendedahan itu.  Aneh sekali, apabila laman berkenaan digodam menjelang hari mengundi, koleksi artikel yang cukup bernilai tentang “kebusukan” regim 30 tahun Taib seolah-olah terkubur bersama.

Ya, siapa yang begitu rajin untuk menelaah bahan-bahan yang bertaburan dalam blog, ibarat  mencari “permata dalam lumpur”, menyunting dan “membersihkannya” dan kemudian menyebar-luaskannya?  Atau mungkin saya masih terikat dengan pengalaman lama seorang wartawan, yang sukar memahami mesej daripada arus deras ICT yang melanda ini!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: