Taib: Wakil Cina dilantik sertai Kabinet selepas sidang DUN

April 22, 2011

Taib berkata pentadbirannya akan memberi tempat kepada perwakilan Cina. — gambar fail

KUALA LUMPUR, 22 April — Tan Sri Abdul Taib Mahmud memberi jaminan wakil kaum Cina tetap akan diberi tempat dalam Kabinet baru kerajaan negeri Sarawak yang akan dibentuk selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jun ini.

Ketua Menteri itu berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak mengamalkan perkongsian kuasa dengan pelbagai kaum dan ia akan terus dilaksanakan walaupun Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebelum ini menyatakan hasrat untuk menolak pelantikan wakil kaum Cina dalam Kabinet negeri berikutan penolakan pengundi Cina terhadap parti itu.

Lapan anggota Kabinet Sarawak mengangkat sumpah awal minggu ini tanpa wakil SUPP.

“Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri pertama) pernah menyatakan, walaupun MCA hanya ada satu kerusi dalam Parlimen, wakil mereka tetap akan menduduki senarai Kabinet Persekutuan pada masa itu.

“Ini berikutan komitmen kita dalam Barisan Nasional (BN) ataupun ketika itu dikenali sebagai Perikatan untuk mengekalkan sebuah kerajaan yang dibarisi pelbagai kaum,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet Sarawak yang pertama susulan pilihan raya negeri ke-10 di Kuching semalam.

Dipetik Berita Harian, Taib berkata, sudah menjadi amalan kerajaan BN Sarawak untuk berkongsi kuasa dengan semua kaum dan ia dijelaskan dalam manifesto pilihan raya negeri baru-baru ini.

“Kita di Sarawak juga tidak akan membentuk sebuah kerajaan yang hanya diwakili satu kaum. Kita mahu semua kaum terus bekerjasama membangunkan negeri ini,” katanya.

Taib bagaimanapun enggan mengulas desakan Naib Presiden MCA, Gan Ping Sieu supaya beliau meletakkan jawatannya lebih awal daripada jangka masa dua tahun yang dijanjikannya.

Sebaliknya, Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Openg, yang turut ditemui selepas mesyuarat Kabinet itu berkata, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu sepatutnya memberi tumpuan kepada partinya sendiri.

“Beliau (Ping Sieu) sepatutnya memberi lebih tumpuan terhadap usaha untuk mengukuhkan sokongan pengundi terhadap MCA, bukannya masuk campur urusan di Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu,  Naib presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Sylvester Entri Muran berkata desakan seorang pemimpin MCA agar Taib berundur segera kerana kehilangan sokongan masyarakat Cina pada pilihan raya negeri yang baru berakhir jelas menunjukkan kejahilan tentang situasi politik di negeri ini.

Kata beliau, kenyataan Gan itu amat “tidak wajar” kerana Taib berjaya memimpin Barisan Nasional (BN) negeri dalam  mengekalkan majoriti dua pertiga dan membentuk kerajaan.

“MCA menggunakan senjata paling tajam untuk menyerang pihak yang melindungi mereka sendiri. Ini jelas merupakan kempen memburuk-burukan oleh MCA untuk menggugat kepimpinan negeri,” katanya dipetik media.

Beliau berkata kehilangan sokongan pengundi Cina di Sarawak bukan alasan kukuh untuk Taib berundur kerana beliau sendiri telah membuktikan kejayaannya memimpin BN dengan memenangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: