Ahli Parlimen Hulu Selangor gagal tunai janji

Oleh Khaulah Azwar  

HULU SELANGOR, 22 April: Sikap Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan yang hanya sekadar pandai berjanji untuk melaksanakan tanggungjawabnya kepada penduduk amat dikesali, sehingga menyebabkan sebuah sekolah agama di kawasan itu terus berada dalam keadaan ketiadaan kemudahan asas yang diperlukan.

Mudir Maahad Tahfiz Alkohlidi, Ustaz Yunus Kamaruddin menjelaskan, antara keperluan asas yang masih diabaikan oleh pihak bertanggungjawab terhadap sekolah itu termasuklah bekalan elektrik dan jalan raya.

Menurut beliau, pihaknya telah pun mengemukakan permohonan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mendapatkan bekalan elektrik, tetapi sehingga kini amat mengecewakan, sebaliknya berbagai helah pula yang diberikan oleh pihak TNB untuk meluluskan permohonan itu.

Katanya, alasan yang diberikan oleh pihak TNB, kawasan itu tidak mempunyai bilangan penduduk yang ramai, sedangkan bilangan penduduk di kawasan itu mencecah hampir 300 orang, di samping bekalan elektrik itu sendiri merupakan satu keperluan kepada pelajar-pelajar di sekolahnya.

“Pernah juga terjadi pergaduhan antara kami dengan pihak TNB untuk membuat kerja pemasangan elektrik. Sepatutnya mereka turun padang melihat keadaan kami di sini dahulu barulah mengeluarkan kenyataan tetapi terjadi sebaliknya,” katanya ketika ditemui.

Maahad Tahfiz Alkohlidi yang menumpukan sepenuhnya ke atas hafazan Al-Quran ditubuhkan pada 2008 dengan tapak asalnya di Sri Ukay Bistari, Hulu Klang, tetapi telah berpindah di Ulu Kalong, pekan Ulu Yam, di sini, sejak bulan September 2010.

“Jumlah pelajar di sini dari semasa ke semasa semakin meningkat dan kini hampir 120 pelajar. Dengan kemasukan yang semakin meningkat, kita inginkan bekalan elektrik dan jalan raya yang sempurna kerana laluan ke sekolah ini terlalu gelap,” katanya.

Ketiadaan bekalan elektrik, katanya, menyukarkan pelajar untuk mengulangkaji pelajaran, apatah lagi apabila mereka mempunyai  aktiviti sebelah malam di luar kawasan sekolah itu, sehingga menyebabkan mereka pulang ke asrama dalam kegelapan disebabkan kawasan itu kawasan hutan.

“Kadang-kala pelajar-pelajar merasa cemas dan takut untuk mengikuti aktiviti di luar, apabila mendapat jemputan program di masjid mahupun program sekolah yang dianjurkan oleh pihak sekolah tahfiz lain. Keselamatan pelajar terutamanya sebelah malam amat merisaukan kami kerana dalam kegelapan berbagai perkara yang tidak diingini boleh berlaku,” katanya.

Selain itu, keadaan jalan yang tidak pernah diturap dan keadaan jambatan (gambar kiri) untuk menyeberang ke jalan luar yang tidak dibaiki serta dinaiktaraf turut merisaukan beliau.

“Sebelum kami berpindah ke sini, keadaan jalan raya dan struktur jalan amat teruk sekali, sedangkan ia merupakan jalan “reserve” . Apa yang saya faham jika jalan “reserve” ia adalah milik kerajaan tetapi mengapa tidak dibaiki untuk kegunaan masyarakat.

“Memandangkan kawasan tanah yang telah saya dirikan bangunan sekolah terletak di kawasan pendalaman, maka saya turapkan jalan raya itu sendiri dengan menelan belanja sebanyak RM80,000,” jelasnya.

Jambatan yang merupakan jalan untuk ke seberang untuk keluar dari kawasan itu juga telah roboh sehingga menyebabkan air naik melimpahi kawasan itu bila hujan.

“Kenderaan yang melalui jambatan ini pasti akan mengalami kerosakan terutamanya tayar kenderaan akan pecah dan bumper kenderaan mereka juga akan terjatuh kerana kerosakan jambatan tersebut. Bahkan bas sekolah juga tidak berani masuk ke kawasan ini kerana jambatan yang uzur sejak 13 September 2010.

“Saya mendesak agar Ahli Parlimen Hulu Selangor turun padang melawat kawasan ini. Seperti yang beliau janjikan dalam PRK Hulu Selangor baru-baru ini, jika menang, beliau akan menjalankan tugas dan tanggungjawab sebaiknya kepada rakyat.

“Jika benar 1 Malaysia boleh memenuhi permintaan rakyat, seharusnya pemimpin Umno BN membuat lawatan dari semasa ke semasa dalam memberi khidmat kepada masyarakat dengan menyelesaikan masalah rakyat sebaiknya. Bukan turun padang apabila berlakunya pilihanraya sahaja.

“Jangan hanya pandai menabur janji dalam pilihanraya sahaja, tetapi selepas pilihanraya mereka tidak pernah melawat kawasan dan bertemu rakyat,” katanya”.

Beliau turut berharap agar Kerajaan Pusat memulangkan kembali wangnya yang telah dibelanjakan sebanyak RM80,000 untuk membaiki jalan tersebut kerana ia merupakan tanggungjawab Kerajaan Pusat, bukannya pihaknya.

“Sekiranya wang itu dikembalikan semula, pihak sekolah ingin melengkapkan kemudahan peralatan dan menambahkan bangunan sekolah terutamanya menyediakan rumah guru, madrasah, dewan untuk kegunaan pelajar bagi memberi keselesaan kepada mereka,” katanya.

Untuk perkembangan sekolah itu, pihaknya turut bercadang untuk menaikkan taraf sekolah tersebut dengan kos keseluruhannya berjumlah RM200,000.

Pada tahun 2009, pihaknya pernah menerima sumbangan dari Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berjumlah RM15,000 yang telah disampaikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sumbangan tersebut disampaikan semasa kunjungan Tan Sri Khalid ke sekolah itu bersama beberapa orang Exco Kerajaan negeri, selaras dengan usaha Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk membantu menaiktaraf sekolah-sekolah agama di Selangor.

“Alhamdulilah dengan bantuan yang diberikan itu, pihak sekolah telah pun membeli peralatan keperluan pejabat, kelas, katil, almari dan membaiki sekolah. Bantuan itu telah meringankan bebanan kami,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga pernah berbincang dengan Exco Agama, Datuk Hasan Mohamed Ali sejak tahun 2009 lalu bagi mendapatkan pendapatnya berhubung usaha untuk menaiktaraf sekolah tersebut dan pihaknya diberikan kerjasama yang cukup baik.

Sementara itu,  tuan tanah yang telah mewakafkan tanahnya untuk pembinaan sekolah itu, Siti Rokiah Abd Hamid, 69, turut berharap agar P Kamalanathan, TNB dan pihak-pihak bertanggungjawab lain memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap sekolah itu dan penduduk sekitarnya.

“Dengan tiada bekalan elektrik menyebabkan pelajar-pelajar di sini sukar untuk mengulangkaji pelajaran waktu malam. Saya juga difahamkan oleh pihak mudir sekolah, pelajar-pelajar sekolah bangun di awal 4 pagi untuk melakukan ibadah.

“Tetapi dengan ketiadaan bekalan elektrik, ia pasti amat menyusahkan pihak sekolah menguruskan dan menjaga keselamatan para pelajar, apatah lagi sekolah ini terletak di kawasan hutan,” katanya.

Beliau juga berharap agar jalan raya yang tidak sempurna dan jambatan yang telah rosak diperbaiki secepat mungkin oleh pihak bertanggungjawab untuk keselamatan dan keselesaan pengguna.-/ harakahdaily

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: