PAS pertahan keadilan sejagat, tolak keganasan

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 4 Mei: PAS mengikuti berita pembunuhan Osama bin Laden dengan penuh hati-hati, di samping mengutuk keras sebarang keganasan yang dilakukan oleh tentera Amerika Syarikat terhadap umat Islam.

Jika benar Osama bin Laden telah terbunuh, PAS mengucapkan takziah kepada keluarganya, tetapi PAS amat kesal dengan tindakan pihak Amerika Syarikat mengenai kejadian itu.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (gambar) menegaskan, PAS tetap teguh mempertahankan keadilan sejagat dan menolak sebarang bentuk keganasan termasuk state terrorism.

Menurut beliau, sehubungan itu, PAS tetap konsisten dengan pendiriannya yang mengutuk keras dan menentang sebarang bentuk keganasan oleh setiap pihak ke atas masyarakat awam.

Katanya, dalam hubungan ini juga, jika benar Osama yang diburu oleh pihak Amerika Syarikat sejak sekian telah dibunuh oleh  tentera Amerika, PAS mendesak agar tentera negara itu segera keluar dari bumi umat Islam.

“Namun yang amat kita kesali, keganasan juga terus dilakukan ke atas orang awam di negara Palestin, Afghanistan dan Iraq tanpa sebarang perikemanusiaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau yang juga AJK Kerja PAS Pusat menegaskan, bagaimanapun sehingga hari ini, tentera Amerika masih lagi berada di negara-negara berkenaan.

“Jadi, sekiranya pembunuhan Osama dianggap sebagai penyelesaian kepada keganasan, maka Amerika Syarikat juga mesti segera keluar dari menjajah Afghanistan dan Iraq,” katanya.

Begitu juga dengan negara terroris Israel yang terus membunuh dan menjajah Palestin, menurutnya, mestilah diadili mahkamah antarabangsa.

Beliau turut menceritakan kesedihannya bersama beberapa pemerhati dari NGO Islam Britain dan Eropah dengan pengalaman yang disaksikannya, hasil perjalanan singkatnya memasuki bumi Libya April lalu yang terus bergolak.

“Kami bertolak dari London dan terus menuju ke Mesir melalui bandar kecil Matroub yang bersempadan dengan Libya. Perjalanan lebih 26 jam itu telah membawa kami ke kota Benghazi, kota kedua terbesar di Libya.

“Di sepanjang perjalanan menuju ke sana dapat diperhatikan banyak kesan kemusnahan akibat pertempuran yang berlaku antara tentera rejim Muamar Ghadafi dengan ‘tentera rakyat’ yang bangkit menentang rejim Ghadafi,” jelasnya.

Di Kota Benghazi, menurut beliau, kebangkitan ribuan anak-anak muda yang keluar beramai-ramai ke jalan-jalan raya secara aman bagi membantah kekejaman rejim Ghadafi, akhirnya telah berjaya menumbangkan pentadbiran tentera yang setia kepada Ghadafi dengan hanya dengan kuasa rakyat.

“Mereka menceritakan kepada saya bagaimana pasukan keselamatan Ghadafi telah bertindak ganas dengan menembak secara membabi buta ribuan penunjuk perasaan dan mereka yang menyertai perarakan pengebumian di timur bandar Benghazi berikutan kebangkitan rakyat.

“Dalam kejadian itu sahaja dianggarkan lebih 100 rakyat awam telah ditembak secara kejam. Ini telah membangkitkan lagi rasa kemarahan rakyat dan akhirnya dengan kebangkitan kuasa rakyat telah berjaya menumbangkan pentadbiran Ghadafi dari kota Benghazi,” ujar beliau.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: