Pelan pengunduran Presiden Yemen diterima (Taib Mahmud Bila Pulak? DSNajib ?)

by Drs Zainuddin Awang Hamat on Sunday, April 24, 2011 at 6:21pm

Pelan pengunduran Presiden Yemen diterima

SANAA 24 April – Parti pemerintah Yemen, Kongres Agung Rakyat menerima pelan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang menghendaki Presiden Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan dalam masa 30 hari.

GCC yang dianggotai oleh enam negara Teluk telah mencadangkan penubuhan sebuah kerajaan perpaduan negara di Yemen, Saleh memindahkan kuasa beliau kepada Naib Presidennya, dan ditamatkan protes berdarah yang menggegarkan negara miskin ini.

Mengikut inisiatif GCC itu, Saleh akan mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Parlimen dalam tempoh 30 hari, manakala pilihan raya Presiden akan diadakan dalam masa dua bulan.

“Kongres Agung Rakyat (GPC) dan sekutu-sekutunya telah menerima inisiatif GCC secara keseluruhannya,” kata Timbalan Setiausaha Agung GPC, Soltan al-Barakani yang juga ketua blok parti itu di Parlimen.

Menteri Luar Yemen, Abu Bakr al-Kurbi berada di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) di mana beliau dijangka menemui rakan sejawatannya dari UAE, kini memegang kerusi Presiden GCC, mengenai keputusan tersebut, ujar Barakani.

White House semalam mengalu-alukan rancangan Saleh untuk meletakkan jawatan, sambil menggesa semua pihak supaya ‘segera’ melaksanakan peralihan kuasa secara aman.

Kelmarin, Saleh yang telah memerintah Yemen selama 32 tahun memberi sambutan dingin terhadap pelan GCC supaya beliau berundur, meskipun penunjuk perasaan kembali beramai-ramai ke jalan raya untuk menuntut penyingkiran beliau.

Seorang jurucakap perikatan pembangkang, Forum Bersama kelmarin berkata, penubuhan sebuah kerajaan perpaduan negara sedangkan Saleh masih berkuasa tidak boleh diterima dan pengunduran Presiden itu perlu bagi mencapai sebarang penyelesaian.

Saleh sebelum ini berkeras untuk berpegang pada Perlembagaan dalam sebarang peralihan kuasa. – AFP

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: