Bukit Bendera sebagai Zon Larangan Merokok

S M Mohamed Idris
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan berita bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menjadikan Bukit Bendera sebagai Zon Larangan Merokok dan ia akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mewartakan bukit itu sebagai zon larangan merokok.

Bagaimanapun, gesaan bagi zon larangan merokok itu perlu meliputi kawasan Bukit Bendera sepenuhnya dan zon merokok khas seharusnya tidak dibenarkan sepenuhnya di atas bukit itu. Kualiti udara Bukit Bendera perlu kekal bebas daripada pencemaran.

Pada hakikatnya pada 2009, kerajaan negeri sudahpun mengumumkan pelbagai langkah untuk menangani masalah merokok dan ia akan meningkatkan penguatkuasaan terhadap perokok di semua tempat awam – bermula dengan kakitangan kerajaan dan agensi dan di tempat awam lain seperti Taman Botani dan Taman Negara Pulau Pinang.

Bagaimanapun penguatkuasaan di kawasan khas larangan merokok sering kekurangan dan dan mestilah dipertingkatkan untuk menangkap pesalah.

Pada 2009, CAP juga menggesa Kerajaan Persekutuan menjadikan satu syarat kepada semua pemohon baru jawatan kerajaan hendaklah tidak merokok. Kerajaan mestilah membuat pengumuman awam bahawa mereka yang merokok tidak akan dipertimbangkan bagi jawatan kerajaan. Semua pemohon perlu mengisytiharkan didalam borang permohonan mereka bahawa mereka bukan perokok.

Kerajaan juga perlu menjalankan usaha untuk menghapuskan tabiat merokok dalam kalangan kakitangan mereka dalam perkhidmatan awam terutama sekali mereka yang berkhidmat dalam pasukan polis, angkatan tentera dan Kementerian Kesihatan.

Mereka yang berada di dalam jabatan ini sebagai penguatkuasa undang-undang dan pentadbiran sistem kesihatan, perlu menunjukkan contoh teladan kepada rakyat Malaysia terutama sekali bagi golongan muda.

Kakitangan awam yang sudahpun merokok seharusnya dikehendaki mendapatkan rawatan dengan segera di klinik kerajaan yang menawarkan perkhidmatan “Berhenti Merokok”.

Penggunaan tembakau merupakan penyebab utama penyakit dan kematian yang boleh dicegah di Malaysia. Terdapat lebih 4,000 bahan kimia di dalam asap rokok – bahan kimia yang berupa penyebab kanser, toksik atau merengsakan.

Merokok juga telah diterima di seluruh dunia sebagai salah satu penyebab utama kanser. Berdasarkan statistik hospital kerajaan, kanser paru-paru merupakan bentuk kanser paling biasa dalam kalangan lelaki. Salah satu penyebab utama kanser paru-paru ialah penggunaan tembakau.

Merokok di negara ini telah mencapai peringkat yang membimbangkan. Kira-kira separuh daripada semua lelaki dewasa Malaysia merokok. Kajian yang dijalankan pada 1999 mendapati hampir satu dalam lima remaja Malaysia merokok. Kira-kira 50 remaja mengamalkan tabiat merokok setiap hari.

Merokok menyebabkan sekurang-kurangnya kira-kira 10,000 kematian setahun, dengan kos yang besar sehingga mencapai berbilion ringgit untuk merawat penyakit berkaitan tembakau.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu mengambil langkah tegas dalam membasmi masalah tembakau dan tidak seharusnya melayan perokok dengan mengorbankan kesihatan bukan perokok. Sehubungan itu, pengharaman sepenuhnya merokok hendaklah dilaksanakan di Bukit Bendera dan turut merangkumi Taman Botani dan Taman Negara Pulau Pinang.

S M Mohamed Idris
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang

KASE sambut baik mansuh saman ekor

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 25 April: Kempen Anti Saman ekor (KASE) menyambut baik pengumuman polis untuk menghentikan saman ekor di samping mendesak polis agar turut memansuhkan segala saman ekor yang telah dihantar kepada pengguna jalan raya.

Pengerusi KASE, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, pengumuman polis itu membuktikan apa yang diperjuangkan pihaknya selama ini benar dan kini ia disahkan oleh pihak polis sendiri kerana sistem itu gagal mendidik pengguna.

Timbalan Ketua Polis Negara (TKPN), Datuk Khalid Abu Bakar mengumumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak lagi menggunakan kaedah menyorok di belakang tiang dan belukar dalam mengendalikan operasi perangkap laju di jalanraya membuka pekung mereka sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman ekor (KASE), Datuk Mahfuz Omar berkata, pengumuman itu membuktikan tindakan tersebut gagal mendidik pengguna jalan raya agar memandu secara berhemah.

Mahfuz berkata, pengumuman itu sekaligus mengesahkan perjuangan KASE yang menuntut saman ekor dihapuskan.

“KASE menyambut baik pengumuman ini kerana ia bukan sahaja lebih efisyen dan telus malah boleh menyelesaikan masalah-masalah lain seperti penggunaan nombor pendaftaran palsu dan secara tidak langsung mendidik pengguna jalanraya supaya memandu dengan berhemah.

“Pengumuman TKPN tersebut juga telah membuka pekung mereka kerana jelas selama ini mereka melakukan tindakan secara tidak wajar,” kata beliau kepada Harakahdaily.

Undang-undang dan peraturan ujar Mahfuz, bukan untuk mengenakan mana-mana pihak tetapi  bertujuan mengawal keharmonian dan keselamatan masyarakat.

Meskipun menyambut baik pengumuman tersebut, KASE tetap mempersoal kelambatan PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyedari tindakan mereka selama ini tidak efisyen sebaliknya menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya.

“Persoalannya, kenapa setelah lebih dua dekad baru PDRM menyedari bahawa tindakan tersebut tidak cekap, tidak efisyen malah telah menimbulkan pelbagai masalah kepada pengguna jalanraya?

“KASE berasa amat malang mempunyai agensi penguatkuasa yang lembab dalam mengenalpasti cara perlaksanaan undang-undang dan peraturan. Setelah berapa banyak rakyat disusahkan dan dipaksa membayar kompaun tanpa sebarang bukti kesalahan, barulah PDRM sedar tindakan tersebut tidak efisyen dan mengumumkan tidak akan digunakan lagi. Kenapa baru sekarang mereka sedar?” soalnya.

Hapus kira saman ekor terdahulu

Naib Presiden PAS itu turut mempersoal status saman ekor yang terpaksa dibayar pemilik kenderaan setelah gagal memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu.

Beliau mendesak saman yang dikeluarkan sebelum pengumuman ini dibuat dihapus kira keran aianya dikeluarkan secara tidak telus dan menyalah gunakan peraturan jalan raya.

“Apakah status saman-saman ekor yang sudah dibayar ekoran paksaan PDRM dengan ugutan menyenarai hitam pemilik kenderaan? KASE berpendapat bahawa saman-saman ekor yang dikeluarkan dan terdapat di dalam sistem PDRM sebelum pengumuman TKPN dibuat hendaklah dihapuskira,” katanya.

Selain itu, KASE juga menuntut penjelasan PDRM dan JPJ berkaitan proses penguatkuasaan perangkap had laju yang mula berkuat kuasa Februari lalu yang menggunakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dikendalikan oleh dua syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd.

“Pengenalan AES melalui APJ 2010 ini menggambarkan bahawa semua perangkap had laju akan dikendalikan hanya oleh dua syarikat swasta ini. Apakah status saman-saman yang dikeluarkan oleh PDRM sejak 1/2/2011 ini?

“Tidakkah ianya bertindih dengan AES? Penjelasan perlu diberikan supaya tidak ada penguatkuasaan bertindih dilakukan di mana pengguna akan terbeban dan dizalimi. Adakah dengan pengenalan dan perlaksanaan AES ini bermaksud PDRM tidak lagi menjalankan operasi perangkap hadlaju? soalnya.

Sehubungan itu tegas Mahfuz, KASE terus mendesak kerajaan menghapus kira saman-saman ekor yang lama dan seterusnya memperbanyak kempen penerangan berkaitan AES dan juga kesan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 kepada rakyat keseluruhannya.

“KASE berpendapat APJ 2010 yang diperkenalkan masih tidak difahami oleh rakyat. Bagaimana hendak kuatkuasakan undang-undang jika rakyat tidak pernah diberikan pemahaman dan maklumat,” katanya.

Sokong sambung LRT tetapi jaga kepentingan rakyat

Harakahdaily
SHAH ALAM, 25 April: Kerajaan Selangor menyokong penuh projek penyambungan sistem aliran ringan (LRT) bagi meningkatkan mutu perhidmatan pengangkutan awam yang akan merancakkan pembangunan ekonomi negeri Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata  penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam yang tidak menyeluruh telah memperlahankan atau membantutkan  pembangunan di kawasan tertentu dan senario ini tidak sihat kepada pembangunan ekonomi negeri.

Bagaimanapun beliau menegaskan, setiap projek pembangunan yang dirancangkan perlulah mengambil kira kepentingan rakyat dan kesannya kepada kehidupan rakyat sekitar kawasan projek.

“Kerajaan Selangor menyokong usaha-usaha kerajaan Pusat ini tetapi kita juga perlu mengambil kira keluhan dan bantahan penduduk yang terlibat dengan projek ini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke beberapa tapak yang dimasukkan sebagai laluan LRT.

Pada lawatan itu, Menteri Besar dibawa melawat sekitar Shah Alam oleh Persatuan Penduduk Taman Subang Alam yang membantah cadangan laluan LRT antara Kelana Jaya dan Shah Alam.

Antara yang dilawati ialah sebuah rumah di Taman Subang Alam yang mendakwa rumahnya dalam bahaya kerana laluan LRT yang dicadangkan berdekatan dengan tasik sekali gus menyebabkan paras air tasik lebih tinggi.

Penduduk taman itu juga membawa Menteri Besar melawat ke laluan alternatif yang didakwa mereka lebih sesuai dijadikan sebagai laluan LRT.

Tan Sri Abdul Khalid berkata, kerajaan Selangor akan mengajukan bantahan penduduk itu kepada syarikat Prasarana Negara Berhad sebelum membuat keputusan muktamad.

Dalam lawatan itu, Menteri Besar diiringi Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud,  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Mat Shafie dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

Pemuda perlu perkuat minda bawa perubahan

Mohd Sabri Said
PERMATANG PAUH, 25 April: Selain mempamerkan kekuatan tenaga para pemuda PAS juga perlu mempunyai kegigihan otak berfikir bagaimana mahu  membawa pemuda Malaysia  ke satu tahap yang membanggakan, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi (gambar).

Barisan Nasional (BN) tambahnya, tidak ada kekuatan untuk memimpin pemuda ke arah itu kerana kepimpinanya terdedah dengan rasuah, suka menyeleweng, tidak tahan dugaan bahkan menjadi Pak Turut ketika memperkatakan sesuatu itu yang ada kepentingan BN.

Dewan Pemuda PAS, Angkatan Muda KeAdilan (AMK) dan Dapsy dari DAP adalah pilihan tepat untuk anak muda sekiranya mahu memilih parti mana sebagai wadah perjuangan tidak lagi Umno atau pemuda BN yang dilihat amat penat dan memerlukan rehat.

“Kekuatan tenaga sememangnya perlu pada pemuda.  Selain itu kita juga perlukan otak yang cerdik untuk mencari bagaimana untuk meranapkan Umno dan BN sebab keupayaan mereka untuk mendidik anak muda agak kontang sekarang ini, ” tegasnya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang kali ke 31 di Dewan Komplek An Nadhoh, Penanti semalam.

Umno dan BN sudah kehilangan taji untuk berentap di arena politik tanah air secara sihat maka untuk memastikan kekuasaan terus berada digengaman mereka terpaksa gunakan bahan lain yang boleh melukakan pihak lawan.

Bagi mereka luka sudah cukup untuk merencatkan perjuangan Pakatan Rakyat.

Justeru itu, kepimpinan pemuda di semua peringkat wajar mendahului isu yang melanda negara agar rakyat dapat merasai peranan yang dimainkan.

Sikap curi tulang dalam perjuangan katanya, tetap berdosa kerana membiarkan orang lain ke medan bertempur manakala diri sendiri berpeluk tubuh menonton TV di rumah bersama anak dan isteri.

“Curi tulang dalam perjuangan jangan dijadikan amalan.  Ada sesetengah orang bila kalah dalam pemilihan dah berpeluk tubuh di rumah, boikot program padahal mereka yang tewas boleh berperanan dengan cara lain untuk membantu mengatasi kelemahan yang sedia ada, ” tambah beliau pada muktamar bertemakan ‘Murnikan Perjuangan, Maknakan Kemenangan’.

Pandangan pemuda juga mesti tajam membaca politik pihak musuh tambahan lagi pemuda BN cuba melaksanakan plan pembaharuan menjelang tarikh pilhanraya umum akan datang.

Muktamar yang berlangsung itu akhirnya mengekalkan dua muka lama iaitu Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah dan timbalanya, Helmi Haron manakala Nor Azman Ishak yang turut menang tanpa bertanding sebelum ini adalah Pengarah Jabatan Amal Negeri.

Pertahan pimpinan Pakatan sehingga terbukti bersalah

Ismail Hashim
SEREMBAN, 25 April: PAS memberi jaminan mempertahankan semua pimpinan Pakatan Rakyat, yang seorang demi seorang ditohmah oleh BN mutakhir ini, sehinggalah mereka dibuktikan bersalah.

Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli berkata, atas semangat Pakatan Rakyat, PAS tetap pertahankan sesiapa sahaja yang belum dibuktikan bersalah.

Dr Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai berkata, terkini media pro-BN menyerang peribadi Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang sedang dicari kelemahannya bagi memburukkan DAP dan kredibiliti Pakatan.

Beliau berucap demikian dalam program pidato umum anjuran Keadilan Seremban, dekat sini malam tadi.

Turut berucap adalah Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, Ketua Penerangan Keadilan, Dr Mohd Nur Manuty, Ketua DAPSY yang juga Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke dan Presiden Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Cikgu Bard.

Majlis berjalan dalam keadaan hujan lebat namun hadirin tidak meninggalkan lokasi dengan terus mendengar ucapan pimpinan.

Bercakap tentang 1Melayu 1Bumi, Dr Hatta menegaskan isu terbaharu ini menunjukkan ada pihak cuba menimbulkan suasana tidak kondusif dalam kalangan rakyat berbilang kaum dalam negara ini.

Beliau mencabar Perdana Menteri Najib Razak segera mengambil tindakan menyiasat dan membicarakan mereka yang dengan mudah merangsang isu perkauman di negara ini.

“Jika Najib tidak mengambil tindakan segera terhadap golongan yang membangkitkan soal bahaya ini, bererti beliau juga bersetuju dengan isu perkauman ini,” tegasnya dengan mendapat sambutan hadirin.

Jika Anwar tumbang

Sementara itu, Dr Wan Azizah yakin jika seorang Anwar tumbang, ramai lagi Anwar dalam kalangan anak muda akan meneruskan perjuangan menegakkan keadilan dalam negara ini.

Beliau yang menceritakan semula rentetan peristiwa sejak 1998 dulu yang banyak menguji perasaan hatinya.

Menurutnya, selepas Anwar bebas, beliau terus berkempen dengan semua  sahabat seperjuangan sehingga Pakatan menang besar pada Mac 2008.

“Sekarang Kak Wan rasa cukup kuat, berapa lama dah, cukuplah, sudahlah…,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Cikgu Bard berkata,  pengundi Negeri Sembilan perlu berubah untuk membolehkan seluruh rakyat mendapat nikmat hidup lebih selesa di bawah pentadbiran Pakatan nanti.

1 Mei: Harga barang naik, gaji bila lagi

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 25 April: Jawatankuasa 1 Mei yang terdiri daripada lebih 60 kumpulan masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik akan mengadakan perarakan sempena Hari Pekerja dengan tema ‘Harga Barang Naik, Gaji Bila Lagi” pada 1 Mei ini.

Menurut jurucakap jawatankuasa 1 Mei, S Arutchelvam (gambar), peserta dijangka berkumpul di Stesen Monorel Chow Kit dan berarak ke Dataran Merdeka, bermula jam 10.30 pagi dan berakhir dengan bacaan deklarasi Hari Pekerja di Dataran Merdeka.

“Dijangkakan sekurang-kurangnya 500 peserta yang terdiri dari pekerja, mahasiswa dan aktivis masyarakat akan menyertai perarakan ini,” kata beliau pada sidang media di bangunan Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH), hari ini.

Menyentuh mengenai permit polis, Arul menjelaskan beliau akan memaklumkan melalui notis pemberitahuan.

“Kami akan maklumkan kepada pihak polis. Saya tidak fikir mereka akan halang, kerana pada 26 Mac yang lalu satu perarakan Solidariti Kaum Wanita telah diadakan di Pasar Seni.

“Sebelum ini kita telah anjurkan acara yang serupa dan tiada sebarang gangguan,” katanya yang juga setiausaha parti Sosialis Malaysia (PSM).

Sementara itu, Arul memaklumkan, kira-kira 34 peratus atau bersamaan hampir 1.3 juta pekerja di Malaysia berpendapatan bulanan di bawah paras kemiskinan.

Bahkan katanya, ada di antara pekerja terutama di sektor perladangan dan perkilangan yang mendapat gaji permulaan pada paras RM 450 sebulan, lebih rendah dari pendapatan di bawah kemiskinan iaitu RM720 sebulan.

“Dalam masa yang sama, harga keperluan asasi meningkat mendadak. Ini adalah reailiti kehidupan di Malaysia. Justeru tuntutan kami adalah kerajaan segera melaksanakan Akta Gaji Minima,” katanya.

Jelas beliau juga, tekanan oleh persatuan-persatuan majikan terhadap kaum pekerja sering kali menggagalkan tuntutan agar akta gaji minimum diluluskan di Parlimen.

“Kroni di didahulukan, untung diutamakan. Dasar kerajaan sering kali memihak kepada syarikat-syarikat besar. Sekarang, mereka boleh mengugut kerajaan, iaitu sama ada untuk menyebelahi pekerja, atau pun pengilang menarik keluar pelaburan,” ujarnya.

Justeru katanya, penyelesaian bagi gaji minima di Malaysia boleh dimulakan dengan memperkenalkan gaji minima kepada sektor tertentu terlebih dahulu seperti industri perkilangan.

“Tuntutan kita ialah kadar gaji minima adalah mengikut kadar beban kehidupan di Malaysia,  sekurang-kurangnya RM 900. Ia tidak boleh kekal kerana setiap kali adanya kenaikan barangan, seharusnya begitu juga dengan kenaikan gaji,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah penyelaras Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) Bawani KS, Pengarah Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Valerie Thomas, wakil Suaram, Andika Abd Wahab dan Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Izzuddin Helmi.

Pemuda PAS perlu kerap turun padang

Mohd Sabri Said
PULAU PINANG, 25 April: Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Yusni Mat Piah meminta semua anggota dewan itu sesi ini kerap turun padang bagi menceriakan program kemasyarakatan.

Sebelum ini, katanya walaupun terdapatnya program demikian tetapi masih belum kuat terpahat di hati masyarakat tentang peranan Dewan Pemuda itu sendiri.

Katanya, banyak program yang dilaksanakan kurang pendedahan sehingga ada orang belum mengenali kepimpinan apatah lagi ahli jawatankuasa yang diamanahkan mengetuai lajnah.

Kali ini, semua gerak kerja mesti diperhalusi mempunyai strategi dan jauhkan pertelingkahan kecil yang boleh memberi ruang untuk musuh memecah belahkan dalaman parti.

“Sesi depan kita wajar kerap turun padang mendekati masyarakat kerana ia adalah perkara wajib sebagai pemimpin. Dulu bukan tiada tetapi masih kurang memadai,” tambahnya ketika berucap pada muktamar dewan itu kali ke-31 yang diadakan di Dewan Kompleks An Nahdhoh, Penanti semalam.

Muktamar bertemakan ‘Murnikan Perjuangan, Maknakan Kemenangan’ dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi.

Sebagai anggota Dewan Pemuda, katanya seseorang pemimpin itu kena belajar menghadapi tekanan dengan cekap dan pantas selari dengan kemelut sekarang yang mahukan perubahan yang mendadak untuk bersama mengecapi kemenangan yang mutlak pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

Unit Amal dan Pasti jelas berjaya meneroka satu fenomena baru dalam masyarakat sehingga sudah dikenali ramai.

Namun yang kurang menonjol ialah lajnah-lajnah yang boleh menjadi tautan masyarakat yang sudah muak terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Kita akui Pasti dan Unit Amal dah menampakan kejayaan tetapi yang kurang menyerlah ialah lajnah-lajnah.  Kali ini lajnah akan diperkemaskan, dijitukan dan diperbaharui sesuai dengan slogan PAS ‘Anak Muda Geng Kita’,” tegas beliau.

Muktamar Dewan Pemuda PAS negeri mengekalkan jawatan ketua dan timbalannya, Ustaz Yusni Mat Piah dan Helmi Haron manakala naibnya, Nor Azman Ishak adalah muka baru.

Ketiga-tiganya menang tanpa bertanding.

Ia juga menyaksikan 10 orang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa sesi 2011 -2013 mereka ialah Reduan Ramli, Hasbul Nizar, Shanaz Asri, Ahmad Taufiq, Zamadi Omar, Afnan Hamimi, Asri Haron, Shafirol Rozali, Fahmi Ahmad dan Faruq.

Kali ini menyaksikan beberapa anugerah disampaikan antaranya, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) diperolehi oleh ‘PASTI Intanku’ dari Permatang Tok Gelam dari Parlimen Tasek Gelugor, Jabatan Amal terbaik dimenangi oleh Unit Amal Kepala Batas, Dewan Pemuda PAS Kawasan terbaik juga dimenangi oleh Kepala Batas, Tokoh Terbaik Negeri, Abdullah Saad dan Tokoh Khas diberikan kepada Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri, Mohd Noor Harun.

Turut hadir dalam muktamar tersebut ialah Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Amir Ghazali, Naib Ketua AMK Negeri, Syed Mikail Rizal Aidid serta wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS Pulau Pinang, Siva.

Naib Canselor UUM patut minta maaf

Harakahdaily
ALOR SETAR, 25 April: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak digesa memohon maaf kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (gambar)berikutan kenyataannya kelmarin, yang dianggap tidak menghormati dan menghina pemimpin tertinggi kerajaan negeri.Desakan itu dibuat mahasiswa berikutan kenyataan lantang Mohamed Mustafa yang menyifatkan Ustaz Azizan hanya layak mengurus sekolah pondok, setelah Azizan mencabar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyerahkan UUM untuk diambil alih Kerajaan Negeri apabila universiti itu mempertikai pembayaran cukai tanah bernilai RM1.7 juta setahun.

Dalam satu kenyataan, mahasiswa UUM memandang serius perkara ini kerana selaku pegawai kerajaan, beliau tidak sepatutnya bertindak seperti itu yang jelas menghina Menteri Besar selaku tuan rumah.

Bagi mereka, kerajaan negeri berhak menerima atau menolak permohonan rebat cukai tanah. Ia tidak terkecuali pada mana-mana tuan tanah, sama ada golongan berada atau petani sekalipun. Tiada yang merungut pun kecuali UUM, mungkin kerana mereka faham tanggung jawab sebagai pemilik tanah.

“Seharusnya kita sebagai seorang Islam harus memandang tinggi institusi agama seperti ini kerana ia telah banyak menyumbang dalam melahirkan para alim  ulamak di Malaysia sehingga kini,” kata wakil mahasiswa UUM.

Mahasiswa UUM juga berharap agar pihak atasan universiti bersikap lebih profesional dalam menyelesaikan isu-isu yang berlaku tanpa melibatkan kepentingan politik pihak tertentu.

Mahasiswa juga berpandangan UUM tidak perlu memandang rendah terhadap pengurusan sekolah pondok, kerana pentadbiran pondok sekarang jauh lebih baik dan ia merupakan institusi terpenting dalam peneyebaran ilmu Islam di Malaysia sejak daru dahulu lagi.

Mengulas mengenai kenyataan Mohamed Mustafa yang mempertikai kemampuan Kerajaan negeri untuk mengurus UUM kerana memerlukan bajet yang tinggi, mencecah RM300 juta setahun untuk mengurus 15,000 pelajarnya, Muhammad Sanusi iaitu Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah berkata, Kerajaan Negeri mampu mengurus 2 juta penduduk hanya dengan pendapatan RM500 juta.

“Cukai tanah yang perlu dibayar UUM cuma 0.6 peratus daripada bajet berkenaan,” katanya.

Muhammad Sanusi turut mempertikai tujuan isu cukai tanah dan bekalan air di UUM dibangkitkan oleh Dr Mohamed Mustafa, memandangkan KPT sebelum ini tidak pernah mempersoal pembayaran cukai tanah terbabit.

Menurutnya, kewibawaan Azizan untuk mentadbir sebuah pusat pengajian tidak harus dipertikaikan, berikutan beliau berpengalaman selama 21 tahun dalam bidang IPT.

“Azizan pernah menjadi Ketua Jabatan di UKM, selain antara pengasas UIA dan menubuhkan fakulti syariah dan undang-undang di Universiti Mindanao, Filipina. Beliau juga yang memperluas program Kolej Universiti Insaniah daripada tujuh program kepada 42, malah membina kampus induk di Kuala Ketil dengan sumber terhad tanpa bantuan kewangan Pusat,” katanya.

2 pelajar UM bebas tuduhan palsu cuti sakit

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 25 April: Dua mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang digantung satu semester bermula akhir Mac lalu atas dakwaan memalsukan dokumen cuti sakit hari ini bebas daripada pertuduhan tersebut.

Pihak Jawatankuasa Rayuan UM mengeluarkan keputusan rasmi hari ini setelah sebulan keputusan tersebut tergantung.

Selain digantung pengajian selama satu semester, Tan Tiong Yih dan Yeong Lee Kee, masing-masing penuntut Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Sastera sebelum ini juga dikehendaki membayar denda RM200 kerana didakwa memalsukan dokumen cuti sakit yang dikemukakan bagi tujuan pengecualian menghadiri bengkel persediaan calon yang dilaksanakan pihak Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) pada fasa pilihan raya lepas.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM), Mohd Syahid Mohd Zaini, pihaknya akan berusaha membantu mendapatkan slip peperiksaan bagi kedua-duanya bagi membolehkan mereka mengambil peperiksaan akhir semester seperti biasa.

“Pihak MPMUM akan bertindak segera membantu mereka mendapatkan slip peperiksaan supaya mereka boleh menjalani peperiksaan,” kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Syahid juga berkata, memandangkan Tiong merupakan salah seorang ahli jawatankuasa MPMUM sebelum ini, namanya akan diserapkan kembali ke organisasi MPMUM.

Beliau turut menyatakan rasa gembira dengan keputusan itu dan berkata ianya membuktikan kedua-dua mahasiswa tersebut tidak bersalah.

“Keputusan ini di luar jangkaan kami dan saya amat gembira dengan keputusan ini dan sekali gus membuktikan bahawa mereka tidak bersalah.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua mahasiswa yang memberikan sokongan kepada mereka sehingga kes ini selesai,” katanya.

Sebelum ini, Pro Mahasiswa (Pro M) UM mendesak pihak pentadbiran universiti menarik semula hukuman tatatertib ke atas kedua-duanya.

Mereka turut mempertikai prosedur mahkamah universiti yang dilaksanakan terhadap kedua-duanya apabila mereka tidak boleh membawa sesiapa kecuali diwakili pekerja atau pelajar sedangkan mereka mempunyai saksi yang boleh membantu dalam sesi pembelaan.

Labour Day march to seek a minimum wage

%d bloggers like this: