Insurans: PAS sambut baik pengumuman BNM

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 5 Mei: PAS menyambut baik pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa orang ramai boleh mendapatkan perlindungan kenderaan dari semua penginsurans am serta Pos Malaysia di seluruh negara serta merta, termasuk kenderaan melebihi sepuluh tahun.

Naib Presiden PAS yang juga Pengerusi Gerakan Bela Rakyat (Bela), Salahuddin Ayub (gambar) menyifatkan pengumuman itu sebagai satu lagi kejayaan Bela dalam membawa isu itu ke pengetahuan pihak bertanggungjawab.

“Bela mengalu-alukan pengumuman ini dan ini merupakan kejayaan Bela selepas Kempen Anti Saman Ekor (Kase) yang  terus memberikan tekanan dan pandangan dalam perkara ini.

“Bela sangat  berbangga dengan kejayaan rakyat yang terus menyokong PAS dalam memperjuangkan hak mereka,” kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Bela dilancarkan pada 10 ogos tahun lalu bagi mencari penyelesaian kepada masalah pemilik kenderaan berusia 20 tahun ke atas yang terpaksa membayar tinggi untuk memperbaharui insurans kenderaan mereka.

BNM dalam satu kenyataan Selasa lalu mengumumkan kenderaan melebihi 10 tahun akan dikenakan caj yang sama dengan kadar premium semasa dan tidak dikenakan caj tambahan yang dikenakan kepada kenderaan berisiko tinggi.

Perlindungan itu juga kata BNM boleh ditaja jamin oleh penginsurans atau diberikan bagi pihak Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP).

Namun begitu,PAS mahu bayaran yang dikenakan untuk pemeriksaan kenderaan lama di Puspakom dikurangkan agar tidak membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Bayaran di Puspakom perlu dalam kadar yang lebih rendah supaya rakyat biasa, orang kampung dapat menggunakan kemudahan yang disediakan Puspakom,” katanya

Bazar Tok Guru bakal beroperasi tidak lama lagi

Nazri Abdullah
KOTA BHARU, 5 Mei: Sejak pendaftaran untuk kemasukan dibuka bermula 30 April lalu, kompleks pasar baru Bazar Tok Guru di Jalan Sultan Ibrahim kini sudah menerima kira-kira 150 tempahan peniaga.

Mereka adalah termasuk sebahagian daripada 415 peniaga dari pasar Arked Uda dan pasar lama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang ditawarkan berpindah dengan kaedah sewa-beli ke kompleks bangunan tiga tingkat itu.

Bazar Tok Guru atau lebih dikenali BTG di kalangan kakitangan pengurusan projek ini, bakal dibuka tidak lama lagi. Bazar yang bermoto, ‘Pusat Jualan Produk Klate’ ini  bakal menjadi mercu tanda baru perniagaan di Kelantan.

(Gambar: Mercu tanda perniagaan baru di Kota Bharu yang kini sangat dibimbangi lawan politik kerajaan negeri. Ekoran itu pelbagai isu dibangkitkan)

“Nampaknya, semua projek kebajikan yang dibuat kerajaan negeri untuk rakyat dijadikan isu oleh Umno melalui media mereka. Nampak sangat ia ditakuti oleh Umno,” tulis Wan Nik Yusof Ngah, Setiausaha Politik MB Kelantan dalam tulisannya di Harakah.

Antara projek untuk rakyat yang dibuat kerajaan negeri adalah Bazar Tok Guru dan Ladang Rakyat. Jika kedua-dua projek ini tidak dijadikan isu, Umno tidak ada harapan dalam pilihan raya umum nanti.

Bazar Tok Guru dijanjikan oleh Tuan Guru Nik Aziz menjelang pilihan raya umum 2008 lalu. Ia diimpikan beliau sebagai anugerah kepada para peniaga yang menjadi nadi pembangunan Kelantan. Bangunan ini bakal menjadi mercu tanda perniagaan baru di Kelantan yang terkenal dengan kegemaran untuk berniaga di kalangan rakyatnya itu.

Bazar ini akan menjadi tapak baru peniaga kecil di Kelantan selepas Arked Uda dan Pasar Lama MPKB sudah tidak sesuai lagi untuk dijadikan tapak perniagaan yang baik.

Selepas tiga tahun berjanji, Bazar Tok Guru akan dilancarkan tidak lama lagi. Jika ia berjaya dengan baik, maka tindakan Umno yang pernah merobohkan secara kekerasan Pasar Lambak di hadapan Bangunan Umno Kelantan pada tahun 1987 lalu bakal menjadi satu titik hitam penting yang tidak akan dilupakan oleh rakyat Kelantan.

Pihak pengurusan bazar iaitu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menyediakan sejumlah 451 lot kedai kepada peniaga yang sebelum ini berniaga di Arked Uda dan bangunan MPKB di samping lain-lain peniaga kecil negeri ini.

368 daripadanya adalah di tingkat bawah, 50 di tingkat satu manakala 33 unit lagi akan dibuang untuk memperbesar laluan.

Peniaga di sini juga akan ditempatkan mengikut kategori perniagaan masing-masing. Ia dibuat demikian agar urusniaga tidak tertumpu kepada tingkat bawah sahaja tetapi mengikut keperluan pengguna.

Di aras bawah diperuntukkan kepada kategori peniagaan pakaian, beg dan kasut manakala jenis perniagaan di aras satu pula adalah kedai jahit.

Untuk emas dan pertukangan pula ditempatkan di kedua-dua aras.

Bagaimanapun, difahamkan pendaftaran yang dibuat PMBK 30 April dan 2 Mei lalu, yang dibuat secara ‘First come first serve‘ mengundang rasa tidak puas hati pihak persatuan peniaga dari kedua-dua pasar lama itu.

Dua hari lepas, selepas para peniaga mula mendaftar untuk masuk,  pihak persatuan didakwa membuat pengumuman di pasar lama MPKB mengarahkan peniaga hadir ke Bazar Tok Guru bagi membuat bantahan.

Mereka didakwa mahu sistem pengundian dibuat dan mahu membatalkan mereka yang telah mendaftar awal dengan PMBK pada dua tarikh tersebut.

Bagaimanapun, tinjauan Harakahdaily pada pagi semalam mendapati hanya beberapa individu dilihat hadir namun tidak dapat berbuat apa-apa ekoran kehadiran dua kereta peronda polis (gambar) yang berkawal sejak awal pagi.

Kaunter pendaftaran PMBK yang sepatutnya dibuka juga kelihatan tutup. Difahamkan ianya ditutup atas faktor keselamatan.

PMBK telah menawarkan harga RM63,000 bagi ruang tingkat bawah premis baru di Bazar ini walaupun harga asalnya adalah RM98,000.

Kini terpulang kepada peniaga Arked Uda dan Pasar Lama Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) untuk menduduki premis baru itu.

Harga ini adalah adalah berdasarkan konsep sewa-beli dan beberapa tawaran menarik kepada 415 peniaga di dua kawasan perniagaan yang bakal ditutup itu. Ia termasuklah percuma sewa selama dua tahun untuk tingkat bawah.

Isu Bazar Tok Guru menjadi sejata baru Umno Kelantan menyerang kepimpinan kerajaan negeri itu. Antara dakwaan ruang niaga yang disediakan sempit dan mahal.

Sedangkan saiz lot tersebut telah dipersetujui wakil peniaga melalui beberapa siri pertemuan yang diadakan. PMBK pula bersetuju dengan sais itu kerana ia dibuat untuk peniaga kecil, maka saisnya tentulah mengikut kemampuan mereka. Jika sais yang besar dibuat, bilangannya tidak mencukupi untuk memasukkan semua peniaga yang ada di samping harganya tentu lebih mahal.

Difahamkan juga, wakil persatuan seperti ‘menyembunyi’ fakta yang dipersetujui kepada peniaga dan ingin bermain politik.

Untuk rekod, satu lot kedai di tingkat bawah ditawarkan pada harga RM63,000 dengan sewa percuma selama dua tahun.

Peniaga ditawarkan pinjaman tanpa interes oleh PMBK dengan tempoh pembayaran balik 18 tahun. Selepas itu, lot-lot kedai itu akan menjadi milik mereka. Ini bermakna, harganya kekal RM63,000 walaupun bayaran balik adalah selama 18 tahun.

Jika pinjaman diambil dari bank-bank komersial, harganya sekitar RM40,000 sahaja manakala harga selebihnya adalah keuntungan untuk pihak bank.

(Gambar: Para peniaga mula mendaftarkan perniagaan mereka di Bazar Tok Guru apabila kaunter jualan mula dibuka oleh PMBK.)

Namun begitu, kerana telah diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu, ia telah ditentang oleh sesetengah pihak yang berkepentingan dan diperalatkan Umno dalam persatuan peniaga sendiri.

Umno sangat bimbang dengan projek ini. Jika ia berjalan dengan baik habislah Umno. Ini kerana, menjadi titik sejarah kejatuhan Umno di Kelantan 1990 lalu adalah kerana kebangkitan peniaga kecil Kelantan menentang Umno.

Kerajaan negeri Kelantan melalui Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) ketika itu telah bertembung dengan para peniaga Melayu. Kemuncaknya adalah apabila Pasar Lambak yang terletak di depan bangunan Umno Kelantan telah dirobohkan dengan kekerasan.

Pasar Lambak dirobohkan kerana pemandangannya yang buruk yang mencacatkan majlis perasmian bangunan Umno Kelantan oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Ekoran itulah, Umno tidak akan membiarkan Bazar Tok Guru berjalan lancar. Ada sahaja isu yang dibangkitkan sehingga Tuan Guru Nik Aziz amat sedih sekali mengingat isu ini.

Undian tajuk Bubar Umno Masuk PAS

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 4 Mei: Mulai hari ini, undian sedang dilakukan terhadap tajuk muka depan akhbar Harakah wajarkah perkataan “BUBAR UMNO MASUK PAS” digunakan sebagai tajuk berita utama.

Pembaca boleh setuju atau tidak setuju atau tidak pasti dengan pilihan tajuk berkenaan.

Untuk membuat undian tinjauan@harakah, boleh terus kepada link http://myharakah.net

Sementara itu seramai 343 undian telah dilakukan terhadap edisi sebelum ini, wajarkah perkataan “BUKAN KAEDAH ISLAM” digunakan sebagai tajuk berita utama.

Keputusannya adalah 81.63 % atau 280 undian bersetuju berbanding dengan 12.83 % atau 44 pengundi sahaja yang tidak bersetuju dengan tajuk tersebut.

Keputusan yang bersetuju telah meningkat 20% berbanding dengan tajuk sebelum ini wajarkah perkataan “UMNO PUJUK DAP” digunakan sebagai tajuk berita utama di mana 61.92 % sahaja yang bersetuju.

Untuk melihat keputusan terperinci, boleh terus kepada link http://myharakah.net/polls.php

PAS pertahan keadilan sejagat, tolak keganasan

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 4 Mei: PAS mengikuti berita pembunuhan Osama bin Laden dengan penuh hati-hati, di samping mengutuk keras sebarang keganasan yang dilakukan oleh tentera Amerika Syarikat terhadap umat Islam.

Jika benar Osama bin Laden telah terbunuh, PAS mengucapkan takziah kepada keluarganya, tetapi PAS amat kesal dengan tindakan pihak Amerika Syarikat mengenai kejadian itu.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (gambar) menegaskan, PAS tetap teguh mempertahankan keadilan sejagat dan menolak sebarang bentuk keganasan termasuk state terrorism.

Menurut beliau, sehubungan itu, PAS tetap konsisten dengan pendiriannya yang mengutuk keras dan menentang sebarang bentuk keganasan oleh setiap pihak ke atas masyarakat awam.

Katanya, dalam hubungan ini juga, jika benar Osama yang diburu oleh pihak Amerika Syarikat sejak sekian telah dibunuh oleh  tentera Amerika, PAS mendesak agar tentera negara itu segera keluar dari bumi umat Islam.

“Namun yang amat kita kesali, keganasan juga terus dilakukan ke atas orang awam di negara Palestin, Afghanistan dan Iraq tanpa sebarang perikemanusiaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau yang juga AJK Kerja PAS Pusat menegaskan, bagaimanapun sehingga hari ini, tentera Amerika masih lagi berada di negara-negara berkenaan.

“Jadi, sekiranya pembunuhan Osama dianggap sebagai penyelesaian kepada keganasan, maka Amerika Syarikat juga mesti segera keluar dari menjajah Afghanistan dan Iraq,” katanya.

Begitu juga dengan negara terroris Israel yang terus membunuh dan menjajah Palestin, menurutnya, mestilah diadili mahkamah antarabangsa.

Beliau turut menceritakan kesedihannya bersama beberapa pemerhati dari NGO Islam Britain dan Eropah dengan pengalaman yang disaksikannya, hasil perjalanan singkatnya memasuki bumi Libya April lalu yang terus bergolak.

“Kami bertolak dari London dan terus menuju ke Mesir melalui bandar kecil Matroub yang bersempadan dengan Libya. Perjalanan lebih 26 jam itu telah membawa kami ke kota Benghazi, kota kedua terbesar di Libya.

“Di sepanjang perjalanan menuju ke sana dapat diperhatikan banyak kesan kemusnahan akibat pertempuran yang berlaku antara tentera rejim Muamar Ghadafi dengan ‘tentera rakyat’ yang bangkit menentang rejim Ghadafi,” jelasnya.

Di Kota Benghazi, menurut beliau, kebangkitan ribuan anak-anak muda yang keluar beramai-ramai ke jalan-jalan raya secara aman bagi membantah kekejaman rejim Ghadafi, akhirnya telah berjaya menumbangkan pentadbiran tentera yang setia kepada Ghadafi dengan hanya dengan kuasa rakyat.

“Mereka menceritakan kepada saya bagaimana pasukan keselamatan Ghadafi telah bertindak ganas dengan menembak secara membabi buta ribuan penunjuk perasaan dan mereka yang menyertai perarakan pengebumian di timur bandar Benghazi berikutan kebangkitan rakyat.

“Dalam kejadian itu sahaja dianggarkan lebih 100 rakyat awam telah ditembak secara kejam. Ini telah membangkitkan lagi rasa kemarahan rakyat dan akhirnya dengan kebangkitan kuasa rakyat telah berjaya menumbangkan pentadbiran Ghadafi dari kota Benghazi,” ujar beliau.

Jelajah Mahasiswa Selamatkan Rakyat diteruskan

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 4 Mei: Sekumpulan mahasiswa yang menggelarkan diri mereka sebagai Gerakan Mahasiswa Selamatkan Rakyat (GMSR) akan mengadakan Jelajah Mahasiswa Selamatkan Rakyat ke seluruh negeri di Malaysia untuk turun kepada masyarakat.

Ia sebagai rentetan daripada Jelajah Mahasiswa Selamatkan Rakyat dari KL Sentral ke Seremban pada 10 April lalu.

Dengan membawa mesej mahasiswa akan terus bersama dan merungkai segala permasalahan rakyat serta akan turut bersama menyelesaikan permasalahan yang melanda rakyat, mereka mensasarkan tiga negeri sebagai permulaan iaitu Pahang, Perak dan Sabah.

GMSR akan turun ke Pahang 10 Jun depan bagi meneliti dan turut membantu penduduk Gebeng, Kuantan yang sedang diancam bahaya akibat rancangan projek loji nadir bumi yang dikelolakan oleh Lynas Corporation.

Dari Pahang, GMSR yang terdiri daripada 20 ajk pelaksana akan ke Perak yang diketahui umum sedang berhadapan pencabulan demokrasi.

GMSR akan turun dengan membawa manifestasi pendedahan demi pendedahan terhadap pencabulan demokrasi di negeri yang dimenangi Paktan Rakyat pada pilihan raya umum yang lalu, kemudiannya dirampas oleh BN.

Seterusnya GMSR akan terbang ke Sabah bagi menemui masyarakat yang kini berhadapan dengan measalah pemilikan tanah akinat penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun, bagi siri jelajah ke Sabah, tidak akan disertai oleh semua ahli jawatankuasa GMSR dari Semenanjung kerana akan dibantu oleh Gamis Borneo, sebuah gerakan mahasiswa di sana.

Bercakap pada sidang media di Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya hari ini, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Shukri Abdul Razak berkata, GMSR sedang giat melakukan persiapan bagi tujuan siri jelajah itu seperti mengumpul dana dan memaklumkan kepada pihak bertanggungjawab di kawasan yang akan dikunjungi mereka.

“Kami sedang dalam proses melakukan persiapan ke arah siri jelajah ini dan sedang berusaha memaklumkan kepada pihak terbabit mengenai kehadiran kami,” katanya.

Menyentuh mengenai dana GMSR, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional(MPMN), Mohd Syahid Mohd Zaini pula berkata, mereka menggunakan dana hasil sumbangan mahasiswa sendiri, tanpa meminta bantuan daripada mana-mana pihak.

“Setakat ini kami gunakan dana daripada mahasiswa sendiri, dan tak bercadang untuk meminta bantuan daripada mana-mana pihak termasuk parti-parti politik. Kami mahu tunjukkan ketulenan perjuangan mahasiswa,” tegasnya.

Ditanya mengenai kemungkinan halangan yang timbul akibat berlaku tangkapan pada siri jelajah pertama, jurucakap Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Shukri Kamaruddin berkata, mereka telah bersedia dengan sebarang kemungkinan dan menegaskan apa yang dilakukan itu tidak salah malah untuk menunjukkan peranan mahasiswa di kalangan masyarakat.

“Tangkapan itu perkara biasa, dan kami akan teruskan perjuangan kami untuk bersama masyarakat dan kami yakin kami tidak melakukan perkara yang salah di sisi undang-undang, sama juga seperti NGO-NGO lain yang ingin membantu rakyat,” katanya yang merupakan salah seorang yang ditangkap di KL Sentral.

GMSR merangkumi beberapa kumpulan mahasiswa antaranya Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Pro Mahasiswa Nasional (Pro MN) dan Sister In Movement (SIM).

Selangor tubuh Tabung Bencana Alam RM10 juta

Harakahdaily
SHAH ALAM, 4 Mei: Kerajaan Selangor menubuhkan Kumpulan Wang Tabung Warisan Bencana Alam  (TWBA) Negeri Selangor dengan suntikan awal dana sebanyak RM10 juta bertujuan  membantu kerajaan negeri menampung perbelanjaan mangsa-mangsa bencana alam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata TWSA ini ditubuhkan mengikut Seksyen 10 Subseksyen 4 (b), Akta Tatacara Kewangan 1957 yang membolehkan ia menjana dananya sendiri menerusi pelbagai medium pelaburan untuk digunakan berkaitan tujuan penubuhannya.

“Kerajaan negeri akan memperuntukkan dana sebanyak RM50 juta dalam tempoh lima tahun. Suntikan awal TWBA akan diberikan sebanyak RM10 juta untuk tahun ini menerusi peruntukan Kerajaan Negeri dalam bentuk geran pelancaran (launching grant).

“Manakala baki dana tersebut akan diberikan dalam tempoh 2012 hingga 2015 sebanyak RM10 juta setahun,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), hari ini.

Tan Sri Abdul Khalid berkata, peruntukan tambahan diperlukan kerana dana awal sebanyak RM10 juta ini tidak diperuntukkan dalam Bajet 2011.

“Kita akan meminta kelulusan untuk mengadakan peruntukan tambahan pada sidang Dewan Negeri Selangor yang akan bersidang pada Julai akan datang,” katanya.

Menteri Besar berkata, TWBA akan membantu kerajaan negeri menampung perbelanjaan mangsa-mangsa bencana alam menggunakan keuntungan dan lebihan yang dijana daripada dana permulaan yang disuntik TWBA.

Bagaimanapun, dana ini hanya boleh dikeluarkan bagi tujuan sumbangan kepada bencana alam selepas lima tahun iaitu hanya pada 2016 bagi membolehkan dana ini dilaburkan untuk mendapatkan pulangan sewajarnya.

Menteri Besar berkata, matlamat utama TWBA ditubuhkan bertujuan mengasingkan wang perolehan, keuntungan dan lebihan yang ada untuk digunakan dan dinikmati generasi akan datang khususnya perkara yang melibatkan bencana alam.

Tan Sri Abdul Khalid berkata, ketika ini Kerajaan Selangor mempunyai tabung untuk mangsa bencana alam iaitu Kumpulan Wang Amanah Bencana Alam yang ditadbir oleh Penbendaharaan Negeri Selangor dengan siling sebanyak RM8 juta.

Bagaimanapun, penggunaannya amat terhad dan terikat dengan Arahan Amanah dan tidak boleh dilaburkan atau digunakan untuk tujuan lain selain yang ditetapkan dalam Akaun Amanah.

Menteri Besar berkata, TWBA boleh menerima sumbangan dari individu dan syarikat yang mahu menjalankan tanggung jawab sosial korporat (CSR) dengan mendapat pengecualian cukai seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Dalam perkembangan lain, Tan Sri Abdul Khalid berkata, MMKN hari ini juga memperakukan keputusan Kerajaan Negeri untuk mewartakan tanah seluas 19 ekar di Taman Subang Ria, Subang Jaya, sebagai rekreasi awam.

Jangan putar belit fakta dalam isu rasuah

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 4 Mei: Setiap pihak di negara ini diingatkan agar jangan memutar belit fakta dalam membicarakan tentang usaha memerangi rasuah, bagi membolehkan segala usaha yang dibuat berhubung dengannya benar-benar mencapai kejayaan.

Namun dalam hubungan ini, PAS amat kesal apabila amalan politik perlindungan atau petronage politik kelihatan semakin menebal di negara ini, sehingga menjadikan usaha memerangi rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya tertumpu kepada ‘ikan-ikan bilis’ sahaja.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) menegaskan, pada hal, usaha memerangi rasuah sepatutnya melibatkan semua pihak dengan tidak hanya terbatas dengan penangkapan pihak-pihak tertentu sahaja.

Menurut beliau, namun fenomena di tanah air kita sejak dulu jelas memperlihatkan ‘ikan-ikan jerung’ atau pihak atasan sering terlepas dari penangkapan rasuah walaupun mereka terbukti terbabit dalam perbuatan hina itu.

Katanya, dengan kejadian itu, jelaslah di negara kita berlakunya unsur politik perlindungan terhadap pihak atasan atau para menteri sehingga menyebabkan pihak SPRM sendiri gagal melakukan tangkapan ke atas mereka.

“Maknanya, kita tidak mengatakan penangkapan ke atas ‘ikan-ikan bilis’ yang terbabit dengan rasuah itu tidak penting, tetapi yang kita persoalkan, kenapa ‘ikan-ikan jerung’ yang memang terbukti terlibat dengan rasuah itu juga tidak ditangkap. Itulah isunya dan ia mesti difahami setiap pihak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Bernama hari ini yang mengatakan dalam usaha memerangi rasuah oleh SPRM, kebanyakan masyarakat biasanya melihat kepada usaha menangkap ‘ikan jerung’ tetapi sebuah NGO merasakan tindakan terhadap ‘ikan bilis’ juga sama pentingnya.

Kesannya terhadap masyarakat adalah jauh lebih besar, kata presiden Majlis Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia Tunku Azwil Tunku Abdul Razak.

“Kehidupan majoriti penduduk seperti penjaja dan peniaga kecil amat terjejas dengan tindakan oleh pegawai penguatkuasa yang rasuah. Mereka ini perlu dilindungi dan itulah sebabnya mengapa tindakan SPRM terhadap ‘ikan bilis’ perlu dan mempunyai kesan yang besar,” katanya.

Tunku Azwil menyifatkan kritikan terhadap SPRM yang mengatakan bahawa mereka hanya memburu ‘ikan bilis’ adalah tidak benar kerana agensi anti rasuah itu bertanggungjawab melindungi kepentingan masyarakat daripada peminta rasuah.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Mujahid turut bertanya, adakah SPRM terkecuali dalam amalan petronage politik, sedangkan yang nyata kelihatan pada pelbagai pihak SPRM juga turut terikat dengannya, sehingga menjadikan SPRM sendiri menjadi terkontang kanting.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar mengatakan, disebabkan sekatan itulah yang menjadikan gejala rasuah di negara ini kini semakin bermaharajalela terutama di kalangan para menteri, sedangkan untuk membolehkan usaha memerangi rasuah itu mencapai kejayaan, seluruh sistem politik di negara ini perlu dipungah, telus, bertanggunjawab dan terbuka.

“Isu rasuah tidak boleh dipandang mudah. Dengan hanya menangkap peniaga-peniaga kecil dan para penjawat awam yang melakukan rasuah, ia tidak akan mengatasi masalah yang berlaku, malah ia menyebabkan negara mengalami kemusnahan,” tegasnya.

Beliau turut membacakan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Orang-orang dahulu menjadi hancur, rosak, apabila orang-orang kaya yang terlibat dengan rasuah tidak ditangkap, tetapi apabila orang-orang miskin yang rasuah ditangkap”.

28 April lalu, Harakahdaily atas tajuk “Tangkapan Rasuah: Kenapa Menteri Terlepas?” melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta bertindak lebih tegas dan adil dalam menangani masalah rasuah di negara ini, dengan turut mengambil tindakan terhadap pihak atasan atau menteri-menteri yang terbabit dalam rasuah.

Sekiranya tangkapan yang dilakukan hanya membabitkan para penjawat awam dan pihak-pihak lain yang terbabit, tindakan yang dilakukan tidak akan memberikan kesan yang diharapkan kerana pihak atasan yang terbabit terlepas begitu sahaja tanpa mendapat pengajaran yang sewajarnya.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan, sebaliknya, sekiranya tindakan ke atas pihak atasan yang terbabit tidak dilakukan, kenyataan SPRM bahawa mereka sudah semakin berjaya mengatasi masalah rasuah di negara itu tetap meragukan.

Menurut beliau, malah pengakuan kejayaan itu hanya boleh ditertawakan oleh orang ramai kerana ia tidak boleh dikategorikan sebagai berjaya selagi tindakan tersebut hanya terbatas kepada para penjawat awam sahaja.

Katanya, sedangkan masalah rasuah terbesar di negara ini diyakini membabitkan pihak atasan atau para menteri dan ia antara lain boleh dirujuk dalam kes kehilangan wang sebanyak RM800 billion dalam aliran keluar wang negara sejak 10 tahun lalu.

“Kehilangan wang sebanyak itu tentunya termasuk dalam kategori rasuah. Perbuatan itu tentunya turut membabitkan menteri-menteri. Tetapi kenapa SPRM tidak bertindak ke atas menteri-menteri terbabit?” katanya.

%d bloggers like this: