Perancis bantu pemberontak Libya

SEBUAH bangunan tentera Muammar Gaddafi musnah akibat bedilan bom pelancar roket di Misrata semalam.

MISRATA – Perancis semalam mengumumkan ia menghantar sepasukan penasihat ketenteraan ke bandar Benghazi, selatan Libya yang merupakan kubu kuat pihak pemberontak di sebalik amaran Tripoli bahawa campur tangan asing akan melanjutkan konflik di negara berkenaan.

Perkembangan tersebut berlaku ketika penduduk di sini berada dalam situasi genting dan merayu bantuan bagi menentang tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang telah membedil bandar ini sejak enam minggu lalu.

Bedilan tentera Gaddafi masih berterusan dengan letupan kuat kedengaran di bandar ini semalam selepas pertempuran sengit semalaman kelmarin dengan beribu-ribu orang cuba untuk melarikan diri.

Di Paris, jurucakap Kementerian Luar Perancis berkata: “Perancis telah menghantar 10 penasihat ketenteraan bersama seorang utusan khas ke Benghazi yang akan mengadakan hubungan dengan kepimpinan pemberontak iaitu Majlis Peralihan Kebangsaan (TNC).

“Objektif (penghantaran itu) adalah untuk menghulurkan bantuan teknikal, logistik dan nasihat organisasi kepada TNC bagi memperkasakan perlindungan orang awam dan meningkatkan keberkesanan pengagihan bantuan kemanusiaan serta perubatan,” jelas jurucakap tersebut.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas sekutu utama Perancis iaitu Britain menyatakan ia menghantar pasukan penasihat ketenteraan bagi membantu menstrukturkan tentera pemberontak di Libya.

Sementara itu, Perancis dan Britain yang melancarkan siri pertama serangan udara ke atas Libya pada 19 Mac lalu bagi menguatkuasakan zon larangan terbang yang diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kini berusaha untuk meyakinkan sekutu-sekutu mereka supaya memperhebatkan serangan udara tersebut.

Zon larangan itu dikuatkuasakan bagi mengelak Gaddafi menggunakan ruang udara untuk menyerang penduduk awam.

Pergolakan di Libya bermula sejak 15 Februari lalu selepas para pemberontak mengadakan perhimpunan di bandar Benghazi bagi menuntut lebih banyak kebebasan politik sebelum ia bertukar menjadi pertempuran dengan tentera Gaddafi bagi menuntut beliau berundur selepas empat dekad berkuasa.

Kelmarin, seorang pemimpin bandar ini, Nuri Abdullah Abdullati merayu bantuan dari luar negara bagi menamatkan kepungan dua bulan tentera Gaddafi yang telah menyebabkan beratus-ratus penduduk terkorban.

“Sebelum ini, kami sememangnya menolak campur tangan asing tetapi ia sebelum Gaddafi menggunakan bom berangkai dan pesawat,” katanya. – AFP

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: