Pemberontak makin kukuh di Libya, Syria terus kacau

ASKAR-ASKAR pemberontak berdiri di atas sebuah kereta kebal tentera Muammar Gaddafi yang ditawan di Misrata kelmarin.

BEIRUT – Seorang jurucakap pihak pemberontak menyatakan bandar Misrata bebas daripada tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam setelah bandar ketiga terbesar di Libya itu dikepung selama hampir dua bulan.

Beberapa askar Gaddafi yang ditawan pemberontak di Misrata berkata, mereka diarah supaya berundur manakala pemerintah Libya terdahulu memberitahu, tugas memerangi pemberontak telah diambil alih oleh puak-puak tempatan.

“Misrata kini bebas, pemberontak telah menang. Sebahagian tentera Gaddafi berundur dan ramai yang dibunuh,” kata jurucakap pemberontak, Gemal Salem, dalam wawancara telefon dengan agensi berita Reuters dari bandar itu.

Misrata merupakan satu-satunya bandar di barat Libya yang jatuh ke tangan pemberontak.

Terdahulu, pada hari yang sama, jet-jet Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membedil kedudukan tentera Gaddafi di ibu kota Libya, Tripoli dan turut memusnahkan beberapa belas buah trak dan kenderaan membawa askar pemimpin Libya itu berhampiran bandar Adabiyah.

Sementara itu di Syria, berpuluh-puluh ribu orang berhimpun di ibu kotanya, Damsyik semalam untuk mendesak agar Presiden Bashar Al-Assad meletak jawatan.

Para penunjuk perasaan kembali berarak di jalan-jalan raya selepas pasukan keselamatan menembak mati sekurang-kurangnya 88 orang bagi menyuraikan protes besar-besaran di negara itu kelmarin.

Beberapa aktivis berkata, kematian berlaku di serata tempat di Syria termasuk bandar pelabuhan Latakia, Homs, Hama, Damsyik dan perkampungan Izra’a.

Tindakan keras pihak berkuasa Syria terhadap para penunjuk perasaan itu dikecam ramai pemimpin antarabangsa termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Di sebuah lagi negara Asia Barat, Yemen, hampir semua kedai, pasar dan sekolah di bandar Aden ditutup semalam sebagai tanda protes terhadap Presiden Ali Abdullah Salleh.

Tinjauan agensi berita Reuters mendapati bandar pelabuhan di selatan Yemen itu lengang dengan hampir tiada kenderaan dilihat di jalan-jalan raya.

Pergolakan di tiga negara berkenaan bermula selepas kejatuhan Presiden Tunisia, Zine El Abidine ben Ali dan rakan sejawatnya dari Mesir, Hosni Mubarak pada awal tahun ini susulan gelombang kebangkitan rakyat.

Penduduk di Asia Barat kini bangkit menentang pemerintah mereka kerana menuntut pembaharuan politik, ekonomi dan kebebasan bersuara. – Agensi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: