Jangan putar belit fakta dalam isu rasuah

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 4 Mei: Setiap pihak di negara ini diingatkan agar jangan memutar belit fakta dalam membicarakan tentang usaha memerangi rasuah, bagi membolehkan segala usaha yang dibuat berhubung dengannya benar-benar mencapai kejayaan.

Namun dalam hubungan ini, PAS amat kesal apabila amalan politik perlindungan atau petronage politik kelihatan semakin menebal di negara ini, sehingga menjadikan usaha memerangi rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya tertumpu kepada ‘ikan-ikan bilis’ sahaja.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) menegaskan, pada hal, usaha memerangi rasuah sepatutnya melibatkan semua pihak dengan tidak hanya terbatas dengan penangkapan pihak-pihak tertentu sahaja.

Menurut beliau, namun fenomena di tanah air kita sejak dulu jelas memperlihatkan ‘ikan-ikan jerung’ atau pihak atasan sering terlepas dari penangkapan rasuah walaupun mereka terbukti terbabit dalam perbuatan hina itu.

Katanya, dengan kejadian itu, jelaslah di negara kita berlakunya unsur politik perlindungan terhadap pihak atasan atau para menteri sehingga menyebabkan pihak SPRM sendiri gagal melakukan tangkapan ke atas mereka.

“Maknanya, kita tidak mengatakan penangkapan ke atas ‘ikan-ikan bilis’ yang terbabit dengan rasuah itu tidak penting, tetapi yang kita persoalkan, kenapa ‘ikan-ikan jerung’ yang memang terbukti terlibat dengan rasuah itu juga tidak ditangkap. Itulah isunya dan ia mesti difahami setiap pihak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Bernama hari ini yang mengatakan dalam usaha memerangi rasuah oleh SPRM, kebanyakan masyarakat biasanya melihat kepada usaha menangkap ‘ikan jerung’ tetapi sebuah NGO merasakan tindakan terhadap ‘ikan bilis’ juga sama pentingnya.

Kesannya terhadap masyarakat adalah jauh lebih besar, kata presiden Majlis Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia Tunku Azwil Tunku Abdul Razak.

“Kehidupan majoriti penduduk seperti penjaja dan peniaga kecil amat terjejas dengan tindakan oleh pegawai penguatkuasa yang rasuah. Mereka ini perlu dilindungi dan itulah sebabnya mengapa tindakan SPRM terhadap ‘ikan bilis’ perlu dan mempunyai kesan yang besar,” katanya.

Tunku Azwil menyifatkan kritikan terhadap SPRM yang mengatakan bahawa mereka hanya memburu ‘ikan bilis’ adalah tidak benar kerana agensi anti rasuah itu bertanggungjawab melindungi kepentingan masyarakat daripada peminta rasuah.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Mujahid turut bertanya, adakah SPRM terkecuali dalam amalan petronage politik, sedangkan yang nyata kelihatan pada pelbagai pihak SPRM juga turut terikat dengannya, sehingga menjadikan SPRM sendiri menjadi terkontang kanting.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar mengatakan, disebabkan sekatan itulah yang menjadikan gejala rasuah di negara ini kini semakin bermaharajalela terutama di kalangan para menteri, sedangkan untuk membolehkan usaha memerangi rasuah itu mencapai kejayaan, seluruh sistem politik di negara ini perlu dipungah, telus, bertanggunjawab dan terbuka.

“Isu rasuah tidak boleh dipandang mudah. Dengan hanya menangkap peniaga-peniaga kecil dan para penjawat awam yang melakukan rasuah, ia tidak akan mengatasi masalah yang berlaku, malah ia menyebabkan negara mengalami kemusnahan,” tegasnya.

Beliau turut membacakan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Orang-orang dahulu menjadi hancur, rosak, apabila orang-orang kaya yang terlibat dengan rasuah tidak ditangkap, tetapi apabila orang-orang miskin yang rasuah ditangkap”.

28 April lalu, Harakahdaily atas tajuk “Tangkapan Rasuah: Kenapa Menteri Terlepas?” melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta bertindak lebih tegas dan adil dalam menangani masalah rasuah di negara ini, dengan turut mengambil tindakan terhadap pihak atasan atau menteri-menteri yang terbabit dalam rasuah.

Sekiranya tangkapan yang dilakukan hanya membabitkan para penjawat awam dan pihak-pihak lain yang terbabit, tindakan yang dilakukan tidak akan memberikan kesan yang diharapkan kerana pihak atasan yang terbabit terlepas begitu sahaja tanpa mendapat pengajaran yang sewajarnya.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan, sebaliknya, sekiranya tindakan ke atas pihak atasan yang terbabit tidak dilakukan, kenyataan SPRM bahawa mereka sudah semakin berjaya mengatasi masalah rasuah di negara itu tetap meragukan.

Menurut beliau, malah pengakuan kejayaan itu hanya boleh ditertawakan oleh orang ramai kerana ia tidak boleh dikategorikan sebagai berjaya selagi tindakan tersebut hanya terbatas kepada para penjawat awam sahaja.

Katanya, sedangkan masalah rasuah terbesar di negara ini diyakini membabitkan pihak atasan atau para menteri dan ia antara lain boleh dirujuk dalam kes kehilangan wang sebanyak RM800 billion dalam aliran keluar wang negara sejak 10 tahun lalu.

“Kehilangan wang sebanyak itu tentunya termasuk dalam kategori rasuah. Perbuatan itu tentunya turut membabitkan menteri-menteri. Tetapi kenapa SPRM tidak bertindak ke atas menteri-menteri terbabit?” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: